BULAN Ramadan, penghulu segala bulan, penuh keberkatan dan kerahmatan di dalamnya pasti akan terus dirindui oleh mereka yang beriman di saat Ramadan akan melabuhkan tirai dan disusuli bulan Syawal untuk diraikan. Maka, beruntunglah bagi mereka yang menghidupkan sebulan bulan Ramadan dengan penuh pengharapan menjadi hamba yang bertaqwa sebagaimana firman Allah S.W.T dalam surah Al-Baqarah, ayat 183.
 
Penulisan ini adalah antara inspirasi yang diperoleh daripada beberapa orang anak muda istiqamah dalam perjuangan Islam dan kehidupannya sehariannya melalui program Ziarah Kebajikan Ramadan 1440 baru-baru ini khusus bertemu anak muda seluruh Parlimen Tambun anjuran Lajnah Kebajikan  Pemuda PAS Kawasan Tambun. Moga-moga ianya boleh menjadi panduan kepada para pembaca khususnya anak muda dalam memastikan kita mendapat takwa dalam Ramadan dan meraikan Syawal dengan adab-adab Islam.
 
Pertamanya sebagai anak muda, Masjid dan Surau serta waktu solat dijadikan sandaran utama bagi mengatur kehidupan seharian. Tersentuh hati ini setelah melihat sendiri seorang anak muda, Mohd Firdaus Mohd Yusoff di Taman Perpaduan yang kurang upaya tetapi begitu rajin solat tarawih sepanjang Ramadan di Masjid atau Surau walaupun terpaksa berkerusi roda. Malah beliau berterima kasih kepada pengurusan Masjid atau Surau yang menyediakan kemudahan mesra OKU yang memudahkannya untuk beribadat. Justeru diharapkan semua pihak pentadbiran memberi perhatian penting terhadap kemudahan yang mencakupi keseluruhan kelompok masyarakat setempat. 
 
Ternyata Masjid atau Surau menjadi pusat sehenti masyarakat dalam mengeratkan silaturrahim dan saling berkongsi maklumat yang akhirnya menguntungkan rakyat keseluruhannya. Jika difahami dan dilaksanakan mengikut kehendak Islam, tidak timbul mereka 'menyalahgunakan' Masjid atau Surau dengan memberikan penghormatan lebih tinggi kepada bukan Muslim sedangkan para asatizah, para ilmuwan dikenakan pelbagai kecaman.
 
Amalan berziarah sememangnya menjadi budaya masyarakat Muslim menjelang perayaan atau hari-hari tertentu. Amalan ini selari dengan anjuran agama berdasarkan firman Allah S.W.T yang bermaksud: 
“Wahai manusia! Sesungguhnya, Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling kenal mengenali. Sesungguhnya, yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya. Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Teliti.”
(al-Hujurat: 13)
 
Keduanya, budaya ilmu mestilah terus disuburkan dalam diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Khususnya anak muda yang baru mendirikan rumahtangga hendaklah berusaha untuk menambahkan ilmu pengetahuan, mengamalkan dan seterusnya berkongsi ilmu dengan orang ramai. Mencontohi seorang anak muda, Zulhisham Ibrahim daripada Kampung Tengku Hussein Hujung yang ditemui baru-baru ini terpaksa menjaga ibunya yang sakit di rumah. Seketika beliau keluar bekerja, ibunya dihantar ke rumah kakaknya di Batu Gajah. Di sebalik kesukaran itu, beliau seringkali ada di Masjid atau Surau menghadiri kuliah dan kelas pengajian. Semoga beliau terus istiqamah dan dipermudah segala urusannya.
 
Dalam pada itu, anak muda juga terdedah kepada dunia hiburan yang semakin terbuka hari ini tatkala teknologi di hujung jari sahaja. Katakan tidak dan hindarilah daripada gejala hidonesme iaitu hiburan berlebihan sehingga merosakkan akhlak masyarakat dan generasi mendatang.
 
Sepatutnya pihak kerajaan melalui agensi berkaitan membuat garis panduan yang dikuatkuasakan sepenuhnya dan menjadikan Islam sebagai rujukannya. Rasulullah S.A.W tidak melarang untuk berhibur tetapi batasnya mesti dijaga. Ini penting kerana kegembiraan dan keceriaan Syawal diraikan dalam suasana harmoni dan tidak melampau yang melanggar syariat termasuklah tradisi rumah terbuka sehingga menyebabkan pembaziran.
 
Allah S.W.T berpesan menerusi firman-Nya yang bermaksud: 
“Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada segala yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang lagi nyata bagi kamu. Ia hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara yang keji serta (menyuruh) supaya kamu berkata (dusta) terhadap Allah, segala perkara yang tidak kamu ketahui (salah benarnya).” 
(al-Baqarah: 168-169)
 
Ketiganya, anak muda mestilah menjadi ejen perubah masyarakat dengan mengamalkan Islam secara menyeluruh bukannya hanya memilih sesuatu perkara tertentu yang dirasakan 'mudah' untuk kita sahaja. Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Baqarah, ayat 208: 
"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata."
 
Syawal bukan ketikanya untuk balas dendam terhadap Ramadan dengan makan berlebihan atau bermewahan malah lebih malang lagi kembali kepada keadaan yang menjadikan kita seolah-olah tidak pernah berada di bulan Ramadan. Saat ini sangat penting untuk terus kekal istiqamah dengan Islam, jangan leka dengan urusan yang tidak selari dengan Islam termasuklah terlalu fokus kepada 'mood' raya sehinggakan seolah-olah 'menghalau Ramadan pergi'. Walhal Ramadan tetap kekal ada sebaliknya kita yang belum tentu dapat bertemu lagi Ramadan pada tahun mendatang.
 
Sesungguhnya matlamat orang-orang mukmin adalah syurga Allah S.W.T. Oleh itu, persiapkan diri kita daripada sekarang khususnya di usia muda sebelum sampainya usia tua. Dari Ibnu Abbas, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: 
“Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa sihat sebelum sakit. Masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Masa mudamu sebelum datang masa tua dan Masa hidup sebelum tiba masa mati.” 
(Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)
 
Hadis ini adalah suatu peringatan penting dan tarbiyah terbaik buat kita lebih-lebih lagi anak-anak muda mestilah memanfaatkan sebaik mungkin kehidupan hari ini. Jika kita hanya melihat kerosakan yang berlaku tanpa mengambil tindakan sewajarnya untuk memulihkannya, sia-sialah masa depan kita. Ayuh anak muda sekalian, perkukuh iltizam dan tekad kita untuk menjadi tonggak utama perjuangan Islam hingga ke akhir hayat, InsyaAllah.
 
Salam Eidul Fitri 1440H/2019H
 
"Islam Memimpin"
"Sejahtera Bersama Islam"
 
HAFEZ SABRI
Exco Pemuda PAS Malaysia
Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Perak
Ketua Pemuda PAS Kawasan Tambun - HARAKAHDAILY 3/6/2019
IMG 20190603 WA0065

BAGI pengkaji karya-karya al-Mawardi (m. 1059M) dan Abu Yu'la (m. 1065M), pasti akan menemui nama tokoh yang menjadi rujukan kedua-dua pemikir politik Islam ini, iaitu Abu Ubaid al-Qassim. Abu Ubaid al-Qassim muncul sebagai seorang pemikir ekonomi politik yang terpenting dalam sejarah Islam sesudah Qadhi Abu Yusof (m. 779M). Jika Abu Yusof terkenal dengan kitab al-Kharaj berdasarkan Mazhan Hanbali, Abu Ubaid al-Qassim menghasilkan kitab al-Amwal berteraskan fiqh Mazhab Shafie. Ternyata pemikiran ekonomi politik Abu Ubaid al-Qassim bukan sahaja berpengaruh ke atas al-Mawardi dan Abu Yu'la, tetapi juga didukung oleh Ibnu Sina (m. 1037M) di dalam kitab as-Shifa'. Abu Ubaid al-Qassim boleh dikatakan pelopor sebenar teori kontrak sosial, sebelum ia diangkat oleh al-Mawardi dan Abu Yu'la, kemudiannya oleh Locke (m. 1704danM) dan Rousseau (m. 1778M). Bahkan, teori-teori ekonomi perdagangan beliau lebih terkehadapan berbanding teori Adam Smith (m. 1790M).

Abu Ubaid yang hidup pada awal zaman Daulah Abbasiyah terdorong oleh pembangunan negara yang pesat pada zaman Khalifah Harun ar-Rashid (786-808M), di mana Abu Ubaid pernah menjadi qadhi. Perhatian besar beliau adalah sistem pentadbiran kewangan negara, yang merupakan nadi terhadap kerajaan Islam. Berbeza dengan Qadhi Abu Yusof yang menekankan soal tanggungjawab negara melalui pengagihan ekonomi, Abu Ubaid yang lahir sembilan tahun sebelum kewafatan Abu Yusof, telah menghuraikan persoalan pengurusan dan pentadbiran kewangan negara Islam, sebagai panduan kepada Khalifah Harun ar-Rashid. Pemikiran Abu Ubaid ini kemudiannya mempengaruhi banyak karya kenegaraan Islam selepas itu, terutama yang berkaitan dengan tatakelola ekonomi negara. Bahkan, pada zaman kebangkitan Barat, para pemikir juga merujuk kepada karya Abu Ubaid.

Ketokohan Abu Ubaid

Abu Ubaid ialah al-Qassim bin Sallam bin Miskin bin Zaid al-Hawari al-Azdi al-Baghdadi. Beliau dilahirkan di Bahrain, Herat, sebuah kota di Khurasan, Afghanistan dalam tahun 154H / 770M. Bapanya berketurunan Byzantium dan menjadi maula suku Azad. Abu Ubaid belajar di Kufah, Bashrah dan Baghdad dalam pelbagai cabang ilmu Islam. Antara gurunya di Basrah ialah al-Asma'i (m. 828M), Abu Ubaydah (m. 825M) dan Abu Zaid al-Ansari (m. 831M), manakala di Kufah pula ialah Abu Amr as-Shaibani (m. 825M), al-Kisa'i (m. 805M) dan lain-lain. Kerana keilmuannya, Gabenor Thugur, Tsabit bin Nasr telah melantiknya sebagai qadhi di Tarsus, tetapi pada 219H, beliau telah berhijrah ke Mekah dan wafat di sana pada tahun 224H / 838M dalam usia 68 tahun.

Sebagai seorang pemikir besar, Abu Ubaid telah menghasilkan 20 karya dalam pelbagai bidang termasuk nahu, qawaid fiqh, fiqh, syair dan lain-lain. Antara karya beliau itu ialah Fadhail al-Quran, Kitab an-Nasikh wa al-Mansukh dan yang paling terkenal dan berpengaruh ialah Kitab al-Amwal. Kitab al-Amwal pada asasnya merangkumkan semua hal-hal pentadbiran ekonomi negara berdasarkan sunnah dan atsar, yang dibahaskan oleh beliau dalam kerangka pentadbiran semasa Daulah Abbasiyah dalam era Khalifah Harun ar-Rashid.

Kontrak sosial

Sebelum al-Mawardi dan Abu Yu'la membahaskan persoalan kontrak sosial di dalam karya-karya mereka, Abu Ubaid terlebih dahulu menyentuh tentangnya. 1000 tahun sebelum Rousseau (m. 1778) menulis tentang kontrak sosial ini, Abu Ubaid meletakkan pada bab pertama Kitab al-Amwal dengan tajuk Haqqul Imam 'ala Raiyyat, wa Haqqul Ra'iyyat ala al-Imam iaitu tentang tanggungjawab pemimpin ke atas rakyat dan tanggungjawab rakyat ke atas pemimpin. Ketika al-Mawardi dan Abu Yu'la masing-masing membahaskan hal ini dalam kitab Ahkam Sulthaniyah mereka, kedua-duanya mengakui menjadikan Kitab al-Amwal sebagai rujukan. At-Taftazani (m. 1390M) dan Ibnu Khaldun (m. 1406M) juga turut mengembangkan teori ini dalam karya mereka kemudiannya. Hal ini cukup untuk membuktikan bahawa teori kontrak sosial sebenarnya telah dipelopori oleh Abu Ubaid, terutama ketika membahaskan tentang prinsip pengurusan kewangan negara.

