BN tidak mampu bertahan lepas PRU14 tapi... (Bahagian 2)

Pimpinan
Typography

Penyelesaian politik mengikut Islam

Islam datang dalam bentuk pakej, dan sewajibnya diterima secara pakej. Prinsip 'kalau tak boleh laksana semua, jangan tinggal semua' seharusnya dipraktikkan.

Islam mempunyai asas yang mesti difahami, kerana asas ini akan menjadi tapak kepada apa jua permasalahan yang  akan dibicarakan.

1. Islam adalah Rabbani bukan rahbani. Rabbani bermaksud seluruh dasar ajaran Islam bersumber dari Allah, bukan dari para ulamak, atau rahib sebagaimanaa agama lain.

Lantaran sifat Rabbani inilah menjadikan asas dan dasar Islam.

Islam bukan teokrasi, sebagaimanaa tanggapan sesetengah pihak. Rabbani dengan erti kata dasar yang telah ditetap oleh Allah dan Rasul tidak boleh dipinda, diubah dan ditokok tambah. Ia melibatkan perkara asas dalam aqidah, ibadah dan syariat.

Struktur asas ini yang membentuk Islam. Mengubah struktur asas akan merosakkan seluruh bangunan Islam itu sendiri.

Dasar aqidah bermaksud seseorang Muslim tidak boleh sesekali syirik kepada Allah, ibadahnya hanya khusus kepada Allah dan juga syariatnya yang tidak melanggari perkara yang tidak diizin oleh Allah.

2. Syumul bermakna sebagai deen yang datang dari Allah, ia mesti sempurna, lengkap dan menyeluruh. Sesuai dengan sifatnya sebagai panduan kehidupan dunia dan akhirat, Islam mesti meliputi segala persoalan hidup samada batin, akal, nafsu, diri, keluarga, masyarakat, negara, negara dan ummah.
 
Ia lengkap kerana semua urusan kehidupan berpaksi kepada hukum lima, samada wajib, sunat , harus, makruh atau haram. Semua perbuatan manusia tidak akan terlepas dari hukum tersebut.

Nilai baik dan buruk, halal dan haram bukan ditentu oleh akal. Ia ketentuan Allah. Dalam perkara baru yang tiada hukum secara jelas dalam Al-Quran, ia akan dijelaskan dalam hadis atau ijtihad hukumnya oleh para ulamak.

Kerana itu, umat Islam akan jadikan panduan hukum dalam melakukan sesuatu perkara. Kalau ia wajib mereka akan usahakan semampu mungkin untuk melaksanakannya. Kerana membiarkan kewajipan tidak dilaksana dalam keadaan seseorang itu boleh dan ada upaya melaksanakannya adalah satu kesalahan dan dosa.

Kewajipan ini bukan hanya sekadar perkara kewajipan individu seperti sembahyang, puasa, zakat atau haji, menyuruh yang makruf atau mencegah yang mungkar sahaja, ia turut meliputi kewajipan kepada jiran tetangga, masyarakat Islam dan bukan Islam, hak ke atas negara, hak pemimpin ke atas rakyat, hak pemimpin melaksanakan perintah Allah dalam bernegara.

Syumul juga bermakna sistem Islam turut membicarakan soal alam sekitar, muka bumi, air dan tanah, pengurusan sisa buangan, pengurusan hutan dan sungai, khazanah di atas bumi dan yang berada dalam bumi.

Ribuan kitab-kitab fekah yang membicarakan semua aspek ini agar manusia tidak mengabaikannya.

Dengan kata lain, apa sahaja aspek kehidupan manusia, jin, haiwan, alam zahir dan ghaib juga terkandung dalam konsep kesyumulan dalam Islam, kerana Allah sebagai pemilik alam ini sudah menjadikannya sebagai satu sistem yang lengkap.

3. Kamil mutakamil.

Suatu ciri utama dalam Islam ialah ia bersikap kamil, yakni lengkap. Ia lengkap pada setiap juzuknya.

Ia boleh tegak berdiri sendiri di atas asasnya.

Seperti persoalan aqidah ia lengkap berbicara asasnya. Seperti beriman kepada Allah, ia lengkap pada tauhidnya, nama dan sifat yang layak baginya. Ia lengkap tidak boleh dipisah-pisahkan sebagaimana sifat makhluk.

Demikian juga persoalan ibadah ia lengkap pada setiap juzuknya. Seperti  sembahyang, ia lengkap dengan syarat dan rukunnya, sah dan batalnya, sunat dan makruhnya berserta perbuatan dan bacaannya.

Begitulah yang lain di dalam syariat mahupun akhlak.

Terdapat keadaan di mana ia sempurna lalu ia menyempurnakan yang lainnya. Ini dikenali sebagai mutakamil.

