TAHALUF Siyasi atau perjanjian persefahaman politik adalah satu bab penting di dalam ilmu Siyasah Syar'iyah (ilmu politik Islam). Ia adalah satu perbahasan berkaitan kerjasama di antara Islam dan musuhnya.

Dalam konteks politik negara kita hari ini, ia merujuk kepada kerjasama di antara parti politik Islam (PAS) dengan saingan atau musuh politiknya yang tidak bersendikan Islam di dalam dasar dan matlamat perjuangan mereka. Bezakan ini daripada kerjasama sesama parti-parti Islam atau jamaah-jamaah Islam. Ia tidak termasuk di dalam perbahasan berkaitan Tahaluf Siyasi.

Hukum kerjasama sesama umat Islam atau jamaah Islam di dalam mencapai matlamat agama adalah wajib dan mestilah diusahakan sepanjang masa walaupun pada masa dan keadaan tertentu ianya dilihat amat sukar. Kesatuan umat Islam adalah wajib hukumnya. Islam datang demi menyatukan umat manusia yang beriman kepada Allah agar dapat menjalani kehidupan berlandaskan syariat agama.

Ia adalah berbeza daripada hukum kerjasama di antara Islam dengan musuh dan saingan politiknya yang tidak berteraskan Islam. Bagaimana boleh bekerjasama dengan musuh ugama? Bukankah mereka mempunyai matlamat yang berbeza dan bersedia bertempur demi mencapai matlamat masing-masing?

Tetapi walaupun asas pertentangan itu wujud secara jelas, Islam kekal dengan matlamat keamanan dan kesejahteraan manusia. Dengan keamanan yang terhasil melalui kesatuan manusialah, Islam akan lebih berperanan mensejahterakan kehidupan melalui pelaksanaan syariatnya. Justeru Islam terus mengintai peluang-peluang yang terhidang bagi memastikan ruang keamanan sentiasa didahulukan.

Oleh kerana tahap permusuhan terhadap Islam adalah berbeza-beza di antara kumpulan-kumpulan yang memusuhinya, juga faktor keadaan dan masa yang boleh mengubah rentak dan hubungan, serta kemungkinan wujudnya pertimbangan-pertimbangan tertentu yang dilihat menguntungkan kedua-dua pihak di dalam menghadapi isu-isu bersama tanpa melanggar prinsip dan sempadan agama, maka hukum kerjasama di antara Islam dan saingannya tersebut boleh berubah daripada tidak harus kepada harus dengan merujuk kepada pertimbangan maslahat dan kebaikan untuk agama dan rakyat.

Asas keharusan bekerjasama dengan semua pihak termasuk dengan mereka yang mempunyai ideologi dan matlamat yang berbeza dengan Islam ialah bergandingan ke arah kebajikan, kebaikan dan keadilan serta memerangi segala bentuk kejahatan, kerosakan dan kezaliman. Islam menerima secara terbuka segala kebaikan walaupun ianya dianjurkan oleh pihak musuh dan menguntungkan mereka. Begitulah besarnya jiwa Islam demi memastikan keamanan dan kesejahteraan hidup untuk manusia seluruhnya. Islam adalah rahmat untuk sekelian manusia.

Justeru ilmu Tahaluf Siyasi di dalam syariat Islam menjadi satu ilmu dan perbahasan yang sentiasa hangat dan kritikal. Menemukan dan menyatukan dua atau lebih kumpulan yang bertentangan (Islam dan seterunya) bukanlah satu hal yang mudah. Para sarjana Islam terus berusaha meletakkan garis panduan yang paling tepat agar pelaksanaannya nanti menjadi lebih praktikal dan membawa kebaikan kepada kehidupan manusia. Sebarang kesilapan dan kecacatan mungkin boleh mencipta kembali perseteruan yang lebih tajam.

Pertimbangan-pertimbangan yang memberi faedah dan keuntungan bersama kepada pihak-pihak yang terlibat dalam perjanjian persefahaman politik tersebut mestilah diperhalusi. Butiran perjanjian hendaklah jelas dan dipatuhi oleh semua. Penyelesaian terhadap sesuatu konflik yang berlaku hendaklah melalui kaedah permesyuaratan yang adil dan diterima. Pendek kata, ilmu Tahaluf Siyasi begitu berkembang selaras dengan perkembangan politik dunia yang begitu cepat dan dinamik pada hari ini.

PAS telah lama melaksanakan Tahaluf Siyasi dengan parti-parti pembangkang di dalam negara. Bahkan PAS pernah menyertai kerajaan campuran (musyarakah hukumiyah) bersama parti pemerintah BN demi mencapai matlamat keamanan dan kesejateraan untuk agama dan rakyat. Ia adalah berlandaskan panduan hukum agama di dalam ilmu Siyasah Syar'iyah.

Hasilnya adalah jelas dengan impak yang amat positif dan berguna untuk negara. Rakyat memperolehi kemajuan, kesejahteraan dan kekuatan melalui kesatuan dan kesepakatan hidup. Melalui Kerajaan Campuran BN-PAS, krisis perkauman dan diskriminasi pembangunan negara berjaya diredakan dan rakyat menikmati kembali keharmonian dan kemajuan secara lebih saksama.

Begitu juga Tahaluf Siyasi di antara parti-parti pembangkang bagi memerangi kezaliman parti pemerintah BN. PAS telah begitu berperanan membantu memenangkan parti-parti pembangkang di dalam pilihanraya selain mengukuhkan barisan pembangkang sebagai pendesak yang sedikit sebanyak berjaya memaksa pihak kerajaan untuk memulihkan demokrasi dan urus tadbir kerajaan daripada penipuan, rasuah, pemborosan dan pelbagai lagi gejala buruk dalam negara dan kehidupan rakyat.

