PASCA PRU14, khususnya menjelang PRK Seri Setia tiada banyak keperluan bercakap tentang Umno terutama orang-orang politik yang bukan Umno. Apa lagi mempolitikkan Umno.

Jika orang bukan PAS hendak meluahkan geramnya kepada Umno biarkan. Tetapi orang PAS tidak perlu lagi menumpukan perhatian kapada Umno, kecuali menjelaskan jika ada pemimpin Umno membuat kenyataan tidak tepat tentang PAS. Itupun sekadar penjelasan. Bukan berpolitik seperti dahulu.

subkySelain dari Umno itu rakan sepembangkang, Umno sudah jadi sejarah dan biarlah Umno diserahkan kepada ahli sejarah dan orang akademik. Biar mereka bincangkan demi akademik.

Tidak nampak dalam waktu yang terdekat ini Umno boleh kembali berkuasa sekalipun pimpinannya nanti diambil oleh Khairy Jamaluddin, kecuali 90 peratus pengundi Cina dan India membuat pusingan U.

Jika ahli-ahli sejarah memerlukan pandangan PAS bagi melengkapkan kajian mereka, maka wajar beri kerjasama.

Bagi tujuan politik matang dan sejahtera dan memastikan PAS jadi parti politik masa depan, perhatian perlu ditumpukan kepada kerajaan Pakatan Harapan dan parti sekutunya.

Perhatian itu bagi memastikan wujud kerajaan yang sihat demi negara dan rakyat, dan sebagai pembangkang yang bertanggungjawab perlu Harapan dan kerajaan dikekang dari mengulangi kerosakan BN selama 60 tahun lalu.

Masa perlu ditumpukan ke situ.

Adapun yang ada selepas ini kita ambil yang positif saja. Terutama apabila dalam PRK Umno dan PAS tidak terlibat dalam tiga penjuru seperti di Seri Setia pada 8 September nanti.

Majlis Syura sudah menetapkan, elakkan pertandingan tiga penjuru. Biar satu lawan satu antara parti kerajaan dan pembangkang. Jika Umno bertanding, tidak perlu orang PAS kata sokong atau tidak sokong Umno. Katakan PAS selagi ia pembangkang adalah sentiasa bersama pembangkang dahulu dan akan datang.

Bila PAS tidak bertanding, undinya adalah untuk pembangkang.

Bila Umno tidak bertanding, kita percaya Umno tidak akan memberi undi kepada calon Harapan. Maka undi Umno dialu-alukan. Kerana kita bertanding untuk menang, maka undi Umno itu kita mahu.

Jangan ada pula penyokong PAS kata kita tidak perlu undi Umno. Kita alu-alukan jika pemimpin Umno datang membantu kempen. Cuma kalau Dato’ Seri Najib tidak perlu datang kerana pada masa ini dia adalah liabiliti.

Kecuali PRK itu di Kelantan dan Terengganu yang selamanya PAS bertanding di semua kerusi. Umno juga demikian. Payah difikirkan PAS dan Umno tidak berlawan sama sendiri.

Oleh kerana kita dapat mengagak secara tepat apakah Umno boleh bertahan lama? Untuk kembali berkuasa, suatu perkara yang payah, dalam suasana sebegini kita tidak perlu buat perkara yang boleh menjauhkan Umno dari PAS.

Banyakkan kerja yang boleh mendekatkan orang Umno kepada PAS. Apabila ia merasa ia tidak mahu terus dengan Umno, jangan ia memilih parti lain selain dari PAS. Rata-rata Umno getik dengan LGBT sedang Harapan mesra dengannya. Maka yang dekat di hati Umno ialah PAS, bukan Harapan.

Dalam keadaan yang ada, Umno seolah-olah tinggal satu anak tangga sahaja lagi untuk jadi PAS. Kata Tuan Guru Presiden PAS, ketika ada penyakit fobia Islam, masa ini jangan orang PAS fobia pula pada Umno.

Tiada untungnya berlawan dengan Umno sekarang, kerana lawan untuk bertukar kepada Pakatan Harapan. – HARAKAHDAILY 14/8/2018

MAKA berkata Datin Paduka Marina Cekdet, menghalalkan lesbian, gay, biseksual, transgender (LGBT) bukan demi mendapatkan hak nikah sejenis, tapi bagi mendapat hak rawatan yang saksama dan peluang pekerjaan yang seadilnya.

Adakah Marina faham itu saja yang dituntut oleh ciri jahiliah dunia barat yang sekarang ini mulai mendapat pengiktirafan di sesetengah negara?

Jahiliah kaum Nabi Lut yang hendak dikembangkan di Malaysia itu adalah ditiru dari jahiliah yang berkembang pesat di banyak wilayah jahiliah lain di dunia gara-gara latar belakang pengaruh kebudayaan Yahudi-Kristian yang kuat di barat.

Yahudi bukan sekadar hendak meruntuhkan akidah Islam, bahkan meruntuhkan agama Injil yang dibawa Nabi Isa al-Masih. Akidah Taurut yang dibawa Nabi Musa bagi kaum Bani Israil itu sendiri mereka selewengkan supaya dunia ini dicatur Yahudi saja.

Inilah mereka eksport ke Malaysia dan inilah yang agen mereka cuba import ke sini. Yang di sarangnya di Eropah dan Amerika mereka tidak terhalang untuk mendapat hak rawatan dan peluang pekerjaan kerana kebajikan sosial itu dijamin oleh kerajaan. Tidak perlu mereka adakah LGBT untuk dapat hak itu, tetapi yang majukan ialah hak nikah sejenis dan kelamin luar tabii itu.       

Jika sekadar itu yang Marina faham, dia telah dikeliru oleh penyebar jahiliah itu. Jika yang songsang itu diluluskan, nescaya Malaysia akan jadi syurga tabii kebinatangan itu.

Jika sekadar demi mendapatkan keadilan pekerjaan dan rawatan, apakah kerajaan 23 tahun PM Dr. Mahathir dulu dan kemudian diwariskannya kepada penggantinya tidak memberi keadilan kepada rakyatnya, sebaliknya menindas mereka?

Jika Mahathir zalim terhadap mereka, Marina yang tiada hijab antaranya dengan bapanya, tidak dapatkah membetulkan sikap bapanya terhadap golongan lembut dan jantan yang rakus agar dilayan seperti rakyat yang lain untuk mendapat rawatan dan pekerjaan.