Kerangka pemikiran Abu Ubaid yang meletakkan agama pada kedudukan tertinggi dalam mengawal hubungan pemimpin dengan rakyat kemudiannya mempengaruhi pemikir Islam yang mengikutinya. Asas kontrak sosial adalah mudah, di mana pemimpin yang berwibawa dapat mewujudkan perpaduan rakyat, kemudian memberikan hak-hak rakyat terutama dalam agihan kekayaan negara, keadilan ekonomi dan jaminan keselamatan sosial. Abu Ubaid menekankan tanggungjawab negara terhadap penerima zakat, selain kebijaksaan pemerintah mengagihkan kekayaan negara, termasuk membenarkan iqta dan hima. Di pihak rakyat pula, mereka berkewajipan memberikan ketaatan, dukungan dan kesetiaan kepada pemerintah, termasuk membayar cukai dan zakat yang menjadi hasil negara.

Pentadbiran ekonomi negara

Abu Ubaid membahaskan tentang peranan Baitul Mal dan diwan-diwannya dalam pentadbiran negara sebagai pentadbir tunggal kewangan. Beliau membahagikan Baitul Mal kepada dua bahagian iaitu diwan waridat (jabatan hasil) dan diwan nafaqat (jabatan perbelanjaan. Menurut Abu Ubaid, pendapatan negara ada tiga sumber iaitu zakat dan sedeqah, khumus dan fai'. Seluruh hasil negara yang disatukan, perbelanjaannya ditentukan oleh khalifah. Beliau menolak penggunaan yang terhad kepada lapan asnaf, sebalik berpegang bahawa apa sahaja kepentingan negara dan umat, boleh dibelanjakan hasil zakat. Beliau juga bertegas bahawa hanya pemerintah yang boleh menerima zakat komoditi seperti ternakan, dan tidak boleh dibayar terus kepada penerima zakat.

Susun atur atau status sosial masyarakat pula ditentukan oleh status zakatnya, seperti berikut:

1. Orang kaya yang berzakat dan tidak berhak menerima zakat;

2. Golongan menengah yang tidak wajib membayar zakat tetapi tidak berhak menerima zakat; dan

3. Golongan penerima zakat yang tidak wajib berzakat, tetapi layak menerima zakat.

Beliau berpegang kepada perlunya peranan wang sebagai standard pertukaran. Beliau juga mengakui pemilikan peribadi dan mengakui adanya iqta dan hima. Iqta adalah tanah yang diberikan oleh pemerintah kepada seseorang rakyat untuk memproduktifkan tanah tersebut, sedangkan hima adalah padang rumput pengembalaan. Tetapi pemilikan ini akan kembali menjadi milik negara jika tiga tahun berturut-turut ia tidak diusahakan.

Tentang hak khalifah dalam perbelanjaan negara, Abu Ubaid menekankan soal keadilan sebagai prinsip utama, di mana khalifah boleh membuat dasar perbelanjaan selagi tidak bercanggah dengan syariat. Perbendaharaan negara mesti digunakan untuk kepentingan awam dan menghentikan diskriminasi, penindasan dalam percukaian dan menghentikan upaya penghindaran cukai.

Tentang fai', Abu Ubaid membezakan antara badwi (orang kampung) dan hadhari (orang bandar atau urban). Bagi menjamin keadilan, orang badwi yang tidak banyak menyumbang kepada ekonomi negara, akan diagihkan hasil fai' yang lebih kecil berbanding penduduk bandar yang mempunyai kontribusi yang lebih besar kepada ekonomi negara.

MOHD FADLI GHANI
Islamic Institute of Independent Research on Democracy (IIIRD) – HARAKAHDAILY 19/5/2019

SALAH seorang pendukung utama al-Farabi (m. 950M) dalam bidang falsafah ialah Ibnu Sina. Tokoh yang terkenal di Barat dengan panggilan 'Avicenna' ini lebih masyhur sebagai seorang bapa dalam ilmu perubatan dan kitabnya, al-Qanun fi al-Tibb adalah yang paling terkemuka dalam ilmu tersebut. Namun begitu, gagasan-gagasan falsafah beliau tentang kenegaraan belum banyak dikaji oleh para sarjana, kecuali beberapa orang sahaja seperti Dr Muhammad Yusof Musa (1952) dan Zainal Abidin Ahmad (1974). Seperti al-Farabi dengan gagasan al-Madinah al-Fadhilah, Ibnu Sina melalui karya falsafahnya turut mencanangkan gagasan-gagasan negara makmur dalam menghadapi konflik semasa yang berlaku.

fadli ghaniBerbeza dengan al-Farabi yang menjadi filosof di luar kerajaan, Ibnu Sina sebaliknya telah menjadi tenaga penting dalam pentadbiran negara. Beliau pernah menjadi menteri di Hama selama lima tahun dan perdana menteri untuk sembilan tahun, kemudian menjadi menteri lagi di Hamazan dan akhirnya menjadi penasihat utama raja di Isfahan sehingga beliau wafat. Dengan latar belakang ini, menjadikan beliau sebagai ahli falsafah yang berpolitik, sekali gus dapat mencurahkan idea-idea dalam karya-karya falsafah. Teori-teori politik beliau dipengaruhi dengan kuat oleh al-Farabi dan juga Plato.

Kehidupan beliau yang berlatar belakangkan Asia Tengah ternyata tidak melepaskan beliau dari konflik politik yang berlaku. Ayahnya seorang pembesar dalam kerajaan Samaniyah, lalu kegiatan Ibnu Sina sering dicemburui, lebih-lebih lagi keupayaan beliau menguasai ilmu agama dan ilmu kedoktoran, selain menghafal al-Quran. Ketika berusia 17 tahun, beliau difitnah membakar perpustakaan istana, sedangkan ketika menjadi menteri, beberapa kali beliau merengkok di penjara akibat fitnah dan persaingan kuasa. Latar belakang inilah yang memberikan ilham kepada Ibnu Sina untuk mengungkapkan gagasan negara adil makmur, yang pada prinsipnya adalah cantuman idea al-madinah al-fadhilah al-Farabi dan negara adil (just state/al-madinah al-adilah) Plato, yang dicantumkan dengan gagasan Ibnu Sina sendiri, al-madinah al-hasanah as-siirah (negara kebajikan). Bagi Ibnu Sina, negara Islam adalah kombinasi tiga bentuk madinah iaitu al-fadhilah, al-adilah dan al-hasanah.

Ibnu Sina sebagai filosof Muslim

Nama lengkap Ibnu Sina ialah Abu Ali Hussein bin Abdullah bin Sina, tetapi beliau dikenali sebagai Avicenna di Barat. Beliau lahir di Afsyanah, dekat Bukhara pada 980M / 370H, iaitu 30 tahun selepas kewafatan al-Farabi. Sejak berusia 10 tahun, beliau telah menghafal al-Quran dan mendalami ilmu, kemudian kedoktoran dan falsafah Aristotle. Pada usia 17 tahun, Ibnu Sina telah menjadi doktor di istana Hama. Selain Bukhara, Ibnu Sina pernah tinggal di Jarjan dan Hamazan, dan akhirnya di Isfahan. Beliau berkhidmat di istana sebagai doktor, menteri, perdana menteri dan penasihat utama pemerintah sehingga beliau wafat pada 1037M/438H di Isfahan.

Selain kerana kecemerlangan beliau sebagai ahli politik dan doktor, Ibnu Sina lebih terkenal sebagai seorang ahli falsafah sehingga digelar 'Guru Ketiga' selepas al-Kindi (m. 873M) dan al-Farabi (m. 950M), dan sering disebut sebagai as-Sheikh ar-Rais (ketua mahaguru) kerana kepakaran beliau yang tiada tolok banding dalam bidang kedoktoran dan falsafah. Beliau telah menghasilkan sekitar 250 karya tulis, tetapi yang paling terkenal ialah al-Qanun fi al-Tibb dalam bidang perubatan dan as-Shifa' dalam bidang falsafah. Dalam bidang politik, beliau menuliskan Risalah as-Siyasah, Fi lthabati an-Nubuwwah, al-Arzaq, dan Fi Aqlam al-Ulum al-Aqliyah, selain falsafah-falsafah politik yang dirakam di dalam as-Shifa'.

Konsep Nubuwwah: Asas falsafah politik Ibnu Sina

Ungkapan al-Farabi tentang kepemimpinan nubuwah telah mempengaruhi Ibnu Sina dalam pembentukan falsafah politiknya. Dalam memperkatakan tentang konflik politik yang dihadapi, Ibnu Sina secara falsafah membahaskan soal nubuwat atau kenabian yang menetapkan hukum, di mana pendengar hukum nabi itu ada dua, pertama yang 'banyak' dan kedua yang 'sedikit.' Yang sedikit itu adalah orang yang dipersiapkan secara semula jadi untuk memerhatikan (nazar) keadaan rakyat. Hikmah nazariyat (kebijaksanaan pemerhatian / teoritis) adalah berbeza dengan kebijaksanaan amali yang dilaksanakan oleh pemerintah berkait moral dan kebajikan awam untuk semua rakyat berkait kebahagiaan manusia, kesejahteraan dan pencapaian kesempurnaan. Bagi beliau, penekanan harus diberikan kepada pemerintah supaya mengutamakan kebijakan amali sebagai dasar undang-undang negara.

Ibnu Sina memberikan dua erti kepada nubuwah. Pertama, berkait kearifan teoritis manusia (nazar), yang memberi andaian bahawa tentang kedudukan kebijaksanaan teoritis dan falsafah. Kedua, berkait dengan peranan utusan-utusan hukum Allah. Falsafah amali perlu dilakukan dengan pemerintah mengajarkan kepada rakyat tentang ilmu politik yang beretika sebagai ilmu pengendalian atau tatakelola rumah tangga yang berasaskan wahyu.

Bagi Ibnu Sina, falsafah amali akan memperlihatkan kedudukan pemerintah itu sama ada baik atau jahat. Kebanyakan pemerintah mementingkan kesempurnaan teoritis seperti memotong tangan pencuri, tetapi tiada kebijaksanaan amali, iaitu seperti tidak melihat keadaan masyarakat dan permasalahan individu itu sendiri sehingga berlaku kecurian. Kebijakan teoritis sepatutnya berubah mengikut keadaan, dan sepatutnya pemerintah mempunyai keupayaan untuk memahami keadaan rakyatnya.

Dengan pemikiran yang jelas dipengaruhi oleh al-Farabi, Ibnu Sina bertegas bahawa ahli falsafah sepatutnya menjadi penegak hukum (pemerintah) sebenar, kerana mereka memiliki karakter kenabian (nubuwah), namun umat menghadapi masalah ketiadaan pemimpin yang bertaraf filosof. Oleh itu, pemimpin sekurang-kurangnya mestilah berilmu, cerdas dan faqih dalam agama, di mana pemimpin menjadi contoh kepada rakyat untuk mewujudkan masyarakat terpelajar dan beradab. Karakteristik kenabian ini sangat penting untuk menjadi pemimpin negara. Bagi Ibnu Sina, ciri khas kenabian ada tiga, iaitu (1) inspirasi kenabian dari kebijaksaan intelek yang aktif membawa nilai-nilai baru, berwawasan tinggi dan boleh berimiginasi dalam merungkai masalah, (2) 'wahyu' iaitu mampu mencapai kebenaran yang lebih tinggi, wisdom dan spiritual, dan (3) mempunyai keajaiban dalam membuat prediksi terhadap masa depan.

Secara mudah, Ibnu Sina sebenarnya menjelaskan, "Nabi Islam (Muhammad SAW) secara teguh mengajarkan dan mempraktiskan negara dengan prinsip-prinsip persamaan, persaudaraan dan kemerdekaan. Jalan yang sederhana dari hidupnya, telah diikuti oleh empat Khalifah (ar-Rasyidin), mempertunjukkan kecenderungan kepada penguasa, baik sosial atau ekonomi, supaya membimbing kepada kedudukan rakyat umum." Beliau menambah, "Khalifah sepatutnya memiliki sifat-sifat kebajikan yang terpuji, seperti keberanian, sederhana dan pemimpin yang jujur (husnu at-tadbir).

