UCAPAN Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid bernada ugutan terhadap guru dan pegawai kementerian dengan mahu mengambil tindakan disiplin terhadap mereka yang menyokong pembangkang menunjukkan sikap tidak profesional beliau. Tindakan dan ucapan beliau memperlihatkan sikap terdesak, tertekan dan gelisah beliau dan UMNO dalam menghadapi Pilihan raya Umum ke-14. Secara tidak langsung beliau menunjukkan indikasi bahawa UMNO-BN dalam keadaan gawat, dan ada kemungkinan tumbang dalam PRU ke 14 justeru beliau terpaksa menggunakan kuasa dan kedudukan beliau sebagai menteri untuk mengugut kakitangan di bawah kementeriannya.

drriduanSebagai seorang menteri yang memegang portfolio kementerian pendidikan, beliau sepatutnya tahu membezakan antara parti politik dan urusan profesionalisme. Dalam konteks negara yang menjunjung sistem demokrasi, sesiapa sahaja boleh menyokong mana-mana parti politik bahkan mengganggotai dan menjadi pemimpin parti politik terbabit. Tidak ada salahnya mana-mana kakitangan awam menyertai parti politik sama ada pemerintah ataupun pembangkang, selagi urusan kerjayanya dibereskan dengan sempurna. Yang salahnya jika mereka terbawa-bawa politik itu sampai ke bilik darjah, bilik guru dan mesyuarat di sekolah, atau tidak menjalankan kewajipan yang ditentukan, serta sibuk dengan hal parti politik sehingga tidak datang ke sekolah. Jika hal sedemikian berlaku, maka wajarlah guru dan kakitangan tersebut di ambil tindakan.

Mengkritik kerajaan bukan bermaksud mahu mensabotaj atau merosakkan imej kerajaan. Itu tanda kasih dan cinta rakyat terhadap kerajaan dan negaranya dengan memberikan teguran yang bermakna agar kerajaan dan pemimpin tertinggi melakukan perubahan, walaupun kritikan itu pedas. Kritikan yang baik bermakna ada pihak yang berani menyatakan kebenaran, walaupun ianya amat pahit didengari. Kritikan menjadikan seseorang, institusi, pemimpin dan negara semakin kuat. Dengan kritikan, kerajaan tahu salah betul tindakan mereka, dan mendengar suara serta keluhan rakyat di bawah.

Yang dibimbangi adalah tidak ada pihak yang mahu bersuara menyatakan kebenaran, walaupun yang dilihat, dirasai dan didengari adalah salah dengan naluri, hukum agama dan negara. Keadaan lebih parah jika semua pihak mengambil sikap mendiamkan diri, bahkan memuji dan membodek apa sahaja dasar kerajaan sehingga akhirnya langkah itu meyebabkan kerajaan dan negara rebah. Jangan kerana ugutan itu nanti melahirkan masyarakat terutama kakitangan kerajaan dan guru yang langsung tidak peka dan prihatin terhadap masyarakat, agama dan negara.

Jika ada kritikan dan kutukan yang keterlaluan, maka tindakan hanya perlu dilakukan kepada individu terbabit tanpa membabitkan dasar dan polisi kerajaan terhadap seluruh pegawai atau guru. Hanya dengan beberapa kerat individu yang lantang dalam bersuara, maka Datuk Seri Mahadzir terus menghukum semua guru dan kakitangan dengan ugutan amaran keras, apakah tindakan ini wajar? Bersikaplah dengan profesional dan jangan bermain emosi dan sentimen semata-mata. Selesaikan kes demi kes, bukan memukul rata seluruh negara hanya dengan satu dua kejadian yang berlaku.

Datuk Seri Mahadzir perlu ingat, UMNO hanya menjadi kerajaan ketika ini. Suatu waktu jika UMNO pula akan menjadi pembangkang, apakah beliau mahu berpegang dengan amaran dan ugutan beliau tidak membenarkan guru dan penjawat awam menyertai parti pembangkang? Jangan nanti beliau terpaksa menjilat balik segala apa yang diluahkan sekarang.

DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat
20 Januari 2018 – HARAKAHDAILY 20/1/2018

HAKIKAT bahawa seluruh manusia hidup dalam kerugian adalah tidak dapat ditolak, apabila mereka tidak mencapai tujuan penciptaannya. Sememangnya, manusia adalah dijadikan oleh Allah dengan tujuan dan sebab, bukannya secara sia-sia sahaja. 
 
Al-Quran telah menggariskan lima tujuan kejadian manusia iaitu sebagai hamba yang beribadat kepada Allah, khalifah yang menegak hukum Allah, penanggung amanah dalam menjalankan perintah Allah, pemakmur dunia dengan agama Allah dan penerima ujian terhadap perintah, larangan dan takdir Allah.
 
Al-Quran menjelaskan kepada kita bahawa seluruh kemuliaan manusia sebagai makhluk terbaik akan menggelungsur jatuh ke tempat yang sehina-hinanya apabila mereka tidak mentaati perintah Allah. Allah berfirman yang bermaksud, "Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah" (Surah at-Tiin: 4-5). 
 
Dalam Surah al- Asr ayat 1-2, Allah menjelaskan "Demi masa, sesungguhnya manusia benar-benar berada dalam kerugian."
 
Kehidupan dan perjuangan manusia yang tidak berteraskan keimanan kepada Allah dan tidak beramal dengan Islam akan menjadi sia-sia, bahkan merugikan seluruh masa, tenaga dan harta benda yang dihabiskan sepanjang hidupnya. Pada hari ini, begitu banyak kelompok dan kumpulan yang bergerak atas nama bangsa, ideologi dan agenda-agenda yang tidak menuju kepada keredhaan Allah, pasti perjuangan mereka berakhir dengan kerugian dan penyesalan. 
 
Kerana Allah sekali-kali tidak akan menerima amal yang dibangunkan selain atas nama Islam. Apabila Allah tidak mempertimbangkan seluruh amal sepanjang hidup kita di akhirat kelak, ertinya kita telah mengalami kerugian yang sangat disesalkan.
 
Bagaimanakah kita mengelakkan kerugian dan penyesalan ini? Hanya satu pilihan sahaja! Iaitu dengan beriman dan beramal dengan amal yang soleh. Apabila kita telah percaya terhadap ketuhanan Allah sebagai Tuhan yang selayaknya disembah oleh makhluk-Nya, ertinya kita telah membina keimanan yang benar. Tetapi ia tidak memadai sehingga kita beramal dengan Islam. 
 
Beramal dengan Islam ertinya kita melaksanakan seluruh perintah dan meninggalkan larangan yang terdapat dalam hukum syariat yang diturunkan oleh Allah. Bahkan, apabila kita hanya menerima Islam sahaja sebagai sistem hidup, sewajarnya kita menolak apa sahaja yang selain daripada Islam, barulah kita boleh dianggap telah beramal dengan Islam secara sempurna.
 
