ISLAM sentiasa memberikan panduan kepada penganutnya dalam melaksanakan gerak kerja Islam dan meletakkan segala pergantungan dan pengharapan hanya kepada Allah Taala.

Maka sewajarnya bagi semua penggerak Parti Islam Se-Malaysia (PAS) untuk mengingatkan diri sendiri dan sahabat sejemaah bahawa dalam keghairahan melakukan gerak kerja tarbiah, dakwah dan siasah jangan sesekali melupakan munajat dan doa kepada Allah Taala demi meraih redha dan nushrah daripada-Nya.

Menjelang PRU14 ini, sebaiknya semua ahli PAS menjaga diri daripada melakukan maksiat, menggandakan ibadat serta memperbanyakkan zikir dan wirid antaranya yang telah thabit daripada hadis Nabi Muhammad SAW:

يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيثُ

“Ya Hayyu ya Qayyum birahmatika astaghits” yang bermaksud "Ya Allah Yang Maha Hidup, ya Allah Yang Maha Pengatur, aku mohon pertolongan dengan rahmat-Mu! (Hadis Hasan Riwayat Tirmidzi)

Wirid ini dibacakan oleh Baginda Rasulullah SAW tatkala menghadapi kesukaran dan semoga dengan keberkatannya Allah memudahkan kesukaran kita jua serta memenangkan Islam dan jemaahnya pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Saya menyeru agar semua lapisan muslimin dan muslimat juga menjaga hubungan dengan Allah agar negara kita diberikan keberkatan berpanjangan oleh-Nya.

USTAZ MUSTAQIM ALING
Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Sabah

KEDAH seperti perawan manis menunggu ketibaan rombongan meminang, segalanya indah nian. Sarat dengan harapan dan kenangan manis dengan segala persiapan yang telah diatur rapi selama berbulan-bulan tanpa lelah oleh petugas PAS Kedah. Cahaya rembulan memantulkan warna indah pada Kompleks PAS Kedah yang dibina dengan pengorbanan ahli dan pimpinan PAS, semuanya menunggu para perwakilan dan pemerhati daripada seluruh pelosok negara. Elok juga kita mengenang pengorbanan para leluhur yang berjuang menubuhkan harakatul ummah ini sehingga hampir mencecah umur 66 tahun ini.

Ulama dan agamawan Tanah Melayu yang berhimpun di Gunung Semanggol telah mengasaskan Hizbul Muslimin pada Mac 1948, namun umur parti Islam sangat singkat dengan pengenalan Ordinan Darurat pada Jun 1948. Ruang politik yang tidak kondusif di zaman darurat dengan penangkapan massa secara rambang telah membentur kebangkitan rakyat. Segelintir ulama telah menyertai Biro Agama Umno dan seterusnya telah menubuhkan Persatuan Islam Se-Tanah Melayu pada 24 November 1951.

Dasar perjuangan PAS ialah untuk membebaskan Tanah Melayu daripada belenggu penjajahan British dan menegakkan sebuah pemerintahan Islam berlandaskan al-Quran dan Hadis. Maka untuk mencapai matlamat itu, PAS telah berkerjasama dengan parti-parti yang lain di Persekutuan Tanah Melayu untuk mendesak British hak pemerintahan sendiri dan merdeka. PAS telah menghantar tiga orang wakil iaitu Mohad Asri Haji Muda, Tuan Haji Ahmad Tuan Hussien dan Ustaz Uthman Abdullah.

Dalam persidangan itu, PAS mempertahankan pendirian politiknya iaitu Persekutuan Tanah Melayu adalah milik bangsa Melayu. Oleh kerana itu, PAS membawa usul bahawa apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, kedudukan orang Melayu sebagai pemilik negeri ini yang asal dan sah tidak harus dilupakan. PAS telah meminta supaya bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi negara secepat mungkin sebagai penganti bahasa Inggeris. PAS juga mendesak supaya agama Islam diletakkan di tempat yang penting di Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka nanti. PAS juga tidak menyokong cadangan Umno-MCA untuk menjadikan prinsip Jus Soli sebagai syarat kelayakan mengundi bagi orang-orang asing. Bagi PAS, orang-orang asing tidak mempunyai hak untuk mengundi kerana mereka bukan rakyat negara itu. PAS juga menolak cadangan perikatan Umno-MCA yang mahukan suruhanjaya bebas dilantik untuk menggubal perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

Sungguhpun berbeza pendapat berhubung dengan corak kemerdekaan Tanah Melayu yang bakal merdeka, PAS tidak mengkhianati atau menghalang usaha-usha parti perikatan parti tersebut sehubung dengan tuntutan kemerdekaan Prof Dr Zulkifli Muhammad, Timbalan Yang Dipertua Agung, pernah menegaskan bahawa: “Salah besar hukumnya bagi orang Islam duduk di bawah penjajah asing oleh orang yang tidak seagama dengannya. Sebab itu umat Islam diwajibkan oleh Tuhan-nya memperjuangkan kemerdekaan bagi melepaskan dirinya dari ikatan penjajahan oleh orang-orang yang tidak sekeyakinan dengannya. Jadi nyatalah bahawa memperjuangkan kemerdekaan itu adalah kewajipan bagi umat Islam, dan bagi PAS sebagai parti politik Islam bukan sahaja merupakan kewajipan politik semata-mata tetapi lebih merupakan perintah agama, perintah Tuhan yang mesti dijunjung dan dilaksanakan".

Musuh PAS beberapa dekad selepas merdeka telah memfitnah PAS sebagai parti penghalang kemerdekaan, sebuah parti yang tidak ingin kepada kemerdekaan dan dilahirkan oleh British. Sejarah pula menyaksikan ulamalah yang mengucur keringat dalam memperjuangkan kemerdekaan.