Marina tentu boleh bantu mereka dapatkan peluang pekerjaan dan rawatan sekadar yang munasabah, tetapi bukan kerana LGBTnya. Justeru, pengangguran mula jadi masalah kerajaan, tetapi kenal orang atas ada yang boleh dibantu.

Mungkin layanan rawatan dan peluang dapat pekerjaan itu tidak sebaik negara kebajikan di barat, tetapi tidak wajar mereka diistimewakan dari rakyat lain dengan hak istimewa seperti hak istimewa orang Melayu dan penghuni istana. Orang Melayu ada hak istimewa pun tidak boleh dapat semua yang mereka mahu, maka tidak wajar mereka disetarafkan dengan anak-anak raja.

Bagi yang lembut, tidak sesuai dijadikan kerja berat di ladang sawit dan bengkel kerja yang memerlukan tenaga kuat yang dapat dipenuhi oleh laki-laki Bangla dan Indonesia. Tetapi banyak jurujual di pasar-pasar raya dan pembantu restoran yang diperlukan.

Jika graduan universiti sendiri terpaksa jadi penjual nasi lemak, tidaklah wajar LGBT diistimewakan justeru LGBTnya.

Mungkin Marina tidak arif agenda LGBT dunia jahiliah, atau dia dikelirukan oleh golongan itu, tetapi mereka tidak perlu ada golongan sendiri demi rawatan dan peluang pekerjaan.

Jika tuntuan itu ditolak, bukan kerana Islam hendak menghukum mereka, tetapi Islam ada hukuman dan hak menghukum.

Jika LGBT dikira satu penyakit sosial, mereka wajar dikumpulkan seperti kesalahan salah guna dadah dan orang runtuh akhlak sehingga pulih akhlaknya. Rawatan yang sesuai bagi penyakit jahiliah ialah Islam.

Jika pendekatan Islam belum berkesan, kerajaan baharu Mahathir sedang memulihkan institusi Islam, maka LGBT perlu dimasukkan dalam pemulihan itu. – HARAKAHDAILY 10/8/2018

TAKZIAH buat PKR dan Pakatan Harapan (PH) atas tiga kematian Adunnya di Selangor dalam masa kurang daripada 100 kemenangannya dalam PRU14.

Saya setuju dan simpati dengan kenyataan Dr. Wan Azizah yang menyifatkan tiga kematian Adun itu Mat Shuhaimi Shafie (Adun Sungai Kandis), Ng Tien Chee (Adun Balakong) dan Prof. Dr. Shaharudin Badaruddin (Adun Seri Setia) sebagai satu ujian besar kepada Pakatan Harapan.

Moga-moga sekalian kerabat parti itu tabah atas ujian itu.

Tetapi ada lagi ujian yang lebih besar dari tiga kematian itu buat semua, bukan sekadar warga PH, bahkan sekalian rakyat iaitu Perdana Menteri Dr. Mahathir menjadikan dirinya sebagai Pengerusi Khazanah. Malah ia ujian yang tidak terhingga buat diri Mahathir yang seusia 93 tahun itu.

Sekalian terkejut, mungkin isterinya sendiri dengan kejadian itu, kebanyakannya menerimanya sebagai suatu yang negatif.

Mungkin ada positifnya seperti kebaikan arak, tetapi sangkaan negatifnya lebih banyak. Apapun kebaikan sesuatu itu terletak pada doa seumumnya, tetapi reaksi spontan kebanyakan atas tindakan Perdana Meneri itu ia tidak elok. Jika reaksi spontan jadi doa semua, maka maksud doa yang tidak disengajakan itu tidak menggalakkan.

Tidak perlu disenaraikan satu persatu akan negatifnya, dorongan yang dialami oleh 1MDB yang jadi puaka skandal terbesar adalah gara-gara Perdana Menteri menjadi pengerusi badan pelaburan terpenting negara.

Mungkin semuanya tidak berniat buruk mengambil jawatan terbesar itu, tetapi ujiannya nescaya tidak terkendali apabila sesuatu amanah itu diminta, apa lagi bila ia diambil sendiri seperti Mahathir dengan Khazanah.

Antara yang memburukkan pentadbiran sebelum ini ialah Perdana Menteri menjadikannya Menteri Kewangan. Dua jawatan yang sepatutnya dijawat oleh dua orang, boleh menutup pintu selidik dan imbang bahkan membuka peluang PM jadi diktator atau separuh tirani.

Saya baca biografi Tun Abdullah Ayub, mantan KSN. PM Tun Razak bercadang menjadi Menteri Kewangan menggantikan Tun Tan Siew Sin. Sebagai pegawai kanan Perbendaharaan dinasihatkannya Perdana Menteri, jika Menteri Kewangan ada masalah, Perdana Menterilah tempat rujukan. Bila Menteri Kewangan itu PM, kepada siapa hendak merujuk? Tun Razak membatalkan hasratnya.

PM yang mula jadi Menteri Kewangan ialah Mahathir bagi menggantikan Tun Daim Zainuddin yang berundur. Diadakannya Menteri Kewangan kedua. PM selepasnya menyambungnya.

Islam tidak mahu seseorang jawatan beramanah. Dibimbangan dia tidak terkendali tanggungjajwabnya. Akan ada fitnahnya. Apabila amanah itu tidak dimohon, tetapi masyarakat mengamanahkannya, nescaya Allah limpah pertolongan ke atasnya. Umat berdoa, moga-moga pemegang amanah berjaya memikul amanah.

Warga Khazanah menangis apabila Tan Sri Azman Mokhtar menamatkan khidmatnya di Khazanah. Ini tanda dia disenangi di sebalik kelemahannya sebagai manusia. Jika keadilan diberi kepadanya, adalah hikmahnya. Jika berlaku kezaliman celakalah padahnya.

Umumnya Malaysia gembira Najib digantikan supaya wujud pemerintahan yang telus. Meskipun Mahathir dulu tidak 100 peratus telus tetapi melampau batasnya tidak seteruk yang digantikannya. Penampilan kali kedua ini selain boleh menampak kekurangan lampau, jangan mengulangi barang sedikit kesilapan.

Mungkin tindakan 100 harinya baik belaka dengan izin Allah. Tetapi dengan menjadi Pengerusi Khazanah boleh memadamkan kerja baik 100 harinya. Sebagai PM berpengalaman dan sementara, dia patut jadi contoh godfather yang menyenangkan penyokong dan penentang.