Amal yang dibina dalam setiap aspek kehidupan setelah seseorang itu beriman kepada Allah belum juga boleh dianggap sebagai telah mencapai darjat amal soleh sekiranya ia tidak memenuhi syarat-syarat sesuatu amal soleh. 
 
Apa jua amal kebaikan yang dilakukan oleh manusia hanya dikirakan sebagai amal soleh apabila memenuhi tiga syarat iaitu pertama, amal yang dibina di atas keimanan kepada Allah. Amal yang dibuat tanpa iman, adalah amal yang sia-sia dan tidak membawa manfaat di hari akhirat. 
 
Kedua, semua amal yang dilakukan mestilah mengikuti apa yang diajar atau ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W. Mengadakan sesuatu yang baharu dalam aqidah dan ibadat adalah menyesatkan. Begitu juga dalam soal kehidupan seharian, Islam telah menggariskan prinsip yang jelas untuk memandu manusia. Para ulama berijtihad mengeluarkan hukum, termasuk hukum-hukum semasa berdasarkan al-Quran dan Sunnah. Kehidupan yang tidak berpandukan apa yang ditunjukan oleh Nabi S.A.W akan menyebabkan manusia mengikuti hawa nafsu, lalu menyia-nyiakan amalnya.
 
Ketiga, amal yang dibuat di atas iman dan mengikuti petunjuk Nabi S.A.W mestilah dibuat semata-mata kerana Allah. Dalam kata lain, amal yang tidak diikhlaskan kepada Allah tidak boleh dikatakan sebagai amal soleh. Kebaikan yang dibuat dengan tujuan mencari nama, mendapat habuan dunia, mengharapkan puji-pujian dan seumpamanya akan menghancurkan nilai kebaikan tersebut. Gejala-gejala seperti riak, takabbur, sum'ah, ujub dan lain-lain yang menjadi penyakit hati ini, berperanan merosakkan keikhlasan amal kita. 
 
Gabungan tiga aspek inilah yang melahirkan amal soleh dalam hidup manusia. Lalu ia menjadi bekalan bagi kehidupan kita di akhirat. Inilah yang disebut oleh Allah yang bermaksud, "(Manusia menjadi hina) kecuali orang-orang yang beriman dan beramal dengan amal yang soleh" (Surah at-Tiin: 6)
 
Apabila kita telah dapat memandu hidup kita berdasarkan keimanan dan beramal dengan amal yang soleh ini, barulah dapat membina kehidupan yang beruntung dan berjaya di dunia dan akhirat. Seluruh keyakinan, ibadat, kehidupan dan perjuangan yang tidak dilandaskan di atas dasar ini adalah sia-sia dan merugikan. 
 
Tidak ada seorang pun dapat mencapai kemenangan di akhirat sekiranya mereka tidak menutupi ruang-ruang kerugian ini dengan amal yang soleh sesudah mereka beriman. Apalah ertinya kita berpenat lelah dalam perjuangan atau dapat mencapai tujuan perjuangan di dunia yang sementara tanpa iman dan kesolehan amal, kerana ia adalah penyesalan di hari akhirat. Inilah hakikat sebenar perjuangan PAS.
 
HAJI HASHIM JASIN
Mursyidul Am PAS - HARAKAHDAILY 17/1/2018

TERDAPAT laporan dalam media negara ini bahawa ada bintang hiburan antarabangsa tidak mengadakan persembahan di Malaysia, dan hanya singgah di beberapa buah negara Asia Tenggara. Antara sebab artis terkenal tersebut tidak mengadakan persembahan di Malaysia adalah kerana kekurangan penajaan. Menurut laporan itu lagi, syarikat yang menjual produk tidak halal seperti alkohol dan rokok enggan memberikan penajaan, dan alasan paling utama adalah Malaysia dilihat semakin cenderung menjadi negara konservatif Islam. Bintang terkenal yang disebut itu adalah Celine Dion.
 
Selain Celine Dion, artis lain adalah seperti Coldplay, Megadeth yang dibatalkan konsertnya, Mayhem dan Beyonce serta beberapa artis terkenal lain. Bagi peminat hiburan antarabangsa, berita ini mungkin suatu perkara buruk yang meresahkan dan menyedihkan mereka. Tetapi masyarakat seluruhnya, berita inilah yang membawa sinar kebahagiaan dan memberi kebaikan khususnya bagi pertumbuhan generasi muda.
 
Jika alasan konservatif agama sebagai punca kurangnya penajaan maka kerana itu para artis terkenal tidak jadi konsert di Malaysia, maka itulah kejayaan kepada umat Islam di negara ini. Walaupun mereka menuduh umat Islam di negara ini beramal dengan konservatif agama, sedangkan mereka tidak tahu bahawa umat Islam di negara ini sedang mengamalkan ajaran sebenar agama Islam seperti yang dituntut oleh agama.
 
Berita ini memberi makna bahawa penaja menyedari bahawa Malaysia bukan seperti negara-negara lain yang bebas dan terbuka seluasnya. Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai reputasi tinggi sebagai sebuah negara Islam. Walaupun ada pihak menganggap perkembangan ini sebagai negatif, namun bagi majoriti umat Islam di negara ini, ia adalah satu perkembangan positif. Justeru, dengan perkembangan ini, mereka yang berkira-kira mahu menganjurkan kosert di negara perlu menghormati budaya, amalan agama dan adat resam masyarakat di negara ini.
 
Islam tidak menyekat kebebasan, keterbukaan, hiburan dan keseronokan. Islam meraikan semua perkara tersebut asalkan pada had yang dibenarkan syarak. Islam hanya menolak budaya ‘liar’ yang melalaikan dan merosakkan, candu hiburan tanpa had dan kebebasan, parti-parti liar yang mengkhayalkan, lirik yang merosakkan, percampuran bebas lelaki dan perempuan yang tidak ada batasan. Kesudahannya anak-anak muda yang berakhir dengan perzinaan, maksiat, minum arak, menghisap rokok, mengambil dadah, bergaduh dan lain-lain. 
 
Masyarakat di Malaysia juga sangat bimbang generasi anak-anak muda yang memiliki akhlak dan tingkah laku yang liar, suka berhibur, berpakaian tidak senonoh, mengambil artis-artis barat yang liar dan berakhlak buruk sebagai ikon hidup mereka. Oleh kerana itu, masyarakat Malaysia merasa sensitif dan amat prihatin terhadap budaya hiburan yang menular. Banyak siri bantahan yang disuarakan terhadap penganjuran konsert-konsert menyebabkan para penaja dan penganjur merasa ‘panas punggung’ untuk menganjurkan sesuatu konsert. Mereka serik dengan banyaknya bantahan dan kebencian masyarakat terhadap hiburan yang melalaikan ini.
 
Mungkin para penaja dan penganjur konsert perlu mengetahui bahawa Malaysia bukan hub hiburan dan konsert liar mega bersifat antarabangsa. Di dalam negara ini sendiri, terlalu banyak elemen hiburan yang melalaikan telah terhidang di depan mata. Malaysia tidak kurang pusat-pusat hiburan dan kelab malam di mana-mana, pusat karaoke dan rumah urut yang hampir tidak terkawal. Di tambah dengan media sosial dan televisyen yang hampir setiap masa menghidangkan hiburan untuk setiap golongan.
 
