PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) mengucapkan tahniah kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kerana telah menganjurkan Seminar Peradaban dan Kecelaruan Gaya Hidup Kontemporari 2018 di Kuala Terengganu, semalam.

Program yang secara langsung menyentuh isu penularan kes LGBT dilihat mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dalam kalangan pihak pendidik, pertubuhan bukan kerajaan dan agensi kerajaan.

nasrudinPAS mengharapkan agar seminar membentuk kefahaman seperti ini dapat diteruskan ke seluruh negara.

Bagi mendepani penularan kes LGBT, dua konsep pendekatan yang perlu diambil perhatian sewajarnya iaitu pendekatan:

i) targhib (memberi galakan ke arah kebaikan) dan

ii) tarhib (menimbulkan kegerunan terhadap dosa).

Pendekatan targhib seperti yang diuar-uarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri Terengganu iaitu dengan membantu mereka daripada aspek kaunseling, pendidikan dan menawarkan pekerjaan yang sesuai supaya mereka tidak lagi terjebak dalam industri dosa.

Pendekatan tarhib pula adalah penguatkuasaan undang-undang yang bertujuan untuk menimbulkan kesedaran dan juga mencegah daripada terus berleluasa.

Kesalahan-kesalahan yang boleh dikenakan mengikut Enakmen Jenayah Syariah seperti perbuatan sumbang mahram, pelacuran, penzinaan, liwat, transgender dan perbuatan tidak sopan di tempat awam boleh diteliti kadar hukumannya supaya ia selaras dengan tuntutan maqasid syariah.

Tujuan utamanya bukan untuk menghukum semata-mata tapi ia juga adalah untuk mencegah. Paling penting penguatkuasaan undang-undang Syariah tersebut jika selari dengan garis panduan syarak, ia akan mengundang pencegahan dari Allah (nakalan min Allah).

Sekarang, kes-kes LGBT bukan sahaja dilakukan dalam ruang peribadi, tetapi sudah mula menular dalam ruang awam. Di sosial media, penganjuran aktiviti terbuka, kempen malah sudah sampai ke peringkat mencabar perundangan seperti kes Muhammad Juzaili lawan Kerajaan Negeri Sembilan.

Oleh kerana itu, isu-isu LGBT perlu ditangani dengan adil. Kombinasi unsur targhib dan tarhib mesti diseimbangkan. Tidak cukup dengan pendekatan targhib, tapi pendekatan tarhib yang lebih tegas juga mesti dikuatkuasakan. Agar gejala hidup songsang ini dapat dicegah daripada terus kronik.

Sejahtera Bersama Islam

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat – HARAKAHDAILY 31/7/2018

ADA yang marah apabila saya kata PAS semacam mendorong ahli dan penyokongnya mengundi BN di PRK Sungai Kandis.

Saya tanya, adakah anda akan marah jika esok hari ahli dan penyokong BN pula mengundi PAS?

Demi perut, berfikirlah untuk hari ini. Tetapi demi negara, berfikirlah untuk hari esok. Politik adalah untuk agama dan negara, bukan untuk perut dan nafsu.

Satu lagi, janganlah kalut 'hifz al mal' sampai terbang habis 'hifz ad din'. Negara kita perlu kekuatan agama lebih daripada segalanya. Agama pasti menjaga ekonomi negara dengan sempurna.

PH akan jadi lebih teruk daripada BN jika agama terbang. "Jagalah Allah, pasti Allah menjagamu." - al Hadis

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
AJK PAS Pusat – HARAKAHDAILY 27/7/2018

ISU berkaitan hifzu al-din menjadi tular akibat kenyataan YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri beberapa hari lalu. Jelas sekali melalui ucapannya bahawa beliau berpegang kepada pemikiran perlunya dijaga semua agama yang ada dan tidak hanya terhad kepada agama Islam sahaja. Kenyataan ini jauh tersasar daripada padangan jumhur ulama yang menegaskan bahawa al-din dalam maksud hifzu al-din ialah menjaga Islam.

Perbincangan berkaitan hal ini sudah lama diutarakan dalam disiplin ilmu Maqasid Syar'iyyah yang ditulis oleh ramai ulama yang muktabar. Tujuan Allah menurunkan Islam adalah untuk menyelamatkan manusia keseluruhannya daripada malapetaka dan azab Allah. Menurut Imam Izzuddin bin Abdul Salam, tujuan agama dan hukum adalah (درء المفاسد وجلب المصالح) iaitu menghindari mafsadah dan menarik kemaslahatan. Inilah objektif utama Allah mendatangkan agama Islam demi kesejahteraan kehidupan di dunia dan dapat memelihara kepentingan manusia selepas kematian mereka.

Ini membuktikan bahawa kedatangan Islam merupakan rahmat kepada manusia sekalian alam, sebagaimana firman Allah S.W.T:

{وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ}

Maksudnya: “Kami tidak mengutuskan engkau (Wahai Muhammad), melainkan menjadi rahmat untuk semesta alam”. [al-Anbiyaa': 107]

Para ulama telah membincangkan berkenaan maksud hifzu al-din iaitu ia suatu istilah yang digunakan oleh para ulama fiqh bagi menjelaskan maksud memelihara agama dalam konteks maqasid syari'yyah. Agama yang dimaksudkan ialah Islam, iaitu agama yang diredhai. Firman Allah SWT:

{اِنَّ الدِّيۡنَ عِنۡدَ اللّٰهِ الۡاِسۡلَامُ}

Maksudnya: “Sesungguhnya agama (yang diredhai) disisi Allah hanyalah Islam”. [Ali-Imran: 19]

Firman Allah SWT lagi:

{وَمَنْ أَحْسَنُ دِينًا مِمَّنْ أَسْلَمَ وَجْهَهُ لِلَّهِ وَهُوَ مُحْسِنٌ وَاتَّبَعَ مِلَّةَ إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا ۗ وَاتَّخَذَ اللَّهُ إِبْرَاهِيمَ خَلِيلًا}

Maksudnya: “Dan siapakah yang lebih baik agamanya daripada orang yang ikhlas menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang diapun mengerjakan kebaikan dan dia mengikuti agama Ibrahim yang lurus?”. [al-Nisaa': 125]

Jelas di sini bahawa perkataan al-din adalah merujuk kepada agama Islam yang terkandung di dalamnya akidah, syariat dan akhlak. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

{الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينً}

Maksudnya: “pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Aku redhai Islam itu sebagai agama bagimu”. [al-Maidah: 3]

Justeru, dengan menjaga agama Islam bermakna umat Islam dengan sendirinya menjaga dharuriyyat al-khamsah yang menjadi kewajiban umat Islam menjaganya iaitu memelihara agama, jiwa, akal, keturunan dan harta. Imam al-Syathibi yang terkenal dengan bapa maqasid membahagikan urusan pemeliharaan kesucian agama Islam kepada dua aspek iaitu; memastikan ajaran Islam dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan keduanya agama Islam wajib dilindungi daripada diseleweng dan dimusnahkan dengan memastikan penganutnya menjauhi dosa kecil, dosa besar dan sebarang perkara yang membawa kepada syirik.

Maka, di sinilah lahirnya maksud yang sebenar hifzu al-din iaitu pemeliharaan kesucian agama Islam dengan memastikan ia didaulatkan dan diamalkan serta dilindungi daripada sebarang bentuk syirik dan pencemaran. Adapun agama selain Islam diberi kebebasan untuk diamalkan tanpa sebarang diskriminasi. Islam tidak memaksa penganut agama lain untuk memeluk Islam dan hak untuk beribadat diberi kebebasan sepenuhnya tetapi ia tidak termasuk dalam maksud hifzu al-din yang mensyaratkan suatu penjagaan rapi dengan tidak dicemari daripada sebarang kesyirikan. Oleh itu, tidak boleh disabitkan hifzu al-din dengan agama selain Islam.

Dewan Ulamak PAS Pusat menyeru para pemimpin utama kerajaan agar berhati-hati dalam membuat kenyataan berkaitan prinsip yang ada dalam agama Islam agar ianya tidak keliru dan menjadi salahfaham di kalangan masyarakat sehingga mendatangkan kebencian antara masyarakat pelbagai kaum. Islam hendaklah diberi kedudukan yang tertinggi dan penjagaan yang sempurna sehingga ianya tertegak di negara kita sesuai dengan Islam sebagai agama rasmi persekutuan.

“Sejahtera Bersama Islam”
“Membina Negara Sejahtera”

USTAZ MOHD ASRI MAT DAUD
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
2 Zulqaedah 1439 / 15 Julai 2018 – HARAKAHDAILY 15/7/2018

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) mengalu-alukan apa sahaja usaha substantif daripada pihak Kerajaan Persekutuan untuk memperkasakan institusi Mahkamah Syariah ke arah lebih mantap sama ada daripada aspek pentadbiran, sistem dan jurisdiksi perundangan.

Walau bagaimanapun, kuasa perundangan dan pentadbirannya terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri melainkan bagi Wilayah Persekutuan. Hal ini termasuk undang-undang mengenai ‘precept of Islam’ yang juga diberi kepada pihak negeri.

Susulan itu, PAS mencadangkan agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), YB Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa segera membentangkan usul untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Cadangan ini bukan isu politik bahkan ahli-ahli Parlimen PAS akan memberikan sokongan dan turut serta dalam perbahasan nanti.

Anggaplah ia sebagai satu usaha bersama untuk membolehkan Dewan Undangan Negeri (Dun) membuat undang-undang dan menambah bidang kuasa Mahkamah Syariah mengenai hukuman bagi kesalahan-kesalahan jenayah yang terletak dalam bidang kuasa negeri sepertimana yang termaktub dalam Senarai II, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.

PAS yakin beliau tidak menolak keperluan dan maqasid akta ini sepertimana artikel yang pernah ditulis oleh beliau pada 8 September 2016 yang lalu di bawah tajuk ‘Cadangan Pindaan Akta 355 Daripada Perspektif Ahli Legislatif: Satu Pendapat’. Bahkan, akta tersebut tidak boleh dipinggirkan dengan akta atau enakmen atau ordinan Mahkamah Syariah yang lain.

Ini adalah masa yang sangat sesuai (walk the talk) ke arah usaha untuk memperkasakan institusi, sistem dan skop perundangan serta kehakiman Syariah secara menyeluruh di Malaysia.

Sejahtera Bersama Islam

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
25 Syawal 1439 | 9 Julai 2018 – HARAKAHDAILY 9/7/2018

MUTAKHIR ini, masyarakat dalam negara ini telah dimomokkan dengan dogma berbahaya dan ditanamkan dalam pemikiran masyarakat bahawa Islam tidak berkeupayaan untuk memimpin, memerintah dan mengurus. Malah ditambahkan lagi dogma bahawa tiada orang Islam yang layak sebagai pemimpin dengan dakwaan "orang kafir yang jujur lebih baik Muslim yang korup”.

PEMERINTAHAN PAS KELANTAN DAN TERENGGANU MEMBUKTIKAN DOGMA PILIHAN 'MUSLIM KORUP ATAU NON MUSLIM JUJUR' ITU SALAH

FIRMAN Allah SWT dalam surah al Anbiya' ayat 105-107:

وَلَقَدْ كَتَبْنَا فِي الزَّبُورِ مِنْ بَعْدِ الذِّكْرِ أَنَّ الْأَرْضَ يَرِثُهَا عِبَادِيَ الصَّالِحُون. إِنَّ فِي هَٰذَا لَبَلَاغًا لِقَوْمٍ عَابِدِينَ. وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ

Maksudnya: "Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis di dalam Kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya pada Lauh Mahfuz: "Bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hambaKu yang soleh". Sesungguhnya Al-Quran ini mengandungi keterangan-keterangan yang cukup bagi orang-orang yang (cita-citanya) mengerjakan ibadat (kepada Allah dengan berilmu).Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam."

NajhanAyat di atas mengkhabarkan bahawa janji Allah swt bahawa akan pasti ada di atas muka bumi ini hambaNya yang soleh mentadbir dan mengurus negeri dengan perintahNya.

