ADA seorang wakil rakyat yang membawa lari kerusi PAS kata wakil Rakyat PAS yang khianat bukan dia yang khianat. Sebab wakil Rakyat PAS menang kerana orang bukan Islam undi. Dia pula menang kerana orang bukan Islam undi, bukan kerana orang PAS undi. Dia menang kerana orang undi Pakatan Rakyat bukan kerana undi PAS.

Saya senyum apabila berita ini sampai kepada saya.

Saya jawab,
1. Betullah di sesetengah tempat seperti di Parlimen Bukit Gantang  dengan izin Allah, orang bukan Islam mengundi saya.
2. Saya tanya balik, kalau setakat undi bukan Islam sahaja undi saya dan dia, adakah dia boleh menang.
3. Dakwaan beliau boleh diterima kalau dia bertanding di DUN Aulong Taiping atau Pokok Asam. Ini dia pun bertanding di DUN pengundi Melayu 63 peratus. Mungkin di dalam PRU 14 dengan ehsan DAP beliau bertanding di kerusi tersebut. Itu pun kalau DAP sudi memberi laluan.
4. Adakah lambang parti Pakatan Rakyat ada di dalam kertas undi.
5. Semasa dia lafaz baiah hendak menjadi calon adakah dia Sebut Wallahi Wabillahi Watallahi saya akan patuh kepada arahan pimpinan parti Pakatan Rakyat.
6. Berapa orang tenaga orang bukan Islam yang membantu beliau semasa kempen pilihan raya.
7. Bukankah tenaga PAS yang pergi merayu dari rumah ke rumah. Bukankah Jabatan Amal itu orang PAS. Bukankah pengawal keselamatan calon juga daripada orang PAS. Bukankah yang panjat pokok, gantung bendera orang PAS. Bukankah orang PAS yang menjadi perayu undi di bangsal panas daripada pagi hingga ke petang. Kadang-kadang terpaksa berlawan dengan jentera Umno pada hari mengundi. Bukankah yang penjadi PACA di dalam bilik mengundi juga orang PAS.

Tiba-tiba boleh mendakwa dia menang bukan kerana PAS. Cukuplah kamu meletakkan garam di tempat luka orang PAS dengan melarikan kerusi. Lebih baik diam, makan kenyang-kenyang elaun wakil rakyat, tetapi janganlah menghiris perasaan petugas PAS yang ikhlas.

Petugas PAS tidak meminta upah dan belas kasihan, cuma mereka minta kejujuran, perkhidmatan dan santunan sahaja. Ahli PAS ikhlas, mereka hanya mendengar arahan dan wala' daripada pimpinan. Ingat! doa ahli marhaen PAS yang ikhlas, insy-Allah  mustajab. – HARAKAHDAILY 11/4/2017

SEMALAM PAN mengadakan seminar pemikiran Tok Guru Nik Aziz. Tujuannya ialah untuk menggambarkan parti yang mereka tubuhkan daripada serpihan PAS adalah selaras dengan pemikiran dan direstui Allahyarham Tok Guru.

Ini merupakan satu manipulasi terhadap pemikiran seorang yang telah tiada di dunia ini. Tok Guru tidak ada kena mengena dengan parti tersebut. Malah Tok Guru terus istiqamah bersama PAS sehingga ke akhir hayatnya. Tok Guru tidak pernah menyeru sesiapa untuk keluar daripada PAS.  Itu adalah fakta semasa hayat beliau.

Setiap orang berhak mengkaji pemikiran sesiapa pun termasuk pemikiran seorang tokoh yang telah meninggal dunia. Tetapi kita tiada hak menisbahkan sesuatu kepada seorang yang tidak pernah memperkatakannya.

Kaedah Fiqh menyatakan

لا ينسب قول لساكت

"tidak dinisbahkan satu ungkapan pada seorang yang diam".

Berdasarkan kaedah ini tindakan PAN adalah satu jenayah intelek terhadap nama baik Allahyarham Tok Guru Nik Aziz.

Pelbagai andaian dibuat dan direka lalu dinisbahkan kepada seorang yang telah tiada di dunia ini

Ia adalah satu penipuan, cerita rekaan dan pembohongan yang sangat nyata dan keji.

Cerita rekaan ini disebut dalam istilah hadis Nabi sebagai "buhtan" atau cerita rekaan dan pembohongan yang jelas haram hukumnya.