Biarkan golongan yang cintakan hiburan dan pemuja artis terkenal antarabangsa mendapat hak hiburan mereka di luar negara. Pergilah mana-mana negara Asia Tenggara untuk mendengar, menonton dan menyaksikan sendiri artis tersebut, tetapi bukan di Malaysia. Kepada umat Islam dan pencinta kepada kemakmuran, teruskan dengan bersifat sensitif dan prihatin terhadap negara. Dengan sikap mereka ini, mungkin kita dipandang hina oleh segelintir orang, tetapi ia mampu menyelamatkan masyarakat dan negara.
 
DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat
14 Januari 2018 - HARAKAHDAILY 14/1/2018

SUHU politik negara kita sekarang ini sedang menaik, seiring dengan tempoh PRU yang semakin mendekat. Mengambil maklum bahawa perlunya kesedaran dalam kalangan rakyat dipertingkatkan, suka saya mengajak tuan-puan untuk membaca secebis cerita teladan yang mungkin akan memberikan sedikit pengajaran kepada mereka yang mahu berfikir. Kisahnya begini…

Di sebuah kampung, tinggal seorang peruncit tua yang mempunyai beberapa orang pekerja. Kedai runcitnya agak kecil, tetapi yang menariknya, ia mempunyai banyak barangan keperluan. Strategi jualannya adalah bagi membantu orang kampung untuk mendapatkan bekalan. Manakala keuntungan yang diambil cukup bagi membayar kos dan sedikit keuntungan yang sederhana. Pendek kata, dia tidak mengejar kekayaan yang melampau.

Strategi peruncit tua ini ditentang oleh beberapa pekerja-pekerjanya dan juga saudara mara yang terdekat. Ini bagi mereka, seharusnya keuntungan dilipatkan bagi menjamin kehidupan yang lebih selesa pada masa depan, tanpa mengira masalah orang kampung yang memerlukan bekalan. Mereka mahu berhenti kerja, tetapi kerana di situ juga kurang terdapat peluang kerja, maka hasrat untuk berhenti dari kedai itu ditangguhkan.

Hasrat yang sudah lama terpendam itu akhirnya berjaya dilaksanakan apabila datang seorang kaya yang dikira sangat berjaya di dalam perniagaan, datang ke kampung itu, mengajak orang ramai menyertai perniagaan hypermarketnya. Dengan syarat mereka mestilah mengeluarkan wang belanja kepada orang kaya itu sebagai kononnya modal perniagaan mereka. Peluang yang terbuka ini digenggam seeratnya oleh para pekerja kedai runcit itu. Maka berbondong-bondonglah mereka meletakkan jawatan sebagai pekerja kedai itu dan mengikut orang kaya yang menjanjikan kejayaan dan kekayaan dalam perniagaan baru mereka, sambil mulut mereka terkumat-kamit menghina tuan kedai runcit itu sebagai orang tua yang tidak tahu berniaga, bodoh, tak fikir untung, tiada wawasan dan sebagainya. Berhabis harta mereka mengeluarkan modal kepada orang kaya itu.

Yang tinggal ialah pekerja yang masih dedikasi, mempercayai perniagaan bukanlah hanya keuntungan sahaja, tetapi lebih utama tanggungjawab sosial yang wajib dilaksanakan. Apatah lagi keadaan penduduk kampung yang daif itu. Teruslah mereka bersama peruncit tua itu menjalankan perniagaan mereka seperti biasa. Dan tidaklah terjejas tugasan mereka kerana tidaklah sehebat mana mereka yang berhenti kerja itu walaupun mengaku pandai banyak hal. Akhirnya kedai runcit kecil itu semakin mendapat sambutan setelah orang kampung tidak mampu membeli di hypermarket itu kerana harganya sentiasa berubah-ubah dan dengan promosi palsu yang membingungkan mereka kerana pengurusan yang tidak betul.

Setelah setahun, kedai runcit yang kecil itu menerima kemasukan untung sebanyak lebih RM40,000 setahun, satu jumlah yang sangat besar bagi kedai runcit walaupun sudah meminimumkan untung dan walaupun puas difitnah oleh bekas pekerjanya dan juga orang kaya itu. Ini adalah kerana kepercayaan orang kampung. Dan sebaliknya, projek hypermarket yang menjanjikan keuntungan dan kekayaan tidak dimaklumkan berapakah jualannya kerana kerugian sentiasa. Bekas pekerja kedai runcit itu yang dahulunya berjanji akan membekalkan sebanyak 130 jenis barangan yang sama asli dengan kedai runcit itu kepada orang kampung, hanya mampu membekalkan 27 jenis barangan tiruan sahaja. Itupun dengan ihsan oleh orang kaya itu. Manakala barangan lain diambil oleh orang lain. Walaupun tidak berpuashati, tetapi sebagai kuli, mereka tidak mampu melawan. Apalagi dengan modal mereka masih bersama orang tua yang kaya itu. Mereka mendiamkan diri sahaja.

Setelah lama dan masih kerugian, maka sedikit demi sedikit kisah orang kaya itu tersebar. Rupa-rupanya orang kaya tua itu adalah seorang bekas penipu di kampung itu juga yang kini kembali aktif menipu. Namun begitu, dia masih meneruskan penipuannya dengan memberi jaminan yang dia sudah bertaubat dan menjanjikan keuntungan yang lebih jika dia dikekalkan sebagai pengurus perniagaan itu. Mereka mempercayai orang tua itu dan diadakan majlis melantik orang tua penipu itu sebagai pengurus besar mereka sekali lagi. Orang kaya penipu itupun menangis kegembiraan di atas kepercayaan orang ramai itu.

Begitulah secebis kisah rekaan yang mungkin boleh dijadikan teladan kepada rakyat bagi menilai pasukan manakah yang patut diberikan kepercayaan bagi menerajui rakyat. Cara scammer perniagaan atau politik menjalankan tipu daya mereka amatlah mudah dikesan. Orang yang mudah terpedaya ialah orang yang tamak dan gila harta sehinggakan menjadi seperti orang bodoh. Bodoh ditipu scammer perniagaan biasanya sekali sahaja atas seorang penipu kerana dia tahu orang ramai akan mengenali dia jika sekali lagi menipu. Tetapi bodoh orang politik yang tamak boleh jadi berganda kerana walaupun muka, tubuh dan otak yang sama oleh si penipu, mereka tetap menerima penipu yang sama itu berulang kali kerana janji kuasa. Selamatkan diri anda daripada menjadi mangsa kebodohan berganda.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
22 Rabiulakhir 1439/10 Januari 2018 - HARAKAHDAILY 10/1/2018

MENTERI ketika menjawab soalan saya di Dewan Rakyat pada 29 November 2017 yang lalu tentang kadar pengangguran di Malaysia menjawab bahawa ia pada kadar 3.5 peratus atau seramai 504,100 orang penganggur daripada jumlah guna tenaga negara seramai 14.67 juta orang. Statistik Jabatan Imigresen Malaysia pula setakat 30 Jun lalu menunjukkan seramai 1,781,598 pekerja asing sah berada di negara ini.

