SAYA tonton Forum Perdana Hal Ehwal Islam TV1 malam Khamis 21 Februari 2019 tentang cegah dadah di Malaysia sekalipun hukumnya, mati mandatori bagi pengedar.

Kedua-dua panelis – seorang ustazah, seorang ustaz datuk – masyghul meskipun banyak yang kerajaan buat termasuk hukuman mati, wabak dadah tidak berkurangan bahkan bertambah puluhan ribu setahun.

Maka siapa salah? Apa patut dibuat?

Semua akan Tuhan tanya atas gara-gara itu. Ulama, guru, pentadbir dan paling dibebankan ialah ibu bapa. Maka akhirnya ibu bapalah dilonggokkan semuanya, sedang semuanya ahli pendidik dan masa mereka dengan anak-anak terhad, malah kuasa mengawal anak-anak hanya di rumah dan kuasa yang masyarakat moden beri kepada ibu bapa amat terhad.

Saya menunggu apa saranan bagi membanterasnya? Banyak cadangan akademik oleh Pak Ustaz. Ia tidak lebih dari teori. Jika polis dan mahkamah dengan kuasa dan undang-undang yang ada tidak dapat buat apa-apa, apa ibu bapa yang amat lemah itu dapat buat?

Peri peranan ibu bapa dan masyarakat itu telah ada sejak sebelum zaman Nabi Nuh lagi, sedang anggota masyarakat berjenayah juga. Sejak itu mereka membinasakan diri sendiri dan sejak itu kita ketahui sampah masyarakat itu Allah binasakan.

Demi membanteras gejala pemusnah itu Allah kirim nabi dan rasul membawa ubatnya, peraturan Allah yang dinamakan syariah. Perundangan yang sekalian nabi bawa itu bukan sekadar rukun terbaik menyelamatkan manusia, bahkan ia membawa nikmat penggerun. Orang takut melanggar peraturan. Gerun dan takut itu menyelamatkan manusia. Kebanyakannya ingkar juga, maka Allah binasakan hingga tidak berbenih.

Dadah zaman ini adalah gejala pemusnah kemanusiaan. Ubatnya sudah disampai melalui al-Quran. Nabi dan ulama saja tidak dapat mencegahnya melainkan ditegakkan syariah. Bani Israil ramai nabi dan ulama. Bila ajaran Taurat dan Injil dibakulsampahkan ia dilaknat.

Al-Quran dan hadis bukan sekadar untuk dihafal tetapi dilaksanakan. Tiada berguna alim ilmu solat tapi tidak sembahayang. Para orientalis mahir semua ilmu Islam tetapi bukan untuk beriman. Sedunia manusia disesatkannya termasuk semua kerajaan Islam, memakai peraturan tidak Islam seperti pencegahan dadah, hanya membawa kebinasaan.

Saya tunggu panelis sebutkan ubatnya iaitu kuat kuasakan syariah. Meraka tidak sebut, puji semua yang kerajaan sudah buat, tetapi kerajaan dengan ulamanya yang tidak sedikit, ditempelak Allah.

Kerajaan sejak merdeka ajak qari/qariah dari seluruh dunia bertilawah al-Quran di sini, cetak al-Quran banyak-banyak, baca pagi dan petang, bina masjid banyak dan indah, tapi peraturan Islam dibakul sampahkan.

Al-Quran suruh murtad dibunuh. Bunuh atas dadah tiada jelas nasnya. Diqiaskan ia boleh membunuh ramai, maka diperaturankan mereka dihukum bunuh. Campur murtad dan dadah hukum bunuh tidak menakutkan sesiapa dan tidak menjadi rahmat sedang kedatangan Rasulullah SAW itu memberi rahmat kepada alam.

Patutnya ustaz sebut, mengaji syariah bukan untuk alim dan pakar, tapi untuk dilaksana seperti ngaji fekah sembahyang untuk solat. Mengajar Islam dan syariat di universiti demi mendaulatkannya.

Suruh PAS saja perjuang RUU355 tidak memadai. Bagitahu wajib kerajaan daulatkan ia. Peranan ibu bapa besar, tapi jadi kecil dibandingkan tanggungjawab kerajaan.

Bila kerajaan perkecil syariah, hukum bunuh atas kesalahan dadah jadi sia-sia.

Jangan tipu kerajaan betapa ia telah buat semua. Ibu bapa berperanan tapi kerajaan yang tidak berperanan, menyediakan kemusnahan untuk semua. Tunggulah! – HARAKAHDAILY 9/3/2019

SEORANG pembaca menyanggah ulasan saya tentang PAS menolak Dato’ Seri Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri sedang katanya Almarhum Ustaz Fadzil dan Mat Sabu menyokongnya, bahkan Tuan Guru Nik Aziz pun setuju.

Jika ikut loghat Kedah, ulasan saya itu merepek sesuai dengan usia saya.

Ternyata dia tidak fanatik dengan tulisan saya, tetapi saya tidak pasti dia adil dan arif dengan soal dalaman rumah tangga PAS atau tidak suka dengar apa saja dikata tidak elok tentang Anwar yang mungkin bosnya dan idolanya.

Sebermula memang Anwar itu diharap oleh semua warga PAS dan anak cucunya untuk menjadi Perdana Menteri dari PAS. Pandangannya, pemahamannya, kecenderungan politik Islamnya jauh sempurna dibanding dengan Tun Razak, Tun Hussein Onn, malah Mahathir sendiri. Dikecamnya penyertaan PAS dalam kerajaan campuran dan Barisan Nasional di bawah Dato’ Asri, sedikit sebanyak mempengaruhi PAS meninggalkan BN.

Wasiat Pak Natsir, pemimpin besar Masyumi gerakan Islam Indonesia era Sukarno kepada PAS, jika Dato’ Asri hendak berundur, ganti terbaiknya ialah Anwar.

Ketika PAS memikirkan ganti Asri itu sekonyong-konyong Anwar masuk Umno, parti dan para pimpinannya yang Anwar kecam sebelum itu. Terperangkap dan terkejut pemimpin ABIM yang juga penyokong PAS atas tindakan Anwar itu.

Sejak itu pemimpin PAS termasuk Ustaz Fadzil, Haji Yusof Rawa dan lain-lain tidak pernah memikirkan tentang Anwar sebagai kawan seperjuangan. Dia sudah sama dengan Ghafar Baba dan Dr Mahathir. Apa yang dia tidak kata tentang PAS, Tok Guru Nik Aziz dan pimpinan ulamanya yang lain.

