PCM dialu-alukan

Pimpinan
Typography

1. PAS adalah parti yang menjadikan Islam sebagai dasar dan prinsip perjuangannya. Sedang Islam itu adalah sebuah manhaj kehidupan yang akan memandu manusia menjadi sejahtera dan harmoni dalam sosial, politik mahupun ekonomi.

2. Islam menjanjikan keadilan kepada semua termasuklah golongan non-muslim. Memulangkan hak, melindungi pihak tertindas dan menentang kezaliman. Islam mengangkat kebenaran dan menolak kebatilan.

3. Inilah perjuangan PAS dan PAS tidak mempunyai wajah kedua untuk berpura-pura dengan pihak non-muslim. Wajah PAS hanya satu. Bersama ummat Islam, PAS perjuangkan Islam, kepada non-muslim juga PAS berjuang di atas prinsip Islam yang membawa keadilan untuk semua.

4. PAS sangat berbesar hati atas kenyataan Naib Pengerusi Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan kelmarin, yang telah membuat kenyataan terbuka bahawa PCM sedia untuk bekerjasama dengan PAS khususnya bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-14 kelak.

5. Justeru ia satu bukti bahawa PAS tidak ditolak oleh golongan non-muslim sebaliknya PAS boleh pada bila-bila masa bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk non-muslim selama mana dasar dan prinsip perjuangan PAS diterima dan dihormati.

6. Saya percaya Datuk Huan Cheng Guan sebagai seorang yang terpelajar dan mempunyai pengaruh yang tersendiri dari kalangan non-muslim terlebih dahulu telah membuat analisis dan kajian terhadap perjuangan PAS.

7. Saya pasti kenyataan beliau tidak terburu-buru sebaliknya dengan penuh sedar dan faham situasi politik hari ini, lantas PCM menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan PAS.

8. Tindakan PCM adalah tepat dan kena pada masanya. Saya berpandangan bahawa kehadiran PCM juga akan turut mengukuhkan Gagasan Sejahtera dalam memacu gerakan perubahan dan memimpin kebangkitan rakyat.

9. PAS mengalu-alukan kehadiran PCM untuk bersama kami dan menyeru supaya non-muslim tidak perlu ragu terhadap perjuangan PAS. Kami bukan sebuah parti yang rasis apatah lagi untuk memaksa agama lain.

10. Kami berjuang dan mendidik rakyat agar saling hormat menghormati antara satu sama lain dalam masyarakat yang berbilang bangsa dan agama ini.

Sejahtera Bersama Islam

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
15 Mei 2017 / 18 Syaaban 1438 - HARAKAHDAILY 15/5/2017