Setinggi mana pun prestasi ekonomi negara, soalan penting yang tetap perlu dijawab oleh Kerajaan adalah sejauh mana telah berjaya mewujudkan peluang pekerjaan dan mengatasi pengangguran.

Buktinya, menerusi kajian yang dilakukan oleh Agensi Penyelidikan Pasaran Global (IPSOS) terhadap 2027 orang responden berumur 15 hingga 64 tahun di negara ini, isu penggangguran tersenarai pada kedudukan ke-3 tertinggi dalam “Apa yang Merisaukan Malaysia” pada 2017.

Kaji Selidik yang dibuat oleh Astro AWANI juga menunjukkan isu penggangguran mendapat undi sebanyak 26% (kedudukan ke-2 tertinggi) daripada 3,638 orang responden.

Kerisauan awam ini bukanlah suatu persepsi semata-mata. Ia mempunyai asas yang kuat. Laporan Tahunan 2016 yang diterbitkan oleh Bank Negara Malaysia antaranya menyatakan :

(a) Pengangguran belia mencecah 10.7% pada tahun 2015 iaitu tiga kali lebih tinggi daripada kadar pengangguran negara sebanyak 3.1%.

(b) Pengangguran belia semakin meningkat dalam tempoh kebelakangan ini kerana kadar pengambilan pekerja yang menurun sejak akhir tahun 2014 disebabkan oleh sentimen perniagaan yang berhati-hati dan prestasi ekonomi yang makin sederhana.

(c) Kadar pengangguran dalam kalangan belia yang berpendidikan tinggi adalah lebih tinggi pada 15.3%, berbanding belia yang tidak berpendidikan tertiari iaitu 9.8%.

Paling menghairankan, saban tahun terutamanya semasa pembentangan Bajet, Kerajaan mengumumkan cecah puluh dan ratus ribu peluang pekerjaan baru diwujudkan. Namun, ia tetap tidak menyelesaikan isu pengangguran di negara ini, terutamanya dalam kalangan belia dan siswazah.

Ini menunjukkan masih terdapat masalah yang lebih asas dibiarkan tanpa pembetulan sehingga menjejaskan struktur dan ekosistem ekonomi di negara ini sehingga menatijahkan isu penggangguran ini terus berlarutan sehingga kini.

Oleh itu, saya menggesa Kerajaan supaya:

(a) Melihat kembali kewajaran lambakan pekerja asing sehingga menjangkau 1.7 juta orang sebagaimana stastistik yang saya kemukakan di atas termasuk yang berkemahiran tinggi.

(b) Memastikan jenis pekerjaan yang diwujudkan sepadan dengan pencapaian pendidikan tenaga kerja yang dibekalkan; termasuk dengan memberikan penempatan segera kepada golongan siswazah dalam profesion keguruan dan kedoktoran yang masih ramai menganggur sehingga kini.

(c) Menilai kembali sistem pendidikan bagi melahirkan insan berdikari dan berinovasi tinggi yang mampu "mencipta pekerjaan" selepas alam pengajian. Ia perlu menjadi sebahagian agenda pendidikan di peringkat menengah dan universiti.

(d) Menggalakkan lagi aktiviti kreatif dan inovasi sebagai sumber pertumbuhan juga merintis peluang kepada golongan belia untuk mencipta kerjaya dan pendapatan sendiri; bukan semata-mata menekankan kecekapan kos dan pergantungan pada tenaga kerja yang murah serta makan gaji.

(e ) Mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk sektor berkemahiran tinggi di samping pekerjaan berkemahiran rendah dan sederhana sebagai perangsang yang lebih berkesan ke arah menjadikan Malaysia sebagai negara maju.

(f) Memberdayakan lagi peluang kerjaya di bidang pertanian bersifat lebih kormesial dan keusahawanan dengan menyediakan kemudahan dan pasaran yang lebih kondusif. Dengan sumber bumi yang banyak dan tanah yang subur pertanian sewajarnya diberi ruang menjadi antara kerjaya pilihan siswazah dan belia.

Apabila Allah bercerita tentang pertanian dalam surah Yaasin ayat 33 dan 34, Allah menyebut:

لِيَأْكُلُوا مِنْ ثَمَرِهِ وَمَا عَمِلَتْهُ أَيْدِيهِمْ أَفَلا يَشْكُرُونَ

"Untuk mereka makan daripada hasilnya dan apa yang dikerjakan oleh tangan mereka, justeru, tidakkah mereka bersyukur?"

(g) Menyelesaikan kemelut ekonomi rakyat yang boleh memberi kesan kepada peluang pekerjaan dengan menghapuskan sistem percukaian GST yang menjadi sebab kenaikan inflasi dan memperkukuhkan lagi nilai mata wang negara.

Kerajaan juga digesa agar memberikan perhatian serius terhadap apa yang disuarakan oleh Presiden PAS mengenai perkara ini dalam artikel beliau bertajuk “Peluang Pekerjaan Atasi Pengangguran”. Antaranya:

(a) Kewajipan manusia yang berbeza ilmu dan kemahiran untuk saling bantu-membantu mengusahakan sumber yang disediakan oleh Allah bagi mencukupkan keperluan semua dan menambah pesat kemajuan.

(b) Pengurusan ekonomi dan pentadbiran negara berasaskan keimanan dan ketakwaan sehingga dikurniakan keberkatan yang mendatangkan faedah bagi kehidupan di dunia dan di akhirat.

(c) Penghapusan amalan monopoli dan kronisme kerana menjadi akibat ketidakseimbangan agihan ekonomi dalam kalangan rakyat.

“Sejahtera Bersama Islam”

DATO' DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
AJK PAS Pusat / Ahli Parlimen Kuala Nerus
Selasa 9 Januari 2018 | 21 Rabiulakhir 1439 – HARAKAHDAILY 9/1/2018

 

PAS tidak perlu tunjuk ajar DAP dalam menentukan hala tujunya. PAS mempunyai dasar yang jelas tanpa kompromi dengan pendekatan yang sesuai dengan keadaan masa dan ketika.
 
PAS komited dengan jalan demokrasi serta politik sihat dan konstruktif, menolak politik kombatif, melulu dan destruktif seperti diamalkan oleh DAP. Dalam menghadapi PRU 14, PAS bersedia menerima keputusan rakyat sama ada sebagai Pembangkang atau Kerajaan.
 
DAP boleh meneruskan dasar ‘chauvinistic’ dan sikap ‘pura-pura mesra-Islam’ yang tidak pernah berubah sebagai pendekatan dalam menghadapi PRU 14 nanti dan rakyat pasti boleh menilai sikap dan muslihat sebenar DAP yang memperalatkan siapa sahaja demi kuasa.
 