Jika Ustaz Fadzil pilu dengan apa yang Mahathir buat terhadap Anwar, bukan kerana harapkan dia jadi Perdana Menteri, tetapi tidak percaya segala tohmah yang Umno buat terhadap Awnar. Jika tanpa pengetahuan PAS Ustaz Fadzil sendirian pergi ke rumah Anwar setelah dia dibuang, bukan kerana sedih Anwaar disekat untuk jadi Perdana Menteri, tetapi penjelasan Ustaz Fadzil kepada pemimpin PAS ialah apa sebenarnya yang berlaku dari mulut Anwar sendiri.

Ketika itu Anwar dirongrongkan untuk ditahan di bawah ISA. Jika kena ISA tidak dikekahui bila hendak dibebaskan. Maka sebelum polis mengambilnya, Ustaz Fadzil menemuinya.

Saya adalah antara yang rapat dengan Ustaz Fadzil. Saya tidak pernah tahu dan dengar beliau mengharapkan Anwar jadi Perdana Menteri. Entahlah di belakang beliau fikir lain?

Dalam himpunan GERAK membela Anwar di Markas Tarbiah PAS Taman Melewar yang bercakap mahukan Anwar jadi Perdana Menteri ialah Prof. Jomo. Dia sebut depan Ustaz Fadzil dan ribuan penyokong PAS. PAS diam.

Ketika PAS sudah ada ikatan dengan penyokong Anwar, Mat Sabu tidak selesa. Dia ada ceramah khas tiga jam bantai Anwar habis-habisan. Lama kemudian barulah dia suka dan lepas itu tidak ada patah balik tentang Anwar.

Semasa pimpinan Ustaz Fadzil tidak ada pakatan kukuh parti pembangkang. Sekalipun yang menemukan mereka justeru Anwar dipenjarakan, tiada siapa hendak mencadangkan orang itu dan orang ini jadi PM.

Kuatnya mahu Anwar jadi calon PM bila Anwar berjaya mengajak PAS dan DAP membentuk Pakatan Rakyat bersama PKR dan dialah jurucakapnya. Semasa pimpinan Tuan Gutu Haji Hadilah isu ini berbangkit. Melihat Anwar tidak banyak membantu PAS mengemukakan isu Islam seperti yang PAS perjuangkan. Malah seperti halangan DAP saja, maka menjadikan Perdana Menteri mungkin lebih teruk dari PM sebelumnya.

PAS pun tolak dia. – HARAKAHDAILY 5/3/2019

ENTAHLAH! Habis-habisan dua hari sebelum PRK Semenyih semua tenaga, semua fikiran dan semua marahnya ditumpukan pada PAS, hingga seolah-oleh lepas ini tiada lagilah PAS.

Sedang PAS hendak menyelesaikan masalahnya dengan saman atas Sarawak Report. Meneruskan saman itu pada PAS, sekalipun harapan menangnya besar, untungnya tidak berbaloi. Baiklah tenaga, masa dan duit digunakan menghadapi ancaman dan bahaya kerajaan PH.

Kentut yang pemberian RM90 juta dikatakan dari Umno kepada PAS tidak banyak disebut dalam marah tetapi tumpuan marah itu adalah cara dan syarat penyelesaian di luar mahkamah itu.

Anwar Ibrahim pun bukanlah mudah menyelesaikan kesnya hingga dua kali penjara atas fitnah liwat terhadapnya. Macam-macam pembelaan dibuat mahkamah tidak juga memihak kepadanya. Belasan tahun membela diri membersihkan maruahnya tidak berhasil. Yang membebaskan dia bukan mahkamah tapi pengampunan diraja.

Demikianlah masalahnya dan susahnya dia dengan fitnah itu.

Tapi pada PAS atas cara yang PAS fikir baik tentang penyelesaian di luar mahkamah itu mengapa?

Yang dia marah itu agaknya pertama disebabkan PAS tidak mahu dia jadi Perdana Menteri sejak masih bersama Pakatan Rakyat dulu lagi dan sebelum Anwar dipenjara kali kedua dulu. Kedua hendak memastikan Semenyih tidak mengulangi tragedi PH di Cameron Highlands.

Tidak setuju politik PAS adalah pilihannya, tapi janganlah marah macam dia marah sekarang. Bukan dia saja tidak suka PAS, ramai lagi. Tapi jangan marah seperti sekarang ini. Marah itu bukan cara berfikir orang berbudi tinggi.

Dan tiada sesiapa boleh meredakan orang yang suka marah melainkan oang itu sendiri. Islam ajar, siapa marah, ambillah wuduk. Wuduk nescaya menurunkan digri marah. Sama seperi nafsu berahi yang meruap, atasilah dengan puasa. Puasa menurunkan nafsu berahi, wuduk menurunkan api kemarahan.

Tiada apa yang kita dapat buat bila Anwar marah melainkan berdoa, dia sentiasa ambil wuduk bila naik darah.

Anwar itu memulakan perjuangan sejak pelajar hingga remaja, sebagai orang harakah, gerakan Islam. Dia seolah-olah orang PAS yang tidak jadi ahli. Kawannya semua orang PAS. Bila cukup umur nescaya jadi orang PASlah. PAS menyediakan Parlimen Permatang Pauh yang diwakili PAS, Almarhum Haji Zabidi Ali adalah untuknya.

Hinggalah dia tahun 1982 dicuri Mahathir jadi orang Umno. Saran Mahathir padanya, kira-kira kalau hendak jadi Perdana Menteri bukan melalui PAS tetapi melalui Umno. Mahathir buka seluas peluang kepadanya, rebutlah.

Tetapi yang jauh pandangan politiknya DAP dan Kit Siang. Selepas 40 tahun berpolitik peluang Anwar jadi Perdana Menteri ialah melalui politik DAP.

Saya tidak menentang Anwar jadi Perdana Menteri. Kerana parti saya PAS tidak mahu dia jadi Perdana Menteri, sebagai ahli parti saya mesti setuju dengan parti saya. Kalau saya tidak setuju dengan PAS, maka saya masuk DAP. Jika dia jadi Perdana Menteri nanti tentu saya rapat dengannya.

Tapi saya hliang PAS.

PAS bukan sekadar tidak setuju dia, malah jumpa pula PM Mahathir minta jangan undur sebelum PRU15. Sudahlah tidak mahu dia jadi Perdana Menteri, minta pula Mahathir jangan berhenti.

