Abu Ubaid Al-Qassim: Pelopor teori kontrak sosial, ekonomi politik islam

Pimpinan
Typography

BAGI pengkaji karya-karya al-Mawardi (m. 1059M) dan Abu Yu'la (m. 1065M), pasti akan menemui nama tokoh yang menjadi rujukan kedua-dua pemikir politik Islam ini, iaitu Abu Ubaid al-Qassim. Abu Ubaid al-Qassim muncul sebagai seorang pemikir ekonomi politik yang terpenting dalam sejarah Islam sesudah Qadhi Abu Yusof (m. 779M). Jika Abu Yusof terkenal dengan kitab al-Kharaj berdasarkan Mazhan Hanbali, Abu Ubaid al-Qassim menghasilkan kitab al-Amwal berteraskan fiqh Mazhab Shafie. Ternyata pemikiran ekonomi politik Abu Ubaid al-Qassim bukan sahaja berpengaruh ke atas al-Mawardi dan Abu Yu'la, tetapi juga didukung oleh Ibnu Sina (m. 1037M) di dalam kitab as-Shifa'. Abu Ubaid al-Qassim boleh dikatakan pelopor sebenar teori kontrak sosial, sebelum ia diangkat oleh al-Mawardi dan Abu Yu'la, kemudiannya oleh Locke (m. 1704danM) dan Rousseau (m. 1778M). Bahkan, teori-teori ekonomi perdagangan beliau lebih terkehadapan berbanding teori Adam Smith (m. 1790M).

Abu Ubaid yang hidup pada awal zaman Daulah Abbasiyah terdorong oleh pembangunan negara yang pesat pada zaman Khalifah Harun ar-Rashid (786-808M), di mana Abu Ubaid pernah menjadi qadhi. Perhatian besar beliau adalah sistem pentadbiran kewangan negara, yang merupakan nadi terhadap kerajaan Islam. Berbeza dengan Qadhi Abu Yusof yang menekankan soal tanggungjawab negara melalui pengagihan ekonomi, Abu Ubaid yang lahir sembilan tahun sebelum kewafatan Abu Yusof, telah menghuraikan persoalan pengurusan dan pentadbiran kewangan negara Islam, sebagai panduan kepada Khalifah Harun ar-Rashid. Pemikiran Abu Ubaid ini kemudiannya mempengaruhi banyak karya kenegaraan Islam selepas itu, terutama yang berkaitan dengan tatakelola ekonomi negara. Bahkan, pada zaman kebangkitan Barat, para pemikir juga merujuk kepada karya Abu Ubaid.

Ketokohan Abu Ubaid

Abu Ubaid ialah al-Qassim bin Sallam bin Miskin bin Zaid al-Hawari al-Azdi al-Baghdadi. Beliau dilahirkan di Bahrain, Herat, sebuah kota di Khurasan, Afghanistan dalam tahun 154H / 770M. Bapanya berketurunan Byzantium dan menjadi maula suku Azad. Abu Ubaid belajar di Kufah, Bashrah dan Baghdad dalam pelbagai cabang ilmu Islam. Antara gurunya di Basrah ialah al-Asma'i (m. 828M), Abu Ubaydah (m. 825M) dan Abu Zaid al-Ansari (m. 831M), manakala di Kufah pula ialah Abu Amr as-Shaibani (m. 825M), al-Kisa'i (m. 805M) dan lain-lain. Kerana keilmuannya, Gabenor Thugur, Tsabit bin Nasr telah melantiknya sebagai qadhi di Tarsus, tetapi pada 219H, beliau telah berhijrah ke Mekah dan wafat di sana pada tahun 224H / 838M dalam usia 68 tahun.

Sebagai seorang pemikir besar, Abu Ubaid telah menghasilkan 20 karya dalam pelbagai bidang termasuk nahu, qawaid fiqh, fiqh, syair dan lain-lain. Antara karya beliau itu ialah Fadhail al-Quran, Kitab an-Nasikh wa al-Mansukh dan yang paling terkenal dan berpengaruh ialah Kitab al-Amwal. Kitab al-Amwal pada asasnya merangkumkan semua hal-hal pentadbiran ekonomi negara berdasarkan sunnah dan atsar, yang dibahaskan oleh beliau dalam kerangka pentadbiran semasa Daulah Abbasiyah dalam era Khalifah Harun ar-Rashid.