Contoh yang paling mudah ialah wuduk. Ia sempurna pada rukun dan syaratnya. Wuduk akan menyempurnakan sembahyang. Kerana tanpa wuduk maka sembahyang tidak sah. Ini bermakna wuduk itu sempurna dan ia menyempurnakan yang lainnya (sembahyang).

Prinsip kamil dan mutakamil ini juga meliputi aspek politik, ekonomi, perundangan dan lainnya. Ia saling kait-mengait antara satu sama lain. Hukuman tidak boleh dilaksana kalau syarat tidak sempurna. Keadilan tidak dapat ditegakkan kalau pemimpin tidak adil, walau mempunyai undang-undang yang adil. Begitu juga pemimpin yang adil tidak akan tertegak kalau undang-undang itu dicipta di atas ketidakadilan.

Contohnya akta OSA. Undang-undang yang bertujuan menjaga kerahsian kerajaan dan strategi akhirnya digunakan bagi menutup penyelewengan dan salah guna kuasa.

Begitu juga SOSMA dan ISA dan pelbagai akta-akta lain ciptaan manusia yang tertegak di atas prinsip ketidakadilan dan menindas.
 
Jangan salahkan para hakim bila mereka tidak boleh menjatuhkan hukuman yang dikehendaki oleh Allah. Jangan salahkan para peguam yang membela tertuduh dan jangan salahkan para pendakwa yang mendakwa pesalah. Kerana mereka semua berjalan di atas sistem yang tidak menepati kehendak Allah.

Mereka ibarat keretapi yang terjalan di atas jalan raya, dan seperti kapal yang terlayar di atas daratan.

4. Waqi'yyah, bermaksud realisme. Islam menepati realiti atau kehendak situasi dan kondisi. Ia bukan ajaran ideal yang tidak mampu untuk dilaksanakan. Ia sesuai dengan tempat di mana ia berada.

Hukumnya terus berkembang dengan berkembangnya permasalahan manusia. Ia boleh diamalkan dalam apa jua situasi dan keadaan . Ia mempunyai jalan keluar kepada permasalahan berlaku. Bukan bebanan yang menyusahkan atau memaksa penganut dalam keadaan mereka tidak mampu.

Di dalam Islam, terdapat prinsip azimah (tetap dan tidak berganjak) dan (rukhsah), keringanan syarak yang bersifat anjal.

Contohnya, seseorang boleh berbuka puasa apabila sakit atau bermusafir. Seseorang boleh bertayammum bila tiada air untuk berwuduk. Seseorang itu boleh memakan makanan haram apabila nyawa terancam, tapi semuanya terikat dengan syarat dan rukun agar tidak bermudah-mudah dalam tindakan dan tidak terlalu rigid sehingga menyusahkan.

Inilah waqi'yyah yang menjadi sebahagian ciri kesempurnaan Islam.

Selain aspek-aspek di atas, terdapat beberapa ciri lain yang juga penting untuk difahami seperti tawazun iaitu seimbang antara keperluan masyarakat dan lainnya. Hal ini boleh dirujuk kepada pelbagai kitab yang muktabar.

Penyelesaian Politik Menurut Islam

Politik adalah belahan syariat. Bermakna sebahagian syariat tidak dapat dilaksana tanpa kuasa politik.

Politik Islam dibina di atas asas amanah. Bukan ghanimah yang perlu direbut apa lagi untuk dibangga. Ia mesti diisi oleh mereka yang bertaqwa.

Peringatan Rasulullah kepada Abu Dzar al-Ghifari:

“Wahai Abu Dzar, engkau seorang yang lemah sementara kepemimpinan itu adalah amanat. Dan nanti pada hari kiamat, ia akan menjadi kehinaan dan penyesalan kecuali orang yang mengambil dengan haknya dan menunaikan apa yang seharusnya ia tunaikan dalam kepemimpinan tersebut.” (Sahih, HR. Muslim no. 1825)

Jawatan bagi memimpin ummah mesti diisi. Membiarnya kosong adalah kelemahan, walaupun jawatan bukanlah bahan rebutan. Namun, mengisinya dengan orang yang tidak layak adalah satu jenayah.

Kelayakan pada pandangan  Islam bukan hanya dilihat kepada kemampuan menjalankan tugas sahaja, sebaliknya turut dinilai ialah akhlaknya, kehidupan sehariannya, amalan agamanya dan ketaqwaannya.

Walaupun ukuran ketaqwaan adalah relatif, namun asasnya mesti dipelihara.

Pemimpin adalah khadam rakyat. Dia dipikul jawatan sebagai penjaga harta rakyat, memelihara keselamatan negara dan kedaulatannya. Jawatan ini akan dipertanggungjawab nanti di akhirat.

Pemimpin adalah model ikutan rakyat. Baik pemimpin, maka akan baiklah kehidupan rakyat.