Mungkin ada kebaikannya bagi Khazanah. Setakat ini ujiian kepada semua khususnya Harapan lebih besar daripada tiga Adun yang pergi. - HARAKAHDAILY 9/8/2018

SAYUGIA bersyukur kepada Allah kerana membuka hati Umno memberi PAS bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Seri Setia, Selangor yang dikosongkan oleh kematian Adun PKR, Prof. Shaharudin Badarudin.

Ini adalah kali ketiga dalam sejarah 60 tahun Umno memberi laluan kepada PAS dalam pilihan raya. Pertama pada PRU 1974, justeru PAS adalah kerabat Barisan Nasional. Kedua PRK mengisi Dun yang dikosongkan oleh kematian Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

subkyPada PRU 1974 itu PAS bersatu dengan Umno. Dua PRK itu pula justeru Umno tidak makan cekak gara-gara kesan pimpinan lemah Datuk Najib.

PAS terima tawaran Umno itu kerana ijtihad Majlis Syura Ulamak selepas PRU14 mengelak pertandingan tiga penjuru yang melibatkan PAS, BN dan PH. Majlis Syura dipercayai akan mengadakan mesyuarat jika PRK berlaku di kawasan yang diwakili PAS dan di negeri yang PAS berkuasa sekalipun ia dikosongkan baik BN mahupun PH.

Kerana Umno memilih bertanding di Sungai Kandis, PAS menarik diri. Sikap itu sesuai dengan amalan PAS selama ini sentiasa bersama pembangkang. 60 tahun dulu Umno bukan pembangkang, maka PAS tidak bersamanya. Kali ini Umno pembangkang, maka harus PAS bersamanya.

PAS bersama pembangkang bukan suka sangat parti-parti berkenaan, tetapi ia boleh mengurangkan kekuatan dan pengaruh parti pemerintah. Jika ia boleh dilemahkan, maka ia mudah dikalahkan.

60 tahun Umno tidak dapat dikalahkan, berbagai kepincangan dan kerosakan dilakukannya. Jika PAS tidak bersama pembangkang di Sungai Kandis, ditakuti PH akan berkuasa sampai 60 tahun pula, maka akan menambah lebih banyak kerosakan.

Pembangkang yang kuat di Selangor atau di mana-mana saja boleh mengurangkan kerakusan kerajaan.

Sikap PAS di Sungai Kandis itu untuk PRK saja. Bagi PRU15 akan ditentukan masa itu. Ia tidak mesti sama.

Tetapi jika Umno menolak Sungai Kandis tentulah yang bertanding itu PAS. Seperti di PRK Seri Setia ini PAS terima tawaran itu dengan harapan pembangkang dapat dikuatkan di Selangor. Mungkin PAS tidak berjaya di Seri Setia seperti Sungai Kandis, tetapi ia mungkin menang dengan izin Allah. Tiada siapa tahu secara tepat masa akan datang selain Allah.

PAS setia dengan sikap sejak lebih 60 tahun, ia buat kerja. Yang memenangkannya Allah.

Dengan perkembangan terbaru Allah buka hati Umno untuk memberi laluan kepada PAS. Syukur kepada-Nya dan terima kasih pada Umno, kerana sikapnya itu PAS tidak perlu berlawan dengan banyak pihak. Ia dapat tumpukan urusan PH saja, moga-moga ia permulaan bagi menjadikan PAS pembangkang yang terkuat. Jika boleh biarlah ada satu parti pembangkang saja.

Laluan yang Umno beri itu berpeluang bagi PAS berdakwah politik di Seri Setia khususnya dan semua. PAS tidak seperti YADIM yang berdakwah saja. Tetapi ia berdakwah dan berpolitik. Tentunya ia dapat menggandakan dakwah kepada semua. Ia peluang terbaik berdakwah kepada Umno dan PH.

PAS bersama Pakatan dulu berserampang dua mata. Berpolitik dan berdakwah. Ia peluang terbaik berdakwah kepada DAP dan PKR. Percubaan itu gagal. Bukan DAP dapat didakwah, tetapi ia pula dapat dakyah di kalangan PAS.

Kegagalan itu tidak bererti gagal seterusnya. Peluang terbaik dapat bersama Umno, moga-moga dapat menambah dekatkan Umno kepada PAS. Kempen PAS nanti boleh jadi iklan bagi menjadikan Umno lebih banyak tahu tentang PAS. Dakwah politik kepada PH diteruskan juga. – HARAKAHDAILY 7/8/2018

MEMAHKAMAHKAN PM Najib betul. Menyelongkar misteri 1MDB betul. Memansuhkan GST pun betul. Apa kesan jangka pendeknya terpaksa dilalui tetapi setiap yang berhantu mesti hantunya dimasukkan ke dalam botol seperti jin zaman purba tersimpan dalam botol zaman purba.

Kerajaan Pakatan Harapan telah memerdekakan rakyat dan negara dari puaka yang berhantu itu. Berbulan madu sekaliannya justerunya.

Tetapi sekalian yang merdeka tadi boleh diserang angin ahmar apabila kerajaan PH bermain mata dengan UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu) yang seolah-olah pro Taiwan dan mengancam jiwa bahasa yang sudah separuh nyawa ikan itu. Pemuja Mahathir kata, PH tak gagal. Tetapi sekaliannya boleh masuk hospital.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim dimasukkan ke hospital luar negeri atas sakit yang diidap lama, tetapi jangan isu UEC itu dia tidak discaj atau dimasukkan semula ke wad.

Saya terharu atas aduan jasawan kementerian pendidikan tentang main mata menteri Maszlee Malik atas isu UEC yang berpuaka itu. Sekoman-koman menteri pelajaran Hishammuddin Hussein dulu memo itu tidak dibawa ke mejanya.

Saya sangsi aduan awam atas Maszlee yang sedang diuji itu. Tetapi saya ikut wacana Karangkrafnya di TV, saya rasa dia boleh meyakinkan politik UECnya, tidak seperti yang dibimbangkan oleh jasawan kementerian itu. Tetapi setiap yang bermain mata itu tetap berisiko.

Selepas itu saya terima persepsi umum, Maszlee konfiden bila tiada DAP. Bila didatangi DAP dia dikatakan longlai.

Wabak puaka UEC merebak HFMD tentang tangan, kaki dan mulut. Semua boleh dilanggar sakit jantung. Jangan itu pecah di perut ada perhimpunan ribuan di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. Ia dikuti oleh lambakan rencana terasa hampas dengan kerajaan PH yang belum disahkan gagal. Ia boleh menjadikan perlembagaan kosong dan satu bahasa mati meragam.