Antara isi Baiah Aqabah yang pertama antara Nabi SAW dan para Sahabat dari Yathrib 2 tahun sebelum Hijrah ialah

وَلَا تَأْتُوا بِبُهْتَانٍ تَفْتَرُونَهُ بَيْنَ أَيْدِيكُمْ وَأَرْجُلِكُمْ

"Dan kamu berbaiah (beraku janji) untuk tidak mendatangkan satu (buhtan) cerita rekaan yang kamu reka di kalangan kamu." (Hadis Sahih Bukhari)

Kata tokoh Ulama Ali al-Qari (meninggal tahun 1014 H) dalam Mirqah al-Mafatih ketika menghuraikan maksud Baiah di atas: "janganlah kamu menisbahkan cerita rekaan itu kepada seseorang berasaskan sangkaan yang rosak"

Seminar ini telah mencipta pelbagai cerita rekaan dan andaian berasaskan sangkaan yang rosak dan salah lalu dinisbahkan kepada batang tubuh Tok Guru Nik Aziz yang telah pergi ke rahmatullah dan tentu Allahyarham tidak boleh menjawap bagi menafikannya.

DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Isnin 10 hb April 2017 – HARAKAHDAILY 10/4/2017

PAS menegaskan sekali lagi bahawa tidak akan sesekali menyertai Pakatan Harapan dan tidak akan mengadakan sebarang kerjasama dengan DAP dan PAN.

Keputusan ini telah terbukti tepat berikutan sikap penentangan berterusan DAP dan PAN terhadap agenda Islam yang dibawa oleh PAS termasuk RUU 355. Sikap ini jelas kelihatan di parlimen pada 6 April 2017, ketika Presiden PAS dan Setiausaha Agung PAS membentangkan RUU 355.

Episod RUU 355 juga membuktikan perumpamaan yang digunakan Presiden PAS betul, di mana kedua-dua belah ibarat biawak hidup di mana satu belah tidak berani membawa, dan satu belah bukan sahaja menentang, bahkan hak PAS untuk membentangkan RUU 355 melalui saluran demokrasi yang sah pun cuba dihalang.

Mereka yang kepanasan berikutan pembentangan dan penghujahan cemerlang Presiden PAS dan Setiausaha Agung PAS di parlimen mengenai RUU 355 kini cuba mengalihkan perhatian dengan meletakkan pelbagai tuduhan pada PAS tanpa seurat bukti dan juga bermain saraf untuk melagakan pimpinan PAS.

Namun, strategi lapuk ini tidak akan berjaya kerana PAS yang ada hari ini telah menjadi lebih matang dan kukuh ekoran perpecahan pada 2015.

Kepada yang membuat tuduhan, laporlah kepada pihak berkuasa seperti polis dan SPRM agar tindakan dapat diambil terhadap PAS sekiranya ada. PAS akan memberikan kerjasama sepenuhnya.

PAS akan terus mara dan memperkukuhkan parti sebagai blok ketiga.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
9 April 2017 - HARAKAHDAILY 9/4/2017

Jumlah katil Hospital Negeri Terengganu

1. Hospital Besut 140 katil
2. Hospital Setiu 76 katil
3. Hospital Sultanah Nur Zahirah 821 katil
4. Hospital Dungun 100 katil
5. Hospital Hulu Terengganu 119 katil
6. Hospital Kemaman 116 katil

JUMLAH 1,372 KATIL

Jumlah rakyat Terengganu sekitar 1.18 juta. Nisbah 1 katil bagi 860 orang penduduk. Bahasa mudah orang kampung, dalam satu-satu masa hanya 1 orang dari 860 penduduk Terengganu yang layak sakit dan boleh ditempatkan di hospital.

Paling ketara kekurangannya ialah Dungun. Sebuah daerah dengan kawasan industri oil and gas hanya mempunyai hospital dengan kapasiti 100 katil sahaja, lebih rendah bilangannya dari daerah luar bandar seperti Besut. Semua sedia maklum bahawa kawasan industri oil and gas adalah sangat berisiko dari segi keselamatan. Penduduk Dungun sekarang berjumlah sekitar hampir 180,000. Nisbah 1 katil bagi 1,800 orang penduduk!

Hospital baru Dungun yang nak dibina juga hanya dengan kapasiti 100 katil. Dengan makna ganti hospital lama dengan membina hospital baru tetapi dengan jumlah katil yang sama. Bangunan saja akan dibina baru, tetapi kapasiti tetap tak berubah. Bagaikan rakyat Dungun tak berkeluarga dan tak melahirkan zuriat baru.

Bila bilangan katil hospital tak mencukupi, ini menyebabkan katil atau bed tambahan terpaksa dimasukkan ke dalam wad bagi menampung keperluan. Natijahnya, kewujudan bilangan katil melebihi kemampuan ruang dan kapasiti dalam wad, maka akan berlakulah kesesakan dan ketidak selesaan untuk pesakit serta persekitaran kerja yang tidak kondusif kepada kakitangan.