Teori al-Madinah al-Hasanah as-Siirah: Negara makmur adil

Penghuraian falsafah yang sangat mendalam tentang negara Islam oleh Ibnu Sina adalah lanjutan daripada pemikiran Plato dan al-Farabi sebelumnya. Beliau menerima teori-teori makhluk sosial dan pembinaan negara kota oleh Plato, Aristotle, al-Farabi dan Ibni Abi Rabi' sebelumnya, Tetapi gagasan negara Islam ideal yang dikemukakan oleh beliau sangat menekankan soal akhlak dan moral, iaitu isu yang sangat tajam permasalahannya dalam kerajaan Samaniyah dan Ghaznawiyah di Asia Tengah. Persaingan dan pergolakan politik itu didorong oleh perbuatan tidak bermoral dalam kalangan pemimpin kerajaan Samaniyah.

Maka dalam hal ini, Ibnu Sina menyebut tiga buah negara di dalam kitab as-Shifa', yang kemudiannya menggambarkan idea negara yang dicita-citakannya.

1. al-Madinah al-Fadhilah (negara utama) yang bercorak kemasyarakatan. Konsep ini telah diangkat oleh al-Farabi sebelumnya.

2. al-Madinah al-Adilah (negara adil) yang berpegang teguh dengan undang-undang dan menjunjung keadilan dalam semua aspek. Konsep ini pernah dikemukakan oleh Plato sebagai just state.

3. Ibnu Sina menggagaskan konsep baru iaitu al-Madinah al-Hasanah as-Siirah (negara bermoral) yang mendukung prinsip moral yang tinggi. Bukan sahaja seluruh rakyat berakhlak, tetapi juga pemimpin, masyarakat dan negara mesti tunduk kepada hukum moral yang tidak tertulis.

Bagi Ibnu Sina, negara Islam adalah negara fadhilah, adilah dan hasanah. Ibnu Sina turut mengemukakan beberapa konsep pengurusan kekayaan negara untuk menggambarkan kesatuan tiga konsep negara Islam tersebut, iaitu (1) maal musytarak iaitu harta kekayaan negara bersama, dan ia mesti digunakan untuk, (2) mashalih musytarakah iaitu kepentingan bersama. Dari sinilah lahirnya negara adil makmur atau disebut oleh Rosenthal sebagai Idealistic Islamic State.

MOHD FADLI GHANI
Islamic Institute of Independent Research on Democracy (IIIRD) – HARAKAHDAILY 16/5/2019

SEKETIKA selepas kewafatan al-Farabi (m. 950M), telah lahir seorang pemikir politik Islam yang baru, al-Mawardi pada 975M / 364H. Berbeza dengan al-Farabi yang terpaksa berhadapan dengan permulaan kemerosotan Daulah Abbasiyah, al-Mawardi ketika Bani Buwaih sudah menguasai negara, sejak era Khalifah ath-Thai (974-991M), serta munculnya dua khalifah lain iaitu al-Muiz li Diinillah (365-386H) dari Daulah Fatimiyah di Mesir dan Hisyam bin al-Hakam (366-399) dari Daulah Umayyah di Andalusia. Ketika ini juga telah muncul kerajaan-kerajaan baru seperti Samaniyah, Hamdaniyah, Zaidiyah, Uqailiyah dan lain-lain di seluruh wilayah Abbasiyah.

fadli ghaniDalam suasana politik yang agak berkecamuk inilah, al-Mawardi muncul sebagai tokoh yang penting di dalam Daulah Abbasiyah dan para sultan Bani Buwaih, khususnya pada zaman Khalifah al-Qadir Billah (991-1031M). Pada zaman Khalifah al-Qaim bi Amrillah (1031-1075M), al-Mawardi pernah berkrisis dengan Sultan Jalal ad-Daulah kerana permintaan raja Iraq itu pada 422H kepada khalifah untuk digelar Malik al-Muluk. Pengalaman-pengalaman ini telah membentuk sikapnya ketika menggagaskan pemikiran politik beliau dalam karya-karyanya. Namun begitu, beliau tetap mempunyai kedudukan yang tinggi dalam kerajaan selaku Aqdal Qudah (Qadhi Agung).

Ketika John Locke (1632-1704M) dan Rousseau (1712-1778M) mengemukakan teori kontrak sosial sebagai transaksi antara rakyat dan pemerintah dalam pembentukan negara, al-Mawardi (m. 1059M) sejak 600 tahun sebelumnya sudah memperkatakan tentang konsep kontrak sosial ini dalam karya-karyanya. Kemudian daripada keperluan manusia kepada masyarakat yang membentuk negara melalui kontrak sosial, al-Mawardi mengembangkan teori tujuan atau ahdaf negara, di mana negara yang dibangunkan adalah bertujuan untuk melaksanakan tugas-tugas kenabian dalam menjaga agama dan mentadbir urusan dengan agama. Ketika teori kontrak sosial diceduk oleh Locke dan Rousseau, mereka tidak mengambil teori tujuan negara yang disebutkan oleh al-Mawardi, dan dikembangkan kemudiannya oleh at-Taftazani (m. 1390M) dan Ibnu Khaldun (m. 1406M).

Al-Mawardi dan curahan pemikirannya

Al-Mawardi adalah seorang pemikir Islam yang terkenal dan merupakan tokoh yang sangat berpengaruh dalam Daulah Abbasiyah. Beliau dilahirkan pada 364H / 975M dengan nama Abu Hassan Ali bin Muhammad bin Habib al-Mawardi al-Bashri. Beliau yang dilahirkan di Bashrah ini telah mendapat sentuhan ilmu dengan Hassan bin Aliuhammad al-Jabali dalam bidang hadis, belajar fiqh dengan Qadhi Abul Qasim Wahid dan akhirnya berguru dengan Sheikh Abu Hamid Ahmad al-Isfirayni dalam bidang fiqh. Al-Mawardi pernah menjadi qadhi di beberapa kota, sebelum menjadi ketua qadhi (aqdal qadhi). Selain mengajar di Baghdad, al-Mawardi turut menjadi duta safir (keliling) bagi beberapa khalifah dan sultan, sehingga menjadikan beliau seorang penasihat yang sangat berpengaruh dan tegas dalam istana khalifah dan Sultan Bani Buwaih.

Sebagai seorang pengikut Mazhab Syafie, al-Mawardi menghasilkan banyak karya mengikut fiqh as-Syafieyah dalam pelbagai bidang terutama tentang kehakiman dan politik kenegaraan. Antara karya beliau yang terkenal ialah at-Tafsir, al-Hawi al-Kabir, al-Iqna', Adab al-Qadhi, A'lam an-Nubuwah, an-Hahw, Fi Amsal wa al-Hukm, Adab ad-Dunya wa ad-Din dan lain-lain. Dalam bidang politik kenegaraan, ada empat karya yang beliau hasilkan, iaitu Ahkam as-Sultaniyah, Nasihah al-Muluk, Tashil an-Nazhr wa Ta'jil az-Zhafr dan Qawanin al-Wazarah wa Siyasah al-Muluk. Daripada karya-karya beliau yang memperkatakan tentang dasar-dasar pemerintahan, undang-undang, struktur kerajaan, kekhalifahan, percukaian dan sebagainya ini, telah meletakkan al-Mawardi sebagai seorang pemikir politik Islam terbesar dalam sejarah. Kitabnya, Ahkam as-Sulthaniyah bahkan telah menjadi undang-undang umum Daulah Abbasiyah.

Makhluk sosial berkontrak

Al-Mawardi pada asasnya mendukung pemikiran Ibnu Abi Rabi' dan al-Farabi tentang kedudukan manusia sebagai makhluk sosial yang saling memerlukan. Beliau menegaskan bahawa Allah menciptakan manusia dalam keadaan lemah, sehingga manusia berhajat kepada orang lain. Tujuannya supaya manusia menyedari kebergantungan kepada Allah sebagai Pencipta, Pemberi Rezeki dan Pembuat Undang-undang, sehingga manusia taat kepada Allah dalam semua keadaan. Dalam masa manusia memerlukan manusia yang lain, kerana menyalurkan nikmat-Nya melalui manusia yang lain, sehingga manusia tidak menyombong diri.

Disebabkan oleh kelemahan-kelemahan yang bersilang ini, manusia memerlukan kelebihan yang dimiliki oleh orang lain, lalu mereka saling bantu-membantu sehingga akhirnya berdiri sebuah negara. Dalam kata lain, kerana hajat manusia terhadap keperluan-keperluan mereka, maka berdirilah negara. Al-Mawardi menggariskan enam perkara yang menjadi sendi utama negara, iaitu:

1. Agama yang dihayati. Agama diperlukan untuk mengawal hawa nafsu manusia, dan ia merupakan sendi utama negara;

2. Pemimpin yang berwibawa. Kewibawaan pemimpin akan menyatukan rakyatnya, membangunkan negara, memelihara agama, membangunkan ekonomi serta menjaga keselamatan dan kebajikan rakyat.

3. Keadilan yang menyeluruh. Semua pihak dalam negara diberikan keadilan. Pemimpin memberikan keadilan kepada rakyat, rakyat memberikan ketaatan dan kesetiaan, serta keadilan untuk yang sesama taraf;

4. Keamanan negara. Keamanan akan mententeramkan hati rakyat, kegiatan ekonomi berkembang dan inovasi berlaku;

5. Kemakmuran ekonomi di mana makan pakai rakyat mencukupi. Ia boleh mencegah konflik sosial dan melahirkan kedermawanan dalam kalangan rakyat; dan

6. Harapan terhadap kelangsungan hidup. Rakyat yang produktif dalam membina generasi baru sentiasa mempersiapkan seluruh infrastruktur untuk generasi mereka.

Daripada hajat terhadap semua keperluan inilah, maka manusia telah membentuk satu kontrak sosial untuk mengangkat pemerimtah dan membentuk sebuah negara. Pemimpin atau khalifah bertanggungjawab untuk menjaga agama dan memberikan kebajikan kepada rakyat, sedangkan rakyat mestilah memberikan ketaatan, mendukung dan memberi kesetiaan kepada khalifah.

Teori tujuan negara

Al-Mawardi adalah ilmuan yang pertama mengangkat teori tujuan negara dalam perbahasannya. Berbeza dengan Socrates (m. 399SM), Plato (m. 347SM) dan Aristotle (m. 322SM) yang merumuskan teori manusia sebagai makhluk sosial yang saling bergantung sehingga menubuhkan kota atau negara, al-Mawardi menganggap negara sebagai kedaulatan rakyat yang bercantum dari pergantungan antara satu sama lain, kemudian membentuk kontrak sosial. Dalam hal ini, al-Mawardi melangkah lebih jauh dengan membahas teori tujuan negara. Tidak seperti al-Farabi yang cuba melihat matlamat akhir negara adalah mencapai kebahagiaan (as-saadah), tetapi al-Mawardi membahaskan untuk apa negara ditubuhkan.

Dalam hal ini, al-Mawardi melihat khalifah adalah perpanjangan tangan nubuwah (kenabian). Negara atau kekhalifahan sebagai pelanjutan kepada tugas-tugas kenabian mempunyai dua tujuan utama, iaitu (1) memelihara agama, dan (2) mentadbir urusan dunia dengan berdasarkan agama Islam. Persoalan ini tugas asasi pemimpin (khalifah), selain sembilan lagi fungsi pemimpin negara yang akan diperincikan di bawah. Bagi al-Mawardi, untuk mencapai tujuan negara, pemimpin mestilah mempertahankan dan memelihara agama Islam menurut prinsip-prinsipnya yang telah ditetapkan, selain konsensus (ijmak) para ulamak. Secara mudah, teori tujuan negara yang dibahaskan oleh al-Mawardi adalah berada pada dua konsep dasar, iaitu (1) menjadikan aktiviti syariat sebagai urusan rasmi negara, dan (2) mewujudkan regulasi (aturan) aktiviti sosisl, ekonomi, politil, undang-undang dan ketenteraan mengikut dasar agama.