Maka amat marahlah orang yang suka marah. BN di Semenyih menang atas sokongan PAS, masa depan PH terancam. Jadi PM melalui kemahuan DAP pun boleh melepas. Dengan marah, PAS mesti diganyang. – HARAKAHDAILY 3/3/2019

GARA-GARA PAS ditular konon ia disogok RM90 juta, ia terus disakat oleh yang getik padanya dan termasuk suku sakat Perdada Menteri sekarang sekalipun tukang buat cerita asalnya tidak dapat membuktikan rekaan itu.

Yang dikatakan suku sakat Perdana Menteri itu ialah sekalian yang bersekutu dengan parti kerabat pimpinannya, yang berada dalam kerajaan pimpinannya, orang yang dikira raja muda bila dia mengosongkan jawatan itu dan talibarut sukarela yang dapat sedikit habuan dari pimpinannya.

Gara-gara tular itu apa saja yang PAS ditohmah bermotif menyembunyikan pengambilan duit hanya ada di kayangan, bukan di bumi.

Antara sakat itu ialah ada pula petikan rakaman suara Nik Abduh yang akhirnya mengaku ia adalah suaranya dan pula menjustifikasi pembetulan apa yang pernah dikatakan dengan suaranya itu. Maka dirancang begitu rupa dia berbohong atas perkara itu.

Dia terperangkap, mengapa cakapnya berubah atas perkara itu kerana penafian awalnya atas nasihat pimpinan. Kerana dia dikira berbohong, maka dikira partinya menghalalkan bohong sedang bohong itu ada hukumnya dalam Islam.

Terus meneruslah parti itu disakat parti yang menyembunyikan penerima RM90 juta dan parti Islam yang berbohong dan menghalalkan pembohongan.

Kesian ia. Yang menariknya yang ikut menyakatnya ialah orang dihebah untuk menggantikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam waktu yang terdekat. Dia orang yang disangka bijak oleh orang di atas dan di bawah angin. Patutnya tidak terlibat dengan sakat menyakat bertaraf rendah.

Ada sebab dia menjadikan diri seperti penyebar sakat-sakat lain. Kerana PAS nyatakan syaknya ada suku sakat Perdana Menteri hendak gulingkan bossnya. Ketua PAS jumpa PM sebutkan padanya jika ada usul dan usaha seperti itu, PAS akan pertahan supaya dia kekal hingga PRU15.

Heboh sedunia akan politik bersahaja PAS itu. PAS tidak kata orang tertentu hendak derhaka ketuanya. Tetapi ada orang melenting. Mengapa?

Cerita yang PAS bawa itu adalah seperti cerita angsa bertelur emas dicuri atau dibunuh. Ia diadukan kepada raja. Maka raja pun bertitah kepada ramai, baginda kenal pencuri angsa itu yang ada dalam majlis itu.

Buktinya diserban orang itu ada bulu angsa itu. Berenung-renung sekalian, serban siapa ada bulu itu? Lalu ada seorang meraba serbannya bagi memasikan bulu lekat di serbannya. Sekaliannya tahu dialah angkaranya.

Agaknya yang pening akan spekulasi PAS itu adalah seperti orang yang meraba bulu angsa di serbannya. Pening itu gara-gara gelabahnya.

Jika Nik Abduh berbohong ada muslihatnya. Bukan semua bohong itu tidak dikekcualikan dalam Islam. Pertama ia dibolehkan atas muslihat dalam peperangan. Tular terima RM90 juta berlaku dalam perang politik menjelang PRU14. Boleh Nik Abduh dikiaskan berada dalam peperangan.

Kedua, justeru menjaga akidah, bagi mengelakkan dibunuh. Ketika mendamaikan dua pihak yang berbalah. Dan keempat berdalih dengan isteri. Jika masakannya tidak sedap, jangan kata tidak sedap. Katakan sejap juga.

Ahli ilmu dan ahli fikir tahu hal ini. Lainlah yang jahil dan bebal.

Satu ketika Tuan Guru Nik Abdul Aziz pernah kata, Tuhan mencarut. Seluruh pencaci mengutuk dan persenda Almarhum. Tok Guru tidak pernah tarik balik kata-kata itu. Kata orang mencarut pun ada teruknya, apa lagi Tuhan dikata mencarut.

Setelah beberapa tahun meninggal, tidak yang kata buruk kepadanya. Beliaulah dikira pemimpin paling berjurus. Cerca terhadap PAS sekarang sama seperti cerca PAS zaman Tuan Guru Nik Aziz. – HARAKAHDAILY 2/3/2019

Calon-calon yang bertanding dalam PRK Semenyih.

TIADA politik paling Luncai selepas Pakatan Harapan (PH) berkuasa selain dari Tuan Guru Presiden PAS dikatakan memberi surat bertanda tangan mengaku PAS tidak sokong Umno dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih pada 2 Mac ini.

Semuanya terkejut dan jika sang katak boleh batuk nescaya batuk ia akan politik Luncai Sang Perdana Menteri Mahathir mengaku menerima surat bertanda tangan dari pemimpin PAS.

Apa yang Luncainya?

Percayakah semua Tok Guru berstatus ulama dunia buat kerja Luncai itu. Sehingga ini sudah 50 tahun mengadakan kuliah dhuha Jumaat, diikuti oleh belasan ribu yang keadaannya tidak pernah susut. Dalam uzurnya diketahui semua masih jarang miss mengadakan kuliah.

Setakat ini beliau masih kuat ingatan dan tidak mungkin membuat surat sedemikian, yang keperluannya tidak mendesak. Seolah-oleh menyerahkan Singapura kepada Si Stanford Raffles yang memerlukan surat ditanda tangan Sultan Johor.

Atau sepenting perjanjian Tanah Melayu menjual air dengan harga amat murah kepada Singapura selagi ada bulan dan matahari. Tidak mungkin dikaji semula.

Hanya jika Tuan Guru Haji Hadi hilang ingatan, mungkin surat seperti yang dikatakan itu berlaku. Tiada keterangan beliau hilang ingatan. Dan beliau pun tidak pernah mendekati benda-benda yang menyebabkan hilang ingatan. Belum ada pengesahan doktor ingatannya demikian.

Dan jika beliau hilang ingatan tiada siapa akan membawa atau menemuinya berjumpa Perdana Menteri. PM pun tidak buang masa untuk jumpa orang hilang ingatan.