Hari ini, hasil tindakan dan usaha PAS yang begitu terbuka mengadakan kerjasama dengan rakan dan saingan politiknya, lanskap politik negara begitu berubah dan menuju kemajuan. Minda rakyat berjaya digerakkan untuk lebih prihatin dan bertanggung jawab bagi memastikan politik dan pemerintahan yang lebih adil dan telus. Rakyat semakin sedar dengan kesilapan dan kecacatan dulu dan telah bersedia untuk mendukung perubahan.

Semua di atas adalah hasil daripada kesepakatan dan kesetiaan untuk saling melaksanakan agenda bersama yang disepakati. Walaupun berbeza, perbezaan itu diraikan melalui kesepakatan untuk saling meraikan perbezaan. Ia bermaksud mengerah segala tenaga untuk mendukung agenda bersama yang disepakati, manakala agenda masing-masing yang tidak disepakati hendaklah dibiarkan menjadi perjuangan masing-masing yang diusahakan secara bersendiri dan ia tidak boleh menjadi penghalang yang akan membantut kebersamaan di dalam memperjuangkan agenda yang disepakati. Itulah maksud 'bersetuju untuk tidak bersetuju.' Ia bukan sekadar kata yang mudah. Ia lafaz setia yang menagih usaha dan kota janji.

Usaha untuk saling memahami hendaklah dilakukan agar perbezaan dapat dikurangkan dan diredakan melalui perbincangan, dialog dan pertemuaan sesama rakan tahaluf yang terbukti mampu memecahkan kebuntuan dan kesukaran. Semakin ruang perbincangan dan pertemuan diadakan, semakin jarak yang memisahkan mampu didekatkan.

Musuh Tahaluf Siyasi adalah pengkhianatan. Setiap muslim diajar untuk tetap di atas janji yang dimeterai dan mestilah mengikat dirinya di atas perjanjian itu walaupun kadang kala tidak menyebelahinya. Ia ibarat nafas dan nadi yang menghidupkan agama Islam. Jika Islam dikenali sebagai agama yang meraikan pengkhianatan terhadap janji setia, sudah pasti Islam tidak akan berkembang maju sebagaimana hari ini.

PAS dalam Tahaluf Siyasinya hari ini mestilah memastikan dua perkara berjalan serentak. Pertama, ia mestilah setia pada janjinya terhadap rakan-rakan tahaluf. Bahkan PAS mestilah menjadi seperti askar yang mempertahankan kesetiaan bersama. Ia penting bagi memastikan matlamat mencapai keuntungan dan manfaat bersama tercapai.

Kedua, PAS mestilah memastikan ia tidak dikhianati oleh rakan-rakan tahaluf. Ia juga penting agar tidak rugi. Berpakat dengan mana-mana rakan, apatah jika ianya dengan musuh dan saingan politik yang menghasilkan kerugian sebelah pihak adalah tidak boleh diterima sama sekali dan mestilah dihentikan. Sudah pasti ianya tidak akan berlaku kepada mana-mana pihak yang bertahaluf kecuali disebabkan oleh pengkhianatan terhadap perjanjian oleh mana-mana pihak yang bertahaluf. Jika begitu, Tahaluf Siyasi adalah terbatal secara langsung. Ia tidak lagi akan membawa kebaikan dan kemajuan yang dimatlamatkan.

Selepas Muktamar Tahunan PAS yang berlangsung beberapa minggu lepas sebulat suara untuk memutuskan dan menamatkan Tahaluf Siyasi dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Majlis Syura Ulamak PAS dalam mesyuaratnya beberpa hari lepas telah memutuskan bahawa Tahaluf Siyasi dengan PKR adalah terbatal. Faktor pokok yang membatalkannya adalah pengkhianatan oleh PKR terhadap perjanjian Tahaluf secara nyata dan berulang kali. PAS tidak lagi melihat sebarang kebaikan untuk mempertahankannya.

PKR berhak untuk menolak dan menghujah keputusan PAS yang menganggapnya sebagai pengkhianat yang menjadi punca terbatalnya tahaluf. Tetapi itulah keputusan PAS. Hukuman selepas itu adalah ditentukan oleh rakyat. PAS telah melakukan yang terbaik untuk kebaikan rakyat dan akan terus berjuang untuk rakyat sebagaimana itulah suruhan agama Islam tercinta. - HARAKAHDAILY 13/5/2017

MAJLIS Syura Ulamak yang bersidang pada hari ini, 14 Sya’ban 1438 bersamaan 11 Mei 2017 memutuskan bahawa:

1. Dengan merujuk kepada begitu banyak pelanggaran terhadap syarat-syarat Tahaluf Siyaasi menurut pertimbangan hukum Syarak dan Akhlak Islam, maka hubungan politik Tahaaluf Siyaasi antara PAS dan PKR telah terbatal.

Antara perlanggaran tersebut ialah;

a. Tidak menyokong malah menentang sebahagian agenda Islam yang dibawa oleh PAS seperti RUU 355.

b. Melanggar adab-adab berkerjasama dalam politik seperti menyerang pimpinan PAS dan membuat tuduhan-tuduhan palsu yang merosakkan imej PAS.

c. Khianat dalam hubungan politik dengan PAS antaranya dengan bekerjasama dengan pihak-pihak yang mahu menjatuhkan Kerajaan Negeri Kelantan dan menentang PAS dalam Pilihanraya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

2. Sebarang tindakan politik termasuk urusan pentadbiran Negeri Selangor diserahkan kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dengan merujuk kepada maslahah dan kepentingan Islam dan rakyat.