Saya menyeru Saudara Lim Guan Eng agar lebih prihatin dengan masalah dalaman DAP sendiri daripada cuba menghakimi PAS. Beliau patut sedar sepanjang penggal ini sahaja DAP telah kehilangan 8 MP/Adun, memecat seorang Adun dan bakal kehilangan beberapa lagi menjelang tamat penggal ini.
 
Saya yakin politik 'keanak-anakan' dan 'ala-gangster' DAP akan menyebabkan ia kehilangan bukan sahaja undi orang Melayu dan bukan-Cina, tetapi juga undi orang Cina. Pertelingkahan antara beberapa pimpinan DAP dengan pimpinan parti berteraskan kaum Cina yang lain adalah contoh klasik akan sikap itu.
 
Pemilihan CEC DAP November lalu adalah satu lagi bukti jelas akan situasi itu dengan kehadiran perwakilan hanya separuh daripada jumlah keseluruhan yang sepatutnya hadir. Sementara itu, undi yang diperolehi oleh para pemenang pula hanyalah lebih daripada separuh perwakilan dan ini menimbulkan tanda tanya tentang kesahihan demokratik atau tidaknya.
 
Saya hanya ingin memetik kenyataan yang pernah dibuat oleh bekas Adun DAP Jawi, Tan Beng Huat, tentang Lim Kit Siang dan suasana dalaman DAP untuk tatapan Saudara Lim Guan Eng iaitu;
 
“Lim Kit Siang is a dictator bent on building a political dynasty. He does not tolerate dissent similar to Dr. Mahathir who is only interested in ensuring his son ascend to power. They are one and the same, interested only in building their family dynasty and fulfill their political thirst”.
 
Terima kasih.
 
TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung PAS - HARAKAHDAILY 2/1/2017

MENGIMBAU kembali suasana negara khususnya hal berkaitan Negeri Terengganu, membuatkan saya merasa sedikit runsing. Melihat kepada keadaan ekonomi yang dikatakan semakin baik, tetapi rakyat semakin merintih. Terngiang-ngiang laungan yang kononnya meratapi kepedihan, kesengsaraan rakyat yang bergema secara berjemaah di PWTC bulan lalu, yang kemudiannya menjadi laungan “Gajah Putih”, sama seperti projek-projek yang mereka lakukan. Retorik di dalam dewan, tidak terlaksana di luar dewan.

mOHD nORAlhamdulillah, PAS sehingga kini menjadi semakin matang, semakin diminati rakyat walau dengan gangguan, usikan nakal dan kebencian yang tidak ke mana oleh musuh. Lebih 40,000 yang memohon menjadi ahli pada 2017, isyarat jelas, laluan yang dipilih PAS, dipercayai, diyakini dan disukai rakyat. Hanya Umno yang memimpin BN serta DAP yang mengepalai PH sahaja yang tidak keruan, terpaksa membohongi diri dan rakyat dengan ceritera dan sinetron wayang palsu mereka terhadap PAS.

Berkata PM, Datuk Seri Najib Razak, PAS adalah pembangkang yang baik berbanding sekutu pembangkang yang lain. Rasanya tidak perlu diwar-warkan itu, tiada perkara baharu kerana PAS sememangnya sentiasa menjadi pembangkang yang menegur, menentang, serta memberikan contoh kepada lawan mereka. Jika BN tidak mengambil cakna perkara agama, PAS menunjuki jalannya. Jika PH merasa senang dengan Mahathir, PAS menjauhi dan mengelak tipu daya orang yang banyak merosakkan negara dengan ‘fatwa-fatwa’ karutnya. Sehingga kini masih belum dia mengaku kesalahannya.

Namun hamburan pujian yang dilemparkan kepada PAS, ibarat mencurah air ke daun keladi, kerana sehingga kini walaupun rakyat telah memilih wakil mereka yang sah, BN tetap menafikan hak sebenar wakil rakyat pembangkang. Antara tanda cakap yang tidak serupa bikin lagi oleh BN ialah masih gagal menyediakan platform yang seadil-adilnya kepada semua parti yang bertembung di dalam PRU. BN masih mengambil kesempatan menggunakan segala kemudahan kerajaan bagi kemenangan mereka.

Tidak terhenti setakat itu sahaja, BN juga menekan, mengugut kakitangan yang menyokong pembangkang. Sedangkan ada jaminan persekutuan yang rakyat Malaysia bebas memilih parti mana yang mereka sokong sebagai tanda negara ini negara demokrasi. Di manakah kematangan BN dalam hal ini bagi rakyat mengadili mereka? Kematangan PH pula, bakal menghabiskan waktu kita sahaja untuk membincangkannya. Lupakanlah.

Jelas dan tuntas, PAS sebagaimana diakui semua kawan dan lawan, sedang menerajui politik matang yang bisa membawa kemakmuran bagi negara. PAS menegur dengan berhemah, marah beradab, melawan bersebab, menunjuk bertempat, gagah mengharungi 2017 dengan jayanya walaupun dengan ketiadaan sebahagian mereka yang merasa kononnya PAS akan rebah tanpa “kepandaian” mereka. PAS menyandarkan segalanya kepada Allah setelah berusaha. Kemudian apabila sudah diputuskan mengikut kehendak Allah dan rasul, kami akan istiqamah sebagaimana yang diperintahkan. Ramuan kejayaan kami ialah kami meminggirkan perkara remeh dan bekerja keras atas hal yang pokok dan dasar Islam.

2018 telah membuka tirainya. Pastinya PRU lah agenda utama seluruh rakyat Malaysia. Kita sudah nampak dan ketahui parti manakah yang akan mara ke depan. Dengan janji PAS dan Gagasan Sejahtera untuk bertanding sebanyak yang mungkin kerusi, insya Allah 130 kerusi parlimen, maka semestinya PAS menjadi pilihan rakyat setelah mereka menyaksikan kematangan parti-parti lain, hanyalah kosmetik yang akan pudar dan cair apabila matahari terik. Insya Allah PAS akan terus kekal dengan Islam. Semoga Allah melindungi PAS dan menjadikan PAS sebagai pemandu rakyat Malaysia ke jalan yang diredhai Allah.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
14 Rabiulakhir 1439 / 2 Januari 2018 – HARAKAHDAILY 2/1/2018

SAYA ingin mengajak saudara-saudari sekalian untuk mengimbau kembali sejarah hitam rakyat dan kerajaan Terengganu. Antara perkara yang melanggar undang-undang negara yang dilakukan oleh Umno ialah:

1. Umno jelas menafikan Kerajaan Terengganu pilihan rakyat 1999-2004:

Parti PAS yang dipilih secara sah iaitu melalui undang-undang negara yang diwartakan oleh Umno sendiri di parlimen melalui PRU ke-10. Secara mudahnya, parti yang mempunyai lebih kerusi dalam Dun berbanding lawan, adalah parti yang berhak membentuk kerajaan dan mendapat semua kemudahan kerajaan seperti yang termaktub di dalam perundangan negara.

