Ramadan dan Syawal: Medan tarbiyah anak muda

Pimpinan
Typography
BULAN Ramadan, penghulu segala bulan, penuh keberkatan dan kerahmatan di dalamnya pasti akan terus dirindui oleh mereka yang beriman di saat Ramadan akan melabuhkan tirai dan disusuli bulan Syawal untuk diraikan. Maka, beruntunglah bagi mereka yang menghidupkan sebulan bulan Ramadan dengan penuh pengharapan menjadi hamba yang bertaqwa sebagaimana firman Allah S.W.T dalam surah Al-Baqarah, ayat 183.
 
Penulisan ini adalah antara inspirasi yang diperoleh daripada beberapa orang anak muda istiqamah dalam perjuangan Islam dan kehidupannya sehariannya melalui program Ziarah Kebajikan Ramadan 1440 baru-baru ini khusus bertemu anak muda seluruh Parlimen Tambun anjuran Lajnah Kebajikan  Pemuda PAS Kawasan Tambun. Moga-moga ianya boleh menjadi panduan kepada para pembaca khususnya anak muda dalam memastikan kita mendapat takwa dalam Ramadan dan meraikan Syawal dengan adab-adab Islam.
 
Pertamanya sebagai anak muda, Masjid dan Surau serta waktu solat dijadikan sandaran utama bagi mengatur kehidupan seharian. Tersentuh hati ini setelah melihat sendiri seorang anak muda, Mohd Firdaus Mohd Yusoff di Taman Perpaduan yang kurang upaya tetapi begitu rajin solat tarawih sepanjang Ramadan di Masjid atau Surau walaupun terpaksa berkerusi roda. Malah beliau berterima kasih kepada pengurusan Masjid atau Surau yang menyediakan kemudahan mesra OKU yang memudahkannya untuk beribadat. Justeru diharapkan semua pihak pentadbiran memberi perhatian penting terhadap kemudahan yang mencakupi keseluruhan kelompok masyarakat setempat. 
 
Ternyata Masjid atau Surau menjadi pusat sehenti masyarakat dalam mengeratkan silaturrahim dan saling berkongsi maklumat yang akhirnya menguntungkan rakyat keseluruhannya. Jika difahami dan dilaksanakan mengikut kehendak Islam, tidak timbul mereka 'menyalahgunakan' Masjid atau Surau dengan memberikan penghormatan lebih tinggi kepada bukan Muslim sedangkan para asatizah, para ilmuwan dikenakan pelbagai kecaman.
 
Amalan berziarah sememangnya menjadi budaya masyarakat Muslim menjelang perayaan atau hari-hari tertentu. Amalan ini selari dengan anjuran agama berdasarkan firman Allah S.W.T yang bermaksud: 
“Wahai manusia! Sesungguhnya, Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling kenal mengenali. Sesungguhnya, yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya. Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Teliti.”
(al-Hujurat: 13)
 
Keduanya, budaya ilmu mestilah terus disuburkan dalam diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Khususnya anak muda yang baru mendirikan rumahtangga hendaklah berusaha untuk menambahkan ilmu pengetahuan, mengamalkan dan seterusnya berkongsi ilmu dengan orang ramai. Mencontohi seorang anak muda, Zulhisham Ibrahim daripada Kampung Tengku Hussein Hujung yang ditemui baru-baru ini terpaksa menjaga ibunya yang sakit di rumah. Seketika beliau keluar bekerja, ibunya dihantar ke rumah kakaknya di Batu Gajah. Di sebalik kesukaran itu, beliau seringkali ada di Masjid atau Surau menghadiri kuliah dan kelas pengajian. Semoga beliau terus istiqamah dan dipermudah segala urusannya.
 
Dalam pada itu, anak muda juga terdedah kepada dunia hiburan yang semakin terbuka hari ini tatkala teknologi di hujung jari sahaja. Katakan tidak dan hindarilah daripada gejala hidonesme iaitu hiburan berlebihan sehingga merosakkan akhlak masyarakat dan generasi mendatang.
 
Sepatutnya pihak kerajaan melalui agensi berkaitan membuat garis panduan yang dikuatkuasakan sepenuhnya dan menjadikan Islam sebagai rujukannya. Rasulullah S.A.W tidak melarang untuk berhibur tetapi batasnya mesti dijaga. Ini penting kerana kegembiraan dan keceriaan Syawal diraikan dalam suasana harmoni dan tidak melampau yang melanggar syariat termasuklah tradisi rumah terbuka sehingga menyebabkan pembaziran.
 
Allah S.W.T berpesan menerusi firman-Nya yang bermaksud: 
“Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada segala yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang lagi nyata bagi kamu. Ia hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara yang keji serta (menyuruh) supaya kamu berkata (dusta) terhadap Allah, segala perkara yang tidak kamu ketahui (salah benarnya).” 
(al-Baqarah: 168-169)
 
Ketiganya, anak muda mestilah menjadi ejen perubah masyarakat dengan mengamalkan Islam secara menyeluruh bukannya hanya memilih sesuatu perkara tertentu yang dirasakan 'mudah' untuk kita sahaja. Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Baqarah, ayat 208: 
"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata."
 
Syawal bukan ketikanya untuk balas dendam terhadap Ramadan dengan makan berlebihan atau bermewahan malah lebih malang lagi kembali kepada keadaan yang menjadikan kita seolah-olah tidak pernah berada di bulan Ramadan. Saat ini sangat penting untuk terus kekal istiqamah dengan Islam, jangan leka dengan urusan yang tidak selari dengan Islam termasuklah terlalu fokus kepada 'mood' raya sehinggakan seolah-olah 'menghalau Ramadan pergi'. Walhal Ramadan tetap kekal ada sebaliknya kita yang belum tentu dapat bertemu lagi Ramadan pada tahun mendatang.
 
Sesungguhnya matlamat orang-orang mukmin adalah syurga Allah S.W.T. Oleh itu, persiapkan diri kita daripada sekarang khususnya di usia muda sebelum sampainya usia tua. Dari Ibnu Abbas, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: 
“Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa sihat sebelum sakit. Masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Masa mudamu sebelum datang masa tua dan Masa hidup sebelum tiba masa mati.” 
(Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)
 
Hadis ini adalah suatu peringatan penting dan tarbiyah terbaik buat kita lebih-lebih lagi anak-anak muda mestilah memanfaatkan sebaik mungkin kehidupan hari ini. Jika kita hanya melihat kerosakan yang berlaku tanpa mengambil tindakan sewajarnya untuk memulihkannya, sia-sialah masa depan kita. Ayuh anak muda sekalian, perkukuh iltizam dan tekad kita untuk menjadi tonggak utama perjuangan Islam hingga ke akhir hayat, InsyaAllah.
 
Salam Eidul Fitri 1440H/2019H
 
"Islam Memimpin"
"Sejahtera Bersama Islam"
 
HAFEZ SABRI
Exco Pemuda PAS Malaysia
Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Perak
Ketua Pemuda PAS Kawasan Tambun - HARAKAHDAILY 3/6/2019
IMG 20190603 WA0065