PAS memberikan sokongan sepenuhnya terhadap rombongan Tunku Abdul Rahman, Yang Dipertua Umno ke London pada bulan September 1953 untuk menyerahkan memorandum yang disusun oleh Jawatankuasa Persidangan Kebangsaan kepada kerajaan British bagi menuntut diadakan segera pilihan raya di peringkat Persekutuan. Hasil desakan bersepadu daripada parti-parti politik itu, British bersetuju untuk mengadakan Pilihan Raya Persekutuan pada tahun 1955.

Pada bulan Ogos dan Oktober 1953, PAS menyertai persidangan kebangsaan tajaan perikatan Umno-MCA bagi membahaskan cadangan untuk mendesak kerajaan British mengadakan Pilihan Raya Persekutuan 1954, iaitu sebagai langkah awal ke arah pemerintahan sendiri. Maknanya PAS melakukan apa sahaja bagi memastikan jalan kemerdekaan dapat diraih, pilihan raya yang pertama sangat penting bagi menyediakan rakyat Tanah Melayu untuk bekerajaan sendiri.

Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) kemudiannya didaftarkan dengan Pandaftar Persatuan sebagai Pan-Malayan Islamic Party (PMIP) atau PAS (dua minggu) sebelum 31 Mei 1955 iaitu hari penamaan calon pilihan raya pertama Persekutuan Tanah Melayu yang telah berlangsung pada 27 Julai 1955. Nama Persatuan Islam Se-Malaya kemudiannya ditukar dalam persidangan pada 25-27 Disember 1971, ia ditukar sekali lagi menjadi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan kekal hingga ke hari ini. - HARAKAHDAILY 25/4/2017

SAYA tertarik dengan respons Parti Amanah Negara apabila saya katakan Pan jangan masuk di kerusi PAS lawan Umno.

Respons mereka mengesahkan sememangnya Pan adalah penyebab kepada 3 penjuru. Dan sememangnya mereka berhasrat dan berniat untuk berlaku 3 penjuru

Jika 3 parti PAS, PKR dan DAP kekal pada kerusi masing-masing pada PRU ke-13 bertanding lawan BN maka tak akan berlaku 3 penjuru.

Tapi yang pasti Pan tentu mahu bertanding di kerusi tradisi PAS lawan Umno bagi merelevenkan kehadiran mereka dalam politik iaitu Pan nak ganti PAS.

PBBM juga mahu. Sebab itu dia mahu berunding kerusi dengan PAS.

Idea 2 penjuru yang PH jaja selama ini apa maksudnya?
Adakah maksudnya PAS jangan kacau kerusi DAP lawan MCA dan Gerakan?

Juga PAS jangan kacau kerusi pkr lawan MCA dan Umno, manakala kerusi tradisi PAS pula sebanyak lebih kurang 80 kerusi lawan Umno akan diagih-agihkan kalangan PAS, Pan dan PBBM?

Begitukah maksud mereka?

Kalau itu maksud mereka ia bererti idea dua penjuru bertujuan mengecilkan size PAS dalam pertandingan pilihan raya.

Jika BN jatuh maka PAS hanyalah parti politik yang seumpama melukut di tepi gantang parti-parti pembangkang lain. Perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS tidak akan ke mana.

Sebab itu saya tegaskan Pan dan PBBM jangan bertanding d kerusi PAS lawan Umno iaitu 80 kerusi tradisi. Ia hanya akan menguntungkan Umno.

Pan dan PBBM minta sahaja sebahagian kerusi DAP dan PKR tandingi iaitu sebanyak lebih kurang 150 kerusi parlimen termasuk Sabah dab Sarawak. Itu akan menjadikan pembangkang satu lawan satu dengan BN.

Ia sangat senang untuk difahami.

SELAIN nama bekas Mursyidul Am PAS, Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, nama bekas Presiden PAS, Almarhum Datuk Fadzil Mohd Noor, juga sering disalahguna oleh golongan tertentu untuk menunjukkan kononnya PAS di bawah pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah golongan “purist” yang kononnya bersifat jumud dengan hanya menekankan kepada agenda pelaksanaan syariat berbanding golongan "mainstreamer".

Walhal hakikat sebenarnya adalah jauh berbeza.

Ini adalah kerana, di bawah pimpinan Almarhum Datuk Fadzil Mohd Noor sebagai Presiden-lah, dan di bawah pimpinan Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai sebagai Mursyidul Am-lah, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Harian PAS Pusat pada 7 Julai 2001 telah memutuskan bahawa “PAS tidak akan mengorbankan prinsip perjuangan dan undur ke belakang semata-mata untuk melayan kehendak Parti DAP” dan bahawa “prinsip (menegakkan Negara Islam) ini akan dipertahankan walaupun terpaksa kehilangan Parti DAP di dalam pakatan Barisan Alternatif”.

Akibat ketegasan Almarhum Datuk Fadzil Mohd Noor, dan Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mempertahankan prinsip perjuangan PAS inilah maka akhirnya Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP pun memutuskan penarikan diri DAP dari Barisan Alternatif mulai 22 September 2001.

Pemimpin seperti Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong, mahupun mana-mana pemimpin lain yang sering menyalahgunakan nama Almarhum Datuk Fadzil Mohd Noor, dan nama Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sama ada terlalu benak untuk memahami perkara ini atau sengaja mahu menyelewengkan fakta demi kepentingan sendiri.

Kalau mahu dikira mengenai pesanan dan amanat bekas pimpinan PAS yang telah pergi mengadap Ilahi, maka pesanan dan amanat Almarhum Datuk Fadzil Mohd Noor di dalam ucapan dasar Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-48 pada 31 Mei 2002-lah yang paling awla diberikan perhatian kerana ini adalah pesanan dan amanat rasmi terakhir Almarhum sebelum pergi mengadap Ilahi pada 23 Jun 2002.

