Awas 'Revolusi Warna'

All
Typography
EKORAN siri-siri provokasi yang mencabar sensitiviti umat Islam kebelakangan ini, seharusnya kita meneliti perkara sedang diagendakan oleh Amerika ke atas negara-negara sasaran mereka.
 
Globalisasi
 
Kita sedang melalui peperangan era baharu yang memungkinkan kuasa asing masuk secara terbuka ke dalam sesebuah negara. Amerika memainkan peranan itu demi melebarkan pengaruh ideologi dan budaya yang melibatkan kepentingannya. Antara ciri negara yang menjadi sasaran mereka adalah:
 
• Negara umat Islam
• Mempunyai sumber kekayaan yang banyak
• Kedudukan yang strategik
 
Color Revolution
 
Ia merupakan pendekatan yang dianggap paling murah dan kurang berisiko ke atas negara pemain (baca Amerika). Pada masa yang sama mudah memanipulasi massa dengan kempen yang ‘trendy’. Anasir-anasir Amerika bebas masuk ke negara sasaran mereka atas nama demokrasi.
 
Sementara itu, keseragaman warna dijadikan sebagai simbol kempen mereka. Seterusnya menampakkan ramainya pengikut mereka apabila yang berhimpun semuanya seragam mengenakan pakaian berwarna sama.
 
Lantas lahirlah komuniti masyarakat yang berkiblatkan Amerika. Jika berbicara soal hak, kebebasan, gaya hidup maju, politik dan ekonomi, maka Amerikalah yang menjadi qudwah mereka.
 
Mereka hilang akal dengan melupakan bahawa Amerikalah yang bertanggungjawab menceroboh negara umat Islam dan membunuh umat Islam atas pertuduhan yang direka-reka.
 
Dana dan Latihan
 
Dalang projek Revolusi Warna tidak perlu turun ke lapangan rakyat. Sebaliknya mereka hanya perlu menyuntik dana serta latihan kepada entiti-entiti masyarakat yang dilihat berpotensi dan berpengaruh.
 
Prospek utama projek ini adalah anak muda, memandangkan anak muda adalah golongan yang bersemangat, vokal, jarang berfikir panjang dan mudah diperalatkan. Seterusnya NGO-NGO dan parti-parti politik.
 
Di sinilah kita akan bertemu dengan badan-badan yang berperanan memasarkan dasar Amerika. Seperti NED (National Endowment Of Democracy) yang terang-terangan menyatakan di laman webnya tentang aktiviti pembiayaan ke atas beberapa NGO di serata dunia termasuklah Malaysia.
 
Selain dari itu, badan seperti International Republican Institute (IRI), International Democratic Institute (IDI) dan International Centre Of Non Violent Conflict (ICNC) turut memainkan peranan.
 
Hangat juga diperbahaskan dalam wacana-wacana Barat, bahawa Revolusi Warna didalangi oleh George Soros yang menyediakan dana yang banyak kepada proksi-proksi Amerika.
 
Pendekatan
 
Tipikal gaya mereka beroperasi adalah dengan memanipulasi slogan rakyat. Seolah-olah agenda mereka disokong oleh keseluruhan rakyat. Seterusnya diangkat slogan-slogan yang simplistik, agar mudah meraih sokongan orang ramai yang malas berfikir. Mereka mencipta arus.
 
Walaupun tidak menggunakan kekerasan fizikal, tetapi gemar mengaplikasikan kaedah provokasi atas alasan ia adalah ekspresi kekecewaan terhadap diskriminasi yang sedang berlaku. Lantas mewujudkan kekacauan dalam pelbagai bentuk.
 
Ini semua dibuat demi mewujudkan senario yang serba tidak stabil dalam negara. Terhasillah sikap totalitarian versi ‘golongan tertindas’. Sesiapa yang tidak bersetuju dengan mereka akan dinaratifkan sebagai tidak demokratik lagi membelakangkan kemahuan ‘rakyat’.
 
Ditambah lagi dengan propaganda media baharu yang turut menerima dana dari luar, mengolah sokongan kelihatan amat organik. Sedangkan ia hanyalah propaganda yang boleh direka.
 
Warna Yang Sinonim
 
Mereka menggunakan warna sebagai syiar identiti kempen yang dibawa. Kebanyakkan warna yang dipilih amat mudah dikaitkan dengan unsur-unsur baik, yang agak sukar dinegatifkan.
 
Sebagai contoh warna ungu yang sinonim dengan gerakan Feminisme. Perjuangan yang kononnya membebaskan wanita dari menjadi mangsa diskriminasi masyarakat tradisi. Tidak seperti merah jambu, warna ungu turut ‘ngam’ dipakai oleh lelaki.
 
Warna jingga pula sinonim dengan perjuangan Liberalisme yang cuba dijelmakan dengan nafas baharu. Seperti yang dipersembahkan oleh buku The Orange Book, Reclaiming Liberalism terbitan Liberal Democrats pada 2004.
 
Begitu juga bendera pelangi, merupakan lambang rasmi bagi gerakan LGBT seluruh dunia. Kita dapati kebelakangan ini, syarikat-syarikat gergasi mengambil langkah berani mempromosikan LGBT. Terdahulu syarikat kereta Honda, yang terkini pula syarikat minyak Shell. Mereka cuba memecah tembok agama dan tradisi ketimuran yang subur di Malaysia.
 
Normalisasi Gaya Hidup Haiwan
 
Siri-siri provokasi seperti yang kita saksikan pada hari ini adalah bertujuan untuk membiasakan masyarakat agar menerima budaya Barat yang serba songsang. Mereka tahu, pada peringkat awal pasti mendapat tentangan keras.
 
Proses ini akan diulang-ulang sehinggalah masyarakat kita lali. Maka ketika itulah, mereka bakal meraih kejayaan merosakkan generasi baharu yang sejak awal kelahiran telah melihat kempen songsang tajaan Amerika.
 
Kepekaan
 
Inilah antara sudut yang amat perlu diperhalusi oleh pemain-pemain politik agar tidak terjerat. Jika tidak berwaspada, permainan ‘Soft Power’ bawaan Amerika menyebabkan kita turut didorong untuk bersama menjayakan agenda asing mereka.
 
Topik ini bukan teori konspirasi, tetapi isu penting yang hangat dibincangkan dalam wacana politik dunia. Walaupun cukup terlambat, namun menyedarinya hari ini jauh lebih baik daripada terus merasa selesa seolah-olah musuh tidak berbuat apa-apa.
 
Padanlah Allah berpesan agar jangan mudah terpengaruh dengan slogan yang kelihatan baik, hakikatnya serba merosakkan:
 
“Apabila diseru kepada mereka, janganlah kamu melakukan kerosakan di atas muka bumi. Mereka menjawab “Sesungguhnya kamilah golongan reformis”. Ketahuilah sesungguhnya mereka golongan perosak, sedangkan mereka tidak sedar.” (al-Baqarah 11-12)
 
USTAZ ABDUL MU'IZZ MUHAMMAD
Ketua Urusan Ulamak
PAS Kawasan Klang