67 tahun: Tahniah pemimpin, ahli dan penyokong PAS

Pimpinan
Typography

TAHUN ini, PAS telah pun berusia 67 tahun. Sejak cetusan awal penubuhannya bermula 23 Ogos 1951 diikuti penubuhannya secara rasmi pada 24 November tahun yang sama sehingga kini PAS telah dipimpin oleh tujuh (7) orang tokoh bervariasi latar belakang dan kompetensi menghadapi cabaran dan menempa kejayaan di zaman masing-masing.

takiri1Menerusi syura yang diinstitusikan menjadi badan tertinggi bagi memelihara dasar dan memandu perjalanan parti; kepimpinan yang kolektif di semua peringkat organisasi bagi merencana operasi yang strategik; dan ahli yang mempunyai nilai kesetiaan dan ketaatan yang tinggi, menjadikan PAS terus istiqamah di atas prinsip Islam memimpin ummah di medan siyasah.

Merentas usianya ini, PAS sedayanya berkreativiti dan berinovasi dalam mengeluarkan ijtihad berasaskan petunjuk wahyu dan ilmu alat yang lain seperti fiqh al-aulawiyyat, fiqh al-muwazanat dan fiqh al-waqie demi mencapai maslahah untuk rakyat dan negara ini dengan kepentingan dan penyelesaian secara Islam didahulukan daripada yang lain.

Sekalipun ada langkahan PAS itu merugikan jika dilihat menerusi kacamata politik sekularisme, ia tidak pernah menjadikan PAS lumpuh apatah lagi luput ditelan zaman. Sebaliknya, PAS terus menongkah arus ke hadapan meraih kejayaan demi kejayaan dalam usaha mendaulatkan Islam.

Pun begitu, di era informasi tanpa sempadan dengan kecanggihan pelbagai alat peranti dan aplikasi pada hari ini, manusia semakin mudah dan cepat terdedah kepada bermacam-macam maklumat menjadikan pembentukan pandangan alam (worldview) dan persepsi mereka terhadap sesuatu perkara sentiasa berada di persimpangan antara kebenaran dan kepalsuan.

Justeru, setiap pemimpin, ahli dan penyokong PAS mesti berperanan sebaiknya menghadapi cabaran di zaman ini. Semua kita mesti sentiasa tegas dan berani menzahirkan kebenaran; mengambil posisi masing-masing dan melaksanakan tugasan secara berobjektif dan efektif; serta saling percaya-mempercayai dan lengkap-melengkapi antara pemimpin, ahli dan penyokong demi memastikan PAS terus kekal relevan dalam arena politik tanah air dan menjadi pilihan utama rakyat.

Saya mengucapkan selamat ulang tahun buat semua pimpinan, ahli dan penyokong PAS. Semoga kita semua dikurniakan ikhlas dan istiqamah.

”Sejahtera Bersama Islam"

Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Jumaat, 24 Ogos 2018 | 12 Zulhijjah 1439 – HARAKAHDAILY 24/8/2018