29
Sat, Apr

Pemuda PAS ucap tahniah kepada Anies Baswedan

Pimpinan
Typography

DEWAN Pemuda PAS Malaysia (DPPM) memerhati secara rapat Pilihanraya Kepala Daerah (Pilkada) atau Pemilihan Gabenor Jakarta, Indonesia. Keputusan tidak rasmi menyaksikan pasangan calon Anies Rasyid Baswedan & Sandiaga Salahuddin Uno atau Anies-Sandi mengatasi penyandang Basuki Tjahaja Purnama dan pasangannya Djarot Saiful Hidayat atau Ahok-Djarot.

Kemenangan Anies Baswedan, dilaporkan mendapat undi sebanyak 56 hingga 59 peratus menunjukkan satu perkembangan yang perlu diberi perhatian oleh semua. DPPM mengucapkan tahniah di atas kemenangan tersebut.

Basuki atau Ahok sebelum ini dijangka mengatasi lawannya dengan mata yang selesa, atau sekurang-kurangnya memenangi pemilihan dengan sengit.

Media Barat, dan media liberal di dalam dan luar Indonesia sejak isu ini panas telah membawa naratif ancaman terhadap minoriti, penghakisan terhadap asas sekular Indonesia, dan mengemukakan pemilihan ini sebagai ujian terhadap masa depan Indonesia sebagai sebuah negara sekular.

Protes besar-besaran mengecam Ahok beberapa bulan lalu turut disorot secara negatif, dengan meletakkan demonstrasi itu sebagai satu petanda Indonesia semakin dikuasai Islam yang ekstrem.

Persepsi yang diperbesarkan itu sengaja menafikan sikap ekstrem Ahok sendiri, yang dengan sengaja, konsisten, dan keras menghina ajaran Islam apabila mempersoalkan ayat Al-Quran.

Ahok menunjukkan sikap anti-Islam itu tanpa menghiraukan umat Islam yang merupakan majoriti penduduk Indonesia. Beliau dengan sengaja mengangkat fahaman salah tentang Islam, dengan mendapat sorakan dari penentang Islam dari dalam dan luar negara.

Keputusan pemilihan ini menunjukkan bahawa umat Islam masih mempunyai pendirian yang tegas dalam hal agama, menegaskan lagi bahawa politik tidak dapat dipisahkan daripada penilaian agama.

DPPM ingin menyeru agar rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama bersama PAS ke arah membina Malaysia Sejahtera. PAS mempertegaskan Islam sebagai penyelesaian dalam kerangka sistem demokrasi berperlembagaan dalam masyarakat majmuk negara ini.

Sekian, terima kasih.

Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi
Timbalan Ketua Pemuda PAS
Pengerusi Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)
21 April 2017 | 24 Rejab 1438 - HARAKAHDAILY 21/4/2017