Targhib dan tarhib: Selamatkan golongan LGBT

Pimpinan
Typography

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) mengucapkan tahniah kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kerana telah menganjurkan Seminar Peradaban dan Kecelaruan Gaya Hidup Kontemporari 2018 di Kuala Terengganu, semalam.

Program yang secara langsung menyentuh isu penularan kes LGBT dilihat mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dalam kalangan pihak pendidik, pertubuhan bukan kerajaan dan agensi kerajaan.

nasrudinPAS mengharapkan agar seminar membentuk kefahaman seperti ini dapat diteruskan ke seluruh negara.

Bagi mendepani penularan kes LGBT, dua konsep pendekatan yang perlu diambil perhatian sewajarnya iaitu pendekatan:

i) targhib (memberi galakan ke arah kebaikan) dan

ii) tarhib (menimbulkan kegerunan terhadap dosa).

Pendekatan targhib seperti yang diuar-uarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri Terengganu iaitu dengan membantu mereka daripada aspek kaunseling, pendidikan dan menawarkan pekerjaan yang sesuai supaya mereka tidak lagi terjebak dalam industri dosa.

Pendekatan tarhib pula adalah penguatkuasaan undang-undang yang bertujuan untuk menimbulkan kesedaran dan juga mencegah daripada terus berleluasa.

Kesalahan-kesalahan yang boleh dikenakan mengikut Enakmen Jenayah Syariah seperti perbuatan sumbang mahram, pelacuran, penzinaan, liwat, transgender dan perbuatan tidak sopan di tempat awam boleh diteliti kadar hukumannya supaya ia selaras dengan tuntutan maqasid syariah.

Tujuan utamanya bukan untuk menghukum semata-mata tapi ia juga adalah untuk mencegah. Paling penting penguatkuasaan undang-undang Syariah tersebut jika selari dengan garis panduan syarak, ia akan mengundang pencegahan dari Allah (nakalan min Allah).

Sekarang, kes-kes LGBT bukan sahaja dilakukan dalam ruang peribadi, tetapi sudah mula menular dalam ruang awam. Di sosial media, penganjuran aktiviti terbuka, kempen malah sudah sampai ke peringkat mencabar perundangan seperti kes Muhammad Juzaili lawan Kerajaan Negeri Sembilan.

Oleh kerana itu, isu-isu LGBT perlu ditangani dengan adil. Kombinasi unsur targhib dan tarhib mesti diseimbangkan. Tidak cukup dengan pendekatan targhib, tapi pendekatan tarhib yang lebih tegas juga mesti dikuatkuasakan. Agar gejala hidup songsang ini dapat dicegah daripada terus kronik.

Sejahtera Bersama Islam

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat – HARAKAHDAILY 31/7/2018