Dalam menerapkan syariat oleh negara, al-Mawardi berpandangan bahawa negara mesti mengendalikan urusan solat, zakat dan haji yang sebut sebagai wilayah al-imamah wa as-shalat, di mana urusan masjid, imam, muazzin menjadi tanggungjawab negara untuk semua solat. Begitu juga soal haji, perlu ada al-wilayah 'ala al-hajj. Berkait dengan peraturan masyarakat seperti ekonomi, politil dan sosial, perlu ada peraturan yang diwujudkan oleh negara. Al-Mawardi melihat perlunya dibentuk lembaga-lembaga negara (al-wilayat) dan menyusun aturan-aturan (ahkam). Objektif kepada perkara-perkara ini adalah untuk mencapai tujuan negara yang telah disebutkan itu.

Pemimpin: Syarat dan tanggungjawab

Persoalan imamah (kepemimpinan) menjadi topik yang penting dalam perbincangan al-Mawardi kerana ia adalah teras negara selepas agama. Menurut al-Mawardi, para ulamak berbeza pendapat tentang kewajipan menegakkan imamah itu berdasarkan syariat atau akal. Tetapi beliau menggariskan hal imamah ini dalam empat perkara utama:

1. Para pemilih (ahl al-ikhtiyar). Mereka bertanggungjawab memilih dan mengangkat pemimpin umat, dan mempunyai tiga syarat, (1) adil, (2) mempunyai pandangan yang luas terhadap siapa yang berhak diangkat, dan (3) bijaksana dalam memilih pemimpin yang tepat.

2. Syarat-syarat menjadi pemimpin. Calon imamah atau khalifah mestilah mempunyai tujuh syarat, iaitu (1) adil, (2) berilmu yang luas, (3) memiliki pancaindera yang sempurna, (4) anggota badan yang sempurna, (5) memiliki wawasan yang tajam, (6) berani, dan (7) berketurunan Quraisy.

3. Prosedur mengangkat pemimpin. Pemimpin boleh diangkat oleh ahl al-aqdi wa al-halli atau wasiat daripada khalifah sebelumnya.

4. Fungsi pemimpin negara adalah untuk (1) mempertahan dan memelihara agama, (2) memelihara hak rakyat dan hukum-hukum Allah, (3) menetapkan hukuman dalam semua persengketaan, (4) melindungi wilayah kekuasaan dan menjamin keamanan rakyat, (5) menerangi orang yang merosakkan Islam, (6) menyusun kekuatan pertahanan negara, (7) mengendalikan kutipan hasil kekayaan negara, (8) mengatur belanjawan negara dari Baitul Mal, (9) meletakkan para ulamak dan ahli hukum sebagai rujukan rasmi negara, dan (10) menjamin keperluan asas rakyat yang tidak dapat dipenuhi sendiri, lalu diadakan oleh negara.

Sistem pemerintahan negara

Oleh kerana keadaan pemerintahan negara telah kompleks, al-Mawardi membahaskan secara detail tentang sistem atau struktur pemerintahan negara. Secara umum, beliau meletakkan struktur negara pada empat perkara utama iaitu imamah (khalifah), wazarah (kementerian), imarat 'ala al-aqalim wa al-buldan (pentadbiran daerah), dan wazha'if ammah (jabatan umum). Keempat-empat bahagian ini mempunyai yang tersendiri dalam pentadbiran negara, tetapi berada di bawah kawalan khalifah sebagai ketua negara. Al-Mawardi menggaris prinsip-prinsip utama dan keperluan kepada setiap jabatan tersebut besertakan aturan-aturannya.

Bagi jawatan khalifah sebagai pengganti nabi, dia bertanggungjawab untuk memelihara agama dan mentadbir dunia dengan agama. Khalifah dipilih berdasarkan kaedah memilih pemimpin yang telah disebutkan berdasarkan syarat-syarat yang ketat. Tanggungjawabnya untuk menjalankan 10 perkara tersebut. Kewibawaan khalifah sangat penting untuk menguruskan dunia, dan hal ini telah dibahas oleh al-Mawardi di dalam kitab Adab ad-Dunya wa ad-Diin. Kata al-Mawardi, "Jika khalifah bertindak zalim, tidak akan ada seorang pun yang akan berlaku adil dalam perlaksanaan undang-undang, sebaliknya jika khalifah berlaku adil, tidak akan ada seorang pun yang berani berbuat zalim. Inilah pengaruh sultan dalam urusan-urusan dunia."

Kemudian al-Mawardi menggariskan tentang fungsi wazarah yang terbahagi dua iaitu (1) wazir tafwidh dan (2) wazir tanfiz.' Seorang wazir (menteri) menurut al-Mawardi mesti berpegang teguh pada agama, kebenaran, keadilan dan kebaikan. Mereka mesti menepati janji dan takutkan ancaman Allah. Wazir tafwidh adalah turut bertanggungjawab terhadap pembuatan dasar-dasar negara, sedangkan wazir tanfiz adalah dalam hal perlaksanaan dasar negara. Syarat menjadi menteri atau wazir tafwidh adalah sama seperti khalifah, kecuali tidak perlu berketurunan Quraisy.

Pentadbiran daerah pula adalah tentang kepala daerah atau gabenor yang bersifat khusus dan umum. Yang umum terbahagi dua iaitu imarah istikfa, yang dilantik atau dipilih oleh khalifah, serta imarah istila', yang mendapat jawatan secara kekuatan atau perebutan. Setiap amir (gabenor) di daerah mempunyai tugas-tugas yang digariskan dengan jelas oleh al-Mawardi. Kemudian al-Mawardi menggariskan kewujudan dan fungsi jabatan-jabatan umum iaitu imarah al-jihad (jabatan tentera), wilayah al-qadha' (lembaga kehakiman), mahkamah rayuan, jabatan ketertiban umum (al-hisbah) dan juga mazhalim. Secara umum, ia menggambarkan ketersusunan sistem negara dalam pemikiran al-Mawardi.

MOHD FADLI GHANI
Islamic Institute of Independent Research on Democracy (IIIRD) – HARAKAHDAILY 15/5/2019

PADA akhir era Ibnu Abi Rabi (m. 885M) dan Ibnu Qutaibah (m. 889M), di Asia Tengah telah lahir seorang tokoh pemikir falsafah Islam yang tersebar, iaitu al-Farabi. Beliau dikenali sebagai Muallim as-Tsani atau 'Guru Kedua', kerana beliau adalah ahli falsafah kedua terbesar selepas Plato (m. 357SM), juga guru falsafah kedua dalam tamadun Islam selepas al-Kindi (m. 873M). Al-Farabi mencipta nama sebagai seorang filosof yang tidak terlibat dalam dunia politik, berbeza dengan Ibnu Sina (m. 1037M), tetapi membahaskan persoalan falsafah politik yang sangat penting, khususnya dalam menggagaskan konsep negara ideal.

fadli ghaniAl-Farabi (870-950M) hidup di Baghdad ketika Daulah Abbasiyah sedang menghadapi krisis politik akibat kelemahan para khalifahnya. Beliau yang menyaksikan konflik dalaman istana, perang saudara dan perpecahan daulah, telah merumuskan secara falsafah gagasan untuk membentuk sebuah negara sempurna dengan gagasan al-Madinah al-Fadhilah, yang secara sinisnya mahu merungkai konflik politik yang sedang melanda dewasa itu. Al-Farabi memandang dari sudut falsafah bagaimana baiknya seseorang itu apakala baik hati ( qalbu)nya, begitulah baiknya sebuah kerajaan apakala baik pemimpinnya.

Al-Farabi: Latar belakang dan karyanya

Al-Farabi dilahirkan di Farab, Transoxiana (Asia Tengah) pada 850M. Ayahnya seorang panglima tentera Turki berbangsa Parsi, tetapi ibunya berbangsa Turki. Nama sebenar beliau ialah Abu Nasr Muhamad bin Muhamad bin Tarkhan bin Awzalagh al-Farabi. Beliau lahir pada zaman Khalifah al-Mu'tamid Alallah (m. 892M) dan hidup dibawah sembilan orang khalifah berakhir dengan al-Muthi' (m. 974). Pada zamannya, terutama mulai zaman al-Qahir (m. 934M), keadaan Daulah Abbasiyah sangat tidak menentu kerana kezaliman, penindasan, perperangan dan perpecahan yang berlaku. Selepas meninggalkan Baghdad, al-Farabi tinggal di Damsyik di bawah Sayful Dawlah al-Hamdani, seorang raja yang mencintai ilmu. Tokoh yang menguasai bahasa Arab, Turki, Parsi dan Kurdis ini meninggal di Damsyik dalam tahun 950M.

Al-Farabi telah berhijrah dari Farab ke Baghdad untuk mempelajari falsafah, sebelum ke Mesir dan Damsyik. Sebelum ke Baghdad, beliau telah mendalami ilmu agama sehingga dilantik menjadi Qadhi Farab. Guru falsafahnya di Baghdad, Abu Bisy Matta bin Yunus dan Yuhana bin Haylan adalah beragama Nasrani. Beliau membaca karya-karya Aristotle seperti De Anima dan Physics ratusan kali. Di Damsyik beliau digelar Muallim as-Tsani dan menjadi salah seorang ahli dalam muzakarah ilmu Sayful Dawlah al-Hamdani (m. 967M). Ketika berada di Mesir, beliau menuliskan karya terbesarnya, al-Madinah al-Fadhilah, sedangkan keseluruhan karyanya berjumlah lebih 100 buah. Dalam bidang politik dan akhlak, beliau menghasilkan 14 buah kitab. Antara karya politik beliau yang lain ialah as-Siyasah al-Madinah dan Tashil as-Saadah.

Asal mula negara dan teori organik al-Farabi

Al-Farabi pada asasnya mendukung fikiran Plato dan Ibnu Abi Rabi' tentang teori masyarakat dalam pembinaan negara dan kota. Disebabkan saling memerlukan dan saling membantu itu, akhirnya berdiri sebuah negara. Bagi al-Farabi, manusia berbeza antara satu sama lain, antaranta dipengaruhi oleh keadaan geografi. Kepelbagaian ini kemudiannya bercantum dalam satu sistem yang sama, disebut negara. Negara yang baik adalah yang boleh menyatukan kepelbagaian ini, dengan menuju kepada satu matlamat yang sama, iaitu kebahagian (happiness).

Dalam pembentukan masyarakat ini, ada masyarakat yang sempurna dan yang tidak sempurna. Masyarakat tidak sempurna itu ialah masyarakat desa dan luar bandar atau pada tahap keluarga. Sedangkan masyarakat kota, negara dan ummah yang bergabung untuk melengkapi antara satu dan lain menjadi masyarakat sempurna. Masyarakat sempurna ada tiga tahap iaitu kecil (kota), sederhana (negara) dan besar (umat). Masyarakat sempurna besar adalah gabungan masyarakat sempurna kecil dan sederhana untuk saling membantu dan melengkapi. Masyarakat sempurna itu merupakan masyarakat politik yang terbaik dan unggul.

Al-Farabi mengungkapkan negara dengan teori organik di mana, negara dianalogikan seperti sebatang tubuh manusia yang sihat. Setiap organ tubuh manusia mempunyai fungsi masing-masing yang berbeza, dan mereka bekerja mengikut tugas masing-masing yang tidak sama. Organ yang paling penting ialah hati ( qalb) kerana ia menjadi pemimpin, sedangkan anggota lain menjadi pelaksana kepada arahan hati. Negara juga melalui proses yang sama, di mana rakyat akan melaksanakan tugas yang diarahkan oleh ketua negaranya. Dalam hal ini, baik tubuh manusia atau negara, setiap satunya mempunyai kelas sosial tersendiri, seperti ketua negara, para wazir, tentera dan petani, serta rakyat jelata.