Selang beberapa bulan selepas kekalahan mereka di Terengganu, mereka mengadakan Perhimpunan Agung Umno. Dan, masih diingati empunya badan yang mencadangkan kepada Presiden Umno di dalam perhimpunan itu, agar menarik royalti petroleum kepada kerajaan Terengganu yang sah ketika itu bagi mengganggu kerajaan negeri. Bayangkan, undang-undang negara, boleh diubah dalam perhimpunan agung mereka. Jelas perhimpunan itu adalah perhimpunan pengkhianatan kepada orang Terengganu yang majoritinya Melayu Islam.

Mereka memberi alasan bahawa kerajaan negeri tiada hak. Sedangkan apabila dikemukakan saman terhadap Petronas dan Kerajaan Pusat, tidak pernah pula mahkamah menolak saman tersebut menggunakan alasan kerajaan negeri tiada hak.

2. Umno cipta undang-undang langgar kedaulatan Terengganu

Bukti lain bahawa Umno merampas hak Kerajaan Terengganu ketika itu ialah, tidak berapa lama dahulu, Umno secara tergesa-gesa mewartakan pula Akta Laut 750 atas alasan darurat sudah lama berakhir. Tetapi yang jelas, ialah bagi merampas hak kepunyaan negeri-negeri ke atas segala hasil mashul yang berada tiga batu nautika di luar pantai negeri masing-masing. Jika benar royalti tidak perlu diberikan, atas alasan apa akta ini dipinda? Dan kemudian mereka menggunakan alasan akta baru ini pula bagi meyakinkan rakyat? Usul PAS untuk membincangkan isu ini di Dun, ditolak oleh Umno.

Khianat mereka belum terhenti. Bagi membuktikan kebenaran ini, Telaga Minyak Bertam telah menjadi saksi hidup yang masih boleh dilihat. Dengan pengesahan oleh syarikat yang melakukan kerja carigali bahawa Bertam terletak di dalam perairan Terengganu, ianya secara rasmi diserahkan oleh Perdana Menteri kepada Pahang. Soalan-soalan kami wakil pembangkang di dalam Dun untuk mengetahui status Bertam, tidak diberikan jawapan yang pasti. Di manakah lagi soalan berkenaan maruah negeri ini harus ditanya? Pengkhianatan oleh Umno menggadaikan secara bacul telaga minyak Bertam yang dianggarkan hasilnya sebanyak RM100 juta setahun jelas sekali.

3. Umno mengakui mereka perompak ehsan

Akhirnya, Umno mengakui mereka adalah perompak yang bukan sahaja merompak wang rakyat dari kerajaan yang sah, tetapi mereka juga cuba berbudi bahasa dengan memberikan wang rompakan itu secara ehsan kepada rakyat. Kini mereka bangun dengan suara yang lantang, mengalih perhatian rakyat dengan menuding jari kepada PAS. Malangnya rakyat tetap tahu bahawa Umno yang menghapus hak Terengganu mendapat lima peratus royalti.

Ketika Sarawak mendapat semakin banyak manafaat daripada royalti mereka, Umno Terengganu memilih sebaliknya. PAS tetap tegas mengatakan Umno pengkhianat rakyat Terengganu dengan menggadaikan royalti petroleum hak milik rakyat hasil daripada kebodohan (ini disebut oleh PM ketika itu, Tun Mahathir), kejahatan dan khianat pemimpin Umno di perhimpunan agung mereka. Ingatlah sekalian rakyat Terengganu, Umnolah punca Terengganu kehilangan maruah. Kepada Allah tempat kita mengadu. Wallahua’lam.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
27 Rabiulawwal 1439/16 Disember 2017 – HARAKAHDAILY 16/12/2017

FIRMAN Allah:

‎وَلَا تَهِنُوا۟ وَلَا تَحْزَنُوا۟ وَأَنتُمُ ٱلْأَعْلَوْنَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ

Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman. (Surah Ali Imran: 139)

Pengumuman Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang menukarkan status Baitul Maqdis kepada ibu negara Israel mengundang kemarahan dunia. Pengumuman tersebut dibuat beliau setelah amaran dunia tidak diendahkan beliau.

Dewan Muslimat PAS Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan biadap beliau. Dunia bakal menyaksikan kebangkitan besar-besaran umat Islam sebagai balasan terhadap tindakan angkuh Trump mengubah peta dunia.

Sesungguhnya Baitul Maqdis adalah hak orang Islam. Perjanjian damai yang dijanjikan terhadap konflik Palestin – Israel hingga kini dilihat semakin hampir kepada kegagalan malah kehancuran berterusan dijangka berlaku.

Justeru, kami menyeru semua umat Islam menyatakan solidariti ke atas Palestin. Marilah sama-sama kita hadir ke Himpunan Bantahan yang akan diadakan pada hari ini Jumaat 8 Disember 2017 di hadapan pekarangan kedutaan Amerika Syarikat.

Allah swt telah berfirman:

‎لا يحب الله الجهر بالسوء من القول إلا من ظلم وكان الله سميعا عليما

”Allah tidak suka seseorang mengatakan sesuatu yang buruk kepada seseorang dengan terang-terangan melainkan orang yang dizalimi maka dia boleh menceritakan kezaliman tersebut ; dan Allah itu Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.” (Surah an-Nisa, 148)

Ayuh rakyat Malaysia, kita berdiri teguh bersama Palestin. Baitul Maqdis perlu dipulangkan kepada umat Islam segera!

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
8 Disember 2017 / 19 Rabiul Awal 1439 – HARAKAHDAILY 8/12/2017

muslimat1

BUMI Palestin milik kita, Al Quds milik kita. Allah dengan segala kekuatannya bersama kita. Walau musuh berhimpun dengan segala kekuatan mereka untuk mengalahkan kita, mereka tak akan dapat melakukannya.

Donald Trump memilih untuk bermain api dengan dunia Islam. Nanti dia bakal rasa bagaimana panasnya kobaran api jihad yang menyala lantaran tindakan bodoh ini.

Tentunya Trump dan anak emasnya Israel akan terpaksa membayar harga yang mahal kerana apa yang mereka jual akan bakal dibeli oleh pejuang Al Qassam.

Al Quds kiblat pertama ummat Islam. Di sini tersematnya maruah dan harga diri ummat. Saudara kita di Palestin telah mempertahankannya dengan darah dan nyawa.

Dr AzmanMungkin kita tak seberani mereka untuk berhadapan dengan kereta kebal Israel bersenjatakan hanya batu-batu di tangan. Tapi tetap perlu ada bahagian kita dari kemuliaan jihad ini walau kita dipisahkan dengan luasnya lautan dan jarak yang jauh.

Isu Palestin adalah isu kita bersama. Isu semua manusia yang cintakan keamanan dan kedamaian. Isu manusia yang cintakan keadilan dan mempertahankan hak orang lain dari dicabuli.

Zionis Yahudi adalah pengganas dan inilah musuh sebenar kita. Di belakang mereka juga negara pengganas yang bertindak sebagai polis dunia. Siapa yang lebih ganas daripada mereka yang merampas bumi milik orang lain lalu bermaharajalela membunuh dan menindas.