Prinsip pemerintahan dalam Islam iaitu "Menegakkan Agama dan Mengurus Dunia dengan Agama" adalah teori yang bakal dipraktiskan dan dizahirkan dalam pemerintahan Kerajaan PAS di Kelantan dan Terengganu.

Mutakhir ini, masyarakat dalam negara ini telah dimomokkan dengan dogma berbahaya dan ditanamkan dalam pemikiran masyarakat bahawa Islam tidak berkeupayaan untuk memimpin, memerintah dan mengurus. Malah ditambahkan lagi dogma bahawa tiada orang Islam yang layak sebagai pemimpin dengan dakwaan "orang kafir yang jujur lebih baik Muslim yang korup”.

Dakyah sebegini memberikan situasi tiada pilihan kepada rakyat melainkan untuk menolak kepimpinan Islam daripada memerintah negara.

Dakyah ini sengaja dipromosikan kepada rakyat di negara ini oleh pihak yang tidak bertanggungjawab atau pihak yang sangat dengki terhadap Islam untuk mentadbir dan memerintah agar PAS yang memiliki cita-cita Islam yang syumul tidak diketengahkan dalam arus kepimpinan negara.

Mereka amat bimbang apabila Islam berjaya di dalam tampuk pemerintahan khasnya di peringkat persekutuan, pelbagai agenda Islam mampu dilaksanakan, yang akhirnya ramai yang akan terpikat dengan Islam dan bersama Islam. Ini yang mengkhuatirkan mereka.

Ini semacam satu propaganda berbahaya yang mampu merobek aqidah umat Islam yang cetek ilmu dan kefahaman Islam sehingga mampu merendahkan Islam dan Iman pada diri seseorang Muslim. Nilai Islam dan iman adalah satu yang tidak ternilai mahalnya dibandingkan dengan kekayaan dunia dan seisinya. Jangan disebabkan segelintir Muslim yang berdosa dan salahlaku lalu digeneralisasikan ungkapan sedemikian. Dikhuatiri apabila ungkapan itu ditanamkan dalam benak fikiran umat Islam, kelak nanti menjadi kafir atau keluar daripada Islam itu tidak lagi dianggap besar.

Islam itu tetap indah dan benar sekalipun sebahagian umatnya menyimpang jauh daripada ajarannya. Allah sendiri menjanjikan hambaNya yang soleh akan menguruskan bumiNya dengan kehendakNya.

Pasca PRU14, memperlihatkan PAS diberi kepercayaan untuk mentadbir dua negeri, dikekalkan Kelantan dan dan dikembalikan semula mentadbir Terengganu. Walaupun kepimpinan pusat ditadbir oleh Pakatan Harapan, namun ini adalah peluang kepada PAS untuk membuktikan kemampuan memerintah 2 negeri ini dengan lebih baik berbanding negeri dan negara yang diperintah oleh PH dan BN.

Kelantan yang ditadbir berasaskan kepimpinan ulama dengan moto "Membangun Bersama Islam" sejak kepimpinan al Marhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan diikuti Ustaz Dato' Ahmad Yakob telah berjaya sejak 28 tahun lalu menolak tohmahan dan momokkan bahawa Islam itu gagal dalam pemerintahan.

Kelantan ketika pada zaman pentadbiran Al Marhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat berjaya dalam pelbagai sudut, khasnya idea Islam dalam pengurusan yang akhirnya ditiru dan diciplak oleh Barisan Nasional sendiri. Sebagai contoh, perbankan Islam dan pajak gadai Islam yang mula berkembang meluas di seluruh negara setelah PAS memerintah negeri Kelantan. Kerajaan Kelantan juga sangat komited membanteras dan membendung amalan yang bercanggah dengan syarak seperti judi dan arak. Negeri Kelantan ini sahaja di kalangan negeri yang diperintah oleh orang Islam berjaya membendung aktiviti arak dan judi di kalangan masyarakat malah turut disokong di kalangan masyarakat bukan Islam.

Bukan idea hukum Islam sahaja menjadi agenda PAS, malah pelbagai idea pemerintahan yang beramanah dan berintergriti telah berjaya diterjemahkan dalam pengurusan sehinggakan kepimpinan negeri Kelantan diakui ditadbir dengan baik dan bebas daripada salahlaku dan rasuah.

Zaman Ustaz Dato' Ahmad Yakob sebagai Menteri Besar, Kelantan telah melonjak lebih ke hadapan. Negeri Kelantan ditadbir cemerlang walaupun sering kali disembunyikan pencapaiannya oleh media arus perdana negara ini malah difitnah di setiap sudut.

Pencapaian demi pencapaian berterusan, pembangunan yang semakin rancak sekalipun negeri ini tidak memiliki sokongan kerajaan pusat sewaktu zaman BN sebagaimana negeri lain. Malah kekayaan minyak negeri sendiri pun tidak dapat dirasai oleh kerajaan negeri kerana sikap tidak menghormati amalan federalisme. Tunggulah nanti betapa hebatnya pencapaian yang bakal dilakar di negeri Kelantan apabila bayaran royalti petroleum bakal diterima oleh Kerajaan PAS Negeri Kelantan.

Pemerintah negeri Kelantan tetap terus berjuang untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat. Kepimpinan Ustaz Dato' Ahmad berjaya membuktikan negeri Kelantan diurus tadbir dengan cekap sehingga diakui dalam laporan Jabatan Audit Negara pada tahun 2017. Termasuk juga perakuan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa negeri ini bebas daripada siasatan dan dakwaan rasuah berbanding pada masa yang sama, di pihak kepimpinan BN dan Pakatan Harapan memiliki 71 dan 21 siasatan dakwaan rasuah.

Terengganu pula telah kembali semula di pangkuan PAS selepas pru14. Negeri ini pernah diperintah PAS pada tahun 2000-2004 di mana Menteri Besarnya adalah Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Di zaman pemerintahan ini, PAS berjaya meluluskan Enakmen Jenayah Syariah dan beberapa konsep pemerintahan Islam seperti Unit Hisbah bagi melengkapi ciri-ciri pemerintahan Islam. Walaupun tidak berjaya diimplementasikan secara sempurna, ia adalah komitmen yang bersungguh daripada PAS untuk menzahirkan keindahan pemerintahan berteraskan Islam.

