26
Wed, Jul

Pelantikan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan

Pimpinan
Typography

1. PAS mengikut dengan serius isu Perlantikan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan baru-baru ini kerana Badan Perundangan adalah institusi yang amat penting dalam sesebuah negara bagi menjamin keadilan kepada setiap orang dapat dilaksanakan mengikut prinsip-prinsip undang-undang.

2. Setelah meneliti serta mendapat maklumat daripada pihak-pihak yang berotoriti, PAS berpandangan Seri paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta Majlis Raja-raja sudah semestinya telah mendapat nasihat perundangan yang sewajarnya, terutama dalam mentafsirkan Fasal (1A) Perkara 122 Perlembagaan Persekutuan, sebelum berkenan melantik Tan Sri Md Raus Sharif sebagai Ketua Hakim Negara dan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin Sebagai Presiden Mahkamah Rayuan untuk tempoh tiga tahun lagi.

3. Walau bagaimana pun PAS merasakan amar wajar pihak berkenaan bertindak dengan lebih proaktif dengan memberikan maklumat terperinci mengenai perkara ini supaya tidak menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat serta mengelak kemungkinan berlakunya konflik perundangan berpanjangan yang merugikan negara dan rakyat.

4. Dalam masa yang sama, PAS turut menyokong cadangan Majlis Peguam Malaysia untuk memanggil Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) bagi membincangkan isu ini secara ilmiah di kalangan ahli-ahlinya seterusnya memberikan pandangan yang professional serta "without fear or favour".

DATO' TAKIYUDDIN HASSAN,
Setiausaha Agung PAS
Bertarikh: 09 Julai 2017 - HARAKAHDAILY 9/7/2017