Jangan nyalakan api perkauman

Pimpinan
Typography

ISLAM dan umatnya yang berpegang teguh dengan syariat pasti tidak akan menyerang rumah ibadat, meskipun rumah ibadat agama lain.

Malah Islam melarang penganutnya menghina sembahan pihak lain.

Firman Allah swt:

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ كَذَٰلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِم مَّرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Dan janganlah kamu cerca apa yang mereka sembah selain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan. (Surah Al An’am: 108)

nasrudintaIslam bukan agama keganasan. Sebaliknya menentang sikap melampau, lalu menganjurkan keharmonian, kesejahteraan, kedamaian dan keselamatan.

Namun kita sering berdepan dengan propaganda yang mensasarkan Islam dan penganutnya agar terus tersangkar dalam polemik Islamophobia dalam kalangan masyarakat awam.

Kemelut politik semasa juga mendorong setengahnya berprasangka terhadap Islam tanpa memahami betul duduk sesuatu isu dengan tepat dan benar.

Situasi begini juga mudah benar bagi musuh Islam mengambil kesempatan untuk menuding jari kepada Islam.

Ia menjadi jalan pintas pihak yang tidak bertanggungjawab melepaskan dendam mereka kepada ummat Islam.

Provokasi turut dilepaskan oleh golongan yang mahu menangguk di air yang keruh.

Melagakan umat Islam dan orang Melayu dengan bangsa dan agama yang berbeda. Sementara mereka cepat sembunyi diri setelah melontar batu.

Saya tidak boleh mengenepikan kemungkinan bahawa terdapat usaha pihak tertentu untuk menjadikan insiden rusuhan di USJ sebagai turning point bagi menghalang himpunan aman rakyat membantah ICERD yang dijangka berlangsung pada 8 Disember 2018 akan datang.

Sedang Himpunan Bantah ICERD akan dilangsungkan secara aman dalam sebuah negara yang mendukung demokrasi. Inilah komitmen penganjur.

Biasanya pendukung rasis yang selalu cuba mengangkat isu perkauman sebagai peluang melampias kepentingan puak dan kemahuan politik mereka.

Lantaran itu, umat Islam hendaklah senantiasa berwaspada. Jangan mudah diperalat dan terpengaruh dengan propaganda dan sentimen yang menimbulkan hura-hara.

Berpolitiklah Untuk Bangunkan Tamadun Bukan Meruntuhkannya.

NASRUDIN HASSAN
18 Rabiul Awwal 1440 / 26 November 2018 – HARAKAHDAILY 27/11/2018