Pesanan dan amanat rasmi terakhir Almarhum Datuk Fadzil Mohd Noor kepada PAS ini adalah berbunyi: “Agenda pelaksanaan syariat adalah agenda terpaling mulia dan maha besar yang perlu disegerakan oleh seluruh pimpinan negara ini. Ia adalah ibadah dan jihad yang paling awla (utama) yang perlu didepani oleh seluruh umat ini”.

Jadi, bila ketiga-tiga Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Almarhum Datuk Fadzil Mohd Noor dan Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz meletakkan agenda pelaksanaan syariat sebagai agenda terpenting PAS, hingga sanggup berpisah dengan DAP kerananya, maka di manakah bezanya antara PAS Abdul Hadi dan PAS Fadzil Noor atau PAS Nik Aziz? - HARAKAHDAILY 23/4/2017

ISLAM adalah agama ilmu. Mengenali Allah yang merupakan inti utama Islam tidak akan mampu dihasilkan tanpa ilmu yang mendalam. Islam bukanlah satu agama ikut-ikutan yang diwarisi tanpa keperluan ilmu di dada sebagaimana agama lain.

Lihatlah bagaimana ramai manusia merayau-rayau dalam kegelapan dan kesesatan menyembah tuhan-tuhan selain Allah. Itu semua kerana mereka gagal mengenal dan mengesan wujud Allah yang hakikatnya terlalu dekat dan di mana-mana pun. Kerana gagal mengenal Allah dan dengan sebab desakan jiwa manusia yang memerlukan tuhan untuk disembah, akhirnya mereka terpaksa mencipta tuhan-tuhan andaian berdasarkan sangkaan masing-masing tanpa ilmu dan bukti yang pasti.

Islam berkembang dan maju dengan ilmu. Ia memperolehi kekuasaan dan membina tamadun manusiawi yang hebat dengan ilmunya yang kukuh dan benar. Apabila pada masa dan zaman tertentu umat Islam melepaskan diri daripada ilmu dan membiarkan diri mereka diulik kejahilan, nafsu dan keseronokan, negara dan tamadun umat Islam akan merudum dan kalah. Mereka sudah kehilangan pengenalan diri dan jati diri yang sebenar. Mereka sudah menghampiri sempadan kekufuran yang tidak pernah bersandarkan ilmu yang benar.

Ertinya, Islam dan ilmu adalah terlalu bersebati, malahan boleh saja dikatakan bahawa Islam dan ilmu adalah satu. Tanpa Islam, ilmu yang wujud hanyalah terkontang-kanting tanpa tali dan tunjang yang mengikat. Ia ilmu tapi menyesatkan. Apa gunanya? Justeru anda melihat bagaimana Allah di dalam firman-firmanNya menempelak para ilmuan yang gagal menembusi ilmu akhirat sehingga mereka hanya berlegar dalam ilmu dunia yang terlalu sempit. Allah menegaskan bahawa jikalah hidup ini sekadar untuk dunia, akal dari otak haiwan adalah mencukupi untuk dunia ini.

Tetapi akal manusia diciptakan dengan matlamat yang lebih besar. Ia bukan sekadar untuk mengesan keajaiban dunia dan menyembahnya, bahkan akal manusia diciptakan untuk terbang menerawang lebih tinggi merentas alam atas bagi menerokai kehidupan alam malakut samawiyah yang lebih abadi dan hakiki. Ia tidak mungkin dikesan dengan mata dan panca indera. Tetapi ia dikesan dengan akal dan hati yang menjadi peti menjana dan mengaktifkan ilmu yang dimiliki. Di situlah manusia mengenal Allah, alam ghaibNya dan segala-gala yang dijanjikan Allah untuk kehidupan manusia di alam akhirat nanti.

Maka ilmu adalah keperluan pertama dalam Islam. Di mana ilmu yang bermanfaat ditemui, di situlah muslim akan berpusu-pusu kepadanya. Muslim yang benar terhadap agama dan tuhannya akan mendambakan ilmu bagai orang yang lapar dan dahaga. Begitulah sayugianya hidup sebagai seorang muslim. Mereka menjadi musuh kepada kejahilan, memeranginya dan menggantikannya dengan tanaman pohon-pohon ilmu yang subur menghijau.

Justeru terserlahlah keperluan kepada sumber-sumber ilmu. Tersergamlah kebesaran orang-orang yang berilmu. Merekalah sumber dan punca ilmu. Mereka didatangi daripada segenap pelusuk bumi demi menimba ilmu dan mendalaminya. Jika ada kiblat kedua selepas kaabah, maka orang yang tinggi ilmunyalah yang akan menjadi kiblat kedua umat Islam.

Orang berilmu atau para ulamak adalah lambang kekuatan dan kelestarian agama Islam. Mereka menjadi sumber petunjuk, rujukan dan jambatan kepada sumber asal Islam iaitu al Quran dan Sunnah nabi sallaLlahu alaihi wasallam. Tanpa mereka, tidak mungkin umat Islam mampu terpimpin dengan hidayat yang benar kerana kedua-dua rujukan itu, selain memerlukan kemahiran bahasa Arab yang tinggi, ia juga memerlukan fiqh dan kefahaman yang mendalam.

Kewujudan para ulamak pada sepanjang zaman adalah jaminan ke atas agama ini. Merekalah yang mewarisi keilmuan para anbiya', menjaganya, mengembangkannya dan mengasingkan yang benar daripada yang palsu dalam beragama. Adalah satu mukjizat yang nyata bahawa hanya agama Islam sahaja yang memiliki sumber hukum asal yang tidak pernah berubah sejak ribuan tahun.

Allah menganugerahkan akal yang sihat untuk menjaga agamaNya. Akal yang sihat adalah terhasil daripada mujahadah yang tinggi di dalam mendekati Allah. Para ulamak yang bertaqwa menghiasi kehidupan mulia umat Islam. Mereka adalah tubuh manusia yang membina kehidupan dengan membina diri sendiri dengan iman yang benar, kefahaman yang tinggi, keikhlasan yang terpancar, akhlak yang mulia dan gaya hidup yang lurus di jalan Allah. Mereka adalah contoh buat kehidupan seluruh manusia.

