Muktamar pasca Ustaz Fadzil Noor: Venue bervariasi

Pimpinan
Typography

KEHADIRAN Presiden PAS, Ustaz Dato' Haji Fadzil Mohd Noor untuk menyampaikan Ucapan Dasar dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-48 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK) pada 31 Mei 2002 adalah penutup bagi kepemimpinannya. Semua perwakilan mengenang ucapan penangguhan beliau pada 2 Jun 2002 itu sebagai ucapan perpisahan, terutama ketika beliau melahirkan rasa berat hati untuk berpisah dengan ahli-ahli PAS yang beliau sebut sebagai "orang-orang yang dikasihi." Pada 22 Jun 2002, pemimpin besar PAS itu kembali kepada Allah selepas mengalami komplikasi akibat pembedahan jantungnya. Itulah kenangan manis yang paling pahit bagi ahli-ahli PAS pada saat mengenang sejarah muktamar-muktamar PAS.

Setelah kewafatan Ustaz Fadzil Mohd Noor, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang mengambil alih kepemimpinan PAS sebagai Pemangku Presiden, sebelum disahkan jawatannya dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-49 di Taman Melewar pada 12-14 September 2003. Berbeza dengan era kepemimpinan Ustaz Fadzil Noor yang mana muktamar PAS sentiasa bertempat di Taman Melewar, pada era kepemimpinan baru ini, faktor keupayaan Markaz Tarbiyah PAS Pusat untuk menampung keperluan para perwakilan dan pemerhati, telah menyebabkan tempat muktamar berubah-ubah. Salah satu tujuannya adalah supaya syiar perjuangan PAS akan melata ke seluruh pelosok negara. Berkebetulan dengan renovasi terhadap markaz tarbiyah itu pada 2003 dan menjadikannya kampus KUIZM selepas 2007, muktamar PAS sejak 2003 sentiasa diadakan di luar Lembah Kelang. Antaranya di Kota Bharu (2004, 2005, 2007 dan 2009), Alor Setar (2006), Ipoh (2008) serta Shah Alam (2010). Selepas itu, PAS bermuktamar kali terakhir di Taman Melewar pada 3-5 Jun 2011.

Muktamar PAS di luar Taman Melewar

Pendekatan Dr Burhanuddin al-Helmy pada 1960-an yang mengadakan muktamar bergilir-gilir antara negeri telah menjadi strategi baru PAS selepas 2011. Pengalaman bermuktamar di beberapa negeri selepas tahun 2000 ternyata memberikan keyakinan kepada PAS Pusat tentang keupayaan PAS negeri-negeri menjadi tuan rumah Muktamar Tahunan PAS. Setelah proses renovasi markas tarbiyah siap, PAS kali terakhir bermuktamar di situ ialah pada 2011. Kemudian PAS memindahkannya dengan bergilir-gilir di antara negeri-negeri. Yang agak menarik ialah apabila Johor yang tidak pernah menjadi tuan rumah, berjaya menganjurkannya dengan baik pada 2014, dan Selangor yang menjadi tuan rumah pada 2015 telah memindahkan muktamar yang biasanya diadakan di Stadium Melawati, Shah Alam ke Kuala Selangor. Turut menjadi tuan rumah ialah Alor Setar (2017) dan Kuala Terengganu (2018), selain Kota Bharu (2016).

Dan pada kali ini, PAS membuat kejutan dengan memilih Kuantan sebagai tuan rumah Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-65. Pemilihan Pahang sebagai tuan rumah Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-65 ini mencipta sejarah baru bagi PAS kerana inilah kali pertama negeri terbesar di Semenanjung Malaysia ini menganjurkan Muktamar PAS. PAS Pahang yang ditubuhkan sejak 1954 dan pernah dipimpin oleh tokoh-tokoh besar seperti Dato' Setia Abu Samah Ali (bekas Setiausaha Kerajaan Pahang), Tengku Abdul Hamid Sultan Abdullah (adinda Sultan Abu Bakar) dan Mohd Yassin Salleh (bekas Presiden Persatuan Melayu Pahang) pada peringkat awal dahulu, tetapi tidak pernah berpeluang menganjurkan Muktamar PAS. Dengan pemilihan Pahang sebagai tuan rumah untuk julung-julung kali ini, bermakna semua negeri di Semenanjung telah berpengalaman menjadi tuan rumah, kecuali Negeri Sembilan. Berikut adalah lokasi Muktamar Tahunan PAS selepas 2011:

1) Muktamar Tahunan PAS Ke-58 di Pusat Tarbiyah PAS Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, Kelantan pada 16-18 November 2012 / 2-4 Muharram 1434

2) Muktamar Tahunan PAS Ke-59 di Stadium Melawati, Shah Alam, Selangor pada 22-24 November 2013 /18-20 Muharram 1435

3) Muktamar Tahunan PAS Ke-60 di Parit Salleh Ros, Parit Raja, Batu Pahat, Johor pada 18-20 September 2014 / 23-25 Zulkaedah 1435

4) Muktamar Tahunan PAS Ke-61 di Stadium Tertutup, Kuala Selangor, Selangor pada 4-6 Jun 2015 / 16-18 Syaaban 1436

5) Muktamar Tahunan PAS Ke-62 di Pusat Tarbiyah PAS Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, Kelantan pada 2-3 Jun 2016 / 25-27 Syaaban 1437

6) Muktamar Tahunan PAS Ke-63 di Kompleks PAS Kedah, Alor Setar, Kedah pada 29 April - 1 Mei 2017 / 2-4 Syaaban 1438

7) Muktamar Tahunan PAS Ke-64 di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu pada 15-16 September 2018 / 4-6 Muharram 1440

8) Muktamar Tahunan PAS Ke-65 di Kompleks Sukpa, Indera Mahkota, Kuantan, Pahang pada 21-23 Jun 2019 / 17-19 Syawal 1440

MOHD FADLI GHANI
Head
House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS – HARAKAHDAILY 3/7/2019