Bilangan katil hospital juga adalah kriteria yang diambil kira bagi menentukan jumlah perjawatan kakitangan hospital. Sedikit bilangan katil maka sekadar itu jugalah jumlah perjawatan. Sedangkan hakikat sebenar, bilangan pesakit yang memerlukan rawatan jauh melebihi bilangan katil. Kesannya, kakitangan yang ada terpaksa memikul beban kerja yang melebihi kemampuan.

Saya sedih dan terkilan bila orang kampung mengadu terpaksa menunggu lebih 4 jam di Bahagian Kecemasan sebuah Hospital Daerah sebelum dipanggil untuk pemeriksaan.

Saya melihat pemimpin Kerajaan Umno Terengganu terlalu lemah dan tidak mempunyai kemampuan bargaining power atau kuasa mendesak yang kuat terhadap Kerajaan Pusat bagi memperjuangkan hak rakyat Terengganu. Hospital dan perkhidmatan kesihatan adalah keperluan asas rakyat. Beranikah mereka bersuara atau sekadar ikut arus tanpa hala tuju yang jelas bagi mempertahankan sisa-sisa kuasa yang ada tanpa suatu agenda rakyat yang meyakinkan?

Dr Azman Ibrahim
Ketua Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Terengganu
8 April 2017 - HARAKAHDAILY 8/4/2017

MENELITI reaksi ahli parlimen PH sejurus selepas speaker Dewan Rakyat menangguhkan sidang dewan sehingga Julai, hati saya rasa syukur yang amat sangat. Bersyukur kerana sebahagian yang bertempik dan melolong itu sudah berada di luar PAS. Cuba bayang kalau manusia yang berfikrah songsang dan berakhlak sebegitu masih berada dalam barisan kepimpinan PAS. Allah Maha Merancang dan Allah adalah Wali kepada orang-orang mukmin dan jamaah Islam.

Dua tiga tahun lepas. Ketika mereka masih ditampuk kepimpinan saya dan teman-teman di bawah sudah terlihat kepincangan yang sedang melanda itu. Namun apalah yang boleh kami buat. Hanya sekadar melihat dan meluahkan rasa di FB. Sakitnya hati melihat mereka yag berada di tampuk kepimpinan Parti Islam tapi berfikrah songsang libralisme senada dengan DAP. Sakitanya perasaan melihat mereka berada di kiri kanan Presiden namun kerap kali tersenyum puas melihat Presiden di tembak musuh tanpa mereka membelanya.

Waktu itu kami luahkan rasa hati di FB. Sehingga tidak sedikit ahli-ahli PAS yang kembali menyerang saya dan teman-teman yang bersama. Ahli-ahli yang terpengaruh dengan pendekatan ruhama' dan pendekatan "dakwah matang" ciptaan beberapa orang Ikram dalam PAS serta yag terpengaruh dengan "pendekatan politik berstrategi" golongan liberal, sibuk menyerang kami. Kami kononnya dicop pembela ulama yang ketinggalan dari arus politik terkini.

Banyak posting saya waktu itu membantah kenyataan Hanifa, Khalid, Mujahid dan Dr Zul. Yang dilihat mesra melampau dengan fikrah liberal DAP dan membisu apabila idea TG Presiden disanggah ganas oleh pimpinan dalam parti rakan PR. Ada yag kata bantahan saya itu keras, tidak matang dan berbagai lagi. Saya dan teman-teman tidak kesah. Yang penting sebahagian ahli PAS perlu dikejutkan agar mengenali pimpinan mereka itu secara jelas dan dapat sama-sama menyelamatkan PAS dari diheret keluar dari kerangka dan wajah gerakan Islam. Waktu itu saya penuh yakin pimpinan yang berwajah keliru itu akan dapat dibuktikan kekeliruan fikrah mereka satu masa nanti.

Alhamdulillah. Menjelang muktamar PAS ke-61 di Kuala selangor perwakilan menolak mereka. Awalnya ramai juga ahli PAS yang ragu apakah tindakan perwakilan itu wajar dan menguntungkan masa depan PAS. Kerana pada mereka pimpinan yang ditolak itu masih dilihat figur hebat dan berhati mulia untuk memenangkan Islam.