Atau kemungkinan yang menerima surat itu hilang ingatan disebabkkan oleh usianya. Pun tiada pengesahan doktor tentang ingatannya. Jika ingatannya demikian, tentu hilang kelayakan jadi Perdana Menteri.

Entahlah jika ingatan itu hilang sekali sekali dan masa itu ingatannya hilang.

Rasanya tidak siapa percaya Tuan Guru Haji Hadi buat surat seremeh itu. Amat payah difikirkan ada orang yang mempercayai dakwaaan PM Mahathir itu yang selamanya banyak berpolitik Luncai. Bukan politik tipu atau politik bohong, tetapi politik yang banyak belit dan muslihat. Hatta Tun Siti Hasmah, isterinya payah percaya kejadian itu.

Dengan menyebut benda yang tidak masuk akal itu politiknya tentang PRK Semenyih itu sudah jadi politik Luncai. Dan siapa percaya dengan politik Luncainya itu telah termasuk perangkap Luncainya.

Seolah-olah yang amat percaya adanya surat itu Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Buktinya, dia ulas penafian PAS itu, kira-kira depan Tun cakap lain, belakang cakap lain.

Jika Tan Sri Muhyiddin tidak tengok surat itu tapi dia percaya, Mahathir pun boleh bertambah Luncai bagaimana orang seperti Muhyiddin boleh terperangkap dalam politik Luncainya?

Joseph Gobbels, Menteri Propaganda Hitler, diajar Hitler, bohong itu jika diulang-ulang nescaya orang percaya ia bukan bohong.

Rata-rata orang percaya Tuan Guru tidak buat surat begitu. Beliau masih menjadi imam. Ia tanda ingatannya kuat dan dipercayai makmum.

Ingatan Mahathir kuat. Jika tidak kuat tentu PAS tidak suruh dia terus jadi Perdana Menteri. Dakwaannya saja tidak dipercayai selagi dia tidak tunjukkan surat itu.

Tetapi mengapa dia dakwa demikian? Itulah Luncainya!

Ia termasuk cerita jenaka rakyat seperti Haji Bakhil buat notis, ‘Haji Bakhil tidak tanam harta di sini’. Apabila si fulan tengok notis itu dia ganti dengan notis, ‘Fulan tidak curi harta Haji Bakhil’.

Demikianlah moral kempen politik Luncai dalam PRK Semenyih. – HARAKAHDAILY 1/3/2019

SAYA cuti panjang dari politik yang aktif ketika PAS mengadu kepada mahkamah England tentang dakyah Sarawak Report dan Clare Brown mendakwa PAS diberi Umno RM90 juta.

Mengadu kepada mahkamah itu adalah amalan biasa di dunia sekarang. Saya tidak membantah. Tetapi pada saya ada satu kaedah mengadu lagi iaitu ke hadhrat Ilahi khususnya oleh umat Islam. Di samping mengadu kepada mahkamah duniawi, justeru ia saja yang difahami oleh masyarakat dunia, kita utamakan mengadu kepada Allah, sedang ramai umat Islam pun tidak memahaminya.

Bila saya aktif sikit dalam PAS semula saya beri pandangan minoriti, eloknya kita mengadu juga kepada Allah.

Pada saya sesudah saman terhadap Sarawak Report itu sudah dimuktamadkan diselesai di luar mahkamah, maka bersekongkol pula Dato’ Seri Anwar Ibrahim, pemimpin PKR seumur hidup dengan kentut bawaan Clare itu. Sedang isu itu dulunya, PAS diberi RM90 juta adalah kentut. Kentut itu kita tidak nampak, yang ada baunya saja.

Kentut itu dikatakan perempuan Inggeris itu dibayar sejuta dalam penyelesaian luar mahkamah itu.

Saya fikir PAS tutup hidung saja mengelakkan pekung kentut itu, kita kembali mengadu kepada Allah, bermunajat membacakan Yasin untuk Anwar dan Clare serentak di semua ibu negeri khususnya di stadium di Kota Bharu dan Kuala Terengganu tiga Jumaat malam berturut-turut.

Biarlah Allah beri jawapan setimpal atas aduan itu. Akan ada yang kata PAS berpolitik Yasin, biarlah mereka kata kerana masing-msing tidak peka Islam ada politik demikian. Atas satu fitnah yang Rasulullah SAW hadapi, baginda membaca qunut nazilah sebulan.

Politik Yasin ini diambil Tok Guru Nik Aziz sebagai Ketua Dewan Ulamak lepas ia keluar dari BN dulu. Jika saya tidak silap Menteri Pelajaran, Dr Mahathir menempelak PAS lebih bahaya dari komunis. Dua siri politik baca Yasin itu. Lama selepas itu saya tanya Tok Guru Nik Aziz. Apa jadi dengan bacaan Yasin? Mahathir yang jadi Menteri Pelajaran kian naik hingga jadi Timbalan Perdana Menteri dan kemudiannya Perdana Menteri.

Jawab beliau, jawapan dari Allah tidak pasti kita dapat lihat. Ia jadi semasa hidup dan ia boleh jadi selepas mati. Boleh berlaku cepat dan boleh berlaku lambat. Tetapi kita mesti yakin Allah mendengar rayuan dan aduan hamba-Nya.

Mengadu kepada Allah adalah ibadat, dan mengadu kepada mahkamah duniawi, kita tidak tahu lagi.

Tok Guru sudah mati, tetapi Mahathir jadi Perdana Menteri semula. Adakah dia, kerajaannya dan partinya selesa sejahtera dan huru-hara? Allah Maha Mengetahui.

Tok Guru Nik Aziz sebelum jadi Mursyidul Am pernah ambil tindakan ini. PAS kalah di Kelantan gara-gara ditendang dari BN. Selepas baca Yasin Tok Guru naik jadi Mursyidul Am, jadi Menteri Besar Kelantan sepanjang Mahathir jadi Perdana Menteri. Mahathir bersara, jadi Perdana Menteri lagi, masih dia tidak dapat ambil Kelantan.

Saya tidak kata yang tidak disenangi pembesar PH sekarang gara-gara baca Yasin dulu, tetapi beliau yang pernah berpolitik begitu terus disanjung oleh kawan dan lawan, baik sebagai pemimpin PAS baik sebagai pemimpin Kerajaan Kelantan, baik semasa hidup mahu pun selepas mati.

