Keganasan Rohingya: Geng Ustaz seru umat Islam bangkit bersama

Pimpinan
Typography

PERTUBUHAN Pendukung dan Pencipta Ulamak@Geng Ustaz mengecam keganasan terbaru di Myanmar apabila tentera Kerajaan Myanmar bertindak membunuh lebih 40 orang etnik Rohingya di kawasan Maungdaw, Buthidaung dan Rathedaung.  

norazliKeganasan terbaru ini membuktikan bahawa Kerajaan Junta Myanmar tidak serius mengatasi masalah etnik Rohingya yang selama ini disuarakan dan juga diambil perhatian oleh pihak antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sendiri.

Masyarakat etnik Rohingya yang diburu dan dibunuh kini bertebaran melarikan diri memohon pertolongan keselamatan dan bantuan, namun dunia masih juga menyepi terhadap Junta Myanmar yang tidak berperikemanusiaan.

Oleh itu, Geng Ustaz mendesak Kerajaan Malaysia, Asean dan seluruh rakyat Malaysia bangkit bersama membela dan memperjuangkan hak kebebasan dan menyelesaikan krisis kemanusiaan yang sedang dialami oleh umat Islam etnik Rohingya ini.

Kami juga menyeru agar umat Islam beramai-ramai untuk turun bersama ke Himpunan Solidariti Rohingya pada 30 Ogos 2017 pada jam 11.00 pagi di Kedutaan Myanmar Kuala Lumpur.

Keprihatinan anda adalah simbol keimanan dan kasih sayang serta cinta sesama umat Islam.

"Sejahtera Bersama Islam"

Ustaz Norazli Musa
Presiden Pertubuhan Pendukung dan Pencinta Ulamak@GENG USTAZ
28 Ogos 2017 - HARAKAHDAILY 28/8/2017