Namun Allah memberikan masa yang cukup untuk ahli PAS mula mengenali wajah mereka yang sebenar. Kenyataan demi kenyataan keluar daripada mulut bekas pimpinan PAS itu. Semakin hari semakin menelanjangkan fikrah dan sikap mereka yang sebenar terhadap Islam dan halatuju perjuangan PAS. Tindakan mereka saban hari semakin mendedahkan kemesraan mereka dengan fikrah Liberalisme. Petang semalam mereka menelanjangkan sepenuhnya sikap mereka dan akhlak mereka sejurus selepas pembentangan RUU 355 oleh TGHH, ucapan sokongan oleh MP Kota Bharu dan penangguhan yg dibuat oleh speaker.

Alhamdulillah mereka bukan lagi pimpinan saya dan bukan pimpinan PAS. Allah maha mengatur. Syukur ya Allah. – HARAKAHDAILY 7/4/2017

DS Anwar Ibrahim dituduh meliwat dan didapati bersalah sehingga dipenjarakan, legasi zalim Mahathir yang menuduh tanpa bukti syari'e terhadap Ketua Umum PKR itu disambung pula di zaman Najib dan sekali lagi DS Anwar terpenjara dengan tuduhan yang sama.

Namun bagi PAS, kami tetap tidak percaya atas tuduhan terhadap DS Anwar kerana tuduhan liwat adalah tuduhan yang wajib dikemukakan saksi dan bukti-bukti syari'e. Sehingga kini kami tetap menganggap bahawa DS Anwar dizalimi.

Semalam Rafizi mendakwa dia tahu bahawa duit 1MDB mengalir ke akaun seorang yang rapat dengan PAS dan menyarankan agar Presiden PAS saman beliau, dituduhnya PAS dan kemudian minta supaya PAS buktikan tidak bersalah, apa jenis sindrom yang sedang melanda Rafizi?

Sepatutnya orang yang menuduh mesti buktikan orang yang dituduh itu bersalah, jika dikatakan orang yang rapat dengan PAS itu menerima duit 1MDB, siapakah orangnya? Jika orang itu bagi duit itu kepada PAS, siapa pula pemimpin PAS yang terima duit tersebut?

PAS ada organisasi, jika perkara ini benar-benar belaku mudah bagi ahli-ahli PAS untuk menghukum pemimpin sebegini, ahli PAS pasti tidak mendiamkan diri, sementelah hampirnya Muktamar Tahunan PAS hujung April ini, ini adalah ruang terbaik untuk ahli PAS bertindak.

Namun kenyataan Rafizi yang kosong dengan bukti tidak sedikitpun memberikan kecurigaan ahli PAS terhadap pemimpinnya, malahan hanya makin membenarkan bahawa Rafizi adalah bapak pemfitnah selepas Tun Mahathir dan semua pemfitnah yang mengatakan bahawa DS Anwar Ibrahim meliwat.

URAJ
TANJUNG LUMPUR

DEWAN Pemuda PAS Malaysia mengecam dengan sekeras-kerasnya pengeboman di sebuah  stesen keretapi metro di St Petersburg, Rusia semalam.

Pengeboman yang mengorbankan nyawa orang awam yang tidak bersalah itu tidak dapat dijustifikasikan, dan bertentangan sama sekali dengan prinsip-prinsip Islam dan norma sejagat.

DPPM mengucapkan takziah kepada seluruh rakyat Rusia, khususnya mangsa dan keluarga mereka yang terlibat dalam pengeboman itu.

Pada masa sama, DPPM juga mengambil kesempatan ini untuk menggesa semua pihak agar tidak mengeksploit atau membiarkan insiden ini dieksploit oleh pihak-pihak berkepentingan, berlatar belakangkan pergolakan dan persaingan geopolitik yang sedang berlangsung melibatkan Rusia, kumpulan-kumpulan militan, dan kuasa-kuasa luar di Eropah, Asia Barat dan rantau berdekatan Rusia.

Sejarah sekurang-kurangnya dua pengeboman dan insiden terorisme di Rusia telah dieksploit untuk memerangi penentang Moscow di Chechnya dan Kaukasus, iaitu insiden pengeboman apartmen pada 1999 dan krisis tebusan pada 2002, kedua-duanya di Moscow.

DPPM juga berharap mana-mana pihak sama ada Rusia dan pihak lain tidak menjadikan insiden ini sebagai satu alasan membina konsensus untuk mendesak tindakan-tindakan tertentu.

Diharap insiden ini dinilai dan diambil pengajaran daripadanya, mengelakkan sebarang reaksi yang boleh memburukkan lagi keadaan politik global masa kini.

