Tahniah para pendukung, penyokong tertegaknya kebenaran

Pimpinan
Typography

BERKATA As-syahid Al-Imam Hassan Al-Banna: Sesungguhnya ramai yang mampu berkata-kata dan sedikit dari mereka yang bertahan dalam beramal dan bekerja. Ramai pula dari yang sedikit itu yang mampu bertahan di waktu beramal dan sedikit dari mereka yang mampu memikul bebanan jihad yang sukar dan berat. Para Mujahidin itu adalah angkatan terpilih yang sedikit bilangannya tetapi menjadi penolong dan menjadi Ansarullah. Adakalanya mereka tersilap tetapi akhirnya menepati tujuan sekiranya mereka diberi inayah dan hidayah oleh Allah. 

Firman Allah bemaksud: “Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendakiNya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk.” (Al-Qashash: 56)

Alhamdulillah puji dan syukur atas segala kurniaan Allah yang telah memudahkan segala urusan dan perjalanan Fastaqim 2.0 di Pantai Tok Jembal, Terengganu. Sesungguhnya kita hanya mampu merancang untuk yang terbaik; namun Allah yang Maha Mengetahu lebih mencatur segala aturan alam.

Kami daripada Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) mengucapkan jutaaan tahniah buat seluruh Ahli Jawatankuasa Induk dan Pelaksana Fastaqim 2.0 yang telah bertungkus lumus dalam melaksanakan program mega ini.

Juga khusus kepada Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu serta seluruh Dewan Muslimat Kawasan-Kawasan yang terlibat, kepada Ameerah Malaysia, Briged Muslimat Malaysia, Nusaibah Malaysia dan semua yang terlibat sama ada secara langsung dan secara tidak langsung, kami (DMPM) dengan penuh takzim mengucapkan berbanyak terima kasih untuk segala sumbangan tenaga, masa, wang dan kudrat kalian.

Ambil segala ilmu dan mutiara kata dari pimpinan, semat dan pasakkan dalam hati kita semua. Simpan kenangan manis bersilaturrahim dan berukhuwah sepanjang di Fastaqim sebagai memori indah dalam lipatan sejarah kita.

Ayuh! Terus bangkit dan bersemangat dalam meneruskan perjuangan dan dakwah dalam medan Islam. Terus kuat gigih dan ikhlas bekerja untuk Islam dan memenangkan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) untuk PRU ke-14 nanti insyaallah.

Sebarkan dakwah dengan berhikmah dan mantapkan diri dengan ilmu tarbiyyah dakwah dan siasah. Semoga segala amal dan kerja dakwah kita diberkati dan diredhai Allah.
Selamat berjuang buat seluruh Mujahidah! Takbir!

“Sejahtera Bersama Islam”
“Muslimat Memacu Kemenangan”

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
11 Muharram 1439 / 2 Oktober 2017 – HARAKAHDAILY 2/10/2017