Hari Malaysia: Harapan anak muda Malaysia

Pimpinan
Typography

PADA 16 September 2017 hari ini, Malaysia bakal menyambut ulangtahun hari Malaysia. Lebih manis sambutan pada kali ini berada dalam suasana selepas kejayaan Malaysia menjadi tuan rumah temasya Sukan SEA kali yang ke 29. Kilauan lebih 111 pingat emas yang dimenangi oleh para atlet tanah air merupakan hadiah yang amat bermakna buat Malaysia.

Kita bangkit bersama mengharungi arus kehidupan yang penuh pancaroba dan ujian. Kita juga mengharapkan kejayaan yang sama kepada kontingen Malaysia dalam sukan Para ASEAN yang akan bermula esok.

Nikmat kemerdekaan serta kejayaan kita membina negara Malaysia yang kita kecapi hari ini lahir daripada pengorbanan besar oleh generasi terdahulu. Kita generasi muda adalah pewaris tanah air yang bertanggungjawab dalam menentukan hala tuju masa depan negara yang sudah bebas berdaulat.

Syeikh Dr Yusof Al Qardhawi dalam buku beliau yang bertajuk “Kewajipan Pemuda Islam Hari Ini”, menyatakan pemuda merupakan unsur penting dalam pembinaan ketamadunan sesebuah negara. Beliau menyifatkan jiwa pemuda sebagai matahari yang memancar terik di tengah hari. Cahaya yang terik itu umpama semangat yang begitu berkobar-kobar dan hebat yang dimiliki oleh golongan pemuda. Namun, terik semangat itu perlu dibendung dengan ilmu.

Membina negara ini bukanlah hanya kita bebas untuk melakukan apa jua mengikut rasa hati, kerana setiap yang wujud di atas muka bumi ini pasti ada peraturannya. Kita impikan generasi muda yang merdeka mindanya daripada belenggu pemikiran penjajah. Namun, ia tidak pula bermakna minda bebas berfikir sehingga tidak mahu beragama.

Sehebat mana pun idea dan pemikiran manusia, ianya tetap tidak mampu menandingi kuasa Allah Yang Maha Esa yang mengurniakan nikmat akal kepada manusia. Wahyu merupakan pedoman untuk memandu akal yang berfikir agar tidak tergelincir daripada landasan kebenaran. Kelompok seperti Atheis, LGBT, Islam Liberal merupakan mereka yang hanya bertuhankan akal sehingga terlupa Tuhan yang menciptakan mereka di atas muka bumi ini.

Islam merupakan ‘Ad-Din’, suatu panduan cara hidup yang sempurna dalam segenap aspek merangkumi pembentukan individu, masyarakat sehinggalah bernegara. Antara warisan pemikiran penjajah yang ditinggalkan ialah ideologi sekularisme yang memisahkan negara daripada agama. Merekalah yang menanamkan pemikiran politik suku agama suku.

Alhamdulillah, setelah sekian lama PAS memerangi pemikiran sekularisme kini, rakyat mula sedar akan hakikat Islam tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan bernegara. PAS terus mengorak langkah maju ke hadapan dengan mempelopori pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS). Prinsip BPMS seperti politik diplomasi, rasional, dan solusi merupakan penawar bagi mengubati krisis politik hari ini yang sarat dengan konfrontasi, persepsi, emosi, dan provokasi. Kita tidak mahu lagi terperangkap dengan konotasi ‘politik itu kotor’ kerana hakikatnya politik itu adalah perjuangan yang suci tetapi ia dikotorkan oleh pemain politik yang tidak menjadikan Islam sebagai kompas kehidupannya.

