Melabur besar di Amerika berisiko tinggi, salah

All
Typography

KAMI berpendapat bahawa pendekatan PM Malaysia DS Najib terhadap mengukuhkan agenda ekonomi Amerika Syarikat (AS) adalah salah dan perlu diperbetulkan.

Mengetahui agenda dan sikap Donald Trump yang penuh kontroversi di AS itu sendiri, menawarkan pelaburan besar Malaysia di AS untuk mengukuhkan ekonomi negara itu tidak sepatutnya dilakukan.

AS kini mempunyai imej yang tidak baik di mata dunia. Trump berdepan kritikan yang masih kuat dari rakyat AS sendiri terhadap pelbagai dasar dan pengumuman yang beliau bangkitkan.

Ketidaktentuan polisi adalah antara ciri yang ditunjuk oleh Trump dan ini dizahirkan ramai penganalisis di AS sendiri. Pengerusi Rizab Persekutuan, Alan Greenspan sendiri mulai menyatakan kerisauan terhadap cara kepimpinan Trump yang akan memberi risiko kepada ekonomi AS.

Prinsip "rule of law" dalam ekonomi pasaran nampaknya goyah di bawah Trump.
Ucapan dan komen spontan President Donald Trump menimbulkan persoalan mengenai apakah beliau menghormati prinsip ini.

Setelah menyerang kehakiman mengenai larangan beliau keluar negara awal tahun ini, memecat pengarah FBI yang menyiasat kempen Trump dalam pilihan raya Presiden AS dan membuang Peguam Negara, penganalisis di AS mulai khuatir bahawa AS bakal menerima implikasi buruk dengan gaya kepimpinan Trump.

Dengan menunjukkan hubungan tegang dengan sistem keadilan di AS serta meningkatkan komitmennya di luar AS, beliau mendedahkan AS kepada sekurang-kurangnya dua risiko.
Pertama ialah keyakinan pelabur kepada AS. Kedudukan politik beliau yang maseh sarat dikelilingi krisis kepercayaan termasuk campur tangan anaknya dalam hubungan dengan Russia ketika piliharan raya Presiden AS.

Jelas, urusan ekonomi dan perkembangan politik di AS sukar diasingkan. Kejutan besar boleh sahaja berlaku kepada ekonomi AS akibat siasatan yang maseh berterusan melibatkan Russia dan kemenangan Trump dalam pilihan raya Presiden AS yang lalu.

Kedua, ialah status AS sebagai pemimpin ekonomi dunia mulai tergugat. Trump berdepan dengan kesangsian pemimpin-pemimpin ekonomi negara maju yang lain akibat beliau tidak menunjukkan komitmen yang jelas dalam pelbagai perjanjian antarabangsa yang dimenterai sebelum beliau menjadi Presiden.

Trump akan berhadapan dengan Kongres yang didominasi oleh Republikan sama ada tindakannya menutup siasatan terhadap Russia berkemungkinan dibantah oleh ahli partinya sendiri.

Ketidakstabilan politik dan dasar yang tidak konsisten akan menjejaskan pelaburan global. Robert Zoellick, bekas Presiden Bank Dunia dan ramai pengamat antarabangsa sangat khuatir dengan sikap dan arah berfikir Trump mengenai polisi ekonomi AS.

AS dilihat oleh dunia sekarang sebagai tidak konsisten, malah sedang berkrisis dengan sistem mahkamahnya, agensi inteligennya serta Jabatan Keadilan negara sendiri. Rakyat AS tidak tahu bagaimana hendak mengikuti perubahan yang dibawa oleh Trump.
Malah penganalisis ekonomi melihat ini sebagai suatu peluang untuk pesaing AS seperti China mengambil alih tempat AS.

AS yang dilihat selama ini sebagai kuasa terpenting untuk terlibat mengatasi pelbagai masalah global seperti keselamatan, kesihatan awam, perlindungan alam sekitar dan bantuan kemanusiaan kini menjadi tandatanya. Ini akan mengakibatkan kos kepada rakyat AS bila AS memporakperandakan ekonomi global.

Trump sudah sampai ujian tempoh satu tahun sebagai Presiden. Apakah Trump bersedia meningkatkan had hutang negara hujung tahun ini. Jika beliau gagal untuk berbuat demikian maka taraf kebolehpercayaan kredit AS akan terjejas dimata dunia dan golongan korporat di AS.
Kongres Republikan kini sudah memperlihat keberatan untuk mengambil langkah tersebut dan Rumah Putih nampaknya tidak mempunyai strategi yang jelas dalam isu tersebut. Isu tebesar ialah keupayaan AS membayar hutang dalam krisis ekonomi.

AS sekarang dilihat oleh dunia sebagai kuasa yang tidak lagi boleh dipercayai atau boleh disandar. AS kehilangan kepercayaan dari dunia dan dengan itu statusnya sekarang sangat goyah.

Dengan menemui bukti-bukti baru terhadap siasatan mengenai kempen Trump berkait dengan hubungan dengan Russia ketika kempen Presiden AS berlangsung, jelas, Presiden AS ini bakal berdepan dengan krisis kepercayaan yang besar terhadapnya. Dalam hal ini beliau membayangkan cara beliau menyelesaikan isu ini dalam twitternya "complete power to pardon" (kuasa penuh untuk mengampun).

Dalam kondisi semua ini, kami melihat pelaburan besar yang dilulus oleh PM untuk KWSP dan Khazanah menambah pelaburan di AS adalah tidak tepat. Mungkin beliau telah mendapat nasihat dari para pakar pelaburan untuk menawarkan cadangan Malaysia untuk memperkukuhkan ekonomi Amerika, namun dalam keadaan ekonomi negara sendiri tidak kukuh, apakah wajar Malaysia pula yang mahu membantu ekonomi Amerika.

Banyak nasihat pakar kepada PM seperti penubuhan beberapa agensi pelaburan sudahpun berdepan dengan krisis hutang yang besar.

Persoalan yang lebih besar ialah untuk apa wang awam seperti KWSP dan Khazanah dikeluarkan ke negara luar sedangkan negara sendiri sedang berada dalam keadaan defisit bajet yang kritikal.

MOHD AZMI ABDUL HAMID
Pengerusi Kongres Rakyat