"Bertekad Melebar Muafakat"
"Inilah Penyelesaian Kita"

Khalil Hadi

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
TIMBALAN KETUA DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
5 APRIL 2017 | 8 REJAB 1438 - HARAKAHDAILY 5/4/2017

SAYA ditanya MP bukan Islam, kenapa MP PAS bersungguh sangat nak laksanakan hukum islam. Mengapa tidak utamakan dulu soal mendidik kerana islam mengutamakan pendidikan berbanding hukuman sebagaimana ucapan tokoh-tokoh dunia Islam katanya.

Saya jawab ya, Islam utamakan pendidikan namun untuk menjaga manusia Allah sebagai pencipta manusia telah mempersiapkan acuan hukuman sebagai sebahagian bentuk pendidikan. Tokoh Islam yang YB pergi tanya tu bukan seorang legislator, maka jawapannya betul tetapi di luar konteks.

Tugasan MP adalah sebagai penggubal undang-undang begitu juga MP PAS. Kami bukan setakat Tok lebai tapi Tok lebai yang legislator. Maka menjadi kewajipan bercakap dan menggubal undang-undang dan hukuman bukan sekadar mendidik dan memberi nasihat.

Saya katakan sebagai seorang MP tidak sepatutnya YB bercakap sedemikian kerana setiap kali sidang kita luluskan rang undang-undang yang dalamnya ada hukuman yang berat kepada pesalah. Contohnya RUU Jenayah Seksual Kanak-kanak yang dibentang minggu lepas, hukumannya sangat berat. Kenapa yang ini tak dikatakan perlu utamakan pendidikan berbanding hukuman. Maka dia pun diam.

Kepada agamawan janganlah kelirukan pemahaman terhadap Islam. Penjelasan tentang Islam mestilah dalam ruang teks dan juga konteks. Semoga Allah memberi hidayah buat kita dan mereka.

Ustaz Ahmad Marzuk Shaary
Ahli Parlimen Bachok

TANGGAL 30 Mac merupakan Hari Doktor Sedunia! Satu profesion yang penting dan sangat berisiko jawatannya. Setiap doktor diwajibkan memperoleh Sijil Amalan Perubatan sah dan mematuhi syarat itu untuk menawarkan perkhidmatan perubatan dan kesihatan di Malaysia berdasarkan Akta Perubatan 1971.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, negara memiliki 46,461 doktor dengan 35,545 daripadanya berkhidmat di sektor awam dan 12,446 doktor berkhidmat di sektor swasta. (Berita Harian Online, 21 Mac 2017)

Manakala bagi hospital kerajaan kini mempunyai 4,474 pegawai perubatan pakar sehingga 30 September 2016 (Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah). Angka tersebut mewakili 91.9 peratus daripada jumlah keseluruhan jawatan berkenaan sebanyak 4,870.

Perkhidmatan yang tanpa mengenal warna kulit, bangsa, agama sentiasa diutamakan oleh seluruh doktor yang berkhidmat di hospital kerajaan mahupun hospital swasta. Pengorbanan masa, tenaga dan kadang kala ketika waktu rehat atau bercuti juga dikorbankan untuk membantu para pesakit yang memerlukan khidmat kepakaran mereka.

Memetik firman Allah yang bermaksud: “Katakanlah: Hai hamba-hamba-Ku yang beriman, bertaqwalah kepada Tuhanmu. Orang-orang yang berbuat baik di dunia ini memperoleh kebaikan. Dan bumi Allah itu luas. Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabar yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.” (az-Zumar: 10)

Justeru, seluruh rakyat Malaysia amnya perlu mengucapkan rasa terima kasih dan menghargai segala jasa dan bakti yang telah dicurahkan kepada kita semua sejak kecil hingga dewasa ini.

"Tidaklah Allah menurunkan penyakit kecuali Dia juga menurunkan penawarnya.” (HR Bukhari)

Harapan buat seluruh para doktor, teruskan berkhidmat dengan penuh dedikasi dan kekalkan profesion cemerlang dalam perkhidmatan yang diberikan. Semoga Allah sentiasa mengurniakan kesihatan yang baik, kekuatan, ketenangan dan ketabahan buat penjawat yang bergelar doktor! Terima kasih infiniti buat doktor untuk segala jasa yang telah dicurahkan!

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
3 Rejab 1438 / 31 Mac 2017 - HARAKAHDAILY 31/3/2017

LEBIH seminggu yang lalu, saya dan YB Ustaz Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz dan YB Dato' Dr Khairudin Aman Razali at Takiri telah mengunjungi 2 orang tokoh ulamak terkenal di dunia Islam iaitu Asy Syeikh Dr. Hammam Said sebagai mantan Muraaqibul Aam Ikhwanul Muslimin Jordan dan juga Asy Syeikh Dr. Solah Khaalidi seorang mufassir tersohor di kediaman mereka Amman Jordan.

hamam2Kunjungan kami adalah untuk berbincang dan mendapatkan nasihat serta pandangan mereka mengenai perkembangan Islam di peringkat antarabangsa termasuklah perkembangan Islam dan syariatnya di Malaysia.