Justeru umat Islam adalah selamat selama mana mereka meletakkan diri mereka di bawah bimbingan para ulamak di dalam menguruskan hidup mereka yang mesti selari dengan syariat ugama. Dunia yang penuh ujian ini sudah pasti semudahnya melekakan manusia dengan tipu dayanya. Para ulamaklah sebaik-baik pertolongan bagi mengingatkan dan menunjuki mereka jalan yang benar dan selamat.

Tetapi kehidupan ini bukanlah semudah yang ditulis dan digambarkan. Ia terus memakan dan meratah manusia pada setiap masa. Para ulamak juga tidak terkecuali. Mereka juga kadang-kadang dikalahkan oleh serangan-serangan duniawi yang datang daripada pelbagai arah. Jika itu para ulamak yang penuh ilmu di dada, bagaimanalah pula orang awam yang memerlukan bimbingan mereka? Sudah pasti ancamannya adalah lebih besar.

Perhatikan pergolakan dan konflik yang melanda manusia. Ia hasil kesukaran manusia untuk bersatu, hidup saling menghormati dan mengelak perlanggaran ke atas samada hak individu atau ramai. Dunia ini dikongsi dan dipandu oleh akal yang bijaksana dan nafsu yang berkuasa. Mereka ini saling bertengkar dan saling menunjuk kekuatan. Apabila sampai ke kemuncak dan tiada lagi pertimbangan, mereka bersedia bertumpah darah walaupun memakan ribuan dan jutaan nyawa.

Begitu juga para ulamak. Mereka golongan bijaksana. Allah anugerahkan mereka kekuatan akal yang membolehkan mereka memahami ugama dengan baik. Tetapi di dalam menghadapi kehidupan yang penuh kepelbagaian di dalam banyak hal, para ulamak juga berselisih sesama mereka di dalam mememukan jawaban yang terbaik. Perselisihan kadang-kadang menghilangkan akhlak dan timbang rasa. Akhirnya anda melihat para ulamak juga berbalahan sesama sendiri.

Apabila ini berlaku, ia adalah saat yang sukar untuk ditempuh. Lebih-lebih lagi apabila para ulamak sendiri dengan sifat-sifat lemah manusia yang terbaki, mereka sendiri melampaui batas dan akhlak. Daripada mengajak pengikut dan umat kepada panduan ugama, mereka bergerak mengajak kepada pandangan dan pendapat mereka sendiri. Maka kita melihat kumpulan-kumpulan kecil umat yang berkelahi kerana masing-masing merajakan para ulamak masing-masing.

Di sinilah Islam mengembalikan umatnya kepada jalan yang lurus melalui kebijaksanaan atau akalan kedua yang wajib ditaati dan diakuri. Dalam erti, akal pertama yang dimiliki oleh para ulamak dan cerdik pandai bukan jaminan ke atas segala kekalutan dan konflik manusia yang mesti diselesaikan.

Kebijaksanaan kedua adalah akal jamaah. Allah mewajibkan umat Islam hidup berjamaah. Mereka diwajibkan mendengar dan tunduk kepada keputusan yang diputuskan oleh ketua yang memimpin jamaah. Jamaah yang terbesar adalah negara khilafah yang berpandukan ugama. Jika tiada negara Islam seperti di negara-negara bukan Islam atau negara yang fasiq, jamaah mereka adalah himpunan para ulamak yang akan menguruskan kehidupan berkaitan umat Islam.

Jika umat Islam yang gagal berada dalam jamaah adalah membahayakan, maka apatah lagilah jika para ulamaknya juga enggan tunduk pada jamaah bahkan membawa diri masing-masing. Mereka pada hakikatnya akan lebih memecah-belahkan umat Islam jika sekiranya mereka mengambil pendirian berbeza dan menyeru umat Islam kepada pendapat masing-masing. Ia jelas bukan daripada ajaran ugama. Apa-apa yang memecah belahkan kesatuan umat disebabkan keengganan untuk tunduk kepada keputusan ramai adalah salah dan mesti dijauhi.

Islam mewajibkan kesatuan umat. Daripada kesatuan itulah tercetusnya kedamaian, kesejahteraan, kemajuan dan kejayaan. Itulah sebenarnya mengapa Islam mengajak kepada ilmu yang benar. Ilmu yang benar mendorong manusia untuk mementingkan kesatuan dan keharmonian.

Apabila anda memahami ini, adalah mudah untuk anda lebih memahami betapa beruntungnya kita memiliki para ulamak besar yang bersedia berada dalam jamaah dan tunduk kepada keputusan jamaah yang terdiri daripada pemimpin dan bijak pandai ugama yang lain. Keputusan dalam syura jamaah sudah semesti lebih bernilai dan lebih kukuh untuk membina kejayaan umat.

Orang jahil hidup dalam ego merajakan nafsu dan kejahilan mereka sendiri. Orang berilmu juga tiada kurangnya. Keegoan adalah penyakit di dalam diri setiap kita. Ia mesti ditundukkan dan diri mesti dididik untuk merajakan kebenaran ke atas keegoan.

Justeru sentiasalah berada di dalam jamaah Islam. Jika jamaah itu dipenuhi ramai para ulamak, maka itulah jamaah yang paling selamat. Kita berpandukan akal pertama Islam, iaitu akal para ulamak dan kita juga berpandukan akal kedua Islam iaitu akal jamaah. Itulah yang terbaik. Semoga Allah merahmati kita semua.

SAYA merujuk kepada perbicaraan kes Siti Nur Aisyah Atam pada 18hb April 2017 lalu, bekas mahasiswa Sarjana Universiti Malaysia yang berdepan dengan tuduhan di bawah Akta SOSMA.

Mahkamah yang menghakimi, Hakim Mahkamah Tinggi Jenayah Datuk Mohamad Shariff Abu Samad telah memaklumkan akan memberi keputusan pada 2 Mei 2017, lagi 12 hari.

Siti Aisyah asalnya ditahan pada tahun 2016 bila kerajaan mula mengumumkan organisasi terlibat keganasan militan Islam. Ia sebahagian dari operasi kerajaan menahan individu individu yang disyaki terlibat.

Beliau ditanh dan beberapa buah buku buku telah dirampas dan dijadikan bahan bukti, pelbagai bahan bacaan tentang jihad, syahid dan organisasi organisasi sepertinya yang dianggap ‘mujahidin’ atau pejuang agama.

Pasukan pembelaan Siti Aisyah telah berhujjah bahawa pemilikan buku itu tidak menjadi kesalahan ketika penahanan 2016 dilakukan kerana buku-buku itu tidak diwartakan haram oleh pihak kerajaan sendiri.

Ia boleh dijual beli secara terbuka dan bukan urus niaga pertukaran maklumat rahsia serta Aisyah membelinya atas minat beliau mengkaji sesuai status beliau seorang mahasiswa pengajian Islam yang mempunyai hasrat menjadi pendukung agamanya Islam.

Hakim menerima hujah ini, lalu Aishah dibebaskan oleh Hakim Datuk Mohamad Sharif Abu Samad.

Plotnya bertukar tiba-tiba apabila Aishah ditahan semula sebaik pembebasannya kerana pihak pendakwa berkata ada bukti baru dari pasukan pendakwaan dari pihak kerajaan.

Maka perbicaraan dibuka semula. Mahkamah Tinggi yang sama, kes yang sama, hakim yang sama, dan pada 11 April 2017 lalu barulah ‘bukti baru’ berkenaan ditunjukkan kepada mahkamah berupa satu laporan polis bertarikh tahun 2014 (2 tahun sebelum penahanan Aishah) yang pernah dibuat oleh bapa kepada Aishah, Pak Atam.

Semasa masa perbicaraan lebih banyak dihabiskan untuk menyemak keaslian laporan dan penandaan dan tak sempat dibincang apa kandungannya sehinggalah perbicaraan disambung lagi 18 April 2017 yang lalu.

Ceritanya, laporan itu dibuat Pak Atam pada tahun 2014 kerana bimbangkan Aishah yang mahu berkahwin dan mengikut seorang pemuda keluar negara untuk jadi seorang pejuang agama. Laporan dibuat seorang bapa kerana yang khuatirkan masa depan anaknya yang tidak disangka sangka dijadikan bahan bukti pula untuk mensabitkan kesalahan SOSMA ke atas anaknya pada hari ini.

Kes SOSMA Aisyah ini adalah ‘acid test’, ujian yang penting kepada kerajaan sama ada SOSMA ini akan dilihat berlaku adil atau zalim dengan mengulang persepsi zalim, drakonian yang sama ke atas Akta Keselamatan Dalam Negeri yang telah diganti dengan SOSMA ini.

Ia bakal menjadi ‘binding prescedent’, duluan mengikat bagi perjalanan kes kes akan datang.

Saya agak merasa pelik bagaimana penahanan Aisyah yang dibuat pada tahun 2016 setelah Kementerian Dalam Negeri baru mengeluarkan senarai individu dikehendaki (wanted) pada tahun 2016, mahu disabitkan kesalahan oleh satu laporan polis dibuat bapanya pada tahun 2014, dua tahun sebelum itu bertujuan menyelamatkan Aishah?

Tidakkah jika ‘preseden’ ini mahu dibuat ia boleh menyebabkan kesan ke belakang (retrospectif), bila adanya ancaman keganasan oleh pengganas ‘neo-marxist’ yang taksub agenda anarki dan komunis, yang buku bukunya ada dalam pemilikan begitu ramai pemuda dan veteran berfahaman sosialis pada hari ini?

Tahun-tahun awal Aisyah terpengaruh, masyarakat belum begitu terdedah kejahatan IS hinggalah beberapa tahun kemudian ekoran beberapa insiden yang jelas kegiatan ganasnya.

Ketika tahun 2014 Aisyah yang terpengaruh dengan idea jihad sudahkah tahu ia ancaman keselamatan kepada negara?

Hanya tahun 2016 baru KDN keluar senarai dan bertindak serta operasi penahanan dibuat. Aishah salah seorang yang ‘menjadi mangsa’.

Tidakkah boleh diandaikan Aisyah tidak tahu dia buat salah? Dia cuma secara suci hati mahu menjadi seorang muslimat yang mulia yang menyertai perjuangan suci mengikut gambaran apa yang diberi kepadanya ketika itu tanpa tahu ia adalah salah?

Ianya pada tahun 2014, dua tahun selepas itu, rupa-rupanya KDN mahu haramkan pada tahun 2016, menjadi ancaman keselamatan negara.

Apa jadi jika tiba-tiba dua tahun dari sekarang, kumpulan marxist, sosialis luar negara mula menjadi anarchist, pengganas, militan sehingga KDN haramkan dan buat operasi menangkap semua yang ada hubungan dengan mereka.

Adakah kalangan pencinta marxist, lenin, sosialis yang punya pelbagai bahan dan bukti keterlibatan dan pengaruh yang besar dalam hidup mereka seperti buku buku, cenderahati, pada tarikh hari ini, akan jadi buruan kerajaan juga pada masa akan datang?

Semua ini akan rakyat perhatikan.

Pertimbangan mahkamah dari segi keadilan semula jadi akan amat diperhatikan secara kritis oleh segenap lapisan rakyat.