Dalam kita menyambut Hari Malaysia pada hari ini, isu jurang sosio-ekonomi masih membelenggu negara. Kerajaan mula melaksanakan Dasar Ekonomi Baru pada tahun 1970, manakala pada tahun 2010 dilancarkan pula Model Ekonomi Baru, persoalannya kini bagaimanakah realiti sebenar yang dihadapi oleh rakyat khususnya anak muda.? Model yang direncana oleh kerajaan ini seolah-olah hanya menguntungkan sekumpulan pihak elitis politik dan konglomerat, sedangkan sasaran kepada rakyat terbanyak masih lagi jauh dari yang sepatutnya.

Data rasmi juga menunjukkan kadar pengangguran adalah tertinggi dalam kalangan tenaga kerja Bumiputera iaitu 70.3%, termasuk graduan menganggur sebanyak 66.9%. Median pendapatan bulanan isi rumah Bumiputera sebanyak RM3,282 masih rendah berbanding kaum Cina iaitu RM4,643. Dalam kumpulan isi rumah berpendapatan 40% terendah, 75.5% adalah Bumiputera. Pemilikan hartanah dalam kalangan Bumiputera juga masih jauh lebih rendah berbanding kaum-kaum lain.

Anak muda mengalami dilema untuk memiliki kediaman sendiri dalam keadaan himpitan kos sara hidup. Manakan tidak, kediaman yang banyak dijual itu bukanlah mampu milik, sekadar mampu lihat sahaja. Jurang ekonomi ini turut melebar dalam aspek pendidikan, kesihatan, sosial dan budaya maka langkah penyelesaiannya mestilah secara inklusif, komprehensif dan merentasi semua sektor.

Pembinaan negara Malaysia yang sebenar juga perlu membebaskan negara yang kita cintai ini daripada kebejatan sosial yang kian membarah. Hati siapa yang tidak terusik tatkala saban hari kita dihidangkan dengan berita kes penderaan seksual kanak-kanak, kematian akibat buli, sumbang mahram, dan rogol.

Mengikut perangkaan Polis Diraja Malaysia (PDRM), bagi tempoh tahun 2010 hingga Mei lalu sebanyak 13,272 kes rogol atau 59.7 peratus direkodkan, manakala cabul (6,014 kes atau 27.04 peratus), sumbang mahram (1,766 kes atau 8.07 peratus) dan luar tabii (1,152 kes atau 5.18 peratus).

Kita juga melahirkan kekesalan diatas usaha segelintir pihak yang cuba membawa unsur-unsur buruk dan merosakkan dalam masyarakat Malaysia hari ini. Usaha-usaha berterusan seperti pendokong golongan LGBT yang ingin membawa pengaruh mereka dalam masyarakat, acara mabuk arak besar-besaran serta pelbagai budaya tidak sihat cuba diketengahkan kepada masyarakat khususnya anak muda. Apakah kita tidak melihat betapa begitu banyak kerosakan yang telah berlaku dalam masyarakat dan kita masih berdiam diri membiarkan golongan seperti ini terus membawa pengaruh mereka?

Suka atau tidak, kita tidak dapat menafikan akan hakikat sistem perundangan Barat yang kita warisi daripada penjajah ini penuh lompang kekurangan. Ianya telah gagal untuk menyelesaikan masalah jenayah yang terus meningkat. Kerana apa.? Sistem perundangan Barat kosong nilai ruh spiritual, inilah aspek yang membezakannya dengan sistem perundangan Syariah Islam.

Bersempena dengan Hari Malaysia ini, sudah tiba masanya kita semua melakukan anjakan paradigma dalam pelbagai aspek kehidupan dalam membina negara ini. Kita perlu membina negara ini dengan cara yang terbaik, dengan menampilkan model pemerintahan yang kolektif, telus dan berintegriti. Islam merupakan agama persekutuan dan kedudukannya diiktiraf oleh Perlembagaan maka mengapa tidak kita jadikan Islam sebagai acuan dalam pemerintahan?

Nescaya, Malaysia akan sejahtera bersama Islam kerana ia agama yang adil kepada masyarakat tanpa mengira perbezaan bangsa dan agama.
Sejahtera Bersama Islam

Ir Hj Khairil Nizam Khiruddin
Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia