Manfaatkan kepakaran, pengalaman Dr Halimah

Pimpinan
Typography

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) menyeru pengundi-pengundi pelbagai kaum di N.32 Seri Setia untuk mengundi calon berpengalaman PAS, Dr Halimah Ali.

Beliau yang mempunyai latar pendidikan yang cemerlang di samping keperibadian diri serta keluarga yang baik harus diberi peluang untuk berada di Dewan Undangan Negeri Selangor pada kali ini.

Keberadaan beliau di Dun sudah tentu boleh menyumbang ke arah politik bernilai tinggi kerana pengalaman selama 10 tahun sebagai Adun boleh dimanfaatkan untuk membantu rakyat menyuarakan isu-isu negeri dan tempatan dengan lebih efektif.

Selain itu, pengalaman beliau yang sangat berharga selama lebih 20 tahun sebagai doktor di hospital awam dan pengamal perubatan swasta membuktikan jiwanya yang lebih dekat dengan masyarakat.

Karier sebagai seorang doktor sudah tentu menajamkan keprihatinan beliau terhadap masyarakat. Beliau juga sering menawarkan diri sebagai aktivis sukarelawan bencana alam di Malaysia dan antarabangsa antaranya seperti di Lubnan, Kashmir, Yogyakarta dan Aceh. Bukti ini jelas menunjukkan bahawa sikap empati beliau terhadap rakyat sukar untuk dipertikaikan.

Tambahan pula, khidmat bakti beliau sebagai mantan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan, Kerajaan Negeri Selangor pada tahun 2008 hingga 2013 boleh menyumbang ke arah pembangunan polisi dan isu pendidikan negeri dengan lebih berkesan.

Hal ini bermakna, kecenderungan beliau dalam sektor kesihatan, kebajikan dan pendidikan boleh membantu rakyat pelbagai kaum di Seri Setia khususnya dan seluruh negeri Selangor amnya.

Pengundi di Seri Setia mempunyai peluang keemasan untuk menghantar calon PAS yang berintegriti dan berkompetensi demi kebaikan seluruh rakyat di negeri Selangor. Insya Allah.

Sejahtera Bersama Islam

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
16 Zulhijjah 1439 | 28 Ogos 2018 – 28/8/2018