Kita bukan hendak membaca Yasinkan Anwar seperti meYasinkan Mahathir dulu, tapi mengadu kepada Allah itu sebagai menepis pekung kentut yang mereka lepaskan. Yasin tiga malam Jumaat itu juga boleh melepaskan Mahathir dari percubaan menggulingkannya. – HARAKAHDAILY 28/2/2019

MARI kita balik kepada mula pembentukan Tabung Haji oleh Prof Diraja Ungku Aziz sebaik saja kita merdeka dulu.

Masa itu pemergian ke Mekah dikendali oleh Lembaga Urusan Haji. Orang naik haji tidak ramai, tambang kapal dan belanja di Mekah pun tidak besar. Orang boleh bawa bekal makan di Mekah dan Madinah.

Orang yang naik haji yang ada duit dan ramai yang menjual tanah. Masing-masing tidak kaya dan tidak banyak tanah. Bila tanah dijual, lepas jadi haji jadi orang tidak bertanah. Bila haji itu mati, tiada pesaka yang ditinggalkan kepada waris.

Demikianlah gara-gara penindasan yang dihadapi orang miskin Islam hendak menyempurnakan semua rukun Islam. Sekalipun wajib haji itu ada syaratnya, tetapi orang Islam tidak selesa jika meraka mati tanpa haji.

Bagi mengelakkan tidak menjual tanah ke Mekah, maka Ungku Aziz sediakan pelan Tabung Haji bagi membebaskan umat Islam dari penindasan termasuk membebaskkan mereaka dari sebarang pembabitan riba.

Ia boleh jadi institusi ekonomi yang penting yang keuntungannya boleh dipulangkan kepada jamaah haji. Keuntungannya jika ada, boleh mengurangkan tambang yang hendak ke Mekah lepas itu dan hendak ke Mekah lagi.

Semua orang bernafsu hendak kaya, tetapi Tabung Haji bukan jadi lombongan emas untuk orang jadi kaya. Sekalipun tabungan sebagai satu ciri boleh jadi institusi kewangan dan ekonomi, tetapi ia jangan jadi institusi Qarun mengumpul harta dan kekayaan.

Mekah jadi pusat dagang Arab zaman jahiliah zaman berzaman. Mereka boleh kaya kerananya tetapi mereka limpahkan kunjungan itu kepada orang haji dari semua ceruk, hingga makan, minum dan kediaman semasa haji ditampung atau dapat dorongan oleh penduduk Mekah dan saudagar yang ada di kota itu.

Konsep pahala tidak ada pada kaum jahiliah, tetapi mereka ada tanggungjawab kebajikan, meringankan beban para haji.

Sesudah jahiliah lama hapus oleh kedatangan Islam, sepatutnya keperluan haji dan kemudahan jamaah lebih baik dari zaman jahiliah. Tetapi sesudah sekalian penduduk Arab menjadi Islam, masyarakat Mekah dan Madinah kerja dua tiga bulan mengaut untung banyak untuk hidup setahun.

Zaman jahiliah saudagar Arab menggunakan kekayaan dan harta untuk kebajikan pengunjung tanah suci, umat Islam sekarang berlumpa-lumba menjadi jutawan dari orang yang berhaji ke situ. Penindasan selepas benua Arab dibebaskan oleh Islam, kini bertukar menjadi penindasan yang lebih teruk dari zaman jahiliah dulu.

Jahiliah baru sekalipun masih Islam mula berjangkit kepada urusan Tabung Haji yang tujuan asalnya membebaskan bakal haji dari sistem penindasaan, Tabung Haji menjelma menjadi lombong emas bagi semua orang hendak membuat duit dan kekayaan sehingga beban haji sekarang sudah terbuka kepada orang berduit dan kaya raya.

Dengan segala subsidi yang kerajaan bagi termasuk peruntukan yang Tabung Haji beri, belanja perorang sekitar RM10,000. Tetapi jamaah yang temannya tidak terpilih, teman dicadangkan dikenakan RM20,000. Ini satu penindasan. Orang yang hendak pergi kali kedua memang dikenakan RM20,000 bahkan yang pergi melalui saudagar luar Tabung Haji dikenakan sampai RM50,000 atau lebih.

Sistem nampaknya haji menjadi peluang orang mencari kekayaan, demikiannya juga Tabung Haji sebagai institusi Islam, bukan lagi membasmi penindasan, tetapi sistem penindasan atas nama Islam.

Ini tidak termasuk penyangak selama 60 tahun kerajaan lama dan kerajaan baru pula seolah-olah meneruskan lagi penindasan itu. Jihad semua ialah bagaimana membebaskan pentadbiran haji dari penerusan penindasan jahiliah baru? – HARAKAHDAILY 27/2/2019

PERHATIAN terhadap Dato’ Seri Najib meningkat kian hari. Sebaliknya Perdana Menteri Mahathir pula menurun dan menurun seolah-olah suasana pasaran saham di zaman pentadbiran pertamanya dulu, rendah dan tidak naik-naik.

Adapun Dato’ Seri Anwar Ibrahim seolah-olah tidak ada. Tidak seperti masa dia dipenjara dulu. Dia dirasakan sentiasa ada dalam perhatian ramai. Setelah dibebaskan atas perintah Seri Paduka dan selepas Langkah Port Dicksonnya dia seolah-olah hilang bersama anaknya.

Keadaan nampaknya kini orang menunggu apa Najib kata dalam laman webnya dan ke mana dia pergi? Berduyun-duyun orang mengikuti dan menunggunya.

Pada hal tahun-tahun akhir menjelang PRU14 dulu orang-orang Umno tertentu saja yang menjunjungnya. Malah majoriti orang Umno diam tapi di benak masing-masing berasa laksana merayapnya api dalam sekam. Yang tidak diam Mahathir dan Muhyiddin Yassin hingga mereka campak Umno ke muara Sungai Pahang.

Ada pun orang ramai adalah seperti bendul lurus yang jika boleh bersuara nescaya kedengaran bisikan bila Najib hendak pergi?

Bolehlah dikira semuanya menaruh harapan yang melangit atas gencatan senjata Mahathir-Anwar, mengiranya satu rahmat mula bersinar.

Najib seolah-olah sudah habis setelah BN kalah dan dia melepaskan pimpinan Umno. Umno melarangnya turun ke PRK Sungai Kandis. Umno macam tidak menghendakinya lagi.

Negara seluruhnya menunggu rahmat datang bersama Mahathir dan Anwar. Dengan segala tohmah yang melanda Najib, orang mengagak ke mana dia akhirnya?