Bukan itu sahaja, kesungguhan PAS untuk mengutamakan rakyat apabila PAS membuktikan bahawa negeri yang memiliki kekayaan minyak seharusnya dikembalikan kepada rakyat untuk dinikmati. Kerajaan Negeri Terengganu pada waktu itu berjaya menghapuskan satu-satunya tol iaitu di Jambatan Sultan Mahmud dan cukai pintu kediaman. Kecemerlangan pentadbiran Terengganu ini dicemburi Kerajaan Pusat yang akhirnya menarik hak royalti petroleum sebanyak RM1 bilion setahun itu.

Corak kehidupan bekas Menteri Besar Terengganu Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang pun tidak sedikit pun berubah walaupun 5 tahun memerintah negeri. Berbanding menteri besar negeri-negeri lain, bukan 5 tahun, hanya beberapa bulan sahaja mampu mengaut kekayaan menakjubkan.

Rakyat negeri Terengganu melakukan tindakan bijak ketika PRU14 baru-baru ini apabila mengembalikan semula pemerintahan negeri daripada BN kepada PAS. Ini kerana rakyat telah melihat dengan mata dan merasai sendiri pengalaman mereka ketika di bawah pemerintahan BN dan PAS.

Kini, YAB Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Menteri Besar yang berlatar belakangkan profesional merupakan seorang yang pakar dalam bidang kapal angkasa dan penerbangan memimpin negeri. Sekalipun beliau bukan seorang ulamak, ia satu bukti bahwa PAS tidak pernah mengkesampingkan golongan profesional yang turut dipilih memimpin negeri yang kaya sumber asli ini.

Hanya baru 50 hari Terengganu dipimpin oleh PAS, kerajaan pimpinan YAB Dr Shamsuri berjaya melaksanakan sebahagian daripada 20 manifesto PAS Terengganu pada PRU14 lalu.

Antara pencapaian tersebut:

1. Mengembalikan semula tanah rakyat yang dirampas zaman pemerintahan BN
2. Menganugerahkan lot tanah kediaman untuk pasangan baru kahwin
3. Karnival kahwin percuma bagi meringankan beban rakyat dan galakkan berumahtangga
4. Air percuma 20 meter padu untuk golongan miskin
5. Menghapuskan cukai pintu kediaman

Insya Allah tidak lama lagi semua janji manifesto akan disempurnakan oleh kepimpinan YAB Dr Samsuri.

Maka ini adalah satu gambaran jelas bahawa propaganda dogma dan persepsi melalui dakyah "orang kafir yang Jujur lebih baik daripada Muslim yang korup" perlu dibuang sejauhnya dan jangan lagi dimomokkan dalam pemikiran rakyat negara ini dan umat Islam khasnya.

Di negara ini bukan ada dua pilihan sahaja samada di antara Umno-BN dan PH, tetapi di tengahnya PAS yang mampu menterjemahkan Islam sebagai ad-deen dalam kehidupan bernegara dan masyarakat dengan lebih baik sebagai bukti adanya Muslim Beriman Yang Jujur, Beramanah, Telus dan Cekap.

Ayuh rakyat Malaysia yang bijak, kita kembalikan Islam yang pernah menguruskan kehidupan manusia dengan hebat sebelum ini.

Islam Adalah Penyelesaian Terbaik
Sejahtera Bersama Islam

Muhammad Najhan Halim
Setiausaha Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor/Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat
6 Julai 2018/23 Syawal 1439 – HARAKAHDAILY 6/7/2018

DALAM kemeriahan umat Islam menyambut Syawal, masyarakat turut dikejutkan dengan pelbagai berita menyedihkan seperti bayi yang dicampak dari tingkat dua serta kes rogol anak yang melibatkan ayah tirinya sendiri.

Anak merupakan kurniaan serta amanah Ilahi. Atas alasan apa sekalipun, amanah ini perlu dijaga sebaik mungkin dan dididik menjadi generasi masa depan yang cemerlang.

Menurut rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 115 kes buang bayi dilaporkan tahun lepas sepanjang 2017 dengan negeri Selangor mencatatkan kes tertinggi.

Statistik yang dikeluarkan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Seksual Wanita dan Kanak-Kanak, Polis Diraja Malaysia Bukit Aman mendedahkan bahawa 89 peratus jenayah rogol di seluruh negara berlaku dalam rumah dan perogolnya dikenali mangsa sendiri.

Dewan Muslimat PAS Malaysia memandang berat terhadap realiti isu masalah sosial yang semakin membimbangkan ini.

Islam menawarkan solusi terhadap permasalahan yang berlaku dengan mengubati dari akar sebelum menjalar serta mencegah sejak awal. Penerapan nilai-nilai Islam dan pengamalan cara hidup Islam secara menyeluruh serta tidak hanya ritual, mampu mendidik masyarakat dengan perilaku yang baik, bertanggungjawab serta memelihara batasan individu.

"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya." [Maksud Q:S. An-Nisa': 59]

Selain itu, semua pihak juga perlu bergerak secara holistik termasuk kementerian yang terlibat, badan-badan bukan kerajaan (NGO), di samping peranan ibu bapa serta guru yang membentuk acuan anak-anak. Pembentukan institusi keluarga yang menitikberatkan keseimbangan sahsiah serta didikan agama juga perlu diberi perhatian.

Dasar sistem pendidikan negara turut perlu disemak agar wawasan melahirkan generasi masa depan yang cemerlang akademik juga perlu seiring dengan kecemerlangan akhlak dan sahsiah diri.

Nuridah Mohd Salleh
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
29 Jun 2018 / 15 Syawal 1439 – HARAKAHDAILY 29/6/2018

MALAYSIA pasca PRU14 kelihatan semakin bersinar. Sebelumnya agak malap dengan keghairahan rakyat mengecam kerajaan lama yang seperti sudah putus teraju untuk mengawal kemurungan hidup rakyat.

Kini, selepas kerajaan baru dibentuk, negara kembali segar dan rancak. Rakyat di mana-mana sahaja begitu bersemangat untuk membina semula negara. Betullah, Wawasan 2020 semakin ghuyub ketika ia menghampiri garis hujungnya. TN50 nampaknya berkubur awal. Kini adalah Malaysia Baru.