‘SEJAHTERA BERSAMA ISLAM’

DATO USTAZ DR NIK MUHAMMAD ZAWAWI SALLEH.
SETIAUSAHA,
MAJLIS SYURA ULAMAK PAS

11 Mei 2017/14 Sya’ban 1438 Hijrah - HARAKAHDAILY 11/5/2017

MERUJUK kepada satu laporan mengenai komentar oleh Datuk Ismail Yahya terhadap RUU355 yang dibentangkan oleh YB Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Parlimen, suka untuk saya tegaskan seperti berikut:

1. Tujuan PAS membentangkan RUU355 adalah untuk memartabatkan institusi Mahkamah Syariah di negara ini bagi membolehkannya menjatuhkan hukuman selari dengan syariat Islam yang sebenar.

2. Usaha yang dibuat oleh PAS ini adalah bertepatan dengan peruntukan perlembagaan sedia ada dan bersesuaian dengan sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan di negara ini.

3. Sokongan oleh para ulamak, cendekiawan Islam dan orang awam serta oleh banyak NGO dan pelbagai badan penguatkuasa terhadap RUU355 yang diusulkan oleh PAS ini memperlihatkan kepentingan dan kewajarannya, justeru ia tidak harus diremeh atau diperlecehkan.

Sepatutnya, Datuk Ismail Yahya dan lainnya bersama-sama membantu usaha murni ini atau sekurang-kurangnya tidak mengelirukan masyarakat dengan andaian dan persepsi yang dibuat akibat kejahilan diri sendiri tentang RUU355 ini.

Sedangkan, YB Marang dan YB Kota Bharu telahpun secara panjang lebar dan menurut pelbagai perspektif menjelaskan sebab dan alasan PAS mencadangkan pindaan terhadap Akta 355 itu.

Pun begitu, PAS tetap terbuka dengan sebarang kritikan dan cadangan oleh mana-mana pihak. Sekiranya Datuk Ismail Yahya merasakan kaedah yang dicadangkan itu lebih munasabah dan berkesan, PAS mengalu-alukan dan menggesa tokoh ini segera memulakan inisiatif bagi melaksanakan cadangan itu. PAS juga terbuka menerima undangan serta kunjungan pelbagai pihak bagi menjelaskan lagi berkenaan RUU355 ini.

"Sejahtera Bersama Islam"

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
11 May 2017 / 14 Syaaban 1438 - HARAKAHDAILY 11/5/2017

1. SAYA terbaca satu keratan akhbar bertajuk 'Ku Nan: Up to PAS to Return to Umno Fold' terbitan The Star. Kenyataan itu memberi gambaran seolah-olah PAS ingin kembali ke pangkuan Umno sepertimana dakwaan beliau lahirnya parti ini dari sayap Umno (Biro Agama dan Pelajaran Umno).

2. Pertama, Umno dan pimpinannya terlebih dahulu perlu membaca sejarah penuh tentang penubuhan PAS dari pelbagai sudut, jangan hanya diambil sudut kecil kemudian membuat kesimpulan yang tidak tepat.

3. Asasnya, PAS ditubuhkan oleh orang Umno tetapi bukan sebagai sayap kepada Umno. Dalam masa yang sama, PAS juga ditubuh oleh ahli-ahli Hizbul Muslimin selepas diharamkan pada 1948. Ini bererti bukan (ahli) Umno sahaja yang terlibat dengan penubuhan PAS.

4. N.J Fuston dalam tulisannya 'Malay Politic in Malaysia, 1945-1969, A Case Study of the Umno and the Pan-Malayan Islamic Party (PAS)' menyebutkan "PAS telah mewarisi tiga ideologi politik iaitu tradisi sosialis dari Malay National Party, tradisi modernisasi Islam yang dibawa oleh Hizbul Muslimin dan tradisi perjuangan badan-badan anti Umno pada tahun 1950-an".

(Buku "Saya Ahli PAS" tulisan Ustaz Azhar Yahya Al-Batawi, 2017).

Ini menguatkan lagi dakwaan bahawa tidak semudah itu untuk menjustifikasikan PAS sebagai "lahir dari sayap Umno" semata-mata.

5. Kedua, PAS tetap bertegas tidak akan menyertai mana-mana blok yang lain apatah lagi kembali menyertai Umno, sebaliknya PAS akan terus memberikan komitmen terhadap Gagasan Sejahtera. PAS terus akan kritikal memberikan pandangan, mengangkat isu nasional dan mengkritik sebarang pencemaran budaya politik dan ekonomi negara, di samping sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk kerajaan dalam isu ummah dan melibatkan kepentingan agama Islam.

6. Sesuai dengan pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS), PAS akan memainkan peranan yang signifikan dalam arus perdana politik tanah air seterusnya jujur dalam mengkritik, tegas berpegang pada prinsip Islam berasaskan konsep keadilan dan kesatuan ummah serta mewujudkan semak dan imbang (check and balance) yang berkesan kepada pembangunan masa depan masyarakat dan negara.

7. PAS juga menasihatkan pemimpin Umno supaya tidak perlu menjadikan "agenda hala tuju politik PAS" sebagai tema perhimpunan mereka esok. Mereka perlu menerima hakikat bahawasanya PAS akan terus berjuang membina "Negara Sejahtera Bersama Islam" dengan  menjadikan Gagasan Sejahtera sebagai platform.