Pengganas ini tak kenal bahasa diplomasi. Kerana itu tentera Allah di bumi Palestin telah mengajar mereka dengan bahasa peluru dan darah. Jihad ini akan berterusan sampai hari kiamat.

Dr Azman Ibrahim
AJK PAS Pusat – HARAKAHDAILY 8/12/2017

solidariti

PERTEMBUNGAN antara Islam dengan kelompok Yahudi adalah melalui denai sejarah yang panjang. Di zaman ar Rasul SAW, kelompok Yahudi Bani An Nadhir, Bani Qainuqa', Bani Quraizah telah mengkhianati baginda yang mulia, sehingga kemuncaknya berlaku peperangan Khaibar pada bulan Muharram tahun tujuh hijrah.

Di zaman moden kelompok Yahudi telah menubuhkan gerakan zionist pada tahun 1897 di Bassel, di mana 300 orang sarjana Yahudi yang dipimpin oleh Teodor Hezl telah mengagaskan matlamat dan nuansa kelompok Yahudi yang bercita-cita menguasai dunia. Matlamat mereka mewujudkan "The greater Israel", mereka ingin menjadikan Palestin sebagai pusat pemerintahan dan menguasai Baitul Maqdis.

Cita-cita ini didokong oleh Empayar Pax Britanica, British meluncurkan Perjanjian Balfour dan seterusnya Perjanjian Porthmouth. Khilafah Islam yang terakhir, khilafah Uthmaniah telah menjaga setiap inci tanah suci umat Islam ini dengan airmata dan darah. Peperangan antara Tentera British yang dipimpin oleh Sir Lord Allenby dengan tentera Islam Khilafah Uthmaniah telah menyaksikan kemenangan empayar British pada tahun 1917.

Cita-cita Zionist semakin terbuka dengan kemenangan Sekutu mereka, British dalam peperangan merebut tanah Palestin. Impian ini semakin terbentang luas untuk digapai apabila berlakunya kejatuhan Khilafah Uthmaniah pada Mac 1924. Gerakan Islam menjadi benteng paling hadapan menentang kewujudan negara Israel yang diimpikan oleh Zionist.

Sheikh Izzudin Al Qassam terbujur syahid pada tahun 1935 dalam perlawanan menentang British yang menjajah Palestin. Ikhwanul Muslimin yang dipimpin oleh Hasan al Banna telah menggerakkan kempen besar-besaran untuk menyelamatkan Palestin dan Baitul Maqdis. Kemuncaknya perang di Palestin pada tahun 1948 menyaksikan lebih 10 000 anggota-anggota Ikhwanul Muslimin bertempur di Tanah Suci ketiga umat Islam ini, sehingga mereka dikhianati oleh pemerintah Mesir (dipanggil pulang ke Mesir dan dipenjarakan).

Umat Islam Tanah Melayu dalam sejarahnya tidak menyepikan diri dalam isu bumi israk ini. Pada tahun 1935, Dr Burhanuddin al Helmy telah mendekam di penjara Palestin akibat menyertai bantahan terhadap British yang ingin mewujudkan sebuah negara haram kepada orang Yahudi di tanah Palestin. Almarhum sekali lagi di penjarakan oleh British di Singapura pada tahun 1937 kerana memprotes sikap British dalam isu Palestin dalam akhbar "Taman Bahagia".

Hizbul Muslimin, ormas yang bertujuan menentang British dan menegakkan pemerintahan Islam di Tanah Melayu juga dalam himpunan mereka di Maahad Ehya as Sharif Gunung Semanggol pada Mac 1948 telah mengemukakan usul menyelamatkan Palestin. Jawatankuasa menyelamatkan Palestin dipengerusikan oleh Dr Burhanuddin al Helmy, menyiapkan memo bantahan kepada PBB dan juga menjalankan kempen menyelamatkan Baitul Maqdis.

PAS semenjak ditubuhkan pada tahun 1951, sentiasa memberikan kesedaran kepada rakyat untuk peka akan nasib Palestin. Dr Burhanuddin al Helmi, sebagai ideologue PAS dalam tahun 50an dan 60an tidak pernah menyepikan isu Baitul Maqdis. Beliau menyebut dengan jelas dalam ucapan Dasar Yang DiPertua PAS, bagaimana kewujudan Israel adalah duri dalam daging kepada umat Islam di Asia Barat, bahkan kepada umat Islam di seluruh belahan dunia. Begitulah sejarah yang terakam dalam kepimpinan PAS, merasa berbahagi kepedihan dengan rakyat Palestin yang ditindas.

PAS menghantar pelbagai misi bantuan kepada umat Islam Palestin, mengadakan pelbagai seminar, wacana, diskusi intelektual, forum bagi menyelamatkan Palestin. HAMAS menjadi teman baik PAS semenjak ditubuhkan pada tahun 1987 oleh Sheikh Ahmad Yasin, diundang ke Ijtimak Alami yang diadakan di Rusila pada tahun 1988. Dalam Parlimen, ahli-ahli legislatif PAS mengemukan usul berkaitan nasib Palestin.

Krisis yang berlaku di Asia Barat adalah usaha jahat Amerika dan Zionis untuk melakarkan peta berdarah baru bagi menggantikan Perjanjian Sykes Picot 1916. Makar ini sebenarnya bagi menjamin keutuhan dan keselamatan negara haram Israel bagi menguasai sepenuhnya sumber tenaga "emas hitam", termasuk menguasai laluan strategik perairan dan juga udara, Obses dengan pelaburan dan monopoli pasaran Asia Barat.

Gerakan Islam jangan larut dengan pelbagai polemik dan intriq, hanya disibukkan dengan wacana kekuasaan. Antara tugasan besar mereka ialah mengembalikan semula Baitul Maqdis, memperjuangkannya dengan konsisten, termasuk melibatkan sama pelbagai jaringan sivil untuk sama-sama membebaskan tanah Palestin. - HARAKAHDAILY 7/12/2017

Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI.

FIRMAN Allah swt dalam surah al Ma'arij ayat 19-23,

إِنَّ الْإِنْسَانَ خُلِقَ هَلُوعًا . إِذَا مَسَّهُ الشَّرُّ جَزُوعً. وَإِذَا مَسَّهُ الْخَيْرُ مَنُوعًا . إِلَّا الْمُصَلِّينَ . الَّذِينَ هُمْ عَلَىٰ صَلَاتِهِمْ دَائِمُونَ

"Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut).Apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah. Dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut. Kecuali orang-orang yang mengerjakan sembahyang. Iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyangnya."

najhan1. Semakin hari semakin lancang dan celupar golongan Liberal menyerlah sikap sebenar mereka yang selama ini menyembunyi di sebalik topeng Islamik dan norma keadilan.

2. Mereka yang dilahirkan daripada dalam rahim kejahilan dan kebencian terhadap Islam menggunakan sepenuh jiwa dan akal mereka untuk menggagalkan dan menafikan fungsi Islam sebagai petunjuk dan penyelesai masalah serta karenah manusia.