Ilmu dan pengetahuan mereka mengenai perkembangan Islam mutaakhir ini tidak usah dipersoalkan lagi. Lebih menarik, mereka juga mengikuti perkembangan Islam di Malaysia dari dekat terutama melalui media on-line dan anak-anak murid mereka dari kalangan pelajar Malaysia yang menuntut di sana.

Antara topik paling menarik ialah penegasan sikap mereka berdua dalam memperjuangkan syariat Islam dan mengeluarkan sokongan terbuka kepada PAS yang berusaha mengangkat pelaksanaan Syariat Islam di Parlimen melalui Rang Undang-Undang Persendirian bagi maksud Meminda Akta 355.

Kedua-dua tokoh ulamak tersebut sangat tertarik dengan keunikan proses yang berlaku, apabila usaha PAS ini tidaklah menggunakan kekerasan, pemaksaan, revolusi, subversif dan seumpamanya tetapi menggunakan "pintu depan" dengan membawanya ke parlimen dan berusaha mencari simple majority dari kalangan ahli parlimen. Ianya sangat demokratik dan tidak mencetus ketegangan.

Justeru itu, mereka bukan sahaja menyokong malah telah menyeru supaya ahli-ahli parlimen Malaysia, khasnya yang beragama Islam supaya menyokong usaha murni untuk memperkasakan pelaksanaan syariat Islam dalam sistem perundangan di Malaysia.

Transkrip ucapan Asy Syeikh Dr. Hammam Said telah dimuat naik ke Harakah Daily untuk tatapan awam. Rujuk:

http://www.harakahdaily.net.my/index.php/berita/77-berita/ruu355/838-transkripsi-ucapan-sokongan-meminda-akta-355http://www.harakahdaily.net.my/index.php/berita/77-berita/ruu355/838-transkripsi-ucapan-sokongan-meminda-akta-355

Saya harap, biarpun tekanan terlalu hebat  dengan pelbagai fitnah dan spekulasi untuk Pindaan Akta 355 ini diluluskan di parlimen, ia akhirnya berjaya diluluskan insyaallah. Doakanlah semoga Allah swt permudahkan urusan, mengurniakan kekuatan kepada para pejuang dan memberi hidayah kepada semua ahli parlimen untuk memberi undi sokongan kepada Pindaan Akta 355.

Nyata PAS tidak berseorangan melainkan pelbagai pihak telah bersatu dan menyokong usaha murni ini termasuklah 2 tokoh ulamak kontemporarI di peringkat antarabangsa.

Kesempatan ini, saya turut menyeru para alim ulamak di Malaysia turut bersatu tenaga dan berpadu suara menasihati dan menggesa para ahli parlimen agar mereka menyokong Pindaan Akta 355 ini di parlimen kelak.

Perkasakan Syariat Rakyat Sejahtera

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
29 Mac 2017  |  01 Rejab 1438 - HARAKAHDAILY 29/3/2017

MASUK syurga di akhirat nanti adalah cita-cita tertinggi orang yang beriman kepada Allah. Tiada nikmat tertinggi kurniaan Allah selain syurga-Nya yang dipenuhi nikmat yang tak terjangkau dek khayalan manusia.

Membaca dan memahami ayat-ayat al Quran dan hadis-hadis nabi berkaitan syurga, isi dan kehidupan penghuninya nanti menjadikan hati orang beriman meronta-ronta untuk segera memperolehinya. Tapi manalah daya kita. Syurga itu letaknya di akhirat dan kita dipisahkan daripadanya oleh kematian diri yang entah bila kunjungnya. Entah bila tiba ajal kita itulah yang cukup membebankan jiwa kita dan seluruh orang mukmin.

Syurga bukan senang untuk diperolehi. Hidup ini perlu lurus. Membina laluan salah dan bengkok di dunia boleh saja mencampakkan manusia ke neraka Allah yang dipenuhi pula dengan azab yang tak terperi. Justeru dengan syarat yang ketat itu, bergetar ketakutanlah jiwa orang mukmin mengharungi kehidupan sebelum mati yang penuh onak dan duri itu untuk kekal lurus dan istiqamah di jalan menuju syurga.