Kalimat cinta negara kembali mengaum. Semangat patriotik sedang ditanam sungguh-sungguh oleh kerajaan baru agar rakyat seluruhnya menyokong pembinaan semula negara. Atau, dengan lebih tepat, menyokong negara yang akan dibina mengikut neraca dan acuan kerajaan PH yang baru.

PAS yang akan beraksi sebagai sebuah parti pembangkang yang kuat kepada kerajaan baru ini pastinya diperhatikan gerak tindaknya sedari awal. Apa sikap dan pendirian PAS dengan perubahan-perubahan yang sedang diusahakan oleh parti pemerintah. Bagaimana PAS menafsirkan erti cinta pada negara?

Adalah elok jika kita melihat kepada pandangan umum Islam terhadap erti cintakan negara. Umum mengetahui bahawa cintakan negara adalah satu pengajaran agama selepas ianya adalah satu fitrah semulajadi setiap insan. Bagaimana cinta pada negara itu dikembangkan oleh agama?

Tiga ketandaan utama

Pada saat manusia dilahirkan, ketandaan pertama pada dirinya adalah sifat kemakhlukan dan kejadiannya. Dia adalah makhluk ciptaan Allah. Tanpa kehendak Allah, dia tiada di dunia ini. Kosong.

Selepas itu adalah ketandaan kedua iaitu sifat keanakan dan kelahirannya. Dia adalah seorang anak kepada ibu bapanya. Tanpa ibu, dia tidak akan lahir di dunia ini. Ibu adalah kehendak Allah untuk kelahiran setiap manusia.

Kemudian datang ketandaan ketiga iaitu tanah tumpah darahnya. Manusia akan hidup di tanah kelahirannya walaupun bumi ini luas terbentang. Dia perlukan jaminan keselamatan dan kesejahteraan untuk hidup bebas di bumi ini. Di situlah rezeki, umur, kehidupan dan masa depannya terjamin.

Justeru kewajiban pertama manusia adalah meneguhkan hubungannya dengan penciptanya iaitu Allah. Dia sesekali tidak boleh putus hubungan dengan Allah. Jika tidak, kehidupannya adalah bagai sebuah pemberontakan terhadap alam raya ini yang tunduk sujud sepenuhnya kepada Allah Rabbul Jalil. Dia terasing terbuang dalam hidupnya.

Kedudukan para rasul

Tetapi, oleh kerana kejahilan manusia telah menghalang mereka untuk berhubung dengan Allah, maka kehadiran para rasul alaihimussalam adalah amat penting. Para rasul bertugas sebagai tali hubung yang memberi ilmu pengetahuan agar manusia mengenali, seterusnya tunduk menyembah Allah.

Justeru selepas Allah, ketaatan kepada al Rasul adalah mendahului ibu bapa yang melahirkan. Nikmat beragama Islam yang menjadi satu-satunya agama yang diredhai oleh Allah adalah sumbangan besar al Rasul yang tidak mampu dikurniakan oleh para ibu yang melahirkan. Walau bagaimanapun, hubungan seorang anak dengan ibu bapa adalah begitu mendasari. Islam mengangkat darjat ibu bapa di tempatnya yang tertinggi selepas Allah dan al Rasul.

Tanah air adalah nikmat Allah. Manusia pada hari pertama dilahirkan adalah anak kecil yang begitu daif. Ketika dia membesar dan semakin gagah, dia akan tetap juga mendapati betapa dia terlalu lemah untuk berhadapan kehidupan di dunia yang penuh kekerasan dan kejahatan. Justeru dia memerlukan kekuatan yang lebih besar daripada ibu bapa demi menjaga keselamatan dirinya.

Itulah tanah airnya. Itulah negaranya yang memberinya kewarganegaraan yang bererti satu jaminan keselamatan untuknya hidup aman dan terhindar daripada sebarang keburukan. Dengan adanya kewarganegaraan yang menjamin keselamatannya, dia boleh hidup mencari rezeki dan membina kehidupan dengan selamat di mana-mana sahaja yang dimahunya.

Keutamaan cinta

Maka dengan tertib di atas, adalah nyata perlanggaran mereka yang meletakkan cinta pada tanah air mengatasi cinta mereka kepada Allah dan Rasul-Nya. Begitu juga jika cintanya kepada tanah air mengatasi cintanya kepada ibu bapanya. Di mana tanah air tanpa ibu yang melahirkan?

Di dalam Islam, kejahatan pertama adalah syirik kepada Allah. Begitulah kejahatan-kejahatan seterusnya adalah diukur berdasarkan darjat ketinggian sesuatu itu di sisi Allah. Apa yang besar di sisi Allah, maka mestilah besar juga di sisi kita sebagai makhluknya.

Justeru adalah malang sekali kehidupan mereka yang cintanya berterabur mengikut nafsunya sendiri. Dia melanggar tata susila kehidupan yang pasti. Walaupun kelihatan bahagia, hakikatnya adalah kecelakaan yang menantinya di hujung nanti. Itulah kerugian terbesar hidup manusia.

Apabila anda memahami ini, maka adalah nyata betapa besarnya erti cintakan tanah air. Selepas Allah sebagai tuhan pencipta, kita adalah ibu kita, bumi tempat kita dilahirkan dan tempat kita mencari rezeki. Itulah sunnah Allah yang tetap.

Cinta al Rasul pada Mekah dan Madinah

Ketika RasuluLlah berhijrah meninggalkan kota Mekah, saat keluar dari tanah haram, baginda berpaling menghadap muka ke negeri tanah tumpah darahnya lalu mengalunkan bait-bait cinta rindu memuji kota Mekah. Begitu juga, diriwayatkan betapa baginda apabila mendengar berita mengenai Mekah, akan tampaklah riak rindu di wajah baginda kepada bumi Mekah.

Begitu juga, setiap kali pulang ke kota Madinah daripada medan jihad, saat memasuki sempadan Madinah, baginda akan melayangkan pandangannya ke ufuk Madinah sambil memegang kenderaannya tanda kerinduan dan kegembiraan dapat kembali ke tanah air tempat perjuangannya bersemi.

Negara adalah tempat terjaminnya keselamatan diri dan kehidupan. Oleh kerana Islam mengajar bahawa hidup ini adalah untuk Allah, maka keselamatan agama adalah di tempat pertama. Seorang muslim mestilah mempertahankan agamanya mengatasi segalanya.

Tanah air sebagai matlamat khilafah

Oleh kerana agama Islam dengan matlamat besar kekhalifahan manusia di muka bumi yang menjunjung Islam sebagai 'addeen' dan satu cara hidup yang mesti ditegakkan, maka wujudnya tanah air atau negara untuk Islam adalah satu kewajiban. Negara sifatnya adalah sebagai pengawal yang menjaga agama Islam. Tanpanya, matlamat kekhalifahan adalah terbengkalai.

Justeru cinta negara adalah selari dengan ajaran Islam. Ia terkandung sebagai misi ke arah menegakkan agama. Apabila cinta negara itu diikat dengan cinta pada diri dan agama, maka ia adalah cinta yang benar dan disyarakkan.

Sepertilah anda mencintai ibu bapa. Jika cinta itu adalah semulajadi dan tanpa diikat dengan kewajiban agama, maka ia adalah tanpa pahala. Bahkan jika ibu bapa menyeru kepada anti agama, maka mentaati mereka adalah terlarang dan haram walaupun cinta semulajadi itu adalah kekal dan disuruh.

Ta'assub dan ekstrimisme

Begitulah cinta pada negara. Ia adalah cinta semulajadi yang bersemi di hari pertama kelahiran anda di dunia. Tetapi cinta kepada negara mestilah dalam kerangka cinta agama. Negara adalah demi kedaulatan agama. Jika tidak, sifat kesemulajadian cinta negara adalah kosong tanpa pahala.

Bahkan acap kita melihat kecintaan melampau terhadap negara tanpa kepentingan agama. Ia telah bertukar menjadi satu perkara yang terlarang oleh agama. Ia adalah budaya ta'assub dan ekstrimisme yang terlarang. Saat itu, cinta pada negara adalah salah dan wajib ke atas setiap muslim untuk menarik diri daripadanya.

Hadis 'Hubbul watani minal iman' yang bermaksud 'Cintakan tanah air adalah sebahagian daripada iman' adalah hadis palsu (maudhu'). Walaupun sebahagian ulamak membenarkan maknanya, tetapi mereka mengikatnya dengan kepatuhan kepada syariat. Ertinya tiada kemutlakan bahawa cintakan negara adalah iman.

Sikap PAS

Pasca PRU14 adalah getir dengan jalan-jalan berliku membina Malaysia Baru. PAS mengambil sikap yang jelas bahawa pembinaan negara yang tunduk kepada agama adalah satu kewajiban. PAS akan terus menyumbang kepada kemajuan negara dengan jalan-jalan hidayat yang diredhai oleh Allah.

Sudah pasti ia akan berhadapan tentangan daripada mereka yang merancang untuk menjauhkan agama daripada negara. Wujudnya kumpulan sekularis liberal adalah nyata. Perseteruan mereka terhadap agama, apatah pejuangnya adalah nyata. Di tengah-tengahnya adalah pembantu masing-masing dan mangsa yang tumbang tanpa sedar.

Tipu daya adalah dunia persaingan. Cinta pada negara adalah milik semulajadi semua rakyat. Ia perlu dipupuk ke arah kesejahteraan dunia dan akhirat. Jika tidak, ia akan kerugian yang nyata. Semoga Allah bersama para pejuang-Nya yang ikhlas dan benar. - HARAKAHDAILY 6/6/2018

MEREKA bertanya, mana baik antara muslim yang korup dengan non-muslim yang baik?

Saya jawab, buang muslim yang korup dan pilihlah muslim yang baik. Pilihlah juga non muslim yang baik dan letakkan mereka semua pada tempatnya yang adil.

Antara keburukan ialah paksaan untuk memilih di antara muslim yang korup dengan non muslim yang baik. Begitulah sebaliknya. Pilihan hanyalah di antara yang baik. Jika terpaksa di antara dua yang mudarat dan buruk, pilihlah yang lebih ringan di antara keduanya.

Di dunia ini, siapa pun, tiada tempat untuk mereka yang korup dan jahat kecuali turun ke bawah atau diturunkan.

Ya, muslim dan non muslim adalah berbeza. Tetapi persamaan kekal persamaan. Keadilan adalah keadilan. Allah tidak membezakan di antara manusia di dunia ini. Kebaikan duniawi adalah milik bersama. Kebaikan di akhirat hanyalah milik muslim yang beriman.

Mengapa? Kerana di sana nanti, kita tiada lagi diberi hak usaha dan pilihan oleh-Nya sebagaimana di dunia. Di sana adalah milik-Nya sepenuhnya. Di sana, Dia-lah yang memilih, bukan lagi kita. Dia hanya akan memilih untuk syurga-Nya orang-orang yang beriman kepada-Nya di dunia ini.

Justeru selamatkanlah akhirat anda dengan menjaga hak agama Allah di dunia ini. Jagalah Allah dengan menjaga agama-Nya. Jika tidak anda, Allah pasti memilih orang lain untuk menjaga agama-Nya. Jika begitu, bahagian anda di akhirat nanti adalah kemalangan dan kesesiaan.

فَقَالُوا عَلَى اللَّهِ تَوَكَّلْنَا رَبَّنَا لَا تَجْعَلْنَا فِتْنَةً لِّلْقَوْمِ الظَّالِمِينَ (85)وَنَجِّنَا بِرَحْمَتِكَ مِنَ الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ (86)

"Maka mereka (kaum Musa) berkata: Kepada Allah-lah kami bertawakkal. Wahai tuhan kami, janganlah Engkau jadikan kami fitnah (sebab kekufuran) bagi kaum yang zalim. Dan bebaskanlah kami dengan rahmat-Mu daripada kaum yang kufur." (Surah Yunus: 85-86)

#Istiqamah
#PeguamNegaraUntukMuslim

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
Ahli Parlimen Bachok

Badar al-Kubra: Saksi kekuatan ummah

Firman Allah SWT:

{وَلَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ بِبَدْرٍ وَأَنْتُمْ أَذِلَّةٌ ۖ فَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ}

“Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).” [Aali Imran: 123]

Ramadhan yang sinonim dengan pensyariatan berpuasa mempunyai banyak pengajaran ke atas umat Islam dalam membina nilai taqwa dan kekuatan. Madrasah Ramadhan yang dilalui bukanlah sebagai alasan untuk lesu dan tidak produktif. Namun, fakta sejarah menunjukkan Ramadhan adalah bulan umat Islam mencapai kejayaan dengan kekuatan yang luar biasa sebagaimana dalam peperangan Badar al-Kubra yang berlaku pada bulan Ramadhan tahun ke-2 Hijrah.

Jika kita soroti kembali sirah peperangan Badar al-Kubra, maka didapati tentera Islam berada dalam keadaan serba kekurangan sama ada daripada sudut bilangan dan persiapan alat perang. Di sinilah Allah SWT mengingatkan umat Islam bahawa nusrah kemenangan itu hanya datang dengan bantuan Allah SWT.

Puasa pada hakikatnya, menjadi sumber kekuatan kepada umat Islam. Malah dalam persiapan menuju ke medan peperangan Badar al-Kubra, para sahabat menunjukkan keyakinan serta kepatuhan mereka kepada Rasulullah SAW. Antara ucapan Sa'ad bin Muadz RA pada ketika itu:

«فَقَدْ آمَنَّا بِكَ وَصَدَّقْنَاكَ، وَشَهِدْنَا أَنَّ مَا جِئْتَ بِهِ هُوَ الْحَقُّ، وَأَعْطَيْنَاكَ عَلَى ذَلِكَ عهودَنا وَمَوَاثِيقَنَا، عَلَى السَّمْعِ وَالطَّاعَةِ، فَامْضِ يَا رَسُولَ اللَّهِ لِمَا أَرَدْتَ فَنَحْنُ مَعَكَ، فَوَاَلَّذِي بَعَثَكَ بِالْحَقِّ، لَوْ اسْتَعْرَضْتَ بِنَا هَذَا الْبَحْرَ فخُضته لَخُضْنَاهُ مَعَكَ، مَا تخلَّف مِنَّا رَجُلٌ وَاحِدٌ ...»

“Maka sesungguhnya, kami telah beriman kepadamu dan membenarkan segala perjuanganmu, dan kami saksikan bahawa apa yang kamu bawa itu adalah benar. Untuk itu, kami telah ikatkan janji dan padukan kesetiaan kami. Maka majulah wahai Rasulullah, laksanakan apa yang kamu kehendaki dan kami akan pasti bersamamu. Maka, demi yang telah mengutus kamu membawa kebenaran, sekiranya kamu membawa kami menerjuni dan mangharungi lautan ini, akan kami terjuni dan harungi bersama, tidak akan ada seorang pun daripada kalangan kami yang akan berpaling.”

Sehubungan itu, berpuasa di bulan Ramadhan sebenarnya mendidik ummah untuk bersabar dan membina kekuatan jatidiri. Sifat sabar inilah menunjukkan nilai kebergantungan kepada Allah SWT sepenuhnya. Dengan kesabaran ini, pertolongan Allah SWT akan mendampingi umat Islam. Dalam peperangan Badar al-Kubra, kesabaran yang ditunjukkan oleh para sahabat itulah antara asbab besar datangnya bantuan tentera Malaikat dalam berhadapan dengan tentera musyrikin.

Allah SWT berfirman:

{إِذْ تَقُولُ لِلْمُؤْمِنِينَ أَلَنْ يَكْفِيَكُمْ أَنْ يُمِدَّكُمْ رَبُّكُمْ بِثَلَاثَةِ آلَافٍ مِنَ الْمَلَائِكَةِ مُنْزَلِينَ • بَلَىٰ ۚ إِنْ تَصْبِرُوا وَتَتَّقُوا وَيَأْتُوكُمْ مِنْ فَوْرِهِمْ هَٰذَا يُمْدِدْكُمْ رَبُّكُمْ بِخَمْسَةِ آلَافٍ مِنَ الْمَلَائِكَةِ مُسَوِّمِينَ}

“(Ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang-orang yang beriman (untuk menguatkan semangat mereka): "Tidakkah cukup bagi kamu, bahawa Allah membantu kamu dengan tiga ribu tentera daripada Malaikat yang diturunkan?," Bahkan, jika kamu bersabar dan bertaqwa dan mereka datang menyerang kamu dengan serta-merta, nescaya Allah membantu kamu dengan lima ribu Malaikat yang mempunyai tanda masing-masing.” [Aali Imran: 124-125]

Sesungguhnya Ramadhan menerusi peristiwa Badar al-Kubra menjadi saksi ke atas kekuataan ummah. Kekuatan ini bukanlah lahir semata-mata dengan makan minum. Walaupun secara fitrahnya makan dan minum adalah sumber tenaga bagi manusia, namun hakikat kekuatan adalah datang dari Allah SWT.

Justeru, untuk bekerja dan berjuang memerlukan kekuatan keimanan yang utuh. Tambahlah kekuatan iman untuk memperjuangkan kebangkitan Islam di negara kita. Sesungguhnya, kejayaan era awal pembinaan Negara Islam di Madinah adalah dengan kebangkitan atas dasar keimanan dan bukannya atas dasar kebencian dan dendam kesumat. Kita ingin membina negara kita dengan kesejahteraan hakiki tanpa meninggalkan jahiliah yang merosakkan tuntutan Islam.

“Sejahtera Bersama Islam”
“Membina Negara Sejahtera”

USTAZ DATO' DR. HAJI MAHFODZ MOHAMED
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
16 Ramadhan 1439H / 1 Jun 2018 (Jumaat) – HARAKAHDAILY 1/6/2018

MEREALISASIKAN Ramadhan Al Mubarak sebagai “Bulan Jihad atau Bulan Perjuangan” maka PAS Pusat melalui Lajnah Penerangannya telah menganjurkan Himpunan Badar Al Kubra serentak di seluruh negara pada tanggal 1 Jun 2018 ini. (Beberapa negeri pada 3 Jun 2018)

Himpunan tersebut bertemakan “Pengukuhan Perjuangan Islam di Malaysia”. Ianya dianjurkan untuk memugar semangat juang saf kepimpinan dan jentera parti serta turut terbuka kepada orang ramai untuk bersama dengan perjuangan Islam yang diperjuangkan oleh PAS. 