Klasifikasi negara

Al-Farabi membahagikan negara kepada lima jenis, di mana pada setiap jenis ini diukur pada apakah tujuan atau matlamat negaranya, kemudian bagaimana kesan terhadap kehidupan rakyatnya. Negara jenis yang pertama adalah negara yang ideal, manakala empat jenis lagi adalah negara yang bertentangan dengan negara ideal. Lima jenis negara itu ialah:

1. Al-Madinah al-Fadhilah, negara ideal yang mempunyai matlamat untuk mencapai kebahagiaan (as-saadah/happiness);

2. Al-Madina al-Jahilah, negara bodoh. Negara yang rakyatnya tidak mengetahui kebahagiaan sebenar (as-saadah). Mereka hanya tahu kebaikan (khairat), iaitu kebaikan zahir sahaja seperti pembangunan, hiburan dan harta sahaja.

3. Al-Madinah al-Faasiqah, negara jahat. Negara yang mengetahui tentang as-saadah, tetapi mengamalkan perbuatan negara bodoh.

4. Al-Madinah al-Mubaddilah, negara menyeleweng. Iaitu negara ideal yang telah bertukar menjadi negara fasik.

5. Al-Madinah ad-Dallah, negara sesat. Iaitu negara yang mengetahui tentang as-saadah, tetapi tidak beramal dengannya, lalu ia sesat.

Dalam konteks negara bodoh (al-Madinah al-Jahilah), al-Farabi membahagikan negara ni kepada beberapa jenis iaitu:
(1) al-madinah ad-dharuriyah, iaitu negara yang penduduknya hanya mahukan makan, tempat tinggal, pakaian dan keperluas asas yang lain sahaja.
(2) al-madinah al-baddalah, negara kapitalis di mana rakyat hanya berfikir tentang harta, kekayaan, pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sahaja.
(3) al-madinah al-khissah wa as-suqut, iaitu negara keinginan dan kemegahan, di mana rakyatnya hanya mahu keseronokan hidup dan berfoya-foya sahaja.
(4) al-madinah al-karamah, iaitu negara kemuliaan, di mana rakyat hanya mahu gelaran kebesaran dan penghormatan sahaja.
(5) al-madinah at-taghallub, negara imperialis, di mana rakyatnya suka melakukan kezaliman ke atas orang lain, dan
(6) al-madinah al-jama'iyah, negara anakri di mana rakyatnya mahukan kebebasan tanpa sekatan.

al-Madinah al-Fadilah

Menurut al-Farabi, negara ideal atau al-madinah al-fadhilah mempunyai tiga ciri asas, iaitu struktur kerajaan yang cekap, matlamat negara yang jelas dan ummah (rakyat) yang mempunyai ideologi. Bagi al-Farabi, struktur kerajaan yang baik adalah sama seperti struktur tubuh manusia, di mana ia mesti dipimpin oleh seorang 'insan kamil' sebagai ketua ( ar-rais), seperti hati ( qalb) bagi tubuh manusia. Para wazir, pegawai dan rakyat sebagai anggota negara pula akan memainkan peranan dan fungsi masing-masing mengikut arahan pemimpin mereka.

Tetapi yang lebih penting bagi al-Farabi ialah matlamat atau tujuan negara. Sekiranya sesebuah negara mempunyai tujuan yang salah, ia akan menyebabkan negara itu menjadi negara yang bertentangan dengan negara ideal, seperti negara bodoh atau negara fasik. Tujuan sebenar negara adalah kebahagiaan di dunia dan akhirat (as-saadah). Negara-negara yang bertentangan dengan negara ideal hanya meletakkan matlamatnya untuk keseronokan, kemewahan dan kemasyhuran di dunia sahaja, kemudian mereka tidak mencapai kebahagiaan tersebut. Negara yang meletakkan akhirat sebagai matlamatnya, akan mematuhi hukum-hukum Allah, lalu mereka berbahagia di dunia dan akhirat.

Ummah atau rakyat yang memiliki ideologi atau gagasan pemikiran (araa') sangat penting, kerana ia menentukan apakah yang hendak dicapai oleh negara. Rakyat yang mempunyai gagasan pemikiran, akan merumuskan hasrat untuk mereka capai, kemudisn disusuli oleh usaha dan ikhtiar oleh negara bagi menyempurnakan hidup mereka di dunia. Ideologi, sikap, sifat dan amalan ummah akan menentukan sama ada mereka dapat mencapai as-saadah atau sebaliknya. Dalam hal ini, persoalan tanggungjawab negara untuk membina ummah yang 'berakal' sangat penting melalui sistem pendidikan dan sebagainya, terutama untuk melahirkan para ulamak, cendikiawan, ahli falsafah, pemikir dan intelektual yang berfungsi membina araa' ummah.

As-Saadah dan Kepemimpinan nubuwah

Konsep kebahagiaan atau happiness yang disebut sebagai as-saadah menjadi bahagian yang paling penting dalam kehidupan di sesebuah negara, kerana ia adalah matlamat akhir yang hendak dicapai. Al-Farabi menghuraikan hal ini di bawah tajuk al-Qawl fi al-Farq Bayna al-Iradah wa al-Ikhtiyar wa fi as-Saadah, di dalam al-Madinah al-Fadhilah nya. Al-Farabi mengatakan as-saadah ini sebagai “sesuatu yang terbaik yang dituntut oleh setiap manusia kerana
kebahagiaan (as-saadah) itu sendiri. Tidak ada selain daripadanya lagi untuk dicapai oleh manusia sepanjang masa dan juga tidak ada sesuatu di belakangnya (yang mahu dicapai oleh manusia) terlebih besar dari kebahagiaan itu sendiri.”

Kebahagian yang dimaksudkan oleh al-Farabi adalah kebahagiaan yang meliputi jasmani dan rohani, lahir dan batin, mundane and celestial, iaitu untuk dunia dan akhirat. Ia menjadi kebaikan tertinggi yang mahu dicapai oleh manusia secara mutlak. Negara ideal menjadi wasilah dalam mencapai kesempurnaan dan kebahagiaan tersebut. Negara yang mahu memberikan kebahagiaan kepada rakyatnya dengan memastikan rakyat taat kepada Allah dan kerajaan melaksanakan hukum-hukum Allah sepenuhnya, termasuk memberikan keadilan kepada rakyat.

Tentang pemimpin utama negara, al-Farabi mengatakan negara mesti dipimpin oleh insan kamil (manusia sempurna). Konsep ar-rais (ketua atau kepala negara) yang diungkapkan oleh al-Farabi dianggap sebagai penentu negara ideal kerana seluruh jentera negara bergerak dan bekerja mengikut arahannya. Manusia pada asasnya memerlukan pemimpin dalam kehidupan bermasyarakat. Al-Farabi melihat bahawa pemimpin mestilah insan kamil (manusia sempurna) dari segi mental, spiritual, fizikal dan moralnya. Ia sangat penting dalam mencapai tujuan kebahagiaan (as-saadah). Persoalan pemikiran, kecendikiawanan dan keilmuan ketua yang mengatasi rakyatnya akan membolehkan berlakunya proses mendidik rakyat melalui peranan sebagai guru (muallim) dan pembimbing (mursyid). Dalam hal ini, al-Farabi membawa teori kenabian (nubuwah) untuk mengaitkan peri penting insan kamil sebagai ketua negara. Seorang ketua mestilah mempunyai kekuatan daya fikir yang tinggi, seperti nabi-nabi yang menerima wahyu.

Secara umum, al-Farabi meletakkan 12 syarat menjadi ketua negara ideal dalam ringkasan di bawah:

i. Sempurna anggota badan untuk menjalankan tugas kepemimpinan;

ii. Baik dari kefahaman, ingatan (hafalan), bijaksana dan cerdik, dapat membuat penjelasan dengan baik, minat terhadap ilmu, mudah menerima ilmu dan tidak penat menimba ilmu;

iii. Tidak bersikap berlebihan dalam hal makan minum dan seks;

iv. Cintakan kebenaran dan menolak pembohongan;

v. Berjiwa besar dan berhemah tinggi;

vi. Tidak berminat mengumpulkan harta dan kekayaan;

vii. Prokeadilan dan antikezaliman dan penindasan, sukar dipengaruhi oleh perkara buruk, mudah diajak kepada kebaikan dan keadilan; dan

viii. Mempunyai keazaman yang kuat dan berani terhadap sesuatu keperluan.

MOHD FADLI GHANI
Islamic Institute of Independent Research on Democracy (IIIIRD) – HARAKAHDAILY 12/5/2019

TEORI pembinaan dan pembentukan negara telah diperkatakan oleh Plato (429-347SM) dan juga Aristotle (384-333SM), di mana menurut Plato manusia sebagai makhluk sosial tidak boleh hidup bersendirian, sebaliknya mereka memerlukan orang lain untuk memenuhi keperluannya. Dua faktor ini, menurut ahli falsafah Yunani itu, menyebabkan berdirinya negara. Tetapi teori asas Plato dan Aristotle itu disanggah oleh Ibnu Abi Rabi' di mana menurut beliau, bahawa Allah menciptakan tabiat bagi manusia yang cenderung bermasyarakat, kemudian Allah menetapkan peraturan hidup (syariat) melalui kitab suci.

Pemikiran baru yang dibawa oleh Ibnu Abi Rabi' iaitu memasukkan unsur agama kepada teori negara, telah menganjak pemikiran lama yang menganggap kemasyarakatan itu wujud secara spontan, semata-mata kerana keperluan dan kebergantungan antara satu sama lain. Sedangkan dalam teori kenegaraan Islam, Ibnu Abi Rabi' secara jelas mempertegaskan tentang peranan Tuhan ke atas negara, termasuk dalam menentukan fitrah manusia untuk bermasyarakat, dan yang lebih penting Allah menurunkan wahyu dan nabi-nabi untuk membimbing manusia melalui pemimpin-pemimpin yang dilantik oleh Allah. Para pemimpin wajib melaksanakan hukum-hukum Allah dalam memastikan ketertiban kehidupan bernegara.

Ibnu Abi Rabi' dan penerokaan karya politik terawal

Haji Khalifah (m. 1086M) mencatatkan bahawa Ibnu Abi Rabi' ialah seorang sarjana Islam yang memiliki nama asalnya, Syihabuddin Ahmad bin Muhammad bin Abi Rabi'. Tentang tarikh lahir dan zaman kehidupannya masih diperbahaskan. Walaupun ramai sarjana yang berpegang bahawa beliau hidup pada zaman Khalifah al-Mu'tashim Billah, putera Harun ar-Rashid, tetapi ada pendapat orientalis yang mengatakan beliau hidup pada zaman al-Musta'shim (m. 1258M), khalifah terakhir di Baghdad. Ibnu Abi Rabi' dicatatkan mati pada tahun 273H / 885M. Karya yang ditulis oleh beliau, disebutkan bertujuan untuk dipersembahkan kepada Khalifah al-Mu'tashim Billah sebagai panduan memerintah negara.

Karya agung beliau, Suluk al-Malik fi Tadbir al-Mamalik yang menggariskan perilaku para raja dalam menguruskan negara, dikatakan karya pertama dalam sejarah Islam yang menggariskan peraturan kenegaraaan Islam secara khusus. Tulisan-tulisan lebih awal seperti al-Kharaj tulisan Qadhi Abu Yusof adalah kitab fiqh ekonomi yang bernuansa politik, tetapi Suluk al-Malik adalah secara khusus membahaskan tentang teori negara. Kitab ini terbahagi kepada empat bahagian iaitu muqaddimah, prinsip etika, pelbagai perbuatan rasional dan peraturannya, serta bahagian-bahagian dan prinsip politik. Ramai pengkaji Barat menganggap corak perbincangan kitab ini mendahului zaman, sehingga mereka meragui tentang zaman hidupnya Ibnu Abi Rabi'.

Teori pembinaan negara dan kota

Ibnu Abi Rabi' berpegang bahawa pergantungan sesama manusia dalam memenuhi keperluan mereka mendorong kepada berdirinya negara atau kota. Bagi beliau keperluan asas manusia ada lima iaitu makanan, pakaian, tempat tinggal, pembinaan generasi (reproduksi) dan kesihatan. Manusia pada asasnya tidak mampu memenuhi semua keperluan ini secara bersendirian, sehingga mereka saling memerlukan kebolehan orang lain untuk mendapatkan keperluan hidupnya. Bagi Ibnu Abi Rabi', realiti ini berlaku kerana Allah menciptakan manusia secara fitrahnya suka bermasyarakat.