Sejahtera Bersama Islam

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
9 Mei 2017 / 12 Syaaban 1438 - HARAKAHDAILY 9/5/2017

DALAM satu pasukan bola dengan 25 pemain, biasa pemain digilirkan berdasarkan keperluan sesuatu perlawanan. Tak semua 25 pemain akan masuk padang kerana peraturan membenarkan hanya 11 pemain sahaja perlu berada dalam padang pada satu-satu masa. Tak ada pemain yang menjadi pemain utama untuk sepanjang musim dalam semua perlawanan. Pertukaran posisi juga biasa. Ada ketikanya seorang midfield akan ambil tugas striker. Seorang pemain bertaraf profesional tak akan merajuk jika tak diturunkan oleh jurulatih. Bila masing-masing bersikap profesional demi kejayaan pasukan, pastinya keharmonian dalam pasukan akan dapat dikekalkan.

Ahli PAS berdaftar sekarang ada 890,000 lebih selepas pembersihan. Tentu sekali peranan dan posisi boleh diubah dan ditukar serta digilirkan demi kepentingan parti. Tak ada apa yang anehnya bila ada pemimpin yang masuk dan keluar serta ditukar posisi kerana perjuangan ini bukannya bersifat statik. Apatah lagi bila sifat perjuangan Islam adalah saling sambung-menyambung.  

Saya yakin orang PAS sudah cukup profesional dalam hal ini. Kalau pun ada sedikit sebanyak persoalan yang diajukan berkaitan susunan kepimpinan baru PAS Pusat, ia hanya bermaksud untuk pencerahan dan bukannya bantahan. Yang menyibuk hal urusan pasukan kita ialah mereka yang berada di luar pasukan dalam team lawan dan ahli kelab penyokong team lawan. Padahal team mereka sendiri lintang-pukang. Pemain yang ada masih berfikir setaraf amatur dalam liga kampung. Bila jurulatih tak senaraikan dalam kesebelasan utama, mereka rancang belot dengan team sendiri! Dalam padang bergocoh sesama sendiri. Itu pun masih nak menyibuk hal urusan team orang lain.

Pelbagai respons dan maklum balas yang diterima terhadap susunan baru kabinet PAS Pusat, anggaplah ia lumrah biasa. Sesuatu yang baru akan mengundang perhatian khalayak. Apatah lagi sekarang ini PAS berada di kedudukan terhormat di persada politik tanah air. Ramai orang yang minat nak bercakap dan berkomentar tentang PAS.

Tapi bukan semua kita perlu layan belaka. Cadangan dan komen yang membina ke arah kebaikan, ada alasan untuk kita ambil perhatian. Manakala komen murahan bernada provokasi, biarkan ia berlalu bersama tiupan angin lalu akhirnya hilang tanpa kesan. Kita tak boleh tutup mulut manusia. Biarkan mereka bercakap, tapi bukan semestinya kita perlu dengar kesemuanya.

Siap siaga dan ambillah posisi untuk bekerja. Jaga pangkalan masing-masing supaya jangan diperkotak-katik oleh musuh. Kurangkan bercakap, banyakkan kerja. Posting murahan di alam maya, biarlah dilayan oleh mereka yang berkenaan sahaja. Pimpinan wajib fokus buat kerja. - HARAKAHDAILY 8/5/2017

Penulis ialah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

JABATAN Amal Malaysia telah menjangkau 26 tahun umurnya. Ditubuhkan pada 1991 hingga kini bergerak berkhidmat buat jamaah dan ummah.

Jabatan Amal menjadi bukti sebuah ketumbukan jamaah yang berdiri ikhlas dengan disiplin dan izzah mempertahankan jamaah serta berkhidmat tanpa mengenal erti penat lelah.

Anggota Amal yang merupakan ansorullah wajib dilatih dan disediakan bukan sahaja dari sudut disiplin tetapi dilengkapkan:
i) Kesatuan Fikrah
ii) Ribat jiwa, amal dan ukhuwwah
iii) Kukuh hubungan dengan Allah SWT

Justeru, Anggota Amal perlu dihiasi dengan "muwasofat Amilin" yang jiwa mereka senantiasa membuak-buak untuk melunaskan arahan jemaah dan kepimpinan. Cermatilah kalam dengan wahyi, hujanilah qalbu dengan Allah, ianya membuka seribu langkah keikhlasan mengintai mardhotillah.

Bagi pihak kepimpinan DPPNS kami mengucapkan jazakumullahu khairan atas khidmat kalian pada muktamar baru-baru ini. Moga Ribat 3.0 akan mengikat hati kita semua untuk terus istiqomah memperjuangkan agama Allah SWT

Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تَنْصُرُوا اللَّهَ يَنْصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ
Wahai orang-orang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu. (Surah Muhammad: Ayat 7)

Syarhan Humaizi Abdul Halim
Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor
9 Syaaban 1438H | 6 Mei 2017

HARI ini 6 Mei 2017, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan mengumumkan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat serta pesuruhjaya negeri bagi sesi 2017-2019.

Bagi Negeri Selangor, peringkat Dewan Pemuda merakamkan setinggi penghargaan atas lantikan pesuruhjaya negeri yang baharu iaitu YB Ustaz Sallehen Mukhyi. Pemilihan yang dibuat sudah pasti menjurus ke aras persediaan untuk menghadapi Pilihan raya Umum tidak lama lagi.

Ucapan terima kasih juga disampaikan kepada YB Datuk Iskandar Abdul Samad yang merupakan mantan pesuruhjaya negeri dan AJK BPPNS bagi sesi lalu yang telah melaksanakan tugas dengan amat baik.

Besar harapan kami Pemuda Selangor,  agar Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan Negeri yang akan dibentuk selepas ini adalah ahli jawatankuasa yang akan meningkatkan secara maksimum gerak kerja pilihan raya sekali gus menjadi benteng utama perjuangan PAS di bumi Selangor ini.

BERSIAGA MENUJU FATHU

SYARHAN HUMAIZI HALIM
Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor
9 Syaaban 1438H | 6 Mei 2017 - HARAKAHDAILY 6/5/2017

PAS mengajak ke arah membina sebuah negara yang sejahtera dengan Islam. Semua bangsa dan agama akan diraikan dan dilindungi di bawah sistem Islam. Sebagaimana kita menerima hakikat bahawa wujudnya kepelbagaian bangsa adalah ciptaan Allah kepada mahkluknya, begitulah juga kita menerima hakikat bahawa manusia ada pelbagai pegangan dan kepercayaan agama. Menghormati kepercayaan orang lain adalah perintah agama dan dalam masa yang sama kebenaran Islam mesti disampaikan kepada seluruh manusia. Tetapi tiada paksaan sesiapa pun untuk memeluk Islam.

Insiden kes pukul di masjid yang baru berlaku hanya sekadar kes terpencil yang tak perlu diapi-apikan sehingga nyalaannya marak membakar sentimen perkauman dan keagamaan. Tiada siapa yang akan untung akhirnya.

Ianya boleh diselesaikan secara damai dengan melihat kepada punca kejadian tanpa diseret dengan emosi dan luapan kepanasan yang tak perlu.

Mungkin laluan kereta Camry itu terhalang. Tapi bertindak membunyikan hon secara tak wajar boleh ditafsirkan orang bahawa pemandu kereta sengaja menimbulkan provokasi yang tak perlu. Tambahan pula di situ tempat ibadat. Kalau ada pemandu Islam yang membunyikan hon bertalu-talu depan gereja pun tetap tak wajar sama sekali.

Kalau pemandu Camry tersebut memang tinggal berdekatan dengan masjid yang berkenaan, tentu dia sedia maklum, orang Islam bila sedang solat, kamu tekan hon macam mana sekalipun, orang tak akan berhenti solat sehinggalah selesai. Lantas perbuatan tekan hon berkali-kali memang ada unsur provokasi dan gangguan yang tak wajar. Apatah lagi bila disusuli dengan kata-kata yang tak manis terhadap para jemaah. Seseorang perlu menasihatinya supaya lebih bertolak ansur dan belajar menghormati agama orang lain.

Sangat baik kalau dapat diadakan pertemuan susulan antara pihak masjid dan pemandu Camry tersebut. Saya yakin segalanya akan dapat diselesaikan dengan cara yang paling harmoni. Ada sikit sebanyak salah faham, boleh sama-sama berlapang dada demi keharmonian dalam masyarakat. Tak ada siapa yang untung andai hidup saling membenci.

Islam tak pernah anti dengan mana-mana kaum kerana kita semua anak cucu Nabi Adam belaka. Bila kita asalnya dari Datuk yang sama, maknanya kita adalah 'worih-waroh' belaka. Sama-sama hidup menumpang atas muka bumi Allah. Saling kenal mengenal dan saling memerlukan antara sesama kita. Lantas apa perlunya permusuhan. Islam jangan diganggu gugat dan kita orang Islam memang tak ganggu orang lain.

Mari bersama kita hidup sejahtera di bawah naungan Islam. - HARAKAHDAILY 6/5/2017

Penulis ialah AJK PAS Pusat.

1. SAYA membaca kenyataan tuan di dalam laman Malaysiakini yang mendakwa bahawa PAS telahpun sesat daripada perjuangan politiknya apabila mengisytiharkan bahawa DAP adalah musuh utama. Ia disiarkan di dalam pautan berikut: https://m.malaysiakini.com/news/380900

2. Suka untuk saya membuat sedikit pencerahan kepada tuan bahawa kenyataan tersebut tidaklah disebut oleh mana-mana pimpinan utama di atas pentas muktamar PAS. Ia hanyalah kenyataan yang disebut oleh salah seorang perwakilan sahaja dan tidak bererti ia merupakan pendirian parti. Muktamar PAS berjalan dengan semangat demokratik dan membenarkan para perwakilan melontarkan pandangan tanpa perlu menggelarkan dirinya sebagai parti demokratik.

3. Namun, apabila tuan menyatakan bahawa PAS telah 'sesat' semata-mata kerana mengganggap DAP sebagai musuh utama, maka ia memerlukan kepada sedikit pembetulan. Hakikat yang sebenarnya, tuanlah yang telah sesat sebelum ini sehingga turut sama mengheret beberapa pihak yang sebelum ini di dalam PAS untuk ikut sama tersesat.

4. Bukankah tuan yang pada 18 November 2015 menyatakan bahawa "Supporting PAS now is the same as supporting Barisan Nasional (BN), a vote for PAS is a vote for BN.."? Kenyataan itu disiarkan oleh pelbagai media massa, antaranya di pautan berikut: http://m.thesundaily.my/node/338411

5. Sekali lagi pada 16 Mac 2016, tuan mengulangi kenyataan di atas dengan berkata,  "a vote for PAS ia a vote for Umno.." ketika mengulas gagasan sejahtera yang diumumkan oleh PAS bersama Parti Ikatan. Ia tersimpan kemas di pautan berikut: http://m.themalaymailonline.com/malaysia/article/a-vote-for-pas-is-a-vote-for-umno-guan-eng-suggests-as-new-pact-forms

4. Menyifatkan bahawa mengundi PAS sama dengan mengundi Umno secara realitinya telah mengisytiharkan PAS sebagai musuh kerana bukankah selama ini tuan tidak pernah berganjak dari menyatakan bahawa Umno ialah musuh utama? Bermusuh dengan Umno sehingga tidak boleh sama sekali pemimpin PAS sepentas dengan pemimpin Umno (walaupun tuan sendiri kelihatan makan semeja dan ia halal di sisi tuan dan rakan-rakan).