Semoga kes ini memberi kemenangan kepada semua dengan keadilan ditegakkan. - HARAKAHDAILY 23/4/2017

DEWAN Pemuda PAS Malaysia (DPPM) memerhati secara rapat Pilihanraya Kepala Daerah (Pilkada) atau Pemilihan Gabenor Jakarta, Indonesia. Keputusan tidak rasmi menyaksikan pasangan calon Anies Rasyid Baswedan & Sandiaga Salahuddin Uno atau Anies-Sandi mengatasi penyandang Basuki Tjahaja Purnama dan pasangannya Djarot Saiful Hidayat atau Ahok-Djarot.

Kemenangan Anies Baswedan, dilaporkan mendapat undi sebanyak 56 hingga 59 peratus menunjukkan satu perkembangan yang perlu diberi perhatian oleh semua. DPPM mengucapkan tahniah di atas kemenangan tersebut.

Basuki atau Ahok sebelum ini dijangka mengatasi lawannya dengan mata yang selesa, atau sekurang-kurangnya memenangi pemilihan dengan sengit.

Media Barat, dan media liberal di dalam dan luar Indonesia sejak isu ini panas telah membawa naratif ancaman terhadap minoriti, penghakisan terhadap asas sekular Indonesia, dan mengemukakan pemilihan ini sebagai ujian terhadap masa depan Indonesia sebagai sebuah negara sekular.

Protes besar-besaran mengecam Ahok beberapa bulan lalu turut disorot secara negatif, dengan meletakkan demonstrasi itu sebagai satu petanda Indonesia semakin dikuasai Islam yang ekstrem.

Persepsi yang diperbesarkan itu sengaja menafikan sikap ekstrem Ahok sendiri, yang dengan sengaja, konsisten, dan keras menghina ajaran Islam apabila mempersoalkan ayat Al-Quran.

Ahok menunjukkan sikap anti-Islam itu tanpa menghiraukan umat Islam yang merupakan majoriti penduduk Indonesia. Beliau dengan sengaja mengangkat fahaman salah tentang Islam, dengan mendapat sorakan dari penentang Islam dari dalam dan luar negara.

Keputusan pemilihan ini menunjukkan bahawa umat Islam masih mempunyai pendirian yang tegas dalam hal agama, menegaskan lagi bahawa politik tidak dapat dipisahkan daripada penilaian agama.

DPPM ingin menyeru agar rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama bersama PAS ke arah membina Malaysia Sejahtera. PAS mempertegaskan Islam sebagai penyelesaian dalam kerangka sistem demokrasi berperlembagaan dalam masyarakat majmuk negara ini.

Sekian, terima kasih.

Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi
Timbalan Ketua Pemuda PAS
Pengerusi Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)
21 April 2017 | 24 Rejab 1438 - HARAKAHDAILY 21/4/2017

1. KEPUTUSAN kiraan awal pusingan kedua Pilihanraya Gubenur Daerah Khusus Indonesia (DKI) Jakarta 2017 menunjukkan signal yang besar terhadap sinar kebangkitan Islam di bumi Indonesia.

2. Pemilihan Ketua Umum Kepada Daerah (PILKADA) di ibu negara Jakarta lebih mendapat perhatian lensa berbanding 6 wilayah (propinsi) yang lain. Malah, ia ibarat Pilihanraya Presiden Indonesia. Selain faktor Jakarta sebagai Daerah Khusus Indonesia (DKI) dan ibu negara Indonesia, pertembungan calon Ahok-Djarot dan Anies-Saindiaga juga dianggap pertembungan buku dan ruas.

3. Ahok menjadi sasaran demonstrasi besar beberapa bulan yang lalu susulan ucapan beliau yang disifatkan menghina Al-Quran dan agama Islam itu sendiri.

4. Di atas kertas, Ahok adalah calon utama untuk menang. Pusingan pertama PILKADA pada 15 Februari yang lalu menunjukkan Ahok memperoleh 44.17 peratus meninggalkan Anies 39.55 peratus sementara anak bekas Presiden Susilo Bambang Yudhoyono pula hanya memperoleh 16.27 peratus.

5. Namun, kiraan awal pusingan kedua semalam menunjukkan Anies memperoleh undian jauh meninggalkan Ahok dengan 58 peratus berbanding Ahok hanya 42 peratus.

6. Kejayaan ini juga jelas menunjukkan signal kebangkitan Islam di sana. Apabila anda menghina agama Islam, jangan fikir umat Islam tidak akan bertindak menolak anda sebagai pemimpin. Pilihanraya Gubernur Jakarta telah membuktikannya.

7. Kini, semangat yang sama sedang meniti umat Islam di Malaysia. Isu pindaan Akta 355 (RUU355) disusuli pindaan Akta 164 (RUU164) membuka mata rakyat di negara ini mengenai siapa sebenar lawan, siapa kawan yang benar-benar memperjuangkan Islam. Justeru, kebangkitan yang sama sedang membugar dalam pilihan raya umum akan datang.

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat

INFLASI meningkat lagi pada bulan Mac. Kini, ia berada di tahap 5.1%, meningkat 0.6% berbanding Februari 2017.

Tiga faktor utama yang telah menyumbang kepada kenaikan inflasi: harga minyak yang tinggi, kelemahan nilai ringgit dan kerajaan yang lambat bertindak.

Apakah kerajaan sedang mengharapkan bahawa kadar inflasi ini akan menurun dengan sendirinya tanpa perlu melakukan apa-apa?

Kerajaan dinasihatkan jangan meletakkan harapan bahawa harga minyak sedunia boleh menjadi stabil untuk dua suku terakhir 2017. Ini kerana ketegangan di peringkat dunia akan menjadi semakin tidak menentu dengan tindakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang bukan sahaja melulu, bahkan beremosi dan sukar dijangka.