Kepelbagaian manusia dalam kehidupan bermasyarakat itulah menyebabkan mereka memerlukan ketua atau pemimpin. Pemimpin diberikan tugas oleh Allah untuk mengatur hak dan kewajipan setiap anggota masyarakat, sebagai tempat rujukan mereka dan pemimpin mesti dipatuhi. Allah telah mengangkat sebahagian daripada manusia menjadi pemimpin untuk melaksanakan peraturan agama (syariat), dan menggunakan peraturan ini untuk menjaga ketertiban masyarakat, memenuhi keperluan mereka dan menyekat daripada berlakunya pelanggaran hak-hak masyarakat.

Pada asasnya, Ibnu Abi Rabi' membayangkan bahawa manusia cenderung hidup bermasyarakat, kerana itu mereka disebut makhluk sosial dan budaya. Tetapi beliau berganjak dari pemikiran filosof Yunani sebelumnya dengan meletakkan Allah sebagai pemberi tabiat ini, lalu Allah jugalah yang menetapkan peraturan dan undang-undang melalui agama dan kitab suci. Kitab-kitab suci yang diturunkan Allah menghimpun hukum dan ketentuan Ilahi. Maka dalam hal ini, para pemimpinlah yang bertanggungjawab memastikan semua peraturan syariat dilaksanakan kepada pengikut atau rakyatnya.

Corak pemerintahan dan kepemimpinan negara

Sebagai tokoh yang hidup pada zaman keagungan Daulah Abbasiyah, iaitu era Khalifah Mu'tashim Billah (833-842M), Ibnu Abi Rabi' dalam membahaskan tentang corak atau bentuk pemerintahan, meletakkan model monarki, iaitu pemerintahan yang berada di bawah seorang raja, sebagai yang terbaik. Beliau menolak pemerintahan aristokrasi (kerajaan di tangan sekelompok elit pilihan atas dasar harta dan kedudukan), oligarki (kerajaan di tangan sekelompok kecil orang kaya) dan demokrasi (kerajaan yang berada di tangan seluruh rakyat). Beliau juga menolak keras kerajaan demagogi, yakni kerajaan yang berada di tangan rakyat yang anarkis.

Menurut beliau, kerajaan yang mempunyai banyak pemimpin akan membawa kepada kekacauan dan tidak dapat bersatu. Pemimpin monarki berkuasa mutlak, manakala seluruh pegawai negara adalah pelaksana titahnya. "Semua orang yang dilantik dalam kerajaan cukup dengan mendengar, mentaati dan melaksanakan perintah raja. Mereka umpama tubuh badan raja yang digunakan semahunya." Keperluan negara kepada monarki adalah untuk mewujudkan keadilan kepada rakyat, menolak kezaliman, memandu negara dengan tujuan yang betul dan memenuhi kemaslahatan rakyat.

Ibnu Abi Rabi' meletakkan pemimpin sebagai tiang utama negara. Sebagai pilar terpenting, seorang ketua negara mesti mempunyau enam sifat iaitu (1) paternalistik (bernasab dengan raja sebelumnya), (2) bercita-cita besar dalam kepemimpinan, (3) berpandangan tepat dalam membuat dasar negara, (4) memiliki ketahanan diri untuk menghadapi sebarang cabaran, (5) memiliki harta hasil dari keadilan kerajaan kepada rakyat, dan (6) mempunyai para pembantu yang setia dan dipercayai. Sebenar Ibnu Abi Rabi' telah membahaskan dengan panjang dan terperinci tentang pemimpin negara, kerana dia adalah tiang yang menentukan jatuh dan bangunnya kerajaan.

Menurut Ibnu Abi Rabi' lagi, untuk menguruskan negara, pemimpin yang telah memenuhi sifat-sifat yang digariskan, mestilah memastikan pengurusan negara tidak terkeluar dari empat asas. Pertama, akal yang membantu pemimpin mentaati Allah dan Rasul serta berakhlak mulia; kedua, kedermawanan iaitu sifat belas kasihan kepada rakyat terbawah dan lemah; ketiga, politik iaitu tahu cara menjinak hati rakyat dan berhelah dengan musuh; dan keempat, ketegasan iaitu tidak bersangka baik kepada semua orang, menyembunyikan rahsia dan mampu membuat jangkaan terhadap sebarang kemungkinan.

Pendirian negara dan pilarnya

Untuk mendirikan sebuah negara, Ibnu Abi Rabi' meletakkan enam syarat asas supaya menjadi kukuh. Enam perkara itu ialah bekalan air tawar yang mencukupi, mudah mendapatkan bantuan, lokasi yang strategik, dekat pengembalaan, terjamin dari landaan musuh dan boleh mengawal semua komponen negara. Jika enam asas tidak wujud di sesuatu tempat, maka sukar untuk mendirikan sebuah kota yang baik. Bagi Ibnu Abi Rabi' juga, soal kedudukan dan pengurusan ekonomi negara menjadi teras yang penting untuk menjamin semua keperluan rakyat dipenuhi.

Maka dalam hal ini, beliau meletakkan beberapa perkara sebagai tiang sesebuah negara iaitu pertama, pemimpin monarki yang mempunyai kelayakan yang ketat; kedua, rakyat dengan tujuh golongan iaitu ahli ibadat, hukamak, ulamak, bangsawan, tentera, peniaga dan penduduk kota; ketiga, keadilan iaitu menerapkan hukum Allah yang sama kepada semua rakyat dan memberikan hak-hak rakyat; dan keempat, organisasi negara iaitu para wazir yang menghubungkan antara pemimpin dan rakyat.

Perkara yang merosakkan negara

Enam perkara telah ditekankan oleh Ibnu Abi Rabi' sebagai perkara yang mesti diberati oleh pemimpin kerana ia boleh merosakkan negara. Para pemimpin tertinggi tidak boleh melakukan hal-hal ini, kerana ia mendatangkan keburukkan kepada negara. Enam perkara tersebut ialah,

I. Mengangkat menteri yang tidak berkelayakan dan tidak profesional akan membahayakan kerajaan;

II. Bermesyuarat dengan orang yang tidak amanah akan meruntuhkan kerajaan;

III. Menyerahkan rahsia kepada orang yang tidak dapat dipercayai akan mendedahkan rahsia-rahsia kerajaan;

IV. Meminta bantuan kepada orang yang tidak mampu akan merosakan urusan kerajaan;

V. Menyia-nyiakan pekerjaan menunjukkan kelemahan akal pelakunya; dan

VI. Melakukan kebodohan bererti menunjukkan sifat bodohnya kepada orang awam.

MOHD FADLI GHANI
Islamic Institute of Independent Research on Democracy (IIIRD)
3 Ramadhan 1440 / 8 Mei 2019 - HARAKAHDAILY 9/5/2019

BULAN Ramadhan bukan hanya bulan puasa tetapi bulan ibadah. Ibadah maksudnya pengabdian diri kepada Allah. Ia bermaksud Ramadhan menjadi bulan untuk umat Islam lebih memperhambakan diri kepada Allah dengan ibadat wajib dan ibadat sunat yang khusus di samping ibadah umum dalam kehidupan seharian dengan menjaganya sentiasa selaras dengan hukum dan peraturan Allah.

Ibadah khusus yang utamanya ialah berpuasa di siang hari yang menjadi wajib dan "Qiyam Ramadhan" di malam hari yang merupakan amalan sunat yang digalakkan.

Apa maksud Qiyam Ramadhan?
Ada dua pandangan ulama.
Pertama, ia merujuk kepada ibadah menghidupkan malam Ramadhan dengan solat termasuk solat tarawih sebagaimana kata Ibnu Hajar al-'Asqalani (meninggal 852H/1449M) dalam Fathul Bari .

Kata Imam Nawawi (meninggal 676H/1277M), Qiyam Ramadhan tertunai dengan solat tarawih.

Kedua, ia hanya merujuk kepada solat Tarawih. Tokoh ulamak, al-Kirmani (meninggal 786H/1384 M), sebagaimana dinukilkan oleh pengarang 'Umdatul Qari huraian Sahih Bukhari mendakwa, ulamak sepakat bahawa maksud Qiyam di dalam hadis merujuk kepada solat Tarawih.

Nabi SAW bersabda menjelaskan kelebihan puasa Ramadhan

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

"Sesiapa berpuasa Ramadhan kerana keimanan dan mengharapkan pahala diampunkan untuknya dosa-dosa yang lalu."

Baginda bersabda lagi menjelaskan kelebihan ibadah Qiyam Ramadhan dengan ganjaran yang sama seperti puasa

مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

"Sesiapa yang mengerjakan Qiyam Ramadhan (solat Tarawih) kerana keimanan dan mengharapkan pahala diampunkan untuknya dosa-dosa yang lalu." (Kedua-dua hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Tidak sedikit yang berpuasa tetapi mengabaikan Qiyam Ramadhan.
Sebahagiannya bersemangat di awal Ramadhan memenuhi masjid dan surau menunaikan Qiyam Ramadhan secara berjamaah namun semakin surut di pertengahan Ramadhan. Tunaikanlah Qiyam walaupun dengan dua rakaat solat tahajud bersendiri.

Moga Allah menjadikan kita dikalangan hambaNya yang memelihara ibadah Qiyam Ramadhan disamping menunaikan ibadah puasa.

DR KHAIRUDDIN TAKIRI
Isnin, 1 Ramadhan 1440/6hb Mei 2019 – HARAKAHDAILY 6/5/2019

Allah S.W.T berfirman:
 
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa (Ramadan) sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu (menjadi golongan yang) bertakwa."
(al Baqarah: 183)
 
Sama-samalah kita merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah S.W.T di atas rahmat dan kurniaan-Nya sehingga kita dipertemukan dengan bulan Ramadan yang awalnya rahmat, pertengahannya maghfirah (keampunan) dan akhirnya pembebasan daripada api neraka. Betapa agung dan mulianya bulan Ramadan sehingga ianya dinanti-nantikan oleh seluruh orang yang beriman di mana jua mereka berada.
 
Kedatangan Ramadan juga menjelaskan kepada kita perintah Allah supaya berlumba-lumba dalam melakukan ibadah dan kebajikan (khairat). Ini termasuklah menghidupkan sunnah Rasulullah S.A.W melalui ibadah berpuasa di siang harinya, bersedekah, berzikir, menghidupkan malamnya dengan berterawih, tilawah al quran, munajat dan doa. Keseluruhan umat Islam memfokuskan kehidupan mereka untuk melakukan ketaatan dalam bulan ini.
 
Ramadan juga bulan tarbiyah. Tarbiyah dengan pelbagai peringkat jihad. Jihad melawan hawa nafsu, jihad dalam berdakwah, jihad dalam melakukan ketaatan untuk mencapai mardhatillah sehinggalah kemuncak jihad iaitu perjuangan untuk menegakkan agama Allah S.W.T.  
 
Ramadan adalah bulan penyatuan. Penyatuan fikrah, hala tuju dan amal yang akan membangkitkan semangat dan kekuatan untuk membela kesucian Islam daripada dicemari fahaman jahiliah, liberalisme, pluralisme dan isme-isme yang boleh menggugat kesucian aqidah. Penyatuan di atas akidah iman dan amal pastinya akan menguatkan roh dan jiwa Muslim.
 
Justeru, sama-samalah  kita mengisi bulan Ramadan ini dengan menggandakan ibadah dan taqarrub kepada Allah S.W.T serta memperbanyakkan infak ke jalan Allah S.W.T. Memperkukuhkan ukhuwwah persaudaraan Islam dan memantapkan lagi ilmu pengetahuan.
 
Semoga kedatangan Ramadan pada tahun ini akan mempertingkatkan lagi ketakwaan dan darjat kita di sisi Allah S.W.T.
 
Selamat melakukan ibadah puasa. Puasa itu perisai.
 
USTAZ HJ AZLISHAM AZHAR
Ketua Ulamak
Dewan Ulamak PAS Negeri Johor - HARAKAHDAILY 6/5/2019

TAJUK 'Peranan Nuqaba Dalam Mengisi Kemenangan' dipilih sebagai inti kepada Ijtimak Nuqaba PAS Terengganu kali ini sempena kemenangan kali ketiga di Terengganu. Ia disampaikan oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

'Malam tadi kami bertemu pimpinan Kelantan dengan tajuk 'Islam memimpin'. Isi lebih kurang sama dan hakikatnya ia tidak berbeza. Kita menempa sejarah selepas jatuhnya khilafah Uthmaniyah apabila parti-parti Islam menyambung kerja menegakkan Islam dengan wafatnya Nabi,” jelas Tuan Guru memulakan ucapan.

“Jatuhnya khilafah, tetapi Islam tidak mati, yang mati adalah pemimpin. Nabi yang paling besar pun wafat tetapi Islam tidak mati. Banyak parti dan golongan Islam berjuang. Pada tahun 1955, Parti Masyumi di Indonesia menang, campur dengan parti lain, tetapi tidak sampai satu penggal diharamkan. Di Algeria, FIS menang pilihanraya bandaran dengan 75 peratus, diharamkan. Di Turki, tidak dapat ditubuhkan parti Islam. Dikepung oleh sekularisme yang sangat tebal. Parti yang cuba tegakkan Islam di Turki dilumpuhkan. Hanya dakwah secara umum boleh dilaksanakan.

“Ada gerakan yang agak keras di negeri umat Islam yang lain. Kita memilih muwajah silmiyyah (berdepan dengan cara damai). Terengganu menang kali ketiga. Kita cuba mengisi kemenangan setakat yang kita mampu.

“Iran yang dianggap kuat tetapi ia tidak mendominasi keseluruhan umat Islam. Perlu ada kepimpinan sunni yang memimpin kemenangan ini,” tegas beliau.

Tuan Guru membacakan ayat 33-36 surah Fussilat sambil mengulas kandungannya. Antara tugas penting ialah memperkenalkan Islam secara terbuka (sedangkan di negara lain ia tidak dapat dibuat dengan sempurna)

“Dari sudut politik dan dakwah, tanggungjawab kita ialah mengajak orang bersama Islam, terutama selepas menang. Walaupun sibuk dengan urusan lain, jangan tinggal kerja mengajak kepada Islam.

“Orang dahulu merantau, bawa barang dagangan, niat sebarkan Islam. Barang dagangan untuk bina kekuatan. Kita terbalik, berniaga dahulu, Islam kemudian,” Tok Guru mengingatkan.

Tok Guru memberikan beberapa mutiara peringatan:

”'Peranan nuqaba ialah untuk bina kader dakwah. Tidak sama dengan pengajar. Bukan hanya ilmu tetapi tarbiah. Sediakan jentera parti untuk berhujah dengan baik. Letak orang kena pada tempatnya. Gunakan bahasa yang mudah difahami. Baca akhbar, walaupun akhbar musuh. Khidmat terhadap orang lain sangat penting, untuk mengajak manusia kepada Islam. Menjadi model, contoh yang baik kepada orang.

“Rahsia Islam ialah mewujudkan kerajaan yang bersih. Dua prinsip dan dua konsep mesti ada. Prinsip aqidah beriman kepada Allah dan hari akhirat sangat penting. Konsep taqwa, dan adil untuk semua.

“Beriman kepada Allah menyebabkan manusia sedar dia berada di bawah kekuasaan Allah sahaja. Beriman kepada hari akhirat mengajar kita tentang adanya pembalasan.

“Kepimpinan umat Islam silih berganti, bukan sahaja Arab tetapi yang lain. Yang penting ia dipimpin oleh mereka yang bertaqwa.

“Bila jatuh Rom dan Parsi, kerajaan Parsi menghantar utusan kepada Cina memohon bantuan. Cina tanya kamu kuat kenapa tak lawan. Mereka jawab umat Islam sangat adil. (Lalu Raja Cina menjawab dengan jawapan yang menunjukkan bahawa Islam benar),” hurai beliau lagi.

“Jadikan rakyat sebagai pemerhati dan penasihat kepada kerajaan, bukan sebagai pengampu. Tegakkan Islam dalam diri, keluarga, masyarakat.

“Kerajaan Islam menyediakan ruang untuk membina peribadi yang baik. Mesti bina kerajaan yang bersih. Peristiwa Perang Uhud ajar kita banyak perkara, yang kejar dunia, yang kejar akhirat. Ayat Quran dan hadis yang sangat banyak mengingatkan kita supaya tidak mengejar dunia semata-mata,” nasihat beliau.

Tok Guru mengingatkan: “Perlu ditarbiah menurut acuan yang dilalui oleh para sahabat seperti Khalid Al-Walid, Ala alHadrami dan lain-lain yang pernah berkhidmat untuk Islam, kemudian dipecat dengan sebab tertentu tetapi tidak meninggalkan perjuangan”. - HARAKAHDAILY 2/5/2019

Intisari ucapan Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam Ijtimak Nuqaba PAS Terengganu pada 1 Mei 2019.

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu dan Ketua Lajnah Media Baharu Dewan Ulamak PAS Terengganu.

nq2

ALHAMDULILLAH. Catatan ini ditulis 37,181 kaki di atas paras laut di dalam pesawat Airbus A380-800 dengan nombor penerbangan Lufthansa LH0778, dari Frankfurt, Jerman ke Singapura dalam perjalanan pulang ke negara tercinta Malaysia setelah selesai menghadiri Persidangan Antarabangsa Mengenai Al-Quds kali ke-3 anjuran القدس أمانة di Tunis, Tunisia .

Ummah ini perlu ‘luttuk sipakaraja, malik siparappe’! Itulah kesimpulan yang saya rasakan tepat bagi menggambarkan dapatan dari persidangan tersebut dan kerja buat yang perlu sama-sama kita usahakan.

‘Luttuk sipakaraja, malik siparappe’ merupakan sebuah pepatah Bugis yang lebih kurang bermaksud ‘terbang sama meninggikan, hanyut saling berpaut’. Ia sinonim dengan pepatah Melayu ‘yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing’ dan ‘bersatu kita teguh, bercerai kita roboh!’

Saya suka untuk mulakan catatan ini dengan mengajak kita semua menghayati Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dari Surah Al-Fath ayat 29 berikut. Ayat ini sebahagian dari firman Allah yang dibacakan oleh Qari dari Algeria di hari pertama pembukaan persidangan:

مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ ۚ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ ۖ تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا ۖ سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِمْ مِنْ أَثَرِ السُّجُودِ

“Muhammad itu adalah Utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan Baginda adalah tegas terhadap orang-orang kafir, tetapi sangat berkasih sayang sesama mereka. Kamu lihat mereka ruku' dan sujud mencari kurniaan Allah dan keredhaanNya, tanda-tanda mereka tampak pada muka mereka dari bekas sujud.”

Saya diberi peluang menyampaikan ucapan di dalam persidangan ini mewakili Dewan Pemuda PAS Malaysia - DPPM. Turut berucap ialah perwakilan dari Tunisia, Algeria, Maghribi, Jordan, Lubnan, Kuwait, Qatar, Turki dan tentunya Palestin. Kesemua ucapan penuh bersemangat dan berkobar-kobar demi Palestin dan Masjid Al-Aqsa.

Tetamu khas Mujahidah Palestin Khadijah Khuwais juga telah menyampaikan ucapan penuh bermotivasi diiringi airmata mengenai perjuangan Al-Quds. Wanita kental ini yang pernah ditahan 13 kali termasuk dizalimi dan kini disenarai hitam oleh Zionis telah diberi anugerah dan penghargaan khas di dalam persidangan sebagai inspirasi.

Di dalam ucapan saya, saya telah menegaskan bahawa rakyat Malaysia meskipun jauh dipisahkan dari bumi Al-Quds, namun perjuangan Palestin sentiasa di hati! Para pejuang yang memahami aspirasi ummat sudah tentu akan berjuang atas kapasiti dan kemampuan yang ada dalam memastikan bumi bertuah Palestin kepada menjadi milik umat Islam!

Saya turut membaca Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan Sabda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam berikut di awal ucapan:

إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةٌ۬ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَ أَخَوَيۡكُمۡ‌ۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ

“Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Maka damaikanlah antara saudaramu dan takutlah kepada Allah, supaya kamu mendapat rahmat.” (Surah Al-Hujurat, ayat 10)

عَنْ أَبِي حَمْزَةَ أَنَس بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، خَادِمِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لأَخِيْهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ [رواه البخاري ومسلم]

“Dari Abu Hamzah, Anas bin Malik radhiyalLahu ‘anh, pembantu Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, dari Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, Baginda bersabda, "Tidak beriman salah seorang di antara kamu sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Selanjutnya saya memberitahu hadirin di multaqa tersebut betapa Malaysia insya-Allah sentiasa bersolidariti dengan Palestin! Kita tidak sama sekali akan mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara, bahkan yang ada hanyah negara Palestin yang diduduki dan dijajah secara rakus oleh Zionis Yahudi. There is no Israel, that land is the occupied Palestine!

Lebih dari itu, saya menyatakan komitmen ini termasuklah dibuktikan di dalam Passport Malaysia di mana di muka utamanya jelas tertera “Passport ini sah digunakan untuk semua negara kecuali Israel. This passport is valid for all countries except Israel.” Ini kerana kita tidak akan sama sekali mengiktiraf negara yang dibina dengan rampasan dan kelicikan ini. Hadirin memberi tepukan gemuruh dan bertakbir saat saya menyatakan perkara ini!

Apapun, selepas itu saya menyebut perlunya kita umat Islam bermuhasabah! Mengapa Palestin terus dijajah dan rakyat Palestin terus ditindas? Cukupkah sudah solidariti dan ukhuwah persaudaraan umat Islam kepada saudaranya di Palestin? Retorika di persidangan ini mampukah dijadikan tindakan konkrit sebagai langkah maju ke hadapan dalam perjuangan membebaskan Palestin?

Saya mencabar sahabat-sahabat negara serumpun yang dekat secara geografi dengan Palestin agar memainkan peranan dan mendesak kerajaan mereka lebih tegas dalam berhadapan kebokbrokan Zionis. Ia tidak mudah, namun kesatuan hati dan kejelasan fikrah perlu menjadi asas kepada tindakan-tindakan yang lebih besar.

Lihatlah sahaja di atas peta. Palestin itu dikelilingi oleh negara-negara ummat Islam! Bersempadan dengan Mesir, Jordan, Lubnan dan Syria serta sangat dekat berbanding Malaysia dengan negara Arab Timur Tengah seperti Arab Saudi, Kuwait, Bahrain, Qatar, UAE, Oman, Yaman, Iraq dan Iran serta negara Afrika Utara seperti Libya, Sudan, Tunisia, Algeria dan Maghribi bahkan Turki.

9 juta penduduk di negara yang menggelar ‘Palestin yang diduduki’ sebagai ‘Israel’ tidak dapat dikalahkan oleh hampir 2 Billion umat Islam yang mana 25% darinya tinggal di negara-negara berjiran dengan negara ‘Israel’ tersebut!

Saya seterusnya menyatakan, ayuhlah kita bersama dalam perjuangan ini! Kami di Malaysia meski jauh di sudut geografi akan berusaha memberi kesedaran kepada rakyat akan kepentingan perjuangan Palestin melalui pengukuhan iman, kemantapan organisasi, pembinaan ilmu, sumbangan infaq dan tidak dilupakan doa munajat memohon kemenangan dari Allah Azza Wajalla yang Maha Berkuasa atas segala-galanya.

Saya juga sempat memperkenalkan PASRelief, iaitu satu badan kemanusiaan di bawah Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang mana misi perjuangan termasuklah memberi bantuan kepada rakyat Palestin. Di Malaysia juga terdapat banyak pertubuhan NGO memperjuangkan hak Palestin seperti Palestinian Cultural Organization Malaysia (PICOM), Yayasan Amal Malaysia, Muslim Care, Aman Palestin, MyCare (dulunya Aqsa Syarif), Cakna Palestin, HALUAN Palestin, Yayasan Al-Quds Malaysia dan pelbagai lagi pertubuhan yang bersolidariti dengan Al-Quds.

Saya akhiri ucapan saya dengan optimis bahawa masa depan di tangan Islam dan Palestin insya-Allah satu masa nanti akan kembali menjadi milik umat Islam! Saya menanam harapan dan berkongsi rasa dengan hadirin dengan menyatakan impian jika persidangan pertama dan kedua mengenai Al-Quds anjuran القدس أمانتي ini telah diadakan di Istanbul dan tahun ini kali ketiga di Tunis, sama-samalah kita berdoa semoga persidangan seterusnya atau dalam tahun mendatang akan boleh diadakan di bumi Al-Quds Palestin!

Sepanjang persidangan ini juga telah dibincangkan projek-projek yang akan digerakkan dan telah dibengkelkan beberapa strategi yang perlu disusun. Latihan-latihan seperti pengurusan isu, pengurusan media dan lain-lain juga telah diadakan. Tayangan video-video perjuangan Palestin gabungan yang penuh motivasi dan menyentuh hati juga telah mewarnai persidangan kali ini.

Semoga segala apa yang diucaptamakan, diucapkan, dibincangkan dan dibengkelkan mendapat rahmat dan berkat serta dipermudahkan urusan pelaksanaannya oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Buat akhirnya, ketahuilah olehmu bahawa Bumi Isra’ Mi’raj Palestin yang ada padanya Masjid Al-Aqsa itu sangat istimewa dan sebahagian dari keimanan para Mukminin. Bersama kita selami firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala berikut. Surah ini dibaca oleh Qari dari Tunisia pada permulaan hari kedua persidangan:

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آَيَاتِنَا إِنَّه هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

“Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-Isra, ayat 1)

Akhirul kalam.. ٱنفِرُوا۟ خِفَافًا وَثِقَالًا Infiru khifafan wa tsiqalan! Siiru ‘ala barakatillah, teruskan perjuangan!

#TerusMara
#Lebai Engineer
#PalestinDiHati
#IslamMemimpin
#SejahteraBersamaIslam
#OurUmmahOurResponsibility
#MempersiapGenerasiKemenangan
#BeristiqamahHinggaKemenangan

MUHTAR SUHAILI AS-SARAWAKI
Perwakilan Malaysia,
3rd International Conferende on Al-Quds
27-28 April 2019M | 21-22 Sya’ban 1440H
Hôtel Sol Azur Beach Congrès, Hammamet, Tunis, Tunisia. – HARAKAHDAILY 29/4/2019

quds1

quds2

quds3

ISLAM adalah syumul yang lengkap segala-galanya dalam menjamin kesejahteraan hidup manusia khususnya dan alam ciptaan Allah S.W.T umumnya. Ilmu agama mesti dipelajari dan diamalkan agar menjadi pedoman kehidupan di dunia seterusnya menjamin kehidupan yang baik di akhirat yang kekal abadi. 
 
Solat dan pembudayaan ilmu
 
Solat berjemaah menjadi asas kekuatan ummah dan menjadikan kita saling hormat menghormati sesama kita. Marilah sama-sama kita terus mengimarahkan masjid dan menghadiri majlis-majlis ilmu khususnya di Masjid atau Surau dalam kawasan Tambun melalui Kuliah Subuh, Kuliah Dhuha, Kuliah Zohor, Kuliah Asar, Kuliah Maghrib serta termasuklah Kuliah Khas Muslimat bagi meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat.
 
Dalam pada itu, pihak berautoriti khususnya majikan di tempat kerja termasuklah pihak industri boleh berperanan dalam menyediakan ruang solat yang selesa dan memperuntukan masa untuk pembudayaan ilmu khususnya berkaitan Islam dan Moral menjadi salah satu aspek pembangunan manusia yang lebih beretika dan berakhlak mulia. Sudah pasti memberi manfaat yang besar kepada organisasi dan masyarakat. 
 
Di samping itu, keterlibatan anggota masyarakat setempat juga yang sentiasa bertemu dalam suasana harmoni, pastinya akan memperkukuh silaturrahim melalui semangat kejiranan dan sikap berdamai antara satu sama lain. Ianya sangat disarankan oleh Rasulullah SA..W dalam banyak riwayat hadis. Ianya akan turut memberi impak positif kepada keselamatan dan kesejahteraan hidup masyarakat. Begitu juga organisasi masyarakat sama ada persatuan penduduk, jawatankuasa Masjid dan Surau, mahu pun parti-parti politik mampu merencanakan suatu halaju yang jelas dalam memastikan kehidupan ummah sejahtera.
 
Agenda Penyatuan Ummah
 
Firman Allah SWT dalan surah surah Al-Anbiya’ ayat 92,
“Sesungguhnya agama Islam inilah agama kamu, agama yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu; maka sembahlah kamu akan Daku”.
 
Maka, atas dasar itu, Islam adalah paksi kepada penyatuan ummah dengan berpandukan kepada perintah dan larangan Allah SWT dalam Al-Qur'an sebagai garis panduannya.
 
Perkembangan mutakhir ini, PAS berta'awun dengan Umno bagi penyatuan ummah tidak timbul soal PAS ikut Umno atau Umno ikut PAS, tetapi asasnya adalah Islam yang mesti diikuti keseluruhannya. Tanpa Islam, maka tiadalah kerjasama tersebut. 
 
Bertepatan dengan gagasan pimpinan tertinggi PAS di bawah nakhoda Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, PAS Tambun melalui akar umbi terus menggerakkan agenda besar ini dalam memastikan Islam Memimpin. Malah kami memulakan langkah melalui siri pemahaman kepada ahli dan mengenengahkan kepada masyarakat dengan mendidik hati dan jiwa manusia.
 
Ramadan: Syiar dan Syariat
 
"Ya Allah, berkatilah kami dalam bulan Sya'aban dan sampaikanlah kami di bulan Ramadan".
 
Menjelang tiba bulan mulia yang menjadi madrasah kehidupan terdapat di dalamnya banyak hikmahnya. Ambillah peluang sebaiknya yang terhidang buat setiap Muslim khususnya dalam memastikan ekonomi Islam terus unggul melalui zakat, sedeqah dan wakaf. Pastinya ganjaran berlipat kali ganda sebagaimana dijanjikan Allah S.W.T dalan banyak ayat Al-Qur'anul Karim.
 
Tanggungjawab mendidik generasi masa depan dan  membangun negara adalah tanggungjawab bersama.  Ayuh bersama-sama kami Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan Dewan Ulamak PAS Tambun dalam menggerakkan agenda Dakwah, Tarbiyah dan Siasah untuk Tambun Sejahtera.
 
"Islam Memimpin"
"Sejahtera Bersama Islam"
 
USTAZ SALLEH SAID
Yang DiPertua PAS Kawasan Tambun
merangkap Naib Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Perak
8 April 2019 | 2 Syaaban 1440 - HARAKAHDAILY 8/4/2019
IMG 20190408 WA0032

PAS adalah jelmaan Taliban, jika mereka memerintah maka semua bentuk seni dan hiburan akan diharamkan, kata kelompok pragmatis dan liberal. Pelbagai konotasi negatif dihalakan kepada PAS untuk membina tembok kaca dan membina jurang yang dalam antara gerakan Islam dan masyarakat awam. Bagi kelompok ini PAS adalah ‘bogey’ yang mesti dicoret wajahnya sehitam yang mungkin. Menyokong PAS dengan erti kata menyokong kegelapan hidup dan antisosial, gelap gelita tanpa hilai tawa dan muka masam cemberut.

PAS mempunyai peranan yang besar untuk memahamkan masyarakat tentang kesyumulan Islam, Islam dalam kerangka dan tasawwur yang luas membuka ruang untuk berhibur.

Seni dan huburan merupakan salah satu daripada kaedah pendakwahan yang digunakan oleh para ulama dalam mengembangkan dakwah Islam, bahkan semenjak zaman ar-Rasul bagaimana hiburan Islam mendepani hiburan bercitra kufur yang digerakkan oleh an-Nadhar bin al-Harith, Kaab bin Asraf dan lain-lain lagi. Di alam Melayu ini, saat Islam mulai berkembang terutama sejak abad ke-13 Masehi, para ulama telah mengggunakan pelbagai pendekatan dakwah seperti perkahwinan, peluasan kuasa, pengislaman raja, pendidikan, pedagangan dan sebagainya.

Ulama di rantau ini memahami latar belakang penganut Islam serta kecenderungan masyarakat yang mesra dengan hiburan. Sebelum menganut Islam, masyarakat Nusantara beragama Hindu, Buddha dan animisme, maka melengkapkan lagi gerakan dakwah, sebahagian ulama di rantau ini menjadikan seni dan hiburan ini sebagai method dakwah mereka.

Sepanjang sejarah perkembangan dakwah, para ulama telah menggunakan seni suara (muzik), wayang kulit, seni ukir, seni bina, penulisan sastera, seni mempertahankan diri dan beberapa kesnian yang lain sebagai sebahagian daripada pendekatan. Salah satu faktor kepentingan dakwah melalui seni dan hiburan ini ialah kerana orang melayu telah lama dipengaruhi oleh budaya Hindu-Buddha yang sangat cenderung kepada seni. Hasil utama dari memanfaatkan kesenian, hiburan dan kebudayaan ini, orang-orang Melayu telah dapat diIslamkan dengan cara yang harmoni dan mereka menerima secara terbuka.

Seni dan hiburan telah memainkan peranan yang besar dalam pendakwahan di rantau ini sejak zaman awal ketibaan Islam. Islam telah merubah sosiobudaya masyarakat Melayu, antaranya tulisan Arab berbentuk kaligrafi telah berkembang dengan tulisan jawi. Seni khat telah mengambil tempat untuk dekorasi di istana, masjid, madrasah dan rumah orang Melayu. Kesusasteraan Islam juga merambah di zaman kehadiran Islam, berbeda dengan sastera lisan di zaman sebelumnya. Antara karya-karya kesusateraan Islam yang bernuansa Islam seperti Hikayat Muhamad Ali Hanafiah, Hikayat Amkr Hamzah, Hikayat Nabi Bercukur dan sebagainya.

Kesenian Islam paralel dengan keindahan motif seni bina bangunan, ulama Nusantara kreatif melakar seni bina untuk tujuan merengkuh nurani manusia. Sunan Kudus telah mendirikan menara Masjid Kudus menggunakan seni bina Hindu dengan tujuan menarik masyarakat Melayu Hindu mendekati ajaran Islam.

Menurut Dr Fadli Ghani, aspek yang penting dalam menilai kedudukan seni dan hiburan sebagai method dakwah. Hiburan digunakan untuk membangkit semangat jihad seperti Hikayat Perang Sabil, malah dalam sulalatus salatin menceritakan Hikayat Amir Hamzah dan Hikayat Muhamad Ali Hanafiah dibacakan kepada tentera Islam Melaka sebelum mereka bertempur dengan tentera penjajah Portugis. Kedudukan seni dalam sejarahnya sebagai medium untuk mempertahankan Islam serta membangkitkan semangat jihad.

PAS mestilah menyuburkan seni dan hiburan yang positif, mencegah seni dan hiburan yang bercanggah dengan Islam. Mengawal seni dan hiburan serta menangguhkan seni yang belum dilestarikan dengan nilai-nilai Islam. Contohnya bagaimana almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang melestarikan seni dikir barat agar tiada lirik-lirik berbaul maksiat dan menjauhkan manusia daripada mengingati Allah.

PAS sebagai harakatul ummah wajib menjernihkan tasawwur masyarakat berkaitan hiburan dan seni. Program Simposium Seni dan hiburan menurut perspektif Islam telah berjaya menarik ramai khalayak ke dewan utama Hotel Emas Tawau. Pembentangan kertas kerja oleh Dr Uzaimah Ibrahim, Dr Fadli Ghani serta diselit dengan persembahan artis Zuar XPDC, Lestari Buskers sangat menguja akal audien. Program anjuran ini anjuran Lestari PAS Pusat dengan kerjasama PAS Sabah dan PAS kawasan Tawau. LESTARI (Lujnah Budaya dan Kesenian PAS Pusat) akan mengadakan program simposium ini ke seluruh negara. – HARAKAHDAILY 7/4/2019