Tetapi kegerunan di hati orang mukmin dan rasa gementar itu sebenarnya adalah lahir daripada harapan yang tinggi kepada Allah agar dia dikurniakan syurga firdausi. Terus mengharap dan tidak berputus asa itulah yang menghidupkan hatinya memburu syurga. Ya, berapa ramai yang jemu dan malas menunggu di dalam urusan dan hal duniawi ini lagi. Menunggu itu adalah satu penyeksaan yang amat dibenci. Itu hal dan urusan dunia. Inikan pula menunggu syurga yang entah bila datang ajalnya. Lagi pula, jauhnya syurga di mata manusia menambahkan lagi putus asa manusia untuk berfikir serius dan mengimpikan syurga.

Maka manusia lebih suka memilih keseronokan duniawi yang segera dan mudah diperolehi. Manusia yang sememangnya berjiwa keluh kesah dan tidak sabar akan berusaha menggambarkan dunia sementara ini sebagai syurga yang hebat. Mereka dengan sengaja memejamkan mata daripada berfikir mengenai mati dan kehidupan selepasnya. Kata mereka, buat apa mengazab diri dengan menunggu-nunggu suatu yang jauh entah bila? Syurga (dunia) sudah ada di depan mata dengan segala nikmat dan keseronokan. Begitulah kedudukan syurga di mata manusia yang lalai.

Tetapi orang mukmin adalah sebaliknya. Dia sudah mengenal hakikat kehidupan. Dunia ini sementara sifatnya. Ajalnya sendiri adalah lebih pendek. Boleh dibilang panjang pendek umur semua manusia. Tiada manusia yang dilupai umurnya dek kerana terlalu panjang dan lama hidupnya. Hari-hari yang berlalu adalah cerita musibah, kecelakaan, kematian dan kubur. Bagaimana boleh begitu mudah melupai kematian, akhirat dan syurga?

Justeru impian menggunung untuk memiliki syurga di akhirat terus teguh di jiwa orang yang beriman. Dengan keyakinan yang tinggi itu, kesabaran menanti menjadi mudah dan biasa. Malah ia bertukar menjadi hamparan kepada binaan sebuah hati yang tenang.

Hati yang tenang adalah hati pemilik syurga di dunia dan akhirat. Syurga di dunia bukanlah segala nikmat dan kemewahan kebendaan duniawi ini. Itu sementara, hancur dan hilang sifatnya. Apa yang hancur dan hilang bukanlah syurga. Syurga nikmatnya kekal abadi. Tiada ketakutan dan tiada kesedihan menanti esok hari yang tiada padanya kematian dan kehilangan.

Syurga dunia hakikatnya adalah pemilik hati yang tenang menanti hari akhirat. Hati yang tenang itu pula adalah terhasil daripada ketakutan dan kegerunan menghadapi kehidupan dunia dan hari kematian tetapi telah diisi dengan keazaman dan kesungguhan memperolehi janji syurga di akhirat nanti.

Ia seperti seorang penuntut yang gigih belajar untuk menghadapi hari peperiksaan demi kejayaan yang diimpikannya. Pada hari peperiksaan, dia gementar dan sedikit gugup tetapi jiwanya tetap tenang dengan segala persediaan yang telah dilakukannya sejak awal. Bagaimana pula dengan penuntut yang tidak bersedia menghadapi hari peperiksaan, malah bersuka ria dan leka sepanjang masa? Ya, dia akan ketakutan sekali dan tiada apa lagi yang boleh menenangkan jiwanya yang kosong dan tanpa jawaban apabila memasuki dewan peperiksaan.

Jiwa yang tenang terhasil daripada mengingati Allah. Mengingati akhirat, syurga, neraka dan kehidupan di sana semuanya adalah terhasil daripada mengingati Allah. Akhirat dan syurga adalah milik Allah. Bagaimana dibayangkan dan diimpikan syurga tanpa mengingati penciptanya?

Mengingati Allah adalah kemuncak tertinggi nikmat kehidupan di dunia. Ia adalah matlamat ibadah sebagaimana ibadah adalah matlamat kehidupan. Mengapa hidup? Untuk beribadah. Mengapa beribadah? Untuk mengingati Allah. Mengapa mengingati Allah? Untuk sebuah jiwa sang hamba yang tenang dan syurgawi nilainya. Begitulah kedudukan zikrullah.

Apa erti solat yang lalai dan lagha tanpa mampu mengingati Allah? Siapa kata tanpa solat pun boleh memgingati Allah? Sesungguhnya orang yang meninggalkan ibadah sudah pasti lalai daripada mengingati Allah dan orang yang solatnya lalai akan terkandas juga daripada mengingati Allah.