Jika kerajaan meletakkan harapan bahawa inflasi akan pulih dengan pemulihan nilai Ringgit, PAS ingin mengingatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa ketika beliau memberikan keyakinan pada rakyat Malaysia bahawa nilai Ringgit akan pulih pada tanggal 9 December 2016 yang lalu, nilai Ringgit berada pada tahap RM4.40 ke USD1.

Dan setelah 4 bulan dan 10 hari berlalu, nilai Ringgit masih berada pada tahap RM4.40 ke USD1! Jelas keyakinan yang diberikan itu sekadar penyedap hati.

Setakat ini, sebenarnya tiada apa-apa jaminan yang boleh memastikan nilai Ringgit akan pulih mahupun harga minyak sedunia akan kembali stabil pada 2017. Bahkan, kerajaan sendiri pun tidak pasti.

Memandangkan SPRM kini semakin hebat membantu kerajaan membasmi rasuah, sepatutnya perbelanjaan kerajaan dah berkurangan ekoran kurangnya kebocoran dan ketirisan.

Penjimatan itu kini boleh disalurkan kembali sebagai subsidi kepada rakyat untuk menampung kenaikan kos sara hidup ini.

Subsidi rakyat tidak wajar ditarik balik kerana kegagalan kerajaan menangani isu kebocoran dan ketirisan.

Selain itu, sistem GST yang amat menganiaya rakyat golongan berpendapatan sederhana dan rendah (golongan B40) perlu dimansuhkan. Hasil pendapatan negara melalui GST boleh ditampung dengan cukai atas simpanan syarikat dan korporat, dan cukai atas keuntungan perdagangan saham bagi menampung ekonomi negara.

Langkah ini dipercayai akan dapat meningkatkan kemampuan perbelanjaan dan kekuatan modal golongan B40 berbanding GST tatkala berdepan dengan kenaikan inflasi yang dirasai hari ini.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
19 April 2017 - HARAKAHDAILY 19/4/2017

1. ALHAMDULILLAH, PAS semakin bertenaga dan padu ketumbukannya untuk terus mara ke medan juang mendepani cabaran semasa dalam menjulang panji perjuangan Islam.

2. Safnya terbina dari kepimpinan yang mantap dan anggota yang patuh. Mengakari prinsip dan polisi perjuangan yang utuh dan roadmap parti yang jelas  serta menuju matlamat yang satu iaitu Mardhatillah.

3. Justeru itu, saya sedar dan insaf bahawa pencalonan saya ke posisi Naib Presiden PAS adalah berasaskan semangat berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan (Fastabiqul Khairat). Terima kasih atas kepercayaan yang diberi sementara saya percaya, bahawa saya bukanlah orang yang terbaik.

4. Tanpa menghilangkan rasa hormat dan jauh sekali melunturkan rasa kasih saya kepada semua rakan-rakan kepimpinan PAS yang lain serta meraikan pencalonan dari para perwakilan: "saya dengan segala rendah diri menerima pencalonan Naib Presiden PAS bagi sesi 2017/2019 itu adalah atas sifat dan semangat yang serupa iaitu Fastabiqul Khairat."

5. Semoga Allah swt melimpahkan Rahmat dan BerkatNya ke atas perjuangan Islam yang didukung oleh PAS ini dengan terus menyatukan hati, menyuburkan ukhuwwah dan memugar semangat para pejuangnya untuk memimpin gerakan perubahan serta kebangkitan rakyat.

Nasrudin Hassan
18 April 2017 / 21 Rejab 1438 - HARAKAHDAILY 18/4/2017

1. PENETAPAN harga runcit petrol dan diesel secara mingguan bermula 29 Mac lalu sudah mula memberi kesan terhadap pertambahan kos yang perlu ditanggung oleh pengguna.

2. Walaupun pengguna menikmati penjimatan sebanyak 17 sen (bagi RON95) pada minggu pertama, namun harga runcit bahan api itu telah meningkat sebanyak 11 sen hanya dalam tempoh 3 minggu sahaja; lebih cepat berbanding penetapan secara bulanan.

3. Mungkin kesan psikologi penetapan harga runcit bahan api secara mingguan ini boleh membantu mengurangkan rasa terbeban dalam kalangan pengguna, pun begitu jumlah kos sebenar bagi bahan api yang perlu ditanggung oleh pengguna tetap meningkat justeru mengurangkan jumlah pendapatan boleh guna seseorang pada setiap bulan.

4. Pada masa harga minyak mentah dunia sedang meningkat naik disebabkan pelbagai faktor dan nilai Ringgit pula masih berada pada paras yang rendah, harga runcit bahan api di negara ini memang dijangka akan berterusan meningkat.

5. Sekiranya tiada mekanisme kawalan dilaksanakan, beban kos sara hidup rakyat di negara ini akan semakin bertambah dengan lebih cepat lagi.

6. Oleh itu, saya menggesa Kerajaan supaya menetapkan suatu harga siling kekal (contohnya, kekal selama tempoh 6 hingga 12 bulan) yang berpatutan bagi harga runcit bahan api di negara ini dan memberikan subsidi kepada pengguna sekiranya ia diniagakan melepasi paras harga siling ini.

7. Bagi memastikan subsidi ini tetap dapat diberikan secara bersasar, pelbagai mekanisme tambahan seperti pengenalan kad khas boleh dilaksanakan.

“Inilah Penyelesaian Kita”

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
17 April 2017 | 20 Rejab 1438 - HARAKAHDAILY 17/4/2017

SAYA ingin menarik perhatian seluruh rakyat Terengganu berkaitan dengan satu laporan yang disiarkan semalam berhubung dengan janji Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman  kepada rakyat yang bakal dipilih bagi menduduki Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Bukit Nanas dan yang sudah menduduki di Padang Hiliran iaitu dengan menjanjikan kaedah sewa beli kepada penyewa jika sekiranya BN menang di Parlimen Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

Sejumlah 1,700 buah PPR kesemuanya iaitu 500 buah yang baharu diadakan upacara pecah tanah di Bukit Nanas semalam, dan baki 1,200 lagi, telah didiami di Padang Hiliran dengan peruntukan sebanyak RM217 juta oleh kerajaan pusat itu. Dilaporkan juga, pelbagai lagi janji kemajuan yang akan dibawa oleh kerajaan pusat ke negeri Terengganu jika sekiranya BN memenangi kedua-dua kerusi itu serta Dun Tepoh milik PAS di Parlimen Kuala Nerus.

