Selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak

Pimpinan
Typography

(يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ)

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa, sebagaimana yang telah diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu. Moga-moga kamu menjadi orang yang bertaqwa.” [Surah Al-Baqarah: 183]

Alhamdulillah. Syukur kita ke hadrat Allah swt kerana atas limpah kurniaNya, kita dianugerahkan lagi Ramadhan, bulan yang penuh keberkatan ini. Hadiah yang paling berharga bagi orang yang beriman, mengandungi pelbagai perkara, keindahan, ketenangan, kemanusiaan, keinsafan, keampunan dan yang paling bernilai ialah ketaqwaan. Maka, bermulalah perlumbaan bagi kita semua mencari janji-janji Allah yang telah dipaterikan di dalam al-Quran dan juga hadis Rasulullah saw berkenaan fadhilat-fadhilat dalam bulan yang mulia ini. Tetapkan keihklasan niat kita, lakukan ibadat mengikut petunjuk rasulullah, insyaAllah hadiah itu, milik kita.

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ  

“Bulan Ramadhan yang diturunkan didalamnya al-Quran, menjadi petunjuk kepada manusia, dan keterangan-keterangan daripada petunjuk itu dan menjadi pembeda (antara haq dan bathil).” [Surah Al-Baqarah: 185]

Dalam kesibukan kita mencari kelebihan pahala yang dijanjikan Allah, suka saya mengingatkan semua, bahawa bulan Ramadhan ini jugalah bulan yang diturunkan al-Quran. Kitab yang tiada sebarang keraguan di dalamnnya. Melalui kitab al-Quran inilah, kita ditunjuki jalan yang benar, dikurniakan cahaya petunjuk dan yang juga pencerahan berkenaan perbezaan di antara jalan yang benar dan salah. Al-Furqan iaitu yang membezakan kita dengan yang kafir, dengan munafik, dengan yang bathil, dengan perkara kejahatan, dengan yang zalim dan dengan segala yang dibenci Allah. Kesemuanya akan kita ketahui perbezaannya sekiranya kita mengambil peduli kandungan al-Quran itu bagi menjadikannya benar-benar sebagai kompas kehidupan kita.

Maka di atas semangat Ramadhan yang diturunkan al-Furqan ini, saya menyeru agar kita semua memperbanyakkan interaksi dengan al-Quran sama ada dengan bertadabbur ataupun memperbanyakkan membaca al-Quran supaya kita kembali mengambil al-Quran in sebagai panduan hidup. Sesungguhnya kita sudah tersasar jauh daripada kehidupan yang diredhai Allah kerana al-Quran hanya digunakan kita sebagai perhiasan dan bukannya diambil iktibar maksudnya sebagai panduan bagi keseluruhan sistem hidup kita, baik untuk pedoman dalaman diri kita khususnya, mahupun kepada seluruh masyarakat dan juga pemerintahan negara amnya.

Suka juga saya berpesan agar kita menjauhi sikap membazir dengan berlebih-lebihan apabila membeli makanan untuk kita sendiri. Tetapi alangkah mulianya jika kita menukarkan pembaziran ini dengan membeli banyak makanan dan kemudian disedekahkan kepada jiran-jiran terutama yang miskin dan lemah. Bukan sikap membazir ini sahaja yang perlu kita jauhi, malah banyak lagi perkara-perkara dosa yang tidak kita sedari, akan mengurangkan atau menghapuskan pahala puasa kita. Semoga kita mengambil peringatan dalam usaha kita merangkul gelaran orang-orang yang bertaqwa.

Berazamlah Ramadhan ini menjadi permulaannya perubahan minda dan tindakan kita selari menurut Islam supaya lebih bermakna bagi kita semua. Kita berharap agar Allah mengekalkan kebaikan yang kita lakukan bukan sahaja di bulan Ramadhan, tetapi untuk selama-lamanya. Moga Ramadhan ini, kita dikurniakan kerahmatan, keampunan sebanyak-banyaknya ke atas kita dan keluarga, mengeluarkan kita semua daripada kegelapan hidup di dunia dan akhirat. Memandu kita untuk memilih jalan yang sebenarnya, dikurniakan hidayah bagi menerima Islam sebagai satu-satunya cara hidup oleh semua lapisan manusia insya Allah kerana kita akan “Sejahtera Bersama Islam” Wallahua’lam.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
29 Syaaban 1438/26 Mei 2017 - HARAKAHDAILY 26/5/2017