Ditakdirkan rahmat tidak datang seperti kilat, mungkin merayap seperti semut. Anwar diam demi mahu mereformasikan Parlimen sambil menunggu apa Mahathir hendak buat dan apa rahmat yang hendak dibawanya bersama Guan Eng. Langkah Port Dickson belum mengubah apa-apa di Parlimen.

Manifesto Mahathir-Anwar dan Guan Eng sudah jadi guruh yang hujan tak jadi turun. Rahmat nampaknya lambat dan banyak di lidah dan otak Guan Eng. Nikmat jika ada, dinampak oleh DAP yang selama-lamanya kenal nikmat yang disediakan Guan Eng sejak sebelum Najib digantikan. Adapun yang bukan DAP khususnya bekas soldadu Umno tidak nampak rahmat yang DAP nampak.

Selain dari Guan Eng yang nampak faham itu rakan-rakan si Moorty. Rahmat bergerak seperti semut, entah tiba, entah tidak tiba.

Sesudah lapan bulan Najib jadi macam Luncai dengan labu-labunya orang mulai merasa bala di zaman Najib dulu seolah-olah lebih ringan dari rahmat yang dimanifestokan oleh Mahathir-Anwar- Guan Eng. Semua setuju dulu yang bersama Najib dulu adalah racun, tetapi dengan penawar yang dibawa PH, tidak dirasa seperti penawar dirasakan lebih bisa dari racun dulu. GST dulu racun. Digantikan dengan SST. Ia macam racun juga.

Kejatuhan minyak dan pemulauan Eropah atas sawit menjatuh nilai ringgit. Malang atas ringgit Najib gandakan eksport. Dia sediakan pasaran atas sawit iaitu China. China pun bukanlah rakan yang lurus. Banyak belitnya juga.

Ringgit kian uzur, apa jadi dengan eksport kita? China macam Eropah tidak import sawit. Guruh rahmat bertambah perlahan.

Bila rahmat payah tiba, rakyat pula kurang sabarnya. Memburukkan Najib saja, tidak menjadikan Mahathir-Guan Eng lebih baik. Jika Mahathir-Guan Eng segerakan rahmat, kekallah buruk Najib. Mulailah persepsi orang Najib lebih elok dari Mahathir dan Anwar.

Najib tetap tidak jadi contoh, justeru Mahathir dan Anwar bergerak macam semut, orang kata Najib lagi elok. – HARAKAHDAILY 23/2/2019

TIDAK pernah dalam perkhidmatan saya di banyak posisi saya berkesempatan menyampaikan takziah kepada kakitangan di bawah saya, melainkan sekali ini kepada Puan Noriah Yunus yang pemergian suaminya Almarhum Aminudin Abdullah petang Sabtu 16 Februari lalu setelah sekian lama uzur.

Puan Noriah adalah satu-satunya staf saya di Sidang Assabiqun. Dia staf Pejabat Agung PAS ditawarkan oleh PAS menjadi staf saya dua bulan lalu.

Moga-moga bersabar atas ketentuan Allah itu.

Saya amat kenal Noriah sejak Pejabat Agung PAS di Jalan Pahang Barat, Kuala Lumpur lebih 20 tahun lalu.

Khidmat Noriah pada Assabiqun yang pertama membantu saya menyempurnakan Seminar Sejarah PAS sebulan lalu. Lepas itu saya belum jumpa dia kerana melayan suami yang kian uzur. Tetapi dia sudah dalam keadaan demikian sejak lama. Namun Noriah tidak mengabaikan tanggungjawabnya. Menjalankan kerja melalui talian. Sekali sekala saja jumpa tentang urusan kerja.

Saya baru saja teringatkan Noriah tentang tugas baru Assabiqun. Beberapa hari sebelumnya Jawatankuasa Kerja PAS Pusat meluluskan pelan Assabiqun untuk mengesan ahli PAS yang 60 tahun ke atas yang jumlahnya dikatakan 380,000 orang.

Saya diberitahu angka itu sejak diamanahkan mengetuai sayap Assabiqun parti itu lebih setahun lalu. Kerana saya tidak ada staf, yang ada jawatankuasa Assabiqun saja, saya tidak cari sekalian jasawan PAS.

Jika mereka masih ada, mungkin yang meninggal dalam tempoh tidak begitu ramai, tetapi tambahan ahli yang layak jangkanya lebih ramai. Yang usia 58 dan 59 tahun semasa saya mula mengambil tanggungjawab itu, hari ini sudah 60 tahun. Ertinya sudah lebih dari 380,000.

Di mana mereka? Baru beberapa bulan dulu saya tahu yang menyimpan nama-nama itu ialah Puan Noriah yang bertugas sebagai staf keahlian parti di Pejabat Agung. Dan masa itulah dia dipinjamkan kepada Assabiqun.

Saya minta Noriah mengeluarkan semua nama itu dari komputer supaya mereka dapat dicari. Kata Noriah tak muat sebuah rumah besar untuk dikeluarkan dari komputer dan dia pun tidak punya masa untuk mentadbirkannya.

Diberitahunya, semua nama itu ada pada setiap kawasan di seluruh negara. Kawasan menyimpan jasawan di kawasannya. Minta mereka mengeluarkannya dan baru ia diuruskan.

Dalam mesyuarat yang terbaru saya cadangkan supaya semua Pesuruhjaya PAS negeri dan wilayah mengarahkan kawasan-kawasan mengeluarkan nama itu dari komputer dalam beberapa salinan. Satu untuk Sidang Assabiqun Pusat, satu simpan di kawasan, satu unuk kegunaan Dewan Pemuda PAS Kawasan yang diberi kerja baru untuk mencari mereka di akar umbi.

Saya mahu lis itu dapat diserahkan dalam masa dua minggu. Ia sudah diputuskan dan memerlukan tindakan. Pejabat Agung akan mengambil tindakan sewajarnya.

Di samping Pejabat Agung bekerja, saya mahu maklumat itu sampai segara kepada PAS kawasan-kawasan hendak mengingatkan sekalian pesuruhjaya supaya menggerakkan kawasan-kawasan.

Noriah ada talian dengan semua pesuruhjaya dan semua kawasan. Saya mahu mesyuarat dengannya dan pembantu Assabiqun Pusat yang lain untuk menyelaras urusan itu. Dalam satu dua hari saya akan panggil mereka. Yang pertama dapatkan Noriah dulu.

Tiba-tiba petang Sabtu itu saya terima maklumat suami Noriah meninggal. Segera saya dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur. Bagaimana saya hendak memulakan kerja kerana Noriah mesti menghormati idah empat bulan 10 hari mulai hari itu.

Saya tidak tahu hendak memulanya, tapi Noriah kata, “Ana akan tolong Pak Haji”.

Besar cabarannya. – HARAKAHDAILY 22/2/2019

SEBELUM heboh MP Nik Abduh ditularkan dia berbohong atas suaranya di audio, saya tanya dia adakah itu suaranya?

Jawabnya, "Ya".

Saya tidak tanya mengapa dia tidak cepat-cepat mengaku. Kerana dia ada ilmu dan anak orang berilmu, tentu dia tahu apa yang dibuatnya.

Sesudah saman atas Sarawak Report selesai dan sudah didatangi SPRM, dia mengaku dia berdalih dulu, suara di audio itu adalah suaranya.

Dia sudah menjelaskan mengapa tidak mengaku dulu dan jika dalihnya dipersepsi bohong, mengapa dia berbohong? Kerana ada ketikanya berbohong itu dibenarkan.

Kerana penjelasannya itu berdasarkan ilmunya, dan tiada rekod sebelum ini dia tidak bercakap benar, tidak saya takwil perkembangan itu kerana saya tidak mahu dikata orang tidak peka dan tidak menghormati cakap-cakap orang berilmu.

Apa reaksi orang akan penjelasannya itu adalah ada alam. Nabi Hud amat dihormati kaum Aad justeru tiada mereka tidak pernah berbohong. Nabi Saleh pun amat dihormati kaumnya, Tsamud. Mereka dicap berbohong bila membawa mesej nabi.

Kaum Quraisy menobatkan al-Amin kepada Rasululluh SAW justeru bercakap benar. Jika baginda sendiri ditempelak keluarga dan kaumnya kerana membawa mesej kenabian, tiada pelik Nik Abduh yang bukan nabi ditakwil. Hanya yang jujur dengan ilmunya mengenal manikam.

Nik Abduh baru sekali mengaku berbohong dengan sebab-sebabnya. Berbohongnya kerana muslihat dan belum boleh dilabel pembohong. Ada bohong yang dibolehkan, yang boleh jadi pembohong. Pembohong bercakap benar pun dikira bohong juga.

Nasihat saya, elakkan dari selalu berdalih. Melayu pun sudah kata, siakap senohong gelama ikan duri, cakap bohong lama-lama mencuri. Bermuslihat dibenarkan, tetapi sepanjang masa bermuslihat pun jadi payah juga.

Jika berdalih dikira berbohong, maka Nabi Ibrahim pernah tiga kali berdalih. Pertama ketika bapanya hendak membawanya ke pesta berhala. Baginda mengaku uzur, maka baginda dibenarkan tidak ikut. Bila tinggal keseorangan, dihancurkannya semua patung kecuali yang terbesar.

Kedua ketika pengembaraan ke Mesir, baginda memberi tahu pegawai imigresen, isterinya ada adiknya. Jika diberitahu ia isterinya, nescaya ada gangguan sang raja. Ketiga, saya tak ingat.

Tiga bohong Nabi Ibrahim ini amat masyhur dalam sejarah para nabi sejak zamannya. Tipu baginda itu adalah benar, tetapi tidak boleh sesiapa kata ia bohong dan Nabi Ibrahim pembohong. Ada ketikanya seseoang itu boleh berdalih kerana muslihat tertentu.

Sekarang Nik Abduh diperceceh oleh sekalian penceceh. Semuanya tidak mencerakin buah butir Nik Abduh dalam audionya. Yang ditular penafiannya dan kemudian pengakuannya. Kerananya dia didesak.

Belum ada yang mengira beliau sudah berdosa dengan apa yang dilakukannya. Tetapi mungkin juga dia tidak berdosa, sebaliknya ijtihadnya, jika ada kelayakannya berijtihad, dia beroleh pahala.

Memang bohong yang dibenar itu berpahala seperti berdalih Nabi Ibrahim. Jika ikut kaedah Nabi Ibrahim itu, Nik Abduh layak beroleh pahala.

Politik Nik Abduh ini adalah baharu. Setakat sepenggal jadi ahli parlimen, belum cukup jadi ukuran. Tetapi beliau sudah mula menempah tempat politik sesuai dengan usia dan kebolehannya.

Tular atas yang terjadi belum meletakkannya di tempat sebenar dan selayak baginya. Tetapi sudah cukup jadi buah butir perbincangan orang, bagi jadi antara orang penting yang diperhatikan sepuluh tahun akan datang. – HARAKAHDAILY 18/2/2019

70 TAHUN dulu, sebelum merdeka, ketika P. Ramlee baru terkenal, sekaliannya dihiburkan oleh seniman agung itu dengan lagunya ‘Nonaku Azizah.

Di sana sini anak-anak muda menyanyikan lagu P. Ramlee itu Oh Nonaku Azizah.

Tidak siapa sangka, dengan bersemayam Yang di-Peruan Agong Tuanku al-Sultan Abdullah, semuanya sudah lupa dengan nyanyi Oh Nonaku Azizah, tiba kita dua Azizah, wanita paling tinggi kedudukannya dalam negara sekarang.

zizahDua wanita tertinggi itu ialah Tuanku Permasuri Agong, DYMM Tengku Azizah, permaisuri kepada Seri Paduka Tuanku al-Sultan Abdullah dan Yang Amat Berhomat Timbalan Perdana Menteri, Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Memanglah satu berita dan peristiwa penting diperkata orang Malaysia beroleh seorang Timbalan Perdana Menteri wanita Dr. Wan Azizah sepuluh bulan lalu. Cerita dan beritanya itu justeru wanitanya menjadi pegawai nombor dua tertinggi negara, bukan nama Wan Azizahnya.

Tetapi nama Azizah jadi berita lebih penting apabila Raja Permaisuri Agong kita pula bernama Azizah juga. Permaisuri Agong Azizah dan Timbalan Perdana Menteri juga Azizah.

Kita sudah pernah ada sebelum ini 14 Permaisuri Agong yang namanya baik-baik belaka, tidak jadi cerita sangat kerana kebetulan tiada jadi Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri yang namanya senama dengan Permaisuri Agong.

Semua Perdana Menteri laki-laki dan Timbalan Perdana Menteri wanita satu inilah. Yang jadi cerita satu nama saja serentak bagi Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri iaitu Agong pertama dan Perdana Menteri pertama iaitu Tengku (Tunku) Abdul Rahman.

Hebat ceritanya bukan sekadar dua jawatan paling penting itu sama namanya, kedua-duanya yang pertama juga. Agong pertama, Perdana Menteri pertama. Memang payah berlaku hal yang sama dalam sejarah itu.

Hanya 60 tahun kemudian ada pula kebetulan sama nama, Azizah bagi Permaisuri Agong dan Timbaln Perdana Menteri.

Walapun nama Wan Azizah sudah glamor sebelum ini, tapi lebih glamor muncul Permaisuri Agong dengan nama sama.

Biasanya yang banyak cerita dan banyak kegiatan orang politiklah. Orang istana beritanya sekali sekala. Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah itu ada perhatian dengan kedudukannya itu. Orang politik buat sesuatu bagi mengekalkan perhatian itu.

Tetapi Permaisuri Agong yang satu ini penampilannya dalam masyarakat boleh mengalahkan perhatian orang lain. Sebagai orang di atas politik tidak perlu cari pengaruh. Suka tidak suka, kedudukannya sudah tetap. Raja peduli rakyat atau tak peduli rakyat tetap raja. Tidak jejak kaki ke bumi pun, tidak jejas kedudukannya.

Oleh kerana raja-raja sekarang rasa perlu dikenali sebagai raja berjiwa rakyat, apa lagi yang terbaru raja, rakyat terpisah tiada, maka raja pun mulai bersaing dengan orang politik unjuk diri pada masyarakat.

Ada raja giat persatuan sukan, ada raja makan di gerai dan ada yang bawa keretapi bahkan menyampaikan ucapan intelektual.

Setahu orang permaisuri dari dulu tahu makan dan minum saja. Masak, basuh pinggan orang lain yang buat. Tapi Tuanku Permaisuri Azizah ini suka ke dapur. Baginda suka masak bukan untuk sendiri tapi untuk jamuan ramai. Mungkin kalau bukan status istananya baginda buka restoran atau jadi caterer.

Kita tidak tahu TPM Azizah ada masa masak atau tidak? Tapi Permaisuri yang seorang ini dikatakan raja surirumah tangga sebenar. Orang kata masakan baginda sedap.

Macam mana saya dapat merasa masakan baginda? Jika orang tanya permintaan saya sebelum mati? Makan masakan Permaisuri Tuanku Azizah. – HARAKAHDAILY 16/2/2019

JUSTERU banyaknya dakwaan terhadap memanda Najib di mahkamah, jika separuh saja disabitkan, hukuman penjara ke atasnya mungkin lebih lama dari baki usianya.

Tetapi tidak nampak dia murung atau lara dengan ‘fitnah’ yang dihadapinya, lahirnya dia dilihat tenang, bersahaja, boleh memberi komen politik yang ringan, kelakar tetapi tajam. Sindirnya menggeli tapi macam pukul mati.

Antara yang terbaru di laman webnya dia bertanyakan apa jadi dengan fulan, ‘champion’ saman ekor pemandu langgar had laju semasa menjadi orang kuat PAS dulu?

Fulan itu membisu apabila kerajaan sekarang yang dipimpinnya bersama meneruskan saman ekor bahkan menambah kamera perakam langgar had laju di tepi banyak jalan itu.

Fulan pelarian PAS itu kini timbalan menteri yang sejak masih PAS dulu amat akrab dengan Mahathir setelah tidak jadi Pedana Menteri lagi dulu.

Cara dia tala Najib dan kerajaan Najib atas isu itu boleh sesak nafas Najib. PAS memberi skongan dan kebebasan kepadanya menala langkah kerajaan Najib yang dikira berunsur zalim. Antara yang ditakwil itu memberi konsensi memasang kamera kepada saudagar yang tidak dipastikan saman dapat kerajaan atau tidak.

PAS adalah bersama sesiapa saja menentang kezaliman apa lagi oleh orang kuatnya sendiri.

Najib dan kerajaannya sudah rudum. Takwil wajar diteruskan kiranya ia disambung juga oleh kerajaan baru. Kerajaan yang fulan antara menteri dikira menambah baik program dan dikira zalim dulu.

Maka di sini Najib melepaskan kelakarnya, apa fulan diam saja? Fulan jawab, tak mahu layan kerenah Najib. Dan kerana dia bukan dalam kementerian saman ekor itu dikatakan dia tidak mahu campur tangan urusan kementerian lain.

Jawapan itu tidak dapat markah. Jika yang Najib tanya itu jadi soalan peperiksaan, nescaya jawapan tidak lulus peperiksaan. Bukan fulan tak mahu layan Najib tapi tak dapat jawab tanyaan Najib. Tanyaan Najib seperti pukul mati ‘champion’ saman ekor dulu.

Fulan mungkin cemerlang di kementeriannya, tetapi fulan tidak dapat jawab tanyaan Najib. Bila Najib ditempelak dulu, dia mungkin sesak nafas tapi biasalah dia tidak jawab. Mungkin cara itu dia tidak layan tetapi dia tidak kata dia tak mahu layan fulan. Bila jatuh baru dia jawab. Jawapannya ialah dia tanya apa fulan fikir atas isu itu sekarang.

Apa jadi sekarang? Macam fulan sudah tidak bergigi.

Fulan boleh dikira telah dimalukan oleh kelakar Najib. Entahlah jika ia tidak memalukannya. Tetapi PAS yang ditinggal fulan lebih malu dari fulan. Lebih separuh usia fulan adalah orang kuat PAS dan antara orang PAS yang dilihat cerdik dan pintar.

Cerdik dan pintar itu patut ditunjukkan di mana saja berada.

Apa orang persepsi atas fulan atas sakat Najib itu adalah masalahnya. Tetapi fulan adalah orang pintar PAS sehingga 3-4 tahun lalu. Musuh PAS, terutama dalam kumpulan PH boleh perleceh atau sakat PAS. Inilah pemimpin PAS! Pintar semasa jadi pembangkang. Bila jadi kerajaan jadi tidak berlidah untuk jawab tanyaan kelakar Najib itu.

Apakah kamera saman ekor itu zalim semasa Najib dulu, tetapi ia adil dan saksama bagi kerajaan sekarang?

Lebh malang bagi PAS apabila seperti fulan sekalian orang kuatnya yang jadi menteri sekarang macam fulan juga pendek lidah.

Hendak tahu lidah PAS pendek atau tidak, tunggu Putrajaya jatuh padanya! – HARAKAHDAILY 12/2/2019