5. Itu belum mengambil kira pelbagai serangan yang ditujukan oleh tuan kepada PAS ketika kehangatan PAS bermuktamar. Bukankah tuan yang memutuskan hubungan dengan Presiden PAS pada ketika kita masih bergelar 'rakan'? Bukankah itu nama tikam belakang ketika seluruh ahli PAS sedang menumpukan perhatian untuk bermuktamar?

6. Tuan,  'better to have an enemy who slaps you in the face than a friend who stabs you in the back..', memiliki rakan seperti parti tuan yang terkenal dengan 'arrogant' adalah satu langkah yang amat merbahaya dan berisiko.

7. Padahal, PAS tidak pernah menyatakan sokongan kepada Umno/Barisan Nasional kecuali kebersamaan terpencil dalam isu-isu tertentu sahaja. Ucapan-ucapan para perwakilan menyatakan tidak setuju dengan dasar kerajaan Barisan Nasional jauh lebih banyak daripada menjadikan parti tuan sebagai sasaran.

8.  Percayalah, akan tiba masanya parti-parti yang berada di dalam Pakatan Harapan akan menyatakan tdak selesa mereka dengan parti tuan menjelang pilihan raya umum nanti.  Jika tuan masih berada di luar pada masa itu, tuan akan membenarkan telahan ini.

9. Selamat berjuang, our true enemy!

Ahmad Fadhli Shaari
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
2 Mei 2017 - HARAKAHDAILY 2/5/2017

DALAM ucapan sulung saya selaku Ketua Pemuda baru yang dimanahkan di Muktamar ke-63 ini, DPPM ingin mempertegaskan bahawa Pemuda berdiri teguh di belakang kepimpinan ulama yang telah membuktikan kelangsungan PAS melalui pelbagai rintangan dan ujian sama ada dalaman mahupun luaran. Meskipun di luar sana terbit suara-suara yang memandang sinis PAS sebagai Parti Pak Lebai namun dalam muktamar ini jua kita nak beritahu bahawa Parti Pak Lebai inilah yang terbukti bersih daripada kekotoran politik sekular duniawi semata-mata. Sesungguhnya Parti Pak Lebai inilah yang telah berjaya 'melebaikan' golongan profesional dan aktivis dan Parti Pak Lebai inilah yang akan menjadi benteng utama mempertahankan Islam dalam negara kerana manhaj politik PAS adalah manhaj politik Islam yang meletakkan Islam di hadapan dan tidak meletakkan akal semata-mata apatah lagi hawa nafsu di hadapan.

Perkaderan du’at dan mujahid dakwah adalah mauduk utama yang digalaskan ke atas DPPM. Kami dalam DPPM juga ingin mempertegaskan di sini untuk terus memperkasakan agenda-agenda perkaderan dan pentarbiyahan yang menjadi sendi terpenting kepada PAS sebagai sebuah Gerakan Islam. Alhamdulillah dengan lahirnya SRITI yang dipelopori oleh YB kekanda Ustaz Nik Mohamad Abduh maka ia berjaya meneruskan kesinambungan PASTI yang telah membuktikan kejayaannya dalam melahirkan anak-anak yang mendapat pendidikan Islam yang sebenar. Kami juga akan memberikan perhatian bagi memperkasakan Jabatan Remaja (13 - 17 tahun) sebagai elemen yang baru dilontarkan untuk memperkemaskan lagi saff Pemuda. Insyaallah perkara ini akan dijenamakan (rebranding) semula bagi memastikan gerak kerjanya lebih tersusun dan efisyen.  

Meneliti Ucapan Dasar Tuan Guru Dato’ Seri Presiden serta pimpinan yang lain, menelusuri bahasan setiap Perwakilan, dari Dewan-Dewan ke Negeri-Negeri, dapat kita fahami detik nadi, intipati dan hasrat naluri setiap ahli dan pimpinan. Kita juga saling memberi ucapan, melontar idea, mengemuka dan membahas usul, mengetengahkan persoalan dan dalam setiap dua tahun di mana kita sama-sama memilih barisan kepemimpinan baru untuk menerajui bahtera jamaah. Dan dalam setiap tempoh waktu berakhirnya muktamar, kita akan membina resolusi baru, membina azam dan tekad untuk sidang tahun perjuangan yang mendatang. Rata-rata pembahas dari kalangan pemuda menunjukkan PAS tidak ketandusan pimpinan pada masa akan datang

DPPM menyedari bahawa sasaran dakwahnya dan medan tempur utamanya ialah anak-anak muda yang begitu lunak didedahkan dengan pelbagai godaan 'fake news', cabaran dunia digital tanpa sempadan, pendedahan kepada pelbagai aliran pemikiran bukan 'mainstream'. Aliran-aliran sesat ini kembali meracuni pemikiran mereka akibat serangan idea-idea liberalisme dan sekularisme yang berselindung di bawah pelbagai NGO yang didokongi parti-parti anti-Islam mainstream di samping mendapat sokongan dana luar biasa dari luar yang memang menunggu detik dan saatnya untuk menghancurkan segala usaha pendaulatan Islam di Malaysia sebagaimana yang telah berlaku dalam episod Arab Spring di kalangan negara-negara Islam Timur Tengah, rampasan kuasa di Turki dan terkini cubaan cabaran terhadap merampas kuasa politik lslam di Indonesia.

Demi sesungguhnya, kita kini sedia menanti untuk memuktamadkan percaturan politik murahan mereka yang menentang Islam. Medan pilihanraya ke-14 kali ini dijangka cukup hebat sehinggakan ada yang menjangkakan pertembungan dua kelompok  besar: satu kelompok yang mahu memartabatkan Islam dan satu kelompok lagi yang tidak mahu Islam dimartabatkan. Saya ingin mempertegaskan di sini bahawa DPPM berdiri teguh di belakang saff pimpinan bagi melaksanakan agenda memartabatkan Islam sebagai Agama Negara dengan pendekatan Matang dan Sejahtera yang diambil oleh PAS sekarang ini. Pendekatan ta’awun ‘ala al-birr wa al-taqwa dan tidak berta’awun ‘ala al-ismi wal-’udwaan adalah pendekatan terbaik yang mengikut manhaj al-Quran dan al-Sunnah.

​Demi merealisasikan hasrat ini, kita mesti bersedia mengubah minda rakyat jelata untuk benar-benar memahami misi dan visi kita dan apakah bentuk lanskap politik yang akan kita bina jika kita berjaya diamanahkan kepimpinan di Negeri-Negeri dan beberapa kerusi penting Parlimen. Pengalaman PAS di Kelantan dan Negeri-Negeri yang kita pernah perintah sebelum ini mesti kita manfaatkan sepenuhnya sebagai blue print asas dengan pembaikan untuk kerajaan-kerajaan baru yang akan kita bina kelak, dengan izin Allah SWT. Hanya dengan cara bekerja yang betul, mengatur langkah cermat dan menyeluruh, pandai membaca taktik musuh dan seumpamanya akan membuahkan hasil yang kita ingini. Ingatlah rakyat jelata yang membuang undi semasa pilihanraya itulah yang bakal menentukan kemaraan kita mendaki kemenangan melalui sistem demokrasi berparlimen yang sama-sama kita terima.

PAS telah bersetuju menerima sistem demokrasi berparlimen menerusi pilihanraya sebagai salah satu uslubud-dakwah berdasarkan manhaj al-Quran dan Sunnah yang menjadi dasar perjalanan parti sejak tahun 1951 sehingga kini. Sehubungan itu, bagi mendepani PRU 14 DPPM telah meletakkan satu objektif untuk menguasai sekurang-kurangnya 60% undi orang muda di setiap DUN dan Parlimen yang ditandingi oleh PAS. Kami akan memikul tugas untuk menggerakkan anak-anak muda bagi melakukan perubahan kepada negara mengikut tema ke arah mendaulatkan Islam dalam kerangka perlembagaan sedia ada. Maka dengan ini, sebagai sayap kanan parti, insyaallah DPPM akan menggerakkan seluruh jentera pemuda daripada sekarang bagi menghadapi PRU ke-14 yang akan tiba pada bila-bila masa; tidak tahun ini, pastinya tahun hadapan.

DPPM mengambil 'queue' daripada barisan kepimpinan ulamak untuk meniupkan semboyan ke medan tempur. Sehingga kini arah tuju PAS dalam PRU ke-14 adalah berdiri sendiri dan bekerjasama dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) untuk mewujudkan Gagasan Sejahtera sebagai Blok Politik Ketiga dan berhadapan dengan Blok Pertama Umno dengan Barisan Nasional (BN)nya dan Blok Kedua DAP serta sekutu Pakatan Harapan (PH)nya.

Jangan kita anggap ketidakupayaan PAS memerintah seluruh negara sejak 1955 sehingga kini menerusi sistem pilihanraya sebagai tanda kita berada di landasan yang silap. Demi sesungguhnya, beringatlah bahawa kita tidak ditanya oleh Allah SWT tentang hasil dakwah kita tetapi kita akan dipersoalkan apa yang kita buat semasa umur muda dan tua kita.

Akhirul kalam, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengakhiri Ucapan Pengangguhan Wakil Pemuda dalam Muktamar PAS ke-63 di Alor Setar, Kedah Darul Aman kali ini dengan mengungkapkan bait-bait doa dan munajat ringkas berikut:
Dengarkanlah Azam dan Tekad Pemuda-Mu ini
Berbekal Iman, Jihad dan Taqwa kita laungkan
Saff Pemuda yang kita persiap-siagakan,
Bersama-sama kepimpinan ulamak yang kita sepakati
Badai dan lautan siyasah kita renangi
di bawah Lembayung al-Quran dan Sunnah kita teduhi.

Penuh khusyuk takzim mengharapkan Nasrullah-Mu
Munajat doa kami panjatkan ke hadrat-Mu, Ya Ilahi
Janganlah Kau lupakan kami, Ilahi Rabbi
Dalam kesempatan Muktamar ini kami akur-janjikan
Pantang Melayu – Agama, Adat dan Raja dialpakan
Tiga Tiang Seri leluhur sejati kita sanjungi
Merafak sembah sujud kami hanya kepada-Mu

USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 1/5/2017

TANAH jelapang padi bersimbah dengan cahaya keperakan mentari pagi yang indah menyambut kehadiran perwakilan dan pemerhati ke Muktamar DPPM kali ke 58. Hujan lebat semalaman sebelum muktamar telah membuah udara segar, sebagaimana segarnya ukhuwwah dan persahabatan dalam jamaah Islam ini. Dengan warna ungu sebagai tema muktamar kali ini, pimpinan dan para muktamirin kelihatan segak bergaya. Menguntum senyuman para petugas protokol menyambut hadirin yang memenuhi khemah besar muktamar di Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut.

Muktamar Dewan Pemuda semenjak keberadaannya di medan siasah dan dakwah negara ini sentiasa membuncah energi, merubah lanskap politik dalaman PAS dan menjadi penanda aras akan keberhasilan PAS di medan operasional. Dewan Pemuda bermula dengan namanya Dewan Pemuda Islam ditubuhkan pada tahun 1953, dipimpin oleh Ustaz Ahmad Badawi. Ramai kalangan aktivisnya pada dekad 50-an ialah para penggerak sekolah agama rakyat seperti Ustaz Hasan Adli, Ustaz Yunus Yatimi dan lain-lain nama besar dalam perjuangan.