Semuanya menyimpulkan kerajaan BN menghampakan kerana takut kepada kaum saudagar. Tetapi kerajaan PH juga tidak dapat diharap. Perkembangan PH setakat ini masuk minggu kesepuluh sama hampas dengan kerajaan BN 60 tahun.

Bila-bila dua sama - dari sistem yang satu - mungkin itulah natijahnya memandang remeh kepada pihak yang ketiga yang menjadi pihak ketiga dalam lawanan tiga penjuru.

Menteri Maszlee melalui wacana di Karangkraf seolah-olah terhandal dari semua menteri pelajaran yang terdiri dari Khir Johari, Hamid Khan, Dr. Mahathir, Musa Hitam, Hussein Onn, Anwar Ibrahim, Abdulah Badawi, Najib, Hishammuddin Hussein, Muhyiddin Yassin dan Mahdzir Khalid. Bahasa Melayu akan diperkasa bersama Inggeris sebagaimana Inggeris itu perkasa di England.

Apabila PH dikatakan sehampas BN, yang menjadikan ia hampas iaitu Maszlee masuk bakul yang sama dengan semua mantan menteri pelajaran.

Dirasa dasar pelajaran itu hebat justeru menteri pelajaran yang pertama Tun Razak. Dia hebat dengan Penyata Razaknya dan ditambah kemas dengan Penyata Rahman Talib. Yang hebat hanya penyata dan dasar. Pelaksanaan tetap hampas.

Selepas 13 Mei 1969, Rahman Yaakub jadi menteri pelajaran. Disediakannya dasar satu bahasa pengantar di semua sekolah dari rendah hingga ke universiti. Tun Razak yang menggantikan Tunku ragu bukan Melayu akan menghantar anak sekolah luar negeri.

Dia minta Rahman Yaakub menangguhkan. Berapa ramai mampu hantar anak sekolah rendah luar negeri. Rahman Yaakub tidak berganjak. Menangis siswa bila Rahman dihantar balik ke Sarawak. Mereka usir dari kampus Hussein Onn yang menggantikan menteri pelajaran.

Sekolah satu bahasa terkubur. Tun Razak rupanya nasionalis separuh masak juga. - HARAKAHDAILY 5/8/2018

KERAJAAN BN/Umno sudah dibuang dan Kerajaan Pusat sudah tidak ada kerajaan atas kerajaan lagi di Kelantan. Sekalipun Umno tidak memerintah Kelantan, tetapi ia ada anggota parlimen dan Adun di Kelantan.

Maka dengan benih-benih Umno itulah BN membentuk Kerajaan Pusat atas Kerajaan Kelantan bagi mengurus urusan Kerajaan Pusat di Kelantan. Apa jua peruntukan dan jabatan persekutuan di Kelantan dikecualikan dari Kerajaan Kelantan sedang di negeri-negeri yang diperintah BN tidak semestinya ditangani secara menangani Kelantan.

Kuasa itu dikira sebagai wujudnya kerajaan atas kerajaan.

Sekarang kerajaan Harapan tidak ada apa-apa di Kelantan. Adun tak ada, MP pun tidak ada. Adakah Kelantan itu dibiarkan saja kepada kebijaksanaan Kerajaan Kelantan atau Kerajaan Pusat wujudkan pula adakan juga satu sistem menyambung sistem Umno dulu dengan menyerahkan bantuan dan peruntukan ke Kelantan kepada urusan parti Harapan Kelantan?

Antara yang Harapan Kelantan bernafsu besar moga-moga ia diperkenan PM Dr. Mahathir ialah pemberian 5 peratus royalti petrol/gas kepada negeri itu yang persetujuan pada dasarnya terkandung dalam manifesto Harapan.

Selamanya Umno dan Mahathir tiada sebarang takwil atas hak royalti kepada Terengganu dulu hinggalah Terengganu ditadbir PAS tahun 2000. Atas nafsu dan hasutan Umno Terengganu, Mahathir setuju merampasnya dari Kerajaan Terengganu.

Ada tanda-tanda Harapan Kelantan menghasut Perdana Menterinya, orang yang sama merampas royalti Terengganu itu dulu menyekat hak itu diserahkan kepada Kerajaan Kelantan. Jika Mahathir itu Mahathir dulu juga kalis reformasi dan kalis transformasi, maka sistem Umno yang sudah dibuang oleh rakyat itu akan diteruskan dan diserahkan kepada pemimpin Harapan Kelantan.

PAS menolak jemputan Mahathir untuk menumbang Najib pra PRU14 dulu, kerana PAS bukan sekadar untuk membuang orang tetapi membuang sistem. Orang dan parti yang beramal negatif itu sudah dibuang, sistemnya mahu diteruskan.

Bagai yang dipercayai, yang bertukar orang dan parti, sistem pakai yang lama juga. Sistem itulah yang menjerumuskan kerajaan rasuah, kebocoran dan selewengan.

Jika urusan Kelantan diserahkan kepada Harapan, itulah kemahuan Mahathir supaya royalti 5 peratus yang war-warkan bukan atas pengeluaran tetapi atas keuntungan. Yang PAS, rakyat dan Kelantan mahu ialah atas pengeluaran.

Apakah hak yang Sabah, Sarawak dan Terengganu peroleh dulu atas pengeluaran atau atas keuntungan?

Jika sistem yang tidak bertunjang kepada hak dan keadilan itu dipakai lagi untuk Kelantan, maka Harapan bukan sekdar ditolak di Kelantan, bahkan ia ditolak di Terengganu, Pahang dan Perlis. Apakah Harapan Terengganu, Pahang dan Perlis akan diberi hak mentadbir mengendalikan urusan kerajaan federal di negeri-negeri itu?

Harapan tidak diberi mandat di Kelanan. Atas kapasiti apa mereka diberi hak? Tentunya ia atas jawatan politik. Kerajaan baru membuang berbelas ribu penjawat politik di Jabatan Pedana Menteri, maka sekarang mahu memberi jawatan politik pula kepada orang Harapan?

Jika Mahathir setuju, mungkin faktor usia dia tidak seimbang dalam semua perkara. Dan jika Harapan Kelantan pula setuju, itu nama tidak pemalu.

Demi memastikan kerajaan baru berada dalam sistem yang betul, Mahathir melantik beberapa orang penasihat diketuai oleh Tun Daim Zainuddin bagi menyediakan urusan pokok, maka Tun Daim wajar beri nasihat yang tepat kepada rakan sepanjang hidupnya itu.

Biar Harapan Kelantan belajar pahit maung perjuangan dulu supaya belajar payahnya perjuangan. – HARAKAHDAILY 4/8/2018

SYUKUR. Malam gerhana bulan yang terpanjang seabad ini terjadi pada malam hari jadi saya yang ke-78. Dua tahun lagi jika ada usia jadilah saya 80 tahun.

Langsungnya gerhana itu di angkasa Australia tetapi meliputi hingga ke angkasa Malaysia, bermula di Malaysia sekitar pukul dua pagi membawa ke pukul tujuh. Pagi hari jadi saya itu redup dan diikuti hujan lebat dari pukul 10 pagi.

subkyTiada apa hubungan gerhana itu dengan hari jadi saya. Bukan kerana hari jadi saya gerhana itu berlaku. Dengan kebesaran dan izin Allah tiga cakerawala yang terkesan dengan manusia – matahari, bumi dan bulan – berada sebaris dan bumi di tengah. Maka pantulan cahaya matahari ke atas bulan yang menghadap ke alam kita terlindung oleh bayang bumi. Lalu gelaplah ia yang sepatutnya terang pada kita.

Kaum jahiliah dulu dan sekarang berkata begitu dan begini tentang bumi dan bulan atas kejadian gerhana itu, tetapi umat Islam menumpukan kebesaran dan kebijaksanaan Allah yang mencipta bumi dan bulan yang digerhana itu dengan mendirikan solat sunat muakad dan membanyakkan bertasbih.

Saya syukur atas gerhana itu yang terjadi bukan kerana menyambut hari jadi saya, tapi saya ada peluang menyambut hari jadi pada hari gerhana terpanjang itu.

Kami sekeluarga tidak membuat sebarang sambutan pada hari jadi itu. Saya pun tak ingat melainkan seorang anak ucap selamat hari jadi selepas solat fajar.

Syukur yang tidak terhingga atas kejadian itu kerana menyambut hari jadi saya dengan solat sunat khusuf di dataran terbuka KUIZM Taman Melewar, Kuala Lumpur. Syukurnya kerana dapat memulakan hidup 78 tahun itu dengan solat gerhana bulan dan mendengar khutbah.

Gerhana itu tidak hebat dan tidak ajaib. Yang ajaib ialah Allah yang mencipta bumi, bulan, matahari dan gerhana itu.

Ia mengajak kita memerhatikan tentang ciptaan Tuhan tentang makhluk-Nya yang tidak pernah ingkar kepada Sang Pencipta sejak mula penciptaannya mungkin lebih lama dari trilion tahun dulu.

Samalah dengan kesetiaan malaikat yang tidak pernah melanggar apa jua yang Allah titah. Bumi dan bulan sejak dicipta terus menerus beredar mengikut orbitnya, tiada henti-henti barang sedetik. Itulah kepatuhan makhluk itu. Tidak pernah bumi dan bulan lalai dari ibadatnya.

Adapun kita manusia, Adam dan keturunannya, istimewanya dimaklumkan Allah kapada malaikat. Tidak diketahui ada lain makhluk Allah maklumkan bakal penciptaannya kepada malaikat. Untuk ciptaan bumi dan bulan memadai disebut saja Kun faya kun.

Tetapi manusia tidak senasib dengan bulan dan bumi yang tidak tergelincir dari kepatuhannya, bahkan makhluk manusia itu terdedah kepada kesetiaan atau keingkaran, beribadat atau tidak beribadat, pelupa dan ingatkan Allah sepenuhnya, taqwa atau derhaka. Pernah manusia ditransitkan di syurga, justeru kelemahannya, Allah pindahkan ke bumi jadi tempat kediaman tetapnya, di bumilah dia mati dan di bumi juga dibangkitkan kembali.

Adapun iblis yang lebih tua daripada manusia, pernah berada di syurga, justeru sombongnya dan bencinya kepada manusia, ia memilih jadi penderhaka tegar kepada Allah. Diusir dari syurga kerana syurga bukan tempat makhluk penyombong.

Paling istimewa ialah makhluk malaikat tidak terabai kepatuhan kepada Allah, sama seperti bumi dan bulan beredar yang Allah tentukan. Bila diperintahkan gerhana, bulan gerhana. Padanya adalah tanda kebesaran Allah. Kita syukur kerana menyaksikan gerhana terpanjang di abad ini. – HARAKAHDAILY 1/8/2018

HUJUNG kuku telunjuk kiri saya masih hitam celupan dakwat pada PRU 9 Mei lalu. Pada hari membuang undi PRK Sungai Kandis 4 Ogos ini baki kuku berdakwat itu belum habis. Bahkan pada 9 Ogos nanti ada lagi dakwat itu.

Keperluan jari didakwat bagi mengelakkan pengundi mengundi lebih dari sekali pada pengundian itu. Dakwat itu tdak akan padam dalam masa 24 jam seperti pengundian pada PRU13 dulu.

Apa kimia yang SPR guna hingga tiga bulan kuku telunjuk kiri berdakwat lagi. Jika SPR guna warna merah nescaya ia seperti berinai. Mahu saya syorkan guna dakwat merah pula jika tidak berinai dilarang bagi laki-laki kecuali rambut. Setiap yang dilarang berdosa.

Belum habis kuku berdakwat, pengundi Sungai Kandis akan mencelup jari ke botol dakwat lagi. Mungkin hingga awal November kuku orang Sungai Kandis berdakwat lagi.

Maka Majlis Syura Ulamak PAS, untuk PRK itu PAS hanya menyertainya jika satu lawan satu. Jika tiga penjuru PAS mengundi saja. Keputusan itu dipercayai berubah jika PRK itu di Kelantan, Kedah dan Terengganu atau di mana-mana kerusi yang ‘berwaibikan’ PAS. Di situ sepuluh penjuru PAS tetap lawan.

Bila PAS tidak bertanding, ada juga yang latah mengapa PAS tidak bertanding. Biarlah yang latah itu bukan orang PAS yang mungkin tidak berpolitik matang. Tapi orang PAS ada yang sama latah. Dua tiga kerat yang gatal lidah termasuk yang jadi Exco dan berjawatan tinggi parti diserang sindrom penafian.

Biar Presiden atau Timbalannya atau Setiausaha Agung sekali saja membuat penjelasan, mengapa tidak bertanding atau sudah beradik beradik dengan Umno/BN. Katakan saja kebarangkalian itu tidak berbangkit dan selepas itu diam.

Seru saja orang PAS mengundi! Untuk mengundi siapa? Macam yang 60 tahun lalu sentiasa bersama pembangkang kecuali sekali ia bertahaluf dengan BN pada PRU 1974.

Katakan satu saja. Ia tidak bertanding justeru ia sebahagian dari kaedah politik matang dan sejahtera. Tidak bertanding kali ini justeru matang. Tidak gatal lidah kerana matang. Tidak dilanda sindrom penafian kerana matang.

Kata-kata hikmat yang PAS masyhurkan di ambang PRU14, politik matang dan sejahtera, sudah diulang sebut oleh politikus di luar PAS baik yang tumbang mahupun yang baru tegak. Ia seolah-olah kebijaksanaan PAS sudah jangkit keluar. Tidak mungkinkah ia isyarat awal PAS itu parti masa depan Malaysia. Amin!

Pada pasca PRU14 ini banyak cakap dan gatal lidah menjadikan PAS tidak dilihat dewasa. PAS mesti akui, ia cukup dikelirukan dari kiri kanan dan dari depan belakang. Dalam semua isu ia dikelirukan. Ia amat tidak elok bagi PAS. Kesan kekeliruan itu PAS dapat 18 Parlimen saja dan menguasai dua kerajaan negeri saja.

Jika bukan gara-gara mengelirukan itu ia dipercayai dapat lebih baik dari PRU13 yang tidak bersendirian itu.

Sekarang masa PAS keluar dari kekeliruan itu. Jangan gatal lidah hingga menambah lagi kekeliruan dulu. Banyak cakap mengaitkan hubungan dengan Umno dan PH tidak disukai orang. Kikis lidah yang gatal orang tidak marah lagi dan tidak keliru lagi.

Tidak sertai PRK Sungai Kandis kerana dakwat belum habis padam dan sebahagian dari program matang dan sejahtera. Katakan kepada semua, PAS sentiasa bersama pembangkang. – HARAKAHDAILY 31/7/2018

TIDAK nampak apa untungnya pada politik Malaysia dan Islam mempolemikkan siapa lebih pengganas antara pendakwah Dr Zakir Naik yang dituntut kerajaan India dengan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Prof. Ramasamy.

Mendebat terbukakan keduanya lebih banyak mengganggu Kerajaan Malaysia dan pendakwah itu, sedang kerajaan dulu dan kerajaan sekarang telah menangani isu itu secara berhikmah iaitu memberi perlindungan kepada pendakwah itu menetap di sini selama dia pandai membawa diri.

Tidak berbangkit hubungan antara Malaysia dan India patut terganggu jika tuntutan ekstradisi terhadapnya tidak dilayan selagi kita berpegang kepada amalan yagn diterima antarabangsa, negara yang memberi perlindungan atas tuntutan negara yang menuntut atas sebab perikemanusiaan, keadilan dan lain-lain.

Jika hubungan Malaysia dan Australia dan Komanwel tidak terganggu apabila Australia menolak supaya Sirul Umar dipulangkan sedang kes yang Sirul hadapi adalah jenayah pembunuhan. Rejim Najib menghormati sikap Australia dan kerajaan baru Pakatan Harapan tidak bercadang memintanya dipulangkan.

Jika yang mendorong sikap Austraia bimbang Sirul tidak mendapat layanan adil mengikut keepercayaan Australia, maka demikian kebimbangan Malaysia terhadap Zakir.

Jika Ramasamy tidak berfikir keindiaan sebagai yang disangsikan oleh simpatisan Zakir Naik, sebaliknya kemalaysiaan bagi mengharmonikan kehidupan berbagai kaum di Malaysia, maka semua patut ada sikap terbuka terhadap kecenderungan pemikiran majoriti dalam perkara itu.

Saya kenal Ramasamy sebelum dia jadi calon DAP dan PAS mendapatkan kepakaran ilmu dalam wacana anjuran PAS.

Saya tidak tahu dia disangsikan oleh simpatisan Zakir Naik dikatakan cenderung dengan orang Tamil Eelam yang memberontak di Sri Lanka dulu. Saya boleh terima keterangan tidak bersumpah Ramasamy betapa hubungannya dengan isu di Sri Lanka adalah dalam rangka mendamaikan penduduk berbagai kaum di sana selepas perdamaian antarabangsa dicapai.

Dan dia juga mengaku terlibat jua dalam menyelesaikan krisis Aceh Merdeka atas permintaan masyarakat antarabangsa. Jika kita boleh terima hubungan Ramasamy dengan orang Tamil Eelam adalah selepas perang itu selesai, maka kita boleh kompromi hubungan baiknya dengan Tamil Eelam itu sebagai saudara sesama Tamil yang bebas dari politik Tamil Sri Lanka itu.

Jika kita boleh kompromi dengan hubungan baik Dr. Burhanuddin al-Helmy dengan pemimpin komunis semasa memperjungkan kemerdekaan itu, tidaklah beliau menjadi komunis dan memperjuangkan cita-cita komunis.

Jika Ramasamy dapat menggunakan kepakaran meredakan krisis antarabangsa kompromi dengan pemikiran Kerajaan Malaysia dulu dan sekarang tentang Zakir Naik, dia akan menguntung politik dan harmoni penduduk Malaysia menangani masalahnya.

Tunku Abdul Rahman Putra adalah anti komunis tegar. Demi mengekang ancaman pengganas komunis, dia tolak pengiktirafan Parti Komunis tetapi menawarkan pengampunan beramai-ramai kepada pengganas komunis. Ramai menyerah diri hidup rukun bersama masyarakat. Bahkan ada bekas pengganas komunis masuk MCA, jadi calon Perikatan dan menang. Sampai mati Tunku anti komunis tapi komunis hapus di Malaysia.

Najib pernah menawarkan pemimpin Hindraf jadi menteri. Dia terima dan kemudian meletak jawatan. Mahathir pula lantik ketua Hindraf jadi menteri penuh. Hindraf itu dikatakan berunsur keganasan juga. Tetapi pemimpin Malaysia cuba berkompromi, cuba menyelesaikan isu keganasan itu dengan membawanya kehidupan harian rakyat.

Jika Ramasamy dapat tengok pendekatan Tunku dan apa Najib dan Mahathir fikir tentang pelampau Hindraf, maka Ramasamy patut guna kepakaran berfikirnya menjadikan Zakir Naik menguntungkan politik keharmonian Malaysia. – HARAKAHDAILY 25/7/2018

SAMA ada Dato’ Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan atau bebas dari penjara – dulu dan sekarang – dialah pemimpun agung PKR sekalipun penubuhan parti itu diisytiharkan oleh isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah.