Kontrak sosial

Sebelum al-Mawardi dan Abu Yu'la membahaskan persoalan kontrak sosial di dalam karya-karya mereka, Abu Ubaid terlebih dahulu menyentuh tentangnya. 1000 tahun sebelum Rousseau (m. 1778) menulis tentang kontrak sosial ini, Abu Ubaid meletakkan pada bab pertama Kitab al-Amwal dengan tajuk Haqqul Imam 'ala Raiyyat, wa Haqqul Ra'iyyat ala al-Imam iaitu tentang tanggungjawab pemimpin ke atas rakyat dan tanggungjawab rakyat ke atas pemimpin. Ketika al-Mawardi dan Abu Yu'la masing-masing membahaskan hal ini dalam kitab Ahkam Sulthaniyah mereka, kedua-duanya mengakui menjadikan Kitab al-Amwal sebagai rujukan. At-Taftazani (m. 1390M) dan Ibnu Khaldun (m. 1406M) juga turut mengembangkan teori ini dalam karya mereka kemudiannya. Hal ini cukup untuk membuktikan bahawa teori kontrak sosial sebenarnya telah dipelopori oleh Abu Ubaid, terutama ketika membahaskan tentang prinsip pengurusan kewangan negara.

Kerangka pemikiran Abu Ubaid yang meletakkan agama pada kedudukan tertinggi dalam mengawal hubungan pemimpin dengan rakyat kemudiannya mempengaruhi pemikir Islam yang mengikutinya. Asas kontrak sosial adalah mudah, di mana pemimpin yang berwibawa dapat mewujudkan perpaduan rakyat, kemudian memberikan hak-hak rakyat terutama dalam agihan kekayaan negara, keadilan ekonomi dan jaminan keselamatan sosial. Abu Ubaid menekankan tanggungjawab negara terhadap penerima zakat, selain kebijaksaan pemerintah mengagihkan kekayaan negara, termasuk membenarkan iqta dan hima. Di pihak rakyat pula, mereka berkewajipan memberikan ketaatan, dukungan dan kesetiaan kepada pemerintah, termasuk membayar cukai dan zakat yang menjadi hasil negara.

Pentadbiran ekonomi negara

Abu Ubaid membahaskan tentang peranan Baitul Mal dan diwan-diwannya dalam pentadbiran negara sebagai pentadbir tunggal kewangan. Beliau membahagikan Baitul Mal kepada dua bahagian iaitu diwan waridat (jabatan hasil) dan diwan nafaqat (jabatan perbelanjaan. Menurut Abu Ubaid, pendapatan negara ada tiga sumber iaitu zakat dan sedeqah, khumus dan fai'. Seluruh hasil negara yang disatukan, perbelanjaannya ditentukan oleh khalifah. Beliau menolak penggunaan yang terhad kepada lapan asnaf, sebalik berpegang bahawa apa sahaja kepentingan negara dan umat, boleh dibelanjakan hasil zakat. Beliau juga bertegas bahawa hanya pemerintah yang boleh menerima zakat komoditi seperti ternakan, dan tidak boleh dibayar terus kepada penerima zakat.

Susun atur atau status sosial masyarakat pula ditentukan oleh status zakatnya, seperti berikut:

1. Orang kaya yang berzakat dan tidak berhak menerima zakat;

2. Golongan menengah yang tidak wajib membayar zakat tetapi tidak berhak menerima zakat; dan

3. Golongan penerima zakat yang tidak wajib berzakat, tetapi layak menerima zakat.

Beliau berpegang kepada perlunya peranan wang sebagai standard pertukaran. Beliau juga mengakui pemilikan peribadi dan mengakui adanya iqta dan hima. Iqta adalah tanah yang diberikan oleh pemerintah kepada seseorang rakyat untuk memproduktifkan tanah tersebut, sedangkan hima adalah padang rumput pengembalaan. Tetapi pemilikan ini akan kembali menjadi milik negara jika tiga tahun berturut-turut ia tidak diusahakan.

Tentang hak khalifah dalam perbelanjaan negara, Abu Ubaid menekankan soal keadilan sebagai prinsip utama, di mana khalifah boleh membuat dasar perbelanjaan selagi tidak bercanggah dengan syariat. Perbendaharaan negara mesti digunakan untuk kepentingan awam dan menghentikan diskriminasi, penindasan dalam percukaian dan menghentikan upaya penghindaran cukai.

Tentang fai', Abu Ubaid membezakan antara badwi (orang kampung) dan hadhari (orang bandar atau urban). Bagi menjamin keadilan, orang badwi yang tidak banyak menyumbang kepada ekonomi negara, akan diagihkan hasil fai' yang lebih kecil berbanding penduduk bandar yang mempunyai kontribusi yang lebih besar kepada ekonomi negara.

MOHD FADLI GHANI
Islamic Institute of Independent Research on Democracy (IIIRD) – HARAKAHDAILY 19/5/2019