Dewan Pemuda antara yang mengusahakan supaya PAS dipimpin oleh seorang sosok besar perjuangan dan maestro politik iaitu Dr Burhanudin al Helmi. Ustaz Hasan Adli pada tahun 1956,mengusahakan agar Dr Burhanudin  menjadi tonggak utama PAS. Tokoh besar yang bergraduat daripada Universiti Aligagh India ini telah berjaya membawa PAS memenangi negeri Terengganu dan Kelantan pada pilihan raya tahun 1959.

Dewan Pemuda PAS Pusat menerjang badai yang bukan kepalang dalam dekad 1960-an dengan kewujudan pemuda tahan lasak UMNO. Program dan pemimpin PAS diganasi anak-anak muda muda UMNO, sehingga pemuda PAS merespons dengan gerakan Pemuda Syuhada. Ketua Pemuda PAS Pusat, Abdul Samad Gul Mianji mati ditetak dengan kapak kecil di tanah serendah sekebun bunga. Haruman darah inilah yang membugar semangat anak-anak muda PAS di sepanjang zaman.

Dewan Pemuda dalam dekad 1970-an menjadi rakan kongsi strategik dalam pemuafakatan politik, di mana terlantiknya Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat saat itu, Datuk Mustafa Ali sebagai Timbalan Menteri. ABIM dalam dekad itu sebagai rakan simbiosis yang akrab dengan Dewan Pemuda PAS, mencetak kader-kader dakwah.  

Muktamar Dewan Pemuda PAS yang telah berlangsung di Madrasah  Masriyyah Bukit Mertajam pada tahun 1982 telah meluluskan usul kepimpinan ulama. Usul penting inilah yang membentuk orientasi perjuangan PAS selama berdekad-dekad selepas itu. Pemuda PAS telah melangkah gagah di pelbagai sektor, mereka memulakan rangkaian jaringan pendidikan PAS. Bermula dengan pendidikan prasekolah PASTI, merambah kepada SRITI, memotori pendidikan menengah Islam dan juga peringkat kolej universiti yang disempurnakan oleh Dewan Ulama.

Gerak kerja kebajikan dan kemasyarakatan secara munazzomah dicetuskan oleh Dewan Pemuda dengan munculnya Unit Amal yang kemudiannya dijenamakan sebagai Jabatan Amal. Pelbagai jaringan sivil, gerakan swadaya masyarakat digerakkan oleh Dewan Pemuda, yang akhirnya PAS dilihat indah pada kacamata masyarakat awam. Dimana ada bencana dan tragedi dalam dan luar negara, maka entiti PAS terus berada di barisan paling hadapan sehingga diyakini publik.

Dewan Pemuda PAS terus menjaring dan merengkuh pelbagai sektor masyarakat untuk menyertai PAS. Antaranya dengan ARC, menjadikan kelompok anak-anak muda yang minat dalam bidang pemotoran terasa disantuni oleh harakatul ummah ini. Akademi Kepimpinan Pemuda terus mencetak kepimpinan yang kompeten dan berdaya saing, malah jentera tajnid Dewan pemuda terus mengilang kader-kader dakwah yang istiqomah memperjuangkan Islam.

Dewan Pemuda PAS yang menghampiri enam dekad perjuangan ini telah meninta perjuangan ini dengan catatan emas. Merekalah paling ramai mendekam dalam tahanan ISA, dibunuh serta dikucilkan oleh jentera regim. Maka jangan dirosakkan kegemilangan sejarah emas Dewan Pemuda ini dengan pemuda yang berwatak "kain batik", berada di zon selesa serta manja dibelai.

Teruskan era pengukuhan jamaah ini serta usaha menarik seluruh sektor masyarakat untuk belayar dalam bahtera ini. Pemuda adalah benteng paling ampuh, dada mereka adalah perisai jamaah. Tulang belulang mereka adalah segenggam kekuatan untuk kayuhan bahtera ini menggapai kemenangan dan mardhotillah, mara menuju cita!

Penulis ialah Timbalan Pengerusi Tetap Dewan Pemuda Malaysia.

1. PAS merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Almarhum adik Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi yang telah meninggal dunia dipercayai akibat kecederaan serius dari hukuman disiplin melampau seorang pembantu warden di sekolah Almarhum.

thaqif2. Dilaporkan bahawa pembantu warden tersebut yang mempunyai rekod jenayah lampau, sedang ditahan reman.

3. Meskipun kes ini mengundang emosi namun sikap kita seharusnya mengelak untuk menghukum tanpa bicara. Apa yang wajar ialah doa buat Almarhum adik Thaqif dan agar keadilan segera terlaksana. Berdasarkan respons tuntas Ketua Polis Negara, kita meletakkan keyakinan kepada PDRM untuk memuktamadkan siasatan dengan cepat dan betul.

4. Sudah tiba masanya juga suatu sistem saringan diwujudkan sebagai pusat rujukan sehenti para majikan memeriksa latarbelakang pekerja yang ingin diambil khususnya bagi organisasi yang terlibat dalam sektor kritikal seperti keselamatan, kesihatan dan pendidikan.

5. Kerajaan sudahpun mempunyai sistem e-Tapisan yang menyaring pengambilan pekerja dan kenaikan pangkat di dalam perkhidmatan awam. Sebagai cadangan, sistem e-Tapisan ini boleh diperluas kepada sektor swasta terpilih bagi meningkatkan kualiti saringan pengambilan pekerja sekaligus mengurangkan individu berisiko tinggi dari berkhidmat di dalam sektor kritikal seperti di sekolah-sekolah.

Al-Fatihah untuk Almarhum adik Thaqif.

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat