A330 Perth KLIA: Doa itu kemuncak harapan tertinggi

Pimpinan
Typography

FIRMAN Allah swt dalam surah Al Ankabut ayat 65,

فَإِذَا رَكِبُوا فِي الْفُلْكِ دَعَوُا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ فَلَمَّ
نَجَّاهُمْ إِلَى الْبَرِّ إِذَا هُمْ يُشْرِكُونَ

Maksudnya, ".. Dalam pada itu, apabila mereka naik bahtera (lalu menemui sesuatu bahaya di laut), mereka memohon pertolongan kepada Allah dengan doa yang tulus ikhlas kepadaNya. Kemudian setelah Allah menyelamatkan mereka (naik) ke darat, mereka berlaku syirik kepadaNya..."

FirmanNya lagi dalam surah al Isra' ayat 67,

وَإِذَا مَسَّكُمُ الضُّرُّ فِي الْبَحْرِ ضَلَّ مَنْ تَدْعُونَ إِلَّا إِيَّاهُ ۖ فَلَمَّا نَجَّاكُمْ إِلَى الْبَرِّ أَعْرَضْتُمْ ۚ وَكَانَ الْإِنْسَانُ كَفُورًا

Maksudnya, "..Dan apabila kamu terkena bahaya di laut, (pada saat itu) hilang lenyaplah (dari ingatan kamu) makhluk-makhluk yang kamu seru selain dari Allah; maka apabila Allah selamatkan kamu ke darat, kamu berpaling tadah (tidak mengingatiNya); dan memanglah manusia itu sentiasa kufur (akan nikmat-nikmat Allah)..."

najhan1. Manusia perlu sedar betapa mereka sangat berhajat kepada kekuasaan Allah sebagai pencipta mereka dalam segenap dan setiap saat urusan kehidupan ini.

2. Apakah mereka sudah sombong dengan Allah swt sehingga ke tahap dalam keterdesakkan mereka pun enggan berpaling kembali kepada Allah swt pada waktu dimana tidak ada pertolongan dan bantuan daripada sesiapapun melainkan olehNya?

3. Sekalipun mereka lupa Allah swt dikala waktu kesenangan dan keselesaan, sekurang-kurangnya kembalilah kepadaNya pada waktu keterdesakan dan kesempitan.

4. Reaksi juruterbang AirAsia Airbus A330 dari Perth ke Kuala Lumpur baru-baru ini yang meminta agar para penumpang berdoa ketika pesawat berkenaan mengalami masalah teknikal sepatutnya dipuji dan disokong oleh semua pihak khasnya yang beragama Islam.

5. Sudah tentu para penumpang pesawat berkenaan pelbagai agama tidak mengira Islam, Kristian, Budhha, Hindu, Yahudi dan lelainnya akan membaca doa dan bacaan ritual masing-masing secara spontan apabila menghadapi situasi sebegitu.

6. Itulah sikap manusia yang secara spontannya akan kembali kepada pencipta mereka pada saat itu mereka menyedari hanya satu kuasa sahaja yang mampu memberikan harapan kepada mereka tatkala tidak daya dan kuasa pada manusia melainkan Allah swt.

7. Ayat di atas menterjemahkan sikap manusia oleh Allah swt sendiri yang mencipta dan mengenal diri manusia yang sangat lemah dan berhajat kepadaNya. Dia mendedahkan bagaimana sikap manusia akan berpatah balik kepada pemilik alam ini iaitu Allah swt untuk menyelamatkan mereka ketika mereka menghadapi kesulitan dan kesusahan.

8. Tetapi manusia itulah juga akan bersikap sombong dan lupa daratannya apabila mereka diselamatkan daripada kesusahan dan bahaya terhadap Allah swt atau mereka kembali kufur apabila mereka berada di zon selesa.

9. Namun, agak menghairankan masih ada seorang ahli politik ini yang masih mengaku Islam tetapi bersikap skeptikal dan prejudis dengan apa sahaja berunsur Islam malah apa sahaja berunsur agama.

10. Orang sebegini bukan "up to date" walaupun dirinya merasa begitu dengan menjadikan dirinya menolak untuk berpaut kepada agama, hakikatnya dia sebenarnya "out dated" atau ketinggalan zaman.

11. Masyarakat sudah ingin kembali kepada agama khasnya Islam. Masyarakat dan umat Islam khasnya dan semua penganut agama umumnya sudah merasai bahawa perlunya kehidupan ini berpaksi dengan sesuatu melangkaui kemampuan manusia yang secara nalurinya bahawa setiap kejadian sesuatu ada kuasa atau pencipta dan penentu di sebaliknya.

12. Lihatlah kebanyakan pemandu kenderaan kereta di atas jalan, kita akan saksikan betapa manusia amat berhajat kepada perlindungan atau "guardian" demi keselamatan mereka dengan tidak hanya bergantung sepenuhnya pada ciri-ciri keselamatan kereta untuk menyelamatkan mereka ketika bahaya. Orang Islam akan membaca doa ketika menaiki kenderaan. Penganut Kristian, Hindu dan Budhha akan meletakkan tanda sembahyang mereka pada kenderaan samada lambang salib dan patung agama Buddha dan Hindu di papan dashboard kereta mereka.

13. Para mufassirin dalam mentafsirkan ayat di atas membawa kisah diriwayatkan oleh Ikrimah bin Abu Jahal bahawa sekumpulan penduduk Mekah melarikan diri ketika pembukaan Kota Mekah oleh Rasulullah saw kerana bimbang keselamatan mereka. Mereka menaiki kapal menuju ke Habshah, ketika dalam pelayaran kapal mereka dipukul ribut sehingga rosak. Lalu salah seorang daripada mereka berkata, "ketika ini kita hanya mampu berdoa kepada Tuhan yang satu yang mampu menyelamatkan kita." Lalu Ikrimah pun berkata,  kalau sekiranya di lautan inipun Tuhan yang satu yang mampu memberikan pertolongan, begitulah juga di darat, Tuhan yang satu juga. Lalu selepas mereka melepasi bahaya di lautan,  Ikrimah datang bertemu Rasulullah saw dan memeluk Islam dan menjadi sahabat Baginda saw yang baik.

14. Oleh itu, berdoa bukannya sikap tidak memberi harapan, malah ia adalah kemuncak dan setinggi pengharapan yang dilakukan oleh manusia. Kita yakin kapten atau juruterbang AirAsia Airbus A330 sudah melakukan SOP atau melalui prosedur keselamatan ketika pesawat berkenaan menghadapi masalah teknikal, namun selebihnya diperlukan agar memohon doa daripada para penumpang agar dikurniakan oleh Allah swt keselamatan kepada pesawat, juruterbang, anak kapal dan seluruh penumpang.

15. Tabik hormat dan tahniah kepada kapten pesawat AirAsia Airbus A330 yang merupakan seorang Muslim (menurut info). Mungkin dengan doa itu, para penumpang dan seluruh anak kapal dan pesawat berjaya berpatah balik dan mendarat dengan selamatnya. Wallahu'alam

16. Pihak berkenaan yang mempertikaikan juruterbang yang memohon doa keselamatan, cuba merasai juga berada dalam situasi berkenaan. Pastinya dia juga akan teringat kepada Allah swt. Mungkin dia selesa ketika itu berada di darat, sebab itu dia tak sedar.

Doa itu adalah otak ibadah.

Penulis adalah Setiausaha Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor.