Menyambangi tanah Afrika yang gelap

Pimpinan
Typography

LANGIT benderang dengan sengatan matahari Zulhijjah menikam ubun-ubun kepala kami, dua anak kampung yang ditugaskan untuk menjayakan misi dakwah dan korban di tanah Afrika. 40 tahun lampau aku tak terfikir kaki aku akan melangkah dan menderap tanah kunta kinte ini dengan gambaran kemiskinan dan kemelaratan paling terbawah dalam papan carta dunia.

Kunta kinte adalah kisah perhambaan yang sadis, Hollywood berjaya menanam dalam benak kita anak-anak Asia bahawa perhambaan adalah sebahagian kerja barat untuk mentamadunkan manusia. "The white man burden" adalah lesen penjajahan dan perhambaan bagi kuasa imperialis Barat dalam abad 18, 19 dan awal abad ke-20. Afrika menjadi buruan penjajah Barat serta pemerdagangan manusia, eksploitasi alam rimba serta usaha membaptiskan pengikut baru Kristian.

Kali ini penulis berpeluang menyertai misi ke Republik Chad, salah sebuah negara di Afrika yang mempunyai penduduk Islam sekitar 75 peratus daripada keseluruhan populasi. Berbeda dengan pengalaman di negara Sudan, Chad kelihatan lebih terpuruk dan mempunyai kadar kemiskinan yang tinggi. Sudan yang pernah dijajah oleh British, berlatarbelakangkan negara yang tak serik dengan peperangan, menghambat British dengan bergaya. Namun perang juga meletus antara Wilayah Utara dan Selatan Sudan akibat disulut api peperangan oleh kuasa kuffar akibat perebutan "emas hitam". Republik Chad pula menjadi negara miskin semula jadi akibat kekurangan hasil bumi dan kadar buta huruf yang tinggi sehingga mencatatkan negara keempat paling miskin dalam dunia.

Tim misi kali ini, penulis bersama Ustaz Ahmad Rashdan yang juga mantan Pengerusi Muslim Care Jordan. Kami tiba di kota Ndjamena, ibu negara Chad setelah berbelah jam membelah angkasa. Rasa penat sirna apabila melihat dan memijak tanah Afrika, kami disambut oleh Yusuf Koukou yang juga alumni Universiti Utara Malaysia. Muslim Care telah memulakan projek membina masjid di Kanem, jauh di kawasan pedalaman Chad yang mengambil masa lapan jam perjalanan darat. Haji Zakaria, Setiausaha Agong Muslim Care yang juga seorang arkitek yang piawai telah merekacipta plan masjid yang akan menjadi pusat dakwah di negara yang sangat subur dengan dakwah itu. Masjid dengan dana awam, sumbangan wakaf rakyat Malaysia dijangka siap sepenuhnya pada awal 2018. Segalanya bergantung dengan dana yang mencukupi daripada publik. Negara miskin ini masih lagi di kawasan pedalaman dengan corak masjid abad ketujuh masihi, berdinding tanah liat, beratap ranting kayu serta sangat dhaif.

cd2Di kawasan pedalaman negara ini seperti juga kebanyakan negara Afrika yang lain, bekalan air bersih adalah masalah utama. Air yang kotor adalah penyumbang kepada pelbagai penyakit, begitu juga dengan sistem pelupusan najis yang sangat mundur. Tidak pelik jika kanak-kanak dengan visualisasi lalat menghurungi kepala dengan mata yang berair adalah wajah tipikal Afrika yang sakit. Muslim Care dalam misi ini akan membina enam buah projek tubewell, iaitu projek telaga air bersih untuk kegunaan penduduk tempatan.

Pengalaman penulis dalam misi dakwah dan kebajikan di Afrika amat tertarik dengan kesungguhan umat Islam mempelajari al-Quran. Maahad tahfiz ada di mana-mana walaupun dhaif, bahkan berlantaikan tanah merah serta pelajar-pelajar yang kurang gizi melantunkan ayat cinta Ilahi dengan penuh khusyuk. Di kawasan pedalaman Chad, pelajar-pelajar kelas al Quran menggunakan papan kayu yang ditulis dengan ayat-ayat al Quran. Kemiskinan tidak menghalang mereka bersungguh-sungguh menghafal al Quran. Menatap wajah mereka memancing rasa rindu pada keindahan generasi awal al Quran yang dibina oleh ar Rasul SAW, seolah kanak-kanak berkulit hitam dengan rambut kerinting ini adalah jelmaan Saidina Bilal ar Rabah. Kami mengagihkan naskah-naskah al Quran dengan jumlah ribuan unit kepada pelajar-pelajar maahad di kawasan pedalaman Chad, semuanya hasil sumbangan wakaf al Quran rakyat Malaysia yang cakna saudara akidah mereka.

Program kemuncak dalam misi kebajikan kali ini ialah program korban dan akikah di sekitar Melleah, Kaneem. Sebanyak 559 ekor kambing telah berjaya disembelih dan nikmati oleh 40 buah kampung. Rakyat Chad yang miskin kelihatan sangat teruja dengan acara korban, di mana NGO tempatan turut membantu kami mengagihkan kambing untuk disembelih. Kami solat raya di padang bagi mengikuti sunnah ar Rasul SAW, bertakbir raya dan mengikuti khutbah raya yang ringkas daripada seorang sheikh tempatan yang kelihatannya sangat dihormati para warga. Negara yang keempat paling miskin di dunia ini kelihatan begitu dhaif sekali terutama bidang kesihatan dan pendidikan. Mereka melepaskan kami pulang dengan harapan masih ada kunjungan di masa akan datang daripada rakyat Malaysia. - HARAKAHDAILY 6/9/2017