DMPM Kecam insiden penutupan Masjid Al-Aqsa

Pimpinan
Typography

ISU global terbaru melibatkan penindasan ke atas umat Islam apabila rejim zionis menutup Masjid Al-Aqsa menimbulkan kemarahan orang ramai. Kezaliman tersebut kini memasuki hari keempat setelah halangan mendirikan solat Jumaat dan beberapa insiden tembakan ke atas penduduk Palestin turut berlaku.

NURIDAH1Kami Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) mengikuti perkembangan semasa ini dan mengutuk sekeras-kerasnya kerakusan rejim zionis yang sedang berlaku. Penahanan Mufti Baitul Maqdis juga merupakan satu tindakan tidak berperikemanusian zionis.

Kami di sini menegaskan bahawa Masjid Al-Aqsa merupakan tempat ibadah umat Islam, tempat suci hambaNya beribadat. Persepsi buruk zionis ke atas Masjid Al-Aqsa dan umat Islam kini kian melampau dan keterlaluan.

Seruan kami tujukan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, (PBB) dan juga Organization of Islamic Conference (OIC) supaya tindakan tegas menamatkan pergolakan tersebut perlu dirangka secara serius. Sikap berpeluk tubuh dan berlengah-lengah pihak berkuasa akan mengeruhkan lagi keadaan.

Di samping itu, kami DMPM turut menyeru semua umat Islam di seluruh negara khasnya Malaysia untuk sama-sama mendoakan keselamatan dan kesejahteraan umat Islam di sana. Sebarkan kepada dunia bahawa saudara kita di sana sedang dizalimi.

Ingatlah firman Allah S.W.T dalam surah Al-Baqarah yang bermaksud: "Sekali-kali tidak akan redha orang-orang Yahudi dan Nasrani sehinggalah kamu mengikut jalan-jalan hidup mereka." (Al Baqarah: 120)

Sesungguhnya rejim zionis tidak akan pernah berhenti memusuhi umat Islam. Oleh itu, kita sebagai umat Islam wajib bangkit memerangi mereka walaupun dengan sekecil-kecil usaha.

Justeru, kami DMPM menegaskan sekali lagi bahawa kami mengutuk kezaliman ini dan berdoa agar umat Islam di sana terus tabah menempuh ujian ini. Ayuh umat Islam sekalian, kita panjatkan doa dan perbanyakkan doa qunut nazilah memohon pertolongan dari Allah S.W.T yang Maha Kuasa.

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
24 Syawal 1438H / 18 Julai 2017 - HARAKAHDAILY 18/7/2017