Menggapai belanjawan berihsan diredai Allah

Pimpinan
Typography

ذَٰلِكَ بِأَنَّ اللَّهَ لَمْ يَكُ مُغَيِّرًا نِعْمَةً أَنْعَمَهَا عَلَىٰ قَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ ۙ وَأَنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

“Balasan yang demikian itu ialah kerana sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang telah dikurniakannya kepada sesuatu kaum sehinggalah mereka terlebih dahulu mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan ingatlah sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

(al-Anfal: 53)

Sebelum setiap kita dilahirkan di dunia ini, Allah terlebih dahulu telah menyediakan rezeki untuk kita dengan sempurna. Sebelum kita tahu untuk bercucuk tanam, kita telah disediakan buah-buahan yang hanya perlu untuk dipetik dan dimakan. Sebelum kita tahu menggali telaga dan menyediakan paip-paip di rumah kita, kita telah disediakan dengan air hujan dan sungai-sungai yang mengalir jernih. Begitulah rezeki kita mendahului kelahiran dan kehadiran kita di muka bumi ini.

Ada dua hukum alam atau sunnatullah yang perlu kita yakini. Pertama, rezeki setiap kita sudah pun mencukupi. Allah telah pun menjaminnya. Tinggal lagi Allah mahukan manusia menyusun dan mengagihkannya dengan benar, berdasarkan hak-hak yang dimiliki masing-masing. Sebarang perlanggaran terhadap hak-hak manusia itulah yang menjadi sebab utama wujudnya jurang yang memisahkan orang-orang yang kaya raya dengan orang-orang yang fakir miskin walaupun mereka hanyalah hidup berjiran di kampung atau di negara sendiri.

Ia sebagaimana Allah melebatkan turunnya hujan di kawasan-kawasan tadahan. Ia kaya dengan air yang banyak tetapi ia bukan untuk dimiliki hutan dan bukit-bukau tersebut tetapi untuk dialirkan ke kawasan-kawasan melalui sungai-sungai yang sedia tercipta ke kawasan-kawasan kehidupan yang memerlukannya.

Begitulah kekayaan negara dan individu. Ia bukan milik sepenuhnya buat si pemilik tersebut bahkan ia adalah amanah yang perlu diagihkan sebaiknya kepada mereka yang memerlukan. Negara dan orang kaya mestilah mencipta sungai-sungai yang banyak ke setiap pelosok kehidupan rakyat agar rezeki Allah sampai kepada tuannya.

Adapun hukum alam ataupun sunnah Allah yang kedua adalah bahawa nikmat Allah ke atas manusia tidak akan kekal selama-lamanya. Tidak ada kesenangan kecuali berselang kesusahan, tidak ada kesusahan kecuali berganti kesenangan. Akan tetapi itu tidak berlaku kecuali dengan adanya sebab yang mendahului. Kehidupan ini bermula dengan nikmat, rahmat dan kasih sayang Allah. Apabila nikmat kehidupan telah dikecapi, maka Allah mahukan manusia mensyukurinya.

Dengan syukur, Allah meredai manusia dan membalasnya dengan nikmat bertambah-tambah. Maka dihantarkan peringatan demi peringatan untuk manusia melalui kitab-kitab-Nya, Rasul-rasul-Nya dan hamba-hamba-Nya yang soleh agar manusia bersyukur kepada-Nya dengan mentaati arahan-Nya dan menjauhilah larangan-Nya. Maka kekal dan bertambahlah rezeki kehidupan dengan penuh keberkatan.

Akan tetapi apabila manusia enggan bersyukur, bahkan melakukan pelanggaran dan maksiat, maka tibalah masa dan ajalnya Allah menukarkan kenikmatan dengan bala dan musibah ke atas manusia. Bukan Allah yang memulakannya tetapi manusia. Bukan Allah yang menzalimi tetapi manusialah yang menzalimi diri mereka sendiri. Begitulah, maksud ayat al-Quran yang saya bacakan tadi. Ia adalah tunjang utama falsafah pembinaan sebuah negara yang taat kepada Tuhannya.

Bajet atau Belanjawan Negara bukanlah sekadar angka dan jumlah bahkan lebih dari itu ia adalah bagaimana kita menguruskannya. Kita boleh mengutip hasil negara dan mencapai jumlah yang kita mahukan. Akan tetapi yang lebih utama adalah bagaimana kutipan itu dilakukan. Kita boleh membelanjakan perbelanjaan negara semahu yang kita mahukan. Akan tetapi yang lebih utama adalah bagaimana yang kita membelanjakannya.

Pokoknya rezeki Allah masuk dan keluarnya adalah terikat dengan hukum Allah atau halal dan haramnya. Justeru amatlah penting untuk kita mengetengahkan soal amanah dan ihsan di dalam belanjawan kita. Ia bukan soal kekukuhan fiskal negara semata-mata. Bahkan ia biarlah sebuah belanjawan ihsan yang menggamit keredaan Allah S.W.T.

(Dipetik daripada ucapan oleh Ahli Parlimen Bachok dalam perbahasan Belanjawan 2019 sidang Dewan Rakyat di Parlimen, Kuala Lumpur pada 15 November 2019)  - HARAKAHDAILY 17/11/2018