Pelbagai kebobrokan yang berlaku kerana jawatan dijadikan sandaran bagi membolot kekayaan, menggunakan pengaruh untuk kepentingan puak dan kroni.

Disebabkan itu, pemimpin gagal menjadi khadam rakyat, sebaliknya menjadi khadam wang dan kuasa. Mereka terlupa tugas mereka sebagai pelindung rakyat.

Sebaliknya mereka menekan kehidupan rakyat, menyusahkan mereka dan memaksa rakyat tunduk kepada peraturan yang bercanggah dengan syariat.

Kata Saidina Umar al-Khattab, Pemerintah itu terbahagi kepada empat golongan:

1. Pemerintah yang kuat, ia dapat mengawal dirinya dan pegawainya. Mereka seperti seorang mujahid yang sedang berjihad di jalan Allah SWT. Sedang pertolongan Allah terbentang luas dengan penuh rahmat kepadanya.

2. Pemimpin yang lemah dan gagal mengawal dirinya, sedangkan pegawainya bermewah-mewahan dan bertindak sewenang-wenangnya disebabkan kelemahannya. Maka ia berada di jurang kebinasaan melainkan Allah SWT merahmatinya.

3. Pemerintah yang dapat menguasai pegawainya, namun dirinya bermewah-mewahan. Itulah al-khutomah.

Sebagaimana Sabda Rasulullah:
 
شر الرعاة الحطمة، فهو الهالك وحده.

Seburuk-buruk Pemimpin ialah al khutomah. Kerana ia membinasakan dirinya sendiri.
(Hadis Riwayat al Baihaqi (7419) dalam Syaabul Iman ) dan Imam Muslim (3411) dengan sedikit perbezaan)

4. Pemerintah dan pegawainya yang bertindak sewenang-wenangnya, maka ia akan binasa.

Petikan dari buku 'Pemimpin yang adil', oleh Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri

Penyelesaian masalah politik negara bukan hanya terhenti kepada seorang pemimpin tetapi ia melibatkan seluruh sistem yang menjadi asas perjalanan negara.

Pimpinan negara hari ini yang diberi amanah oleh rakyat jarang tergolong di kalangan kumpulan pertama. Ramainya tergolong di kumpulan 2, 3 dan 4.

Itu semestinya sudah dapat menjawab mengapa rasuah menjadi berleluasa, salahguna kuasa menjadi kebiasaan, keborosan menjadi budaya dan penipuan menjadi amalan.

Bagi mereka, rakyat dijadikan sumber pendapatan, dan tidak lagi untuk dilindungi. Disebabkan itu mereka baru tergamak memperkenalkan GST yang mengutip cukai daripada sesiapa sahaja tanpa mengira umur dan juga kemampuan rakyat untuk menghadapinya.

Selain itu, penipuan dijadikan jalan keluar apabila ada mana-mana skandal yang terdedah. Apabila penipuan tidak berkesan, kuasa pula disalahgunakan. Contohnya laporan audit 1MDB sehingga hari ini masih di bawah OSA walaupun Perdana Menteri mengumumkan bahawa masalah 1MDB sudah selesai.

Pemimpin hari ini juga berpandangan pendek dan tidak mementingkan negara dan rakyat. Contohnya dalam isu penjualan Proton kepada Geely, tiada menteri yang berbicara kesannya kepada Dasar Automotif Negara.

Ke mana Dasar Automotif Negara hari ini?

Antara objektif Dasar Automatif Negara ialah menggalakkan industri automotif tempatan yang kompetitif dan berdaya tahan terutamanya pengeluar kereta nasional, menggalakkan penyertaan Bumiputera yang kompetitif dan menyeluruh di dalam sektor automotif tempatan serta menjaga kepentingan pengguna dengan menawarkan produk yang selamat dan berkualiti pada harga yang berpatutan.

Apakah Geely akan memajukan Proton dan menyokong objektif Dasar Automotif Negara? Atau ia sekadar berminat untuk menguasai kilang pengeluaran Proton di Tanjung Malim dan Shah Alam untuk menghasilkan kenderaan Volvo? Tiada pimpinan negara yang mengambil berat mengenai persoalan-persoalan ini.

Bagi mereka, mendapatkan pembeli 49.9% Proton sudah dikira sebagai satu kejayaan. Apa yang terjadi selepas itu mereka langsung tidak memikirnya.

Perkara ini sama seperti keputusan memajakkan tanah Felda untuk penyenaraian FGV tanpa mengambil kira bantahan dan pandangan orang lain. Yang dikejar hanyalah duit dan glamor, dan sekarang negara dan rakyat menanggung bebannya.

Pendek kata, Malaysia memerlukan perubahan dan menukar pimpinan yang ada kepada pimpinan yang berjihad untuk Allah dan bekerja untuk rakyat sebelum terlambat.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
2 Jun 2017 - HARAKAHDAILY 2/6/2017