Justeru pemilik jiwa yang tenang sebenarnya sudah pun memperolehi syurga. Mengapa? Kerana dia telah mencapai tingkatan zikrullah. Bukankah jiwa yang tenang hanya wujud dengan zikrullah? Hayatilah firman-Nya, "Ketahuilah bahawa hanya dengan mengingati Allah jiwa akan menjadi tenang."

Hanya ajal yang memisahkan pemilik hati syurga ini (mukmin yang tenang jiwanya) daripada syurga sebenar di akhirat nanti. Dia hakikatnya adalah ahli syurga yang sedang dagang di dunia ini. Dunia ini adalah persinggahannya yang sementara. Hatinya meronta-ronta untuk kembali ke tempat asalnya.

Lihatlah bagaimana lembutnya Allah menjemput pemilik hati yang tenang nanti menuju ke tempat asalnya itu, "Aduhai jiwa yang tenang. KEMBALIlah kepada tuhanmu dalam ridhamu (pada-Ku) dan ridha-Ku (padamu). MASUKlah dikau di kalangan hamba-hamba-Ku (yang telah mendahului dan sedia menantimu dengan gembira) dan MASUKlah dikau ke dalam syurga-Ku." (al Fajr: 30)

Bagaimana memperolehi jiwa yang tenang? Ya, dengan mengingati Allah. Bagaimana untuk mengingati Allah? Ya, dengan memperelokkan persembahan ibadah kita kepada-Nya. Bagaimana memperelokkan ibadah? Ya, dengan menambahkan pengenalan diri terhadap Allah. Semuanya bermula daripada keupayaan dan kejayaan kita mengenali Allah yang maha agung.

Untuk mengenali Allah, cara terbaik adalah mendalami al Quran. Al Quran adalah ilmu paling dekat untuk mengenali Allah. Ia juga adalah hidayat paling dekat untuk diperolehi. Al Quran jalannya nyata, mudah dan dekat di hati. Apa yang perlu adalah kita memperolehi guru yang terbaik untuk mengajarkan kita tentang al Quran.

Jiwa yang tenang dengan zikrullah akan hidup di dunia dengan penuh ketenangan.

Dia tidak dibebankan dengan keluh kesah hidup dunia. Dia sudah mendakap impiannya menuju redha dan syurga tuhannya. Susah senang hidup di dunia adalah sama baginya. Jika senang, hati dan lidahnya akan memuji dan mensyukuri tuhannya. Jika susah, dia bersabar dan pasrah kepada tuhannya.

Baginya, apa yang berlaku pada dirinya adalah ketentuan Allah ke atas dirinya. Dia beriman bahawa tuhannya mahukan sebuah kesyukuran tertinggi daripada hamba-Nya yang diciptakan-Nya sebagai sebaik-baik makhluk di alam maya ini. Jom mari membina hati yang tenang dengan mengingati Allah.

INFLASI negara pada Februari telah mencecah 4.5%, jauh lebih tinggi daripada apa yang dijangka para penganalisis ekonomi. Perkara ini tidak mengejutkan ekoran tindakan kerajaan menaikkan harga minyak kepada RM2.30 pada 1 Februari 2017 tanpa mempedulikan kesan terhadap rakyat.

Perlu diingat, kadar inflasi sebenar adalah lebih tinggi pada realiti. Ini bermakna harga barangan akan terus meningkat, rakyat yang sudah merana terpaksa lagi membayar lebih pada bulan-bulan akan datang untuk segala jenis barangan konsumer.

Mengumumkan harga minyak baharu secara mingguan bukan cara holistik untuk menyelesaikan masalah kenaikan kos sara hidup rakyat. Apabila kerajaan bereksperimen dengan harga siling minyak nanti, dikhuatiri kerajaan akan menggunakan persaingan harga minyak antara stesen minyak untuk mencuri peluang mengenakan GST pula pada pembelian petrol, kononnya untuk mengelakkan penyelewengan.

PAS mengulangi gesaan agar kadar GST diturunkan sejajar dengan kenaikan kadar inflasi. Memandangkan kadar inflasi telah naik sebanyak 1.3% daripada Januari ke Februari, maka sewajarnya kadar GST diturunkan daripada 6% kepada 4.7%.

Penurunan kadar GST sejajar kenaikan kadar inflasi boleh menstabilkan kuasa membeli rakyat dan seterusnya menurunkan tekanan pada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

PAS mengulangi bahawa menurunkan kadar GST sejajar dengan kenaikan kadar inflasi tidak akan sesekali mengurangkan nilai kutipan GST kepada kerajaan, kerana harga barangan yang lebih mahal akan mengimbangi penurunan kadar GST.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
25 Mac 2017 - HARAKAHDAILY 25/3/2017