Tahniah! Semarak anak muda hijaukan Fastaqim 2.0

Pimpinan
Typography
HIJAU Menuju Kemenangan yang digelombangkan oleh penyertaan sekitar 70 peratus anak muda dalam Fastaqim 2.0 di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus pada 29 dan 30 September lalu menyerlahkan semarak tajdid ingin diterjemahkan golongan ini terhadap masa depan negara. Anak muda sedang memantulkan isyarat jelas kecenderungan mereka untuk bersama PAS dan Gagasan Sejahtera menjelang PRU14 agar perubahan berlaku di medan demokrasi membawa kepada terbentuknya pemerintahan baharu berteraskan Islam.
 
Anak muda hijau sedang membuktikan betapa mereka adalah pemain utama peranan penting dan bersejarah ini yang nantinya dapat dilaksanakan secara penuh beradab dan berakhlak; tanpa perlu disusuli elemen radikal, menggugat atau merosakkan. Kami percaya, ianya terhasil dari kefahaman dan jati diri anak muda terhadap hal ehwal serta perkembangan politik semasa, selain kesediaan memposisi dan menyumbang sesuatu yang bermakna demi negara tercinta ini. Sekian lama ternoda di bawah pemerintahan BN, anak muda mahu menjadi penyelamatnya.
 
Anak muda ternyata sudah muak dengan segala fitnah dan karenah ditimpakan ke atas negara oleh tangan-tangan pemimpin yang menguasai bumi Malaysia secara sombong dan rakus selama ini. Kerana itu anak muda hadir ke Fastaqim 2.0 dengan pengorbanan dari kemampuan dan biaya sendiri yang semua itu pasti dicatat dengan ganjaran pahala sebesar-besarnya di sisi Allah S.W.T. Iltizam dizahirkan oleh anak muda ini sesungguhnya suatu yang amat murni dan mulia kerana berdiri untuk satu perjuangan tanpa sogokan material dan janji-janji. 
 
Sebaliknya sebagai menunaikan tanggungjawab kepada Allah dan Rasul agar lahirnya rakyat dan negara sejahtera yang di dalamnya tertegak cara hidup dan hukum berlandaskan Islam. Anak muda seperti ini jugalah harapan untuk membimbing kembali rakan muda mereka yang lain dari lalai dan leka oleh pelbagai hambatan tipu daya dunia hingga tenggelam ke pelbagai kancah kemungkaran. Malah, dengan segala semangat, inovasi dan kepakaran didokong anak muda dewasa ini bakal memakmurkan Malaysia jauh lebih berdaya di masa depan. 
 
Seluruh kesungguhan ini mengingatkan kepada anak muda para Sahabat R.A yang ditarbiyah dari madrasatur Rasulullah S.A.W. Dari kesabaran dan kesepaduan merekalah telah membuahkan kejayaan menjinakkan keangkuhan kuasa besar Rom dan Parsi biarpun menempuh jalan perjuangan ratusan tahun. Namun, dari susur galur mereka jugalah menyebarkan rahmat Islam yang menaungi dua pertiga muka bumi dan dinikmati keimanan itu sehingga kini. Itu jugalah jasa sedang dilakar anak muda hijau di pertiwi tercinta bernama Malaysia.
 
Menanti wisel cabaran PRU14 yang bakal ditiupkan pada bila-bila masa dari sekarang, kami penuh kepercayaan dan doa berharap seluruh anak muda telah bersedia bersama menjadi sebahagian gemblengan tenaga untuk menghadapinya. Marilah kita istiqamah di jalan ini hingga akhir hayat menemui Allah Taala dalam menggapai martabat tertinggi di sisi-Nya serta dihimpunkan bersama golongan diredhai-Nya. Tahniah atas kehadiran, komitmen dan menjadi penggerak yang berjaya. Fastaqim!
 
 
USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia
2 Oktober 2017 | 11 Muharam 1438 - HARAKAHDAILY 2/10/2017