Pasca PRU14 tentu sahaja meninggalkan pelbagai persoalan dan pengalaman yang perlu diteliti serta diperhalusi oleh pihak PAS. Justeru Himpunan Badar Al Kubra ini pasti sahaja akan menjadi satu medan ahli dan orang ramai mendapatkan sudut pandang terkini dari kepimpinan PAS.

Himpunan ini dianjurkan serentak di setiap negeri. Ahli PAS dan orang ramai boleh merujuk kepada promosi dan sebaran oleh PAS di peringkat negeri masing-masing.

Bukan sahaja maklumat terkini, bahkan ia diperkaya dengan motivasi perjuangan sempena menghayati Peristiwa Badar Al Kubra, lantaran itu pihak PAS juga akan membuka Kaunter Pendaftaran Ahli PAS pada majlis himpunan tersebut.

Sebarang pertanyaan lanjut mengenai lokasi dan aktiviti Himpunan Badar Al Kubra ini, anda boleh hubungi sekretariat Lajnah Penerangan PAS Pusat menerusi aplikasi WhatsApp ke talian : ‭019 354 0512‬ (Sdr Eidit)

Sejahtera Bersama Islam

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
14 Ramadhan 1439 / 30 Mei 2018 – HARAKAHDAILY 30/5/2018

BERIBADATLAH di bulan Ramadhan yang penuh keberkatan dan perbanyakkanlah amal soleh. Allah menjanjikan ganjaran terbaik melalui ibadah Ramadhan untuk umat nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam yang dipilih-Nya sebagai umat terbaik.

Tetapi, mari bertafakkur sebentar pada sabda junjungan besar al Rasul dalam hadisnya yang sahih:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ " رواه البخاري 38 ومسلم 760

"Barang siapa yang berpuasa Ramadhan dengan iman dan ihtisab (ikhlas mengharap ganjaran-Nya), maka diampunkan baginya segala dosanya yang lampau."

Ia adalah peringatan yang nyata daripada al Rasul bahawa ibadah puasa (begitulah juga segala amal soleh) mestilah melepasi dua syarat utama:

Pertama, iman yang benar kepada Allah dan segala arahan dan larangan-Nya.

Kedua, ikhlas hati kepada-Nya dengan melakukan ibadah hanya kerana mengharapkan redha dan balasan daripada-Nya, bukan kerana riya' atau apa-apa kepentingan duniawi.

Untuk menjamin keberkesanan ibadah itu seperti yang dijanjikan-Nya, dipertegaskan syarat seterusnya iaitu:

Ketiga, menjauhi dosa besar. Ini dinaskan dalam hadis-hadis lain. Dosa besar hanya terhapus dengan taubat. Tanpa taubat, segala ibadah akan tertolak.

Bulan Ramadhan adalah bulan penyucian akidah. RasuluLlah memberi ingatan melalui hadis di atas bahawa segala amalan adalah terbatal jika seseorang muslim memiliki akidah yang rosak dan batil akibat kejahilan atau kedegilan sendiri yang enggan tunduk kepada ilmu agama.

Segala ibadah, walaupun besar pada zahirnya seperti puasa adalah sia-sia dan kosong jika sekira tidak menepati syarat asas beragama iaitu akidah yang sihat dan niat yang ikhlas.

Menjadi kewajiban bagi setiap muslim tetamu Ramadhan untuk sentiasa memperbaharui pegangan dan keyakinan dirinya dalam beragama agar sentiasa benar dan betul dengan ajaran Islam.

Islam adalah Islam Allah dan rasul-Nya, bukan Islam mengikut nafsu sendiri. Allah sentiasa memelihara agama-Nya dan para hamba-Nya yang beriman daripada ditipu oleh kejahatan manusia yang sombong.

Semoga Allah menerima amal soleh kita pada bulan penyucian akidah diri ini dan mengurniakan kita dengan ganjaran-Nya yang agung.

KITA bersama PAS kerana dasar Islam, bukan kerana pemimpin atau mana-mana individu. Jika PAS membuang dasar Islam, maka kita akan mengasingkan diri dengan PAS. Kita tidak bersama dengan parti lain, bukan kerana marah kepada pemimpin atau mana-mana individu dalam parti tersebut. Inilah penawar yang paling mujarab untuk istiqamah dalam perjuangan. Pemimpin boleh datang dan boleh pergi, tetapi perjuangan mesti diteruskan untuk mencapai cita-cita Islam.

Ini jalan kita, kita yakin dengan jalan kita. Jika orang lain yakin dengan jalan mereka, terpulanglah kepada diri masing-masing. Kita tidak boleh paksa. Panduan kita ialah ulama. Majoriti ulama dan Tuan Guru pondok bersama PAS. Mereka tidak ada kepentingan apa-apa dengan PAS. Apa yang diajar di pondok selari dengan apa yang diperjuangkan oleh PAS. Merekalah yang menjadi pembimbing dan panduan dalam gerak kerja PAS.

Biarpun musuh PAS hendak membuat tuduhan dan fitnah untuk menjarakkan PAS dengan masyarakat, terpulanglah kepada mereka. Kita tidak boleh halang mereka, mungkin mereka anggap ini kerja yang boleh memberatkan amal mereka, dan boleh meluaskan kubur mereka, sila teruskan. Semua amalan kita dan mereka akan dinilai di akhirat. Masing-masing akan dibangkit bersama amalan masing-masing. Waktu itu tidak ada siapa yang boleh berhujah dengan lidah. FB, twitter, instagram dan lain-lain lagi. Semuanya hancur bersama dengan alam. Inilah hari pengadilan sebenar. Tidak ada lagi persepsi dan emosi semuanya realiti.

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS
29 Mei 2018 – HARAKAHDAILY 29/5/2018