Begitu memualkan, menjijikkan dan sangat terkeji perbuatan merasuah rakyat oleh Perdana Menteri dan Menteri Besar ini. Apatah lagi rasuah itu dengan menggunakan duit rakyat pula. Sedang mereka menjawat jawatan ketua kepada seluruh rakyat Malaysia dan Terengganu.

Dengan janji rasuah itu jelas bahawa, PPR yang ada sekarang di Padang Hiliran yang sentiasa rosak lifnya dan PPR Bukit Nanas yang bakal didiami nanti, hanyalah bagi orang Umno-BN sahaja.

Sedangkan demokrasi menjanjikan hak untuk memilih dan juga hak bagi mendapat kemudahan secara sama rata oleh semua rakyat, tanpa mengira ideologi. Lebih hina perbuatan ini adalah kerana sangat jauh melencong daripada petunjuk al-Quran dan Sunnah dengan mengenepikan keadilan sosial yang dijamin. Sememangnya Umno-BN sinonim dengan kezaliman.

Sebelum tampuk pemerintahan Terengganu yang diterajui PAS, dirampas dengan cara jahat oleh Umno-BN pada tahun 2004, rakyat Terengganu juga dihidangkan dengan janji pelbagai menu kemajuan dan kekayaan. Tetapi malang bagi rakyat Terengganu, Umno-BN kemudiannya menjadikan rakyat Terengganu seperti Pak Kaduk, menang sorak kampung tergadai.

Berapa jumlah wang yang dileburkan oleh Umno-BN setelah memerintah kembali Terengganu? Ya, jumlahnya ialah ribu juta ringgit. Lebih RM1 billion dibenamkan ke dasar Sungai Terengganu bagi persiapan dan acara Monsoon Cup. Mana Monsoon Cup sekarang? Apa yang rakyat Terengganu dapat? Kemiskinan rakyat ketika itu tetap tinggi.

Hampir RM2 billion pula diberikan kepada kerajaan pusat bagi membina Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) yang pada mulanya kerajaan bersetuju tidak dikenakan tol, tetapi akhirnya rakyat Terengganu terpaksa membayar tol.

Bajet LPT2 meningkat hampir sekali ganda daripada bajet asal kerana kontraktor yang dipilih oleh kerajaan Terengganu dibawah Umno-BN gagal menyiapkan pakej-pakej yang diberikan. Dan paling menggembirakan kontraktor-kontraktor kroni-kroni Umno-BN ini ialah, mereka tidak dikenakan hukuman, malah diberi semula tender. Kontraktor makan sedap, rakyat dapat tol. Dan semua ini adalah menggunakan wang anda wahai rakyat Terengganu!

Ini belum lagi dibincangkan tentang Projek Bebas Cukai Tasik Kenyir yang sehingga kini masih gagal disiapkan, tetapi sudah ratusan juta wang rakyat Terengganu telah dimamah oleh orang-orang tertentu. Sekarang kerana sudah kehabisan wang, pembesar-pembesar Umno-BN melakonkan watak sopan, suci dan murni dengan mengumumkan kepada rakyat, mereka mula memotong gaji mereka bagi mengisi Tabung Darul Iman dan mengajak rakyat sama-sama turut menyertai mereka.

Ketika membaham wang rakyat, rakyat tidak diajak sama, ketika mahu mengisi kembali kantung, tiba-tiba rakyat dipelawa. Kemana perginya wang royalti yang dirompak mereka dahulu? Mana isi Tabung Amanah Warisan Terengganu? Inikah cara pembangunan yang dibangga-banggakan yang mahu ditawarkan kepada rakyat Terengganu? Saya yakin rakyat Terengganu tidak sebodoh itu.

Kini mereka datang lagi dengan menjanjikan bulan dan bintang kepada rakyat Terengganu. Apakah mereka tidak memberikan kemajuan kepada rakyat setelah puluhan tahun mereka menang dahulu?

Kemajuan dan pembangunan yang mereka maksudkan ialah mereka hanya mahukan kuasa bagi mengisi perut mereka dan kroni-kroni sahaja dan bukan untuk rakyat.

Diberikan hampas kepada rakyat, dibodohkan dan dimiskinkan rakyat bagi memudahkan rakyat merasa terhina, merempat di negeri sendiri dan akhirnya melutut menyembah mereka bagi mendapatkan apa yang dikatakan sebagai kemajuan. Inilah politik Umno-BN. Sanggup mengugut, memeras, membohongi dan menghina rakyat mereka sendiri demi kepentingan mereka.

Jangan Umno-BN sangka dengan situasi ‘tidak belaga angin’ antara PAS dan PKR ketika ini, ia akan menjejaskan perhatian PAS kepada rakyat. Rakyat adalah keutamaan kami. Mata kami sentiasa tajam memerhati bagi menyelamatkan rakyat dari penindasan Umno-BN yang tidak pernah berhenti. Kerana PAS menyedari bahawa tiada parti lain lagi yang boleh menolong rakyat menentang Umno-BN. Oleh itu saya menyeru kepada seluruh rakyat Terengganu agar bangkit melawan pembodohan oleh Umno-BN ini. Insya Allah PAS akan menghapuskan segala kezaliman ini dengan bantuan rakyat dan memberikan pemerintahan yang adil mengikut al-Quran dan Sunnah. Wallahua’lam.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
19 Rejab 1438/ 16 April 2017