Wan Azizah, presiden penubuhannya dan presiden selama-lamanya tetapi hakikatnya dia menjalankan tugas suaminya sebagai pengawal jarak jauh.

Mungkin Wan Azizah itu ada daya kepimpinannya, tetapi Anwar dengan keupayaan semula jadi, tiada yang menghalang Wan Azizah itu pemimpin sebenar PKR. Selama-lamanya Anwarlah presiden dengan apa jua nama jawatan yang diberi kepadanya.

Dr. Mahathir yang mengguna pakai nama Pengerusi Bersatu sedang parti itu ada Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Mahathirlah menakhodai Bersatu seperti Anwar mengemudi PKR.

Apabila Anwar mula dicalonkan untuk menjadi presiden baru menggantikan Wan Azizah, tiada benda yang baru selain dari ketua umum tidak dipakai lagi atau presiden tidak diguna, kerana di tanah seberang ketua umum itulah presiden.

Jika Wan Azizah sudah tidak jadi presiden, apa pula kedudukannya bagi melayakkan terus jadi Timbalan Perdana Menteri (TPM) selama Anwar belum menjadi Perdana Menteri. Azizah akan turun sebaik saja ditakdirkan ganti Mahathir.

Sekalipun Wan Azizah TPM tetap Anwar membayanginya. Orang rasa Anwarlah TPM sebenar walaupun bukan anggota kabinet. Lazimnya tidak boleh kertas kabinet ke tangan bukan anggota kabinet. Boleh ke penjara semula jika disabitkan memegang kertas kabinet. Tetapi bagaimana hendak menjamin Anwar tidak menengoknya? Lainlah jika Anwar dijadikan ahli kabinet tanpa portfolio bagi menghalalkannya memiliki kertas kabinet. Payah difikirkan Anwar sedia masuk kabinet selagi Azizah TPM.

Apa yang memerlukan Anwar menggantikan Wan Azizah sedang pimpinannya tidak terganggu selama ini. Mungkin sekarang dia tidak dibayangi lagi untuk ke penjara yang menghalalnya memegang jawatan awam. Tetapi Anwar pernah bebas. Dia selesa jadi ketua umum saja. Tidak terlintas untuk menggantikan Azizah ketika itu seperti keadaan sekarang.

Apakah dia terfikir untuk dipenjara lagi, maka biarlah Azizah saja jadi pemimpin rasmi.

Jika dia hendak menggantikan Azizah, dia boleh bila-bila masa saja.

Memang ajaib juga sebagai pemimpin besar reformasi bagi membawa perubahan politik dan pemerintahan, Anwar menjadikan isterinya yang tiada pengalaman politik dan organisasi menjadi pengasas dan pemimpin parti yang ditubuhkan. Ramai yang pintar yang menyokong Anwar yang boleh dijadikan pemimpin semasa Anwar tidak dibenarkan memimpin dalam keadaan apa jua.

Ketika Erdogan dilarang menjawat jawatan awam atas tohmah jenayah yang dikenakan ke atasnya, dia tidak menjadikan isterinya menubuh dan memimpin parti AK yang diasaskannya. Dia jadikan Abdullah Gul dan lain-lain menjalankan kerja Erdogan. Anwar lain, diamanahkannya isterinya, tidak orang lain. Mengapa?

Mungkin banyak fitnah jika orang lain jadi orang kanan Anwar. Mungkin orang lain semuanya tidak boleh dipercayai seperti setianya seorang isteri. Memang dalam sejarah PKR, tidak ramai pengasas PKR kekal dalam PKR melainkan Azizah dan Azmin Ali. Ramai yang mengkhianati.

Mungkin itu faktor Wan Azizah jadi orang nombor duanya.

Jika masa bebas dulu Anwar tidak rasa perlu jadi presiden, mengapa sekarang pula dia setuju? Mungkin ada sesuatu yang dirahsiakan dan mencabar parti itu yang memerlukan Anwar tidak boleh guna selain dirinya sendiri. Tambahan pula usianya lanjut dan selalu ke hospital, maka PKR perlu dipasak di sana sini.

Azizah perlu digantikan bagi membolehkan Anwar menyediakan pengganti yang benar-benar anwariyin. – HARAKAHDAILY 24/7/2018

KITA suka kalau anak hafal semua sajak Usman Awang atau mahir semua lirik lagi Siti Nurhaliza. Jika semua ibu bapa ditanya apa mereka pilih bagi anaknya antara hafal lagu Siti Nurhaliza dan hafaz Quran.

Ibu bapa yang muslim akan memilih hafaz Quran. Siti Nurhaliza tentu suka anaknya hafal semua lirik lagunya, tapi jika anak boleh hafaz Quran, tentu baginya ia lebih baik. Bahkan Datuk K yang gila dengan lagu Nurhaliza, merasa lebih bahagia jika anaknya dengan izin Allah boleh hafaz Quran dari hafal semua lagu isterinya.

Almarhum Datuk Aziz Singah seorang seniman wayang. Dihantarnya anak ke sekolah tahfiz dan khatam. Bahagia jenazahnya solatnya diimam oleh anaknya sendiri. Norman Hakim juga pernah jadi orang wayang dihantarnya anaknya menghafaz Quran di Turki.

Pada benak setiap ibu bapa muslim bercita-cita jika boleh setiap anaknya hafaz Quran. Biar anak itu jadi doktor, jurutera, pengurus bank, saudagar sekaya Robert Kuok, tapi yang eloknya itu juga hafaz Quran. Muslim yang tak betul otaknya saja tak suka anak cucunya hafaz Quran dan tak suka wujudnya sebarang maahad tahfiz.

Yang macam ini, bukan sekadar tak mahu anak cucunya jadi hufaz, anak orang lain pun jangan hafaz Quran. Demokrasi sekular memberi pilihan menyekolahkan anaknya di sekolah, sekolah Tamil atau sekolah Bangla. Jika ibu bapa memilih pondok atau sekolah tahfiz, itu hak mereka.

Demokrasi pendidikan membuat peruntukan perkepala untuk setiap anak Malaysia. Peruntukan itu ikut sekolah mana anak itu belajar. Kerajaan Umno pernah tidak menunaikan hak anak yang ke sekolah pondok. Laporan Jawatankuasa Murad Mohd Nor tentang kebakaran sekolah rakyat Padang Lumat, Yan mentakwil perkara itu.

Muslim apa jika mahu sekolah tahfiz ditutup. Ini mesti muslim Kamal Ataturk. Semua sekolah Arab ditutup. Quran naskah Usmani diharam. Yang dibenarkan Quran rumi. Orang Turki kata, dia tidak sekadar anti Islam, bahkan anti Turki, bangsanya sendiri.

Ataturk bertindak begitu supaya Turki diterima sebagai orang Eropah. Sampai hari ini Eropah tolak Turki masuk komuniti Eropah.

Ketika Turki menuju arah membuang Ataturk ke bakul sampah sejarah, ada orang Islam hendak jadi Ataturk kecil. Biarkan dia dengan labu-labunya.

Moga-moga roh Aziz Singah bahagia kerana ada sekolah anaknya hafiz. Anak yang hafaz itu membwa syafat kepada ibu bapa. Ada pendapat ulama mengatakan seorang hafiz membantu 20 keluarga terdekat menjadi ahli syurga. Moga-moga pendapat itu betul. Amin!

Turki sejak tahun 50-an menuju arah generasi al-Quran. Ribuan remaja hafaz Quran setiap tahun. Sebuah negara yang mundur beberapa dekad setelah kejatuhan empayr Othmaniah, kini ekonomi dan kewangannya antara yang terkukuh di Eropah. Generasi al-Quran dipercayai mengangkat ketahanan umat.

Yang kita mahu ialah syafaat dari penguasaan al-Quran. Semasa rombongan meminang anak saya, saya ditanya syarat peminangan. Maksudnya hantaran. Saya tidak meletak harga kerana bukan hendak menjual anak. Berapa kupang pun tak mengapa. Kalau bawa selori atau 60 kotak dinar emas, saya tidak marah.

Satu syarat kepada bakal besan, setiap cucu saya mesti jadi calon hufaz. Saya tidak tahu apakah syarat itu disampaikan oleh wakil rombongan kepada besan. Itu wasiat saya untuk cucu-cucu saya. Seramai hufaz yang boleh. – HARAKAHDAILY 20/7/2018

SELAMA-lamanya sejak merdeka baik semasa pentadbiran 22 tahun Dr. Mahathir Malaysia mendakwa daulah Islam contoh tetapi di bawah pentadbirannya yang baru dia tidak puas hati prestasi Pusat Islam hingga jika ikut hari terasa dia hendak menutupnya.

Apapun kerajaan baru itu kini mahu Islam di Malaysia kaedahnya sendiri, tidak terikut dengan lain Negara Islam, biar menjadi model bagi dunia Islam.

subkySuatu yang baik itu sayugia dialu oleh semua tetapi apakah kaedah yang tidak seperti Saudi, Mesir, Turki, Brunei Darussalam, Indonesia dan rantau Teluk yang hendak dicari itu.

Apakah sedikit sebanyak yang terlaksana di Kelantan sejak tahun 1990 tidak dimasukkan dalam perhatian? Jika Pusat Islam menghampakannya, apakah Perkim sejak diambilnya dari Tun Taib Mahmud dapat jadi perhatian. Logiknya pencapainya di Perkimlah model ikutan.

Memang Islam Mesir, Saudi dan lain-lain tidak dapat jadi model daulah Islamiyah semesta, dan tidak juga pengurusan kerajaan dan demokrasinya. Mesir yang seribu tahun Universiti Azharnya mengeluar ribuan ulama seluruh dunia tidak lagi jadi tumpuan umat.

Tetapi yang Mahathir mahu sekrang, biar Malaysia tidak Syiah, tidak WAhabi, tidak seperti Mesir, idak macam Jordan dan lain-lain. Tetapi ada pegangan contoh sebagai ahli sunnah wal jamaah, mungkin tidak terikat dengan fiqah empat mazhab yang diterima kini – Syafie, Hambali, Maliki dan Hanafi dan tidak terkeluar daripadanya.

Kita tunggu apa nasihat jamaah penasihat Islamnya bersama menterinya. Tidak diketahui wakil Majlis Syura Ulamak PAS diperlukan, tetapi lembaga penasihatnya itu tidaklah seperti Penasihat Agama Perdana Menteri sejak zaman pentadbirannya dulu yang tidak dipastikan dia penasihat Perdana Menteri atau Perdana Menteri menasihatkannya.

Ternyata kini tidak diketahui kesan membawa Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam program islamisasi dan penerapan nillai Islam dalam semua bidang, Islam Hadhari dan Wasatiyah dan maqasid syariyah Najib tidak banyak menolong. Semuanya itu adalah mahu menjadikan Malaysia Negara Islam contoh.

Islam itu sudah sempurna setelah 23 tahun kerasulan Nabi Muhammad SAW, Negara Islam Madinah yang baginda asaskan itu adalah model untuk semua sepanjang zaman, pentadbiran dan sirah Khalifah ar-Rasyidin model siyasah dan pemerintahan yang wajar dipelajari dan ditambah pula dengan pencapaian Khalifah Umar Abdul Aziz (bukan Nik Omar Nik Aziz) yang jadi kegembiraan sekalian umat.

Adalah benar zaman mereka tidak secanggih dan sepantas kemajuan dunia sekarang, tetapi Nabi dan khalifahnya yang empat itu adalah model untuk dunia Islam hingga kiamat. Tidak perlu al-Malik Faisal kata Islam Saudi lebih baik dari Mesir dan Anwar Sadat kata Islam Mesir lebih baik dari Saudi.

Maka kita pula terikut-ikut menjadi model Islam serba serbi bagi semua dunia. Jika kita manfaatkan Pusat Kajian al-Malik Salman yang dicadangkan di Malaysia, gunakan semua kemudahan membuat kajian semua perkembangan ilmu dan kemajuan dunia dan akhirat di semua zaman sejak Plato hingga pencapaian Tabung Haji, maka Islam banyak perkara yang baik bagi sepanjang semesta.

Jangan Islam yang hendak jadi contoh itu tidak berani mengatakan anti hadis Kassim Ahmad itu salah dan biar jelas antara Mahathir dan Kasim seiras. Biar ada ketegasan Islam itu tiada liberal dan pluralnya. Yang dirasakan sebelum ini Perdana Menteri itu sendiri keliru.

Biar Islam yang hendak diperkasa itu yang bermodel kepada Rasulullah SAW dan bukan yang Mahathir fikir semirip Kassim dulu. – HARAKAHDAILY 18/7/2018