Pondok jadi hos muktamar PAS peringkat awal

Pimpinan
Typography

PERKEMBANGAN PAS pada tahap yang pertama lebih tertumpu di pondok-pondok atau pusat-pusat pengajian Islam yang dipimpin oleh para ulamak. Dalam tempoh lima tahun pertama, boleh dikatakan pondok-pondok di sekitar Pulau Pinang, Seberang Perai, Perak, Kedah dan Perlis menjadi pusat-pusat kegiatan dan kebangkitan PAS, sebelum pengaruh PAS memasuki negeri Kelantan mulai September 1952. Kesan daripada itu, semua mesyuarat agung tahunan PAS sejak penubuhannya sehingga akhir 1955 telah dihoskan oleh pondok-pondok tersebut. Keadaan ini meletakkan pondok sebagai elemen yang penting dalam memahami kebangkitan perjuangan Islam di negara ini, khususnya pada abad ke-20.

Fadli2Peranan besar pondok terhadap kebangkitan PAS ini mengingatkan kita tentang peranan pondok-pondok di Pattani pada abad ke-16 hingga 19 dalam mempertahankan Pattani dari dijajah oleh Siam. Selepas kejatuhan Pattani pada 1838, para ulamak pondok ini jugalah yang membangkitkan perjuangan gerakan Islam dengan menubuhkan Jam'iyat al-Fathaniyah di Mekah pada 1873. Di Tanah Melayu, peranan Maahad al-Ihya as-Syariff, Gunung Semanggol dalam membangkitkan Hizbul Muslimin pada 1948 adalah contoh terbaik peranan pondok dalam perjuangan Islam.

Pondok nadi perjuangan PAS

Peranan besar pondok terhadap perjuangan Islam sejak abad ke-16, kemudiannya diwarisi oleh pondok-pondok di Tanah Melayu dalam perjuangan mereka menuntut kemerdekaan dan menegakkan semula daulah Islam selepas kejatuhan khalifah pada 1924. Para guru pondok pula menjadi pemuka-pemuka agama dan tokoh perjuangan yang pentingan, kerana dengan ketokohan merekalah, perjuangan PAS dibangkitkan. Hal ini mewajarkan tiga kesimpulan yang dirumuskan oleh para sarjana yang mengkaji sejarah PAS, iaitu:

1) PAS adalah 'Parti Tok Lebai dan orang kampung.' Kerana memang para lebai atau tuan-tuan guru pondok besertakan para santrinya merupakan pendukung terawal PAS dan merekalah yang bertanggungjawab membangkitkan perjuangan PAS di jalan Allah. Orang-orang kampung yang merupakan pelajar pondok atau kelompok yang mempunyai hubungan patron-client dengan guru-guru pondok pula telah menjadi pendukung utama perjuangan PAS;

2) PAS mengalami perkembangan tahap awal di bawah kepemimpinan ulamak tradisional. Para ulamak pondok yang merupakan ulamak-ulamak tradisional yang memimpin dan menguasai pergerakan pada tahap awal, walaupun Yang Dipertua Agung PAS kedua (1953-1956), Dr Haji Abbas Alias adalah seorang doktor perubatan. Para ulamak pondok mempunyai kedudukan yang sangat tinggi dalam kepemimpinan PAS, terutama dalam menentukan hala tuju perjuangan, menggerakkan kemerdekaan dan mendaulatkan Islam.

3) Teori 3P - PAS, pondok dan padi. Ramai sarjana mengatakan di mana ada sawah padi, akan tumbuh pondok-pondok. Dan pondok-pondok pula menjadi nukleus kebangkitan PAS. Sawah padi dikaitkan dengan kegiatan ekonomi pertanian orang Melayu yang beragama Islam. Sedangkan pondok adalah pusat-pusat pengajian Islam yang dibiayai dengan zakat padi, menyebabkan mereka bebas bergerak tanpa terikat dengan pemerintah. Para ulamak pondok bukan sahaja mengajarkan ilmu, tetapi meletakkan tema "berilmu, beriman dan berjihad!" Dengan ilmu mereka membina keimanan, kemudiannya melahirkan semangat jihad untuk menegakkan agama Allah. Di situlah munculnya kebangkitan dan kekuatan PAS. Di mana ada sawah padi, di situ ada pondok. Di mana ada pondok, di situ ada PAS!

PAS bermuktamar di pondok-pondok

Sebaik sahaja PAS ditubuhkan, pergerakan PAS hampir sepenuhnya berpusat di pondok-pondok. Orang-orang kampung yang menjadi pengikut guru-guru pondok pula menjadi pendukung setia PAS. Maka, pondok-pondoklah yang menjadi tempat perhimpunan dan persidangan pada dekad yang awal ini. Dalam sejarah PAS, muktamar-muktamar PAS sentiasa diadakan di pondok-pondok sehingga menguatkan kefahaman orang-orang Melayu bahawa PAS adalah berjuang untuk Islam, bahawa tuan-tuan guru adalah pendukung perjuangan PAS, dan bahawa mereka mesti memperjuangkan Islam bersama PAS.

Pada tahap awal ini, PAS telah mengadakan muktamar-muktamarnya di pondok-pondok berikut:

1) Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Pertama pada 3 Januari 1953 bersamaan 16 Rabiul Awal 1372 telah diadakan di Madrasah ad-Daerat al-Maarif al-Wathaniyah, Kepala Batas, Seberang Perai. Madrasah ini ditubuhkan oleh Sheikh Abdullah Fahim pada 1926. Ketika Sheikh Abdullah Fahim menjadi Mufti Pulau Pinang, madrasah ini dipimpin oleh anaknya, Ustaz Haji Ahmad Badawi Abdullah. Pada akhir 1953, madrasah ini pernah dijadikan Pejabat Agung PAS.

2) Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Kedua pada 26-27 Ogos 1953 bersamaan 15-16 Zulhijjah 1372 diadakan di Madrasah al-Ulum as-Syariah, Batu 20, Bagan Datoh, Perak. Madrasah ini dibangunkan oleh Tuan Guru Haji Mohd Arshad Mohd Salleh al-Banjari pada 1937. Madrasah ini pernah dipimpin oleh anaknya, Ustaz Haji Mohd Hassan Adli Mohd Arshad yang merupakan Pengerusi Tetap PAS pada 1954. Di madrasah ini, Dewan Pemuda PAS ditubuhkan pada 25 Ogos 1953, sebelum Dewan Muslimat PAS dan Dewan Ulamak PAS ditubuhkan di sini juga beberapa tahun kemudian.

3) Mesyuarat Agung Khas PAS Kali Kedua diadakan pada 26 September 1953 bersamaan 17 Muharram 1373 di Madrasah al-Masriyah, Tanah Liat, Bukit Mertajam kerana membincangkan pendirian PAS sama menyokong National Conference atau National Convention dalam menuntut pilihan raya segera ke arah kemerdekaan. Madrasah ini merupakan antara madrasah terawal dibina di Tanah Melayu dalam bentuk nizami. Ia diasaskan oleh Sheikh Mohd Salleh bin Baqi al-Masri pada 1906. Menantu beliau, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan merupakan Yang Dipertua Agung PAS dan merupakan pelopor gerakan Islam yang terkemuka ketika itu. Di madrasah ini, PAS pernah menempatkan Pejabat Agungnya pada 1953.

4) Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ketiga diadakan pada 12-14 Ogos 1954 bersamaan 12-14 Zulhijjah 1373 di Madrasah at-Tahzib ad-Diiniah, Titi Serong, Bagan Serai, Perak. Ia diasaskan oleh Sheikh Abdullah Fahim selepas Perang Dunia Kedua. Madrasah ini dipimpin oleh Tuan Guru Hajij Hassan Abdul Rahman yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Kerian. Beberapa tokoh PAS Kerian seperti Tuan Guru Haji Abdul Rahman Suhaili dan Tuan Guru Haji Idris Munir dikatakan pernah menjadi mudir madrasah ini. Di madrasah ini, PAS Cawangan Kerian, iaitu cawangan PAS kedua di Perak ditubuhkan pada 2 Julai 1952. Kerian (sekarang Bagan Serai dan Parit Buntar) adalah kubu terkuat PAS pada 1950-an di mana PAS memenangi kerusi Majlis Undangan Persekutuan Kawasan Kerian melalui Tuan Gutu Haji Ahmad Tuan Hussein dan kerusi Majlis Undangan Negeri Perak Kawasan Kerian Laut melalui Haji Mohd Kamal Ahmad dalam Pilihan Raya Umum 1955.

5) Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Keempat pada 26-28 Disember 1955 bersamaan 11-13 Jamadil Awal 1375 di Madrasah Ahmadiyah, Bunut Payung, Kota Bharu, Kelantan. Muktamar ini adalah yang julung kali diadakan di Kelantan. Ia diadakan di madrasah yang diasaskan oleh Tuan Guru Haji Abdullah Tahir Ahmad, murid kanan Tok Kenali pada 1931. Di madrasah ini pernah ditubuhkan Jabhah ad-Diiniah al-Islamiyah Kelantan, iaitu pertubuhan ulamak yang pertama di Tanah Melayu pada 1934. Walaupun Tuan Guru Haji Abdullah Tahir tidak sempat aktif dalam PAS kerana meninggal dunia pada 1961, tetapi penyertaan beliau bersama PAS menjadi faktor terpenting yang mendorong para ulamak Kelantan mendukung perjuangan PAS. Di pondok ini juga lahir tokoh-tokoh besar PAS seperti Qadhi Haji Mokhtar Ahmad (adik Tuan Guru Haji Abdullah Tahir) yang merupakan Ketua Hizbul Muslimin Kelantan dan calon PAS di Pasir Mas pada 1955; Tuan Guru Haji Hussein Rahimin Mat Saman (menantu tuan guru) yang merupakan Ahli Parlimen Kota Bharu Hulu dan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat; serta Ustaz Datuk Haji Yahya Othman (menantu Tuan Guru Haji Hussein Rahimin), Murabbi PAS. Di kalangan santrinya termasuklah Tuan Guru Haji Yahya Junid, Tuan Guru Lebai Othman Bukit Besar, Muallim Haji Wahid Melaka dan lain-lain yang merupakan tokoh-tokoh besar PAS.

Selepas tahun 1955, PAS yang mengalihkan pusat kegiatan dan Pejabat Agungnya ke Kuala Lumpur telah mula mengadakan muktamarnya di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Bharu, Kuala Lumpur dan juga di tempat-tempat lain, tetapi tidak lagi di pondok-pondok. Selain Kelab Sulaiman, tempat lain yang sering menjadi hos muktamar PAS ialah Dewan Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP); Markaz Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar; Masjid Rusila, Marang; dan Pusat Tarbiyah PAS Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa. Walaupun pondok-pondok tidak lagi menjadi tumpuan muktamar PAS, namun peranan pondok terhadap kebangkitan perjuangan PAS patut dicatat dengan tinta emas.

MOHD FADLI GHANI
Head House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS – HARAKAHDAILY 4/6/2019