3. Atas nama kebebasan akal dan berpendapat, tiada istilah sempadan dan pendinding displin terhadap kemuliaan al Quran dan Sunnah Nabi saw, mereka bersuara dan menulis bagaikan mereka melebihi ilmu Allah swt dan Nabi saw.

4. Ya, Islam tidak pernah menyekat akal dan kebijaksanaan manusia. Tetapi Islam adalah agama dipandu dengan wahyu dan bukannya akal. Keupayaan akal amatlah terbatas dan malah mampu tergelincir. Tidak sekadar itu, kegelinciran ini juga membawa padah kepada kerosakaan aqidah yang menjadi asas keimanan dan Islam dalam diri seorang Muslim.

5. Sekiranya akal digunakan seiring dengan wahyu, nescaya akal manusia akan mengkagumi dan menghormati keunggulan wahyu Allah swt.

6. Terbaru, isu Solat Berjamaah menjadi bahan sindiran dan kutukan seorang ahli politik DAP terhadap usaha dan ketetapan Pejabat Pendidikan Daerah Kuantan yang mewajibkan pelajar menunaikan solat zohor berjamaah di sekolah sebelum pulang ke rumah. Menurut Mohd Razali Mustafar Pegawai Pendidikan Daerah bahawa usaha ini bagi tujuan pembinaan karektor pelajar yang termasuk 5 dalam pembinaan kecemerlangan yang lain.

7. Sebenarnya rahsia solat berjamaah dan solat itu sendiri menjadi resepi utama kejayaan manusia. Menerusi solat, di mana ia bukan sekadar satu kewajiban ibadah seorang hamba kepada tuhanNya, tetapi kepada kewajiban Allah itu mengandungi 1001 hikmat yang membawa kebaikan kepada ahli solat itu sendiri.

8. Satu kajian penyelidikan yang dijalankan pada tahun 2009 oleh Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya yang diketuai oleh Prof. Dr Fatimah Ibrahim, Prof Dr Wan Abu Bakar Wan Abbas dan Ng Siew Cheok terhadap solat dari sudut saintifik.

9. Kajian berkenaan dilakukan untuk melihat kesan kepada komposisi tubuh badan dan kolestrol menerusi ibadat solat khas solat zohor berjamaah. Kajian turut melihat sistem jantung, kardiovaskular, gelombang otak ketika solat, kekuatan otot tubuh dan kekuatan kesihatan lelaki.

10. Kajian berkenaan dilakukan terhadap 47 orang berusia 18 hingga 28 tahun dengan kaedah komposisi tubuh badan manusia meliputi parameter Bioimpedance, kuantiti air intral selular, jisim sel badan, kadar lemak dan kolesterol dalam darah.

11. Beberapa hasil kajian yang memeranjatkan antaranya ialah mereka yang menunaikan solat secara sempurna mempunyai tahap kesihatan lebih baik berbanding yang tidak.

12. Hasil kajian menunjukkan juga bahawa kedudukan rukuk dan sujud memberikan kadar kerehatan yang sangat bagus kepada jantung.

13. Tambahan lagi, kedudukan sujud dalam solat mampu menghasilkan keadaan tenang dalam otak manusia dan memberikan tahap kestabilan mental dan emosi kepada ahli solat. Kajian itu juga menunjukkan bahawa solat menambah kadar penumpuan dan daya ingatan seseorang.

Maklumat tambahan mengenai hasil kajian, sila rujuk laporan khas di laman: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0730&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz50Usbr6Vz

14. Banyak lagi pendedahan hasil kajian tersebut berkenaan kelebihan solat dan solat berjamaah khasnya menurut saintifik. Ia jelas dan tidak perlu diragui lagi sebagai seorang beragama Islam, kita perlu mengakui kehebatan solat dan solat berjamaah yang dijadikan satu inisiatif dan yang pasti ia adalah inisiatif terbaik serta unggul bagi melahirkan insan hebat dari sudut mental dan fizikal yang didambakan pada setiap para murid dan pelajar kita.

15. Kalau sekiranya mereka mempertikaikan usaha kewajiban solat berjamaah ini dengan beranggapan ianya adalah isu agama yang tiada kaitan dengan pelajaran dan pembelajaran. Nah, kajian ini apa sebenarnya? Ini bukan sekadar kajian sembang kedai kopi, ini kajian saintifik dijalankan oleh ilmuwan berautoriti dan diiktiraf di peringkat pengajian tertinggi di universiti yang terulung dalam negara.

16. Dalam pendidikan, sudah kita sedia maklum bahawa sebahagian besar peraturan dan ketetapan kita wajibkan kepada para murid dan pelajar kita adalah kerana bertujuan didikan dan asuhan (tarbiyyah). Walaupun pada mata kasar kita sesuatu itu tidak diperlukan, tetapi dalam pendidikan ia sangat perlu.

17. Contohnya pemakaian seragam sekolah dan seumpamanya. Semuanya pada zahir tidak perlu, kerana ia tidak kaitan dengan pelajaran secara langsung dalam kelas dan bilik darjah. Tetapi kalau dilihat secara holistik dan mendalam, pemakaian seragam adalah bermatlamatkan displin dan kebersamaan yang melahirkan sikap "kerja pasukan" atau "team work". Ini juga penting dalam sistem pembelajaran. Kalau hendak dipertikai solat berjamaah, seharusnya pakaian seragam juga perlu dipertikaikan yang juga dianggap mengarut seperti sindiran mereka kepada solat berjamaah.

18. Sebagai umat Islam, kita wajib mengakui kehebatan Islam dan keunggulan hikmahnya yang terkandung dalam semua pengajaran sama ada menerusi suruhan berbentuk wajib mahupun sunat malah termasuk yang diharamkan sekalipun.

19. Keunggulan Islam diakui oleh para ilmuwan dan saintis pelbagai lapangan samada Muslim dan juga bukan Islam. Ramai saintis bukan Muslim memeluk Islam disebabkan dengan penemuan-penemuan yang memeranjatkan dunia sains dan membuka mata mereka lalu memperakui bahawa Islam bukan satu ajaran sembahan sahaja. Ia adalah satu cara hidup yang lengkap yang membawa kebaikan dunia dan akhirat.

20. Malang sekali, ada di kalangan kecil umat Islam dalam negara ini merasakan dirinya terlalu pandai, malah berasa lebih pandai daripada Allah swt sendiri sedangkan lidahnya mengaku sebagai Muslim.

21. PAS menyatakan sokongan yang penuh terhadap insiatif pihak berkenaan yang menetapkan solat berjamaah kepada para murid dan semoga usaha ini menghasilkan natijah yang baik kepada pelajaran dan didikan dalam Sistem persekolahan di negara ini.

"Sejahtera Bersama Islam"
"Memacu Negara Sejahtera"

Ustaz Muhammad Najhan Halim
Setiausaha Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor
7 Disember 2017 / 18 Rabiul Awwal 1439 – HARAKAHDAILY 7/12/2017