Rasulullah SAW tidak pernah mungkir janji

Pimpinan
Typography

MUNGKIR janji adalah sebahagian dari sifat orang munafik. Itulah yang pernah ditegaskan oleh Rasulullah SAW sendiri.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رضى الله عنه عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلَاثٌ إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ

Daripada Abi Hurairah Rha. dari Nabi SAW telah bersabda: Tanda munafiq itu ada tiga. Apabila bercakap ia bohong, apabila berjanji ia mungkir dan apabila diberi amanah ia khianat. (Riwayat Imam Bukhari)

Justeru itu, mustahillah terdapat tanda munafiq pada diri Rasulullah SAW. Malah sifat wajib bagi Rasul SAW itu, antaranya ialah siddiq iaitu benar. Tidak mungkin Rasulullah SAW berbohong apatah lagi memungkiri janji.

Sementara “kegagalan” menunaikan umrah yang dikisahkan dalam peristiwa Sulh Al-Hudaibiyah bukanlah hujjah atau bukti Nabi SAW pernah memungkiri janji atau tidak menunaikan janjinya.

Sebaliknya sirah menunjukkan Nabi saw tidak pernah berjanji untuk menunaikan umrah pada tahun itu. Ianya boleh disaksikan melalui dialog Saidina Umar Al Khattab Rha dengan Nabi SAW.

Kata Umar Al Khattab Rha:

ألَمْ تَقُلْ إنك تدخل مكَّةَ آمِنا ؟

Apakah Tuan telah menyatakan bahawa Tuan akan memasuki Makkah (untuk menunaikan umrah) secara aman?

Jawab Nabi SAW:

بلى أفقُلْتُ لكم مِن عامي هذا ؟

Ya, namun apakah aku bagitahu kepada kamu bahawa ia akan berlaku pada tahun ini?

Kata Umar Al Khattab Rha:

لا

Tidak

Lalu Nabi SAW menyebut:

فهو كما قال جبريل عليه السلام فإنَّكم تأتونَه و تَطوفون فيه

Maka ia sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Jibril alaihissalam bahawa kamu akan mendatanginya (Makkah) dan melakukan tawaf padanya (Kaabah). (Sirah An Nabawiyyah oleh Ibnu Kathir)

Menisbahkan Rasulullah SAW pernah memungkiri janji seperti meletakkan tanda-tanda munafik pada diri Rasulullah SAW sedang sifat wajib bagi Rasulullah SAW itu ialah siddiq (benar), maka ia boleh menjejaskan keimanan kepada Rasulullah SAW.

Peristiwa Sulh (perjanjian) Hudaibiyah langsung tidak mempamerkan kelemahan dan sifat negatif pada diri Rasulullah SAW. meskipun Rasulullah saw dilihat “mengalah” pada awalnya sehingga bersetuju apa sahaja syarat oleh pihak Kuffar Quraisy dalam perjanjian tersebut termasuk tidak menunaikan umrah pada tahun itu.

Sebaliknya Perjanjian Hudaibiyah yang berlangsung pada tahun ke-6 Hijrah itu menjadi anak kunci kepada pembukaan Kota Makkah yang membawa kemenangan agung kepada umat Islam pada tahun ke-8 Hijrah.

Rasulullah SAW Qudwah Sepanjang Zaman. – HARAKAHDAILY 17/12/2018