SERANGAN saikologi yang terbaru yang PAS hadapi ialah ia dipuji Perdana Menteri Najib atas isu ia berjumpa Pengerusi 1MDB, Arul Kanda Kandasamy bertanyakan suasana yang sebenar atas skandal terbesar negara itu.
     
Rombongan PAS yang dipimpin Tuan Ibrahim Tuan Man itu dikatakan oleh media berpuas hati atas apa yang berlaku. Apa yang Tuan Ibrahim sampaikan ialah memahami masalah itu sebagai nasi yang sudah jadi bubur.  Bila nasi sudah jadi bubur, orang tidak dapat makan nasi lagi, tetapi berpuas hati dengan makan bubur saja.
      
Malaysia tidak dapat apa manfaat dari duit yang bergeti-geti dilaburkan, hanya dapat bubur yang tidak mengenyangkan sesiapa.
      
Maka itu mesej yang PAS beri. Ia memahami keadaan. Bersediakan semua menghadapi kesannya.
      
Maka ramailah orang menempelak saranan PAS itu terutama pihak yang hendak mengambil kesempatan atas kedudukan PAS yang berbalah dengan sekutunya sesama pembangkang dan oang-orangnya yang mengambil kedudukannya dalam pakatan pembangkang dulu.
      
Jika mereka tidak  tempelak PAS pun, PAS tetap dapat simpati lagi dari mereka. Dalam kekeliruan itu PM Najib pula memuji apa yang PAS buat, kerana dikatakan telah berpolitik matang dan tabayyun, pergi menemui 1MDB, membuat penyelidikan, minta penjelasan dan menyarankan ia memahami nasi yang jadi bubur itu.
      
PM memujinya dengan kerana PAS  dikatakan memahami masalah 1MDB itu. Memahaminya bukan bererti seronok dengan petaka itu, tetapi yang ironinya, PAS memahaminya, takut PM  sendiri  tidak memahaminya. Semua oang kata, 1MDB adalah puaka,  sebaliknya PM dan UMNO kata, tak apa-apa.
       
Biarkanlah PM dengan dalih, versi dan persepsinya. Tetapi kata-kata senang dan puji dari Najib dan UMNO  itu boleh menjadi serangan yang lebih payah bagi PAS, kerana ia adalah seteru politik PAS terpenting sejak PAS ditubuhkan tahun 1951.
      
Sekalipun bagi politik duniawi, tiada sekutu kekal dan tiada seteru politik yang kekal, tetapi bagi sebuah jamaah Muslimin, jamaah yang sekular adalah seteru sepanjang zaman.
     
Falsafah yang Islam fahami, selagi Islam dan Nabi Muhammad dimusuhi Yahudi, ia sintum Islam berada dalam kedudukan yang betul. Tetapi kalau Yahudi memuji Islam dan Muhammad SAW maka ada yang tidak kena pada Islam.
      
Dari sejak Dato Asri, Haji Yusof Rawa, Ustaz Fadzil Noor, TG Nik Aziz hingga ke zaman TG Haji Hadi sentiasa mengingatkan, jika terus mengecam dan memusuhi PAS atau mana-mana jamaah Islam, maka ia tanda kita berada di tempat yang betul, tetapi apabila musuh memuji dan merasa senang dengan kita, berwaspadalah takut ada yang tidak kena pada kita.
       
Musuh lazimnya tidak akan senang sekalipun dalam keadaan yang baik, tetapi musuh amat senang apabila kita dalam keadaan yang lemah.
      
Usah kita ibaratkan PAS dan UMNO seteru dalam agama. Ambil keduanya seteru dalam politik. Tetap tabienya sama, sesama bermusuh. Tidak dipertikai kekentalan PAS semasa menghadapi cabaran Pemuda Tahan Lasak.
      
Tiada diragu perpaduan PAS menghadapi tekanan perit di zaman Mahathir. Tetapi PAS goyang apabila disenangi Tun RAzak. Bila Najib/Zahid puji PAS melangit, menyebabkan ada orang PAS curiga dan tuang dari PAS.
       
Apapun PAS jangan lari dari berpolitik matang seperti yang Najib kata bertabayyun. Kata betul pada yang betul dan kata tidak pada yang tak betul. Tetapi mesti waspada bila sentiasa dipuji musuh. Ia lebih susah dari musuh keji. Demikianlah susahnya politik. - HARAKAHDAILY 17/8/2017

PENAHANAN atas Pengerusi SPAD Tan Sri Isa Samad oleh SPRM bukanlah satu berita yang patut digembirakan termasuk SPRM sendiri. Ia satu tindakan berat yang melibatkan orang kenamaan, yang semua patut muram.
      
Dia ditahan kerana dikatakan ada peranan dalam pembelian hotel di England dan Kuching dengan harga yang tinggi, lebih daripada harga sepatutnya semasa menjadi Pengurusi Felda Global Ventures dulu.
      
SPRM pun bukanlah suka sangat menangkap orang besar, tapi demi tugas, negara dan profesionalnya. Sekalipun ia berita muram, tapi orang boleh berbangga pada SPRM zaman ini kerana berani menangkap jerung, sama seperti masa Tun Dr. Ismail jadi Timbalan Perdana Menteri dulu.
      
Selepas itu persepsi semua SPRM atas apa jua nama pada agensi pencegah rasuah itu adalah untuk ikan bilis saja. Di tengah gawat isu 1MDB, ada kecenderungan SPRM merdekakan jerung asal bukan mengaitkan 1MDB. Dengan tindakan atas Isa Samad itu SPRM buktikan ia tak  takut  pada jerung.
       
Jerung itu banyak. Banyak juga berstatus jerung sudah direman. Ini boleh dikira SPRM sudah lepas dari fobia cuak jerung.
      
Jerung pun ada rajanya. Dan rajanya pun banyak. Raja jerung saja yang belum diambil SPRM. Apabila sampai ketika raja jerung juga berani diambil, maka barulah SPRM benar-benar merdeka, bukan lagi seperti yang terdapat di dunia ketiga.
      
Apapun TS Isa baru ditahan dan pertuduhannya akan kita ketahui. Seperti biasa ke mahkamah dulu dengan pakaian lokap untuk direman hinggalah dibicarakan.
       
Orang yang dituduh belum dikira orang bersalah. Dia masih orang tidak bersalah hinggalah mahkamah membukitkan bersalah. Maka wajarlah semua menghormati sistem mahkamah kita, tidak beranggapan  tidak baik terhadapnya hingga mahkamah membuat keputusan. Bagi sekalian yang terharu, pasanglah harapan supaya dia dibebaskan kerana banyak juga kes yang dituduh dibebaskan.
      
Apapun Isa bukan kali pertama dihadapkan kes rasuah. Dia pernah didapati bersalah oleh jawatankuasa disiplin Umno kerana rasuah politik dan telah dihukum. Kerana jawatankuasa disiplin Umno bukan mahkamah, Isa tidak dilihat jenayah. Ia tidak jenayah dan ia boleh pegang jawatan awam.
      
Pada moralnya, baik ia diputuskan oleh mahkamah atau apa institusi jua, yang tidak bermaruah itu adalah sama tidak bermoral juga.
      
Jika kerajaan kita adalah bermaruah baik politik dan integritinya, maka Isa patut dijauhkan daripada mana-mana badan awam. Tetapi pengaruh masyarakat kita yang merosot maruahnya, tidak mengambil kira berwaspada atas persoalan maruah.
      
Berwaspada kepada orang yang ada rekod moral, bukanlah seolah-olah tiada peluang kedua baginya, tetapi bagi berwaspada tidak berulang perkara maruah itu dan kerajaan dan sektor awam. Risiko sentiasa ada, anjing yang tidak makan tahi, tapi apabila jumpa tahi ia hidu juga.
     
Jika dia dibiarkan menjalani hidupnya sendiri sebagai orang awam, bukan pemegang jawatan awam barang kali dia tidak terdedah dengan godaan dan fitnah.
      
Pengalaman huduh pertama seseorang kebarangkalian atas kelamahannya, tetapi apabila berulang kelemahan, ia tidak lagi kelemahan dia saja, orang yang mendedahkannya kepada godaan dan fitnah, lebih berhak disalahkan.
      
Rakan-rakan Isa tidak belajar daripada kesilapan Isa dulu, boleh dikira menyusahkan lagi kehidupan Isa dan keluarganya. Jangan tuding Isa saja, tetapi siapa yang merosakkannya? Sistem di sekelilingnya. – HARAKAHDAILY 16/8/2017

TIADA makhluk - manusia dan malaikat - kata projek sistem rail dari Lembah Klang ke Kelantan di bawah ECRL yang dibiayai China merugikan negara dari segi ekonomi, pembangunan dan kemajuan.
      
Semua setuju ia bukan menguntungkan Malaysia saja, bahkan ia menguntungkan China. Hingga beratus tahun selepas PM Najib dan menteri pengangkutannya, Datuk Seri Liow Tiong Lai mati ia akan memberi untung besar kepada Malaysia sama seperti untungnya Tanah Besar China  dengan Tembok Besar China yang dibina ribuan tahun dulu.
       
Tetapi jadahnya mengapa acara pecah tanah projek itu yang dihadiri oleh PM Najib tidak diserikan dengan bahasa rasmi negara yang diperlembagakan sejak merdeka?
      
Malaysia bangga dengan adanya Perkasa – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia – yang membangkitkan lambang kebesaran negara seolah-olah dibangkulsampahkan dalam acara pecah tanah itu. Bahasa rasmi negara dan lain-lain lambang kenegaraan dikatakan diketepikan.
      
Mungkin Perkasa yang diketuai oleh Datuk Ibrahim Ali dicap perkauman oleh orang yang antinya, tetapi Perkasa dalam hal pecah tanah ini telah membangkitkan perkara yang hak. Tidak timbul seperti yang Tiong Lai bangkitkan isu perkauman bagi mengeruhkan hubungan baik antara Malaysia dan China.
      
Menteri Tiong Lai mesti peka, dia adalah menteri Malaysia. Dia tahu masa mana bahasa dan bendera mesti diutama dan dimuliakan. Tiong Lai patut nasihatkan, jangan ada yang kejadian provokatif, yang boleh ditafsirkan memburukkan lagi maruah dan imej Perdana Menteri.
      
Nama Perdana Menteri dengan segala skandalnya sudah cukup memburukkan, ditambah dengan pecah tanah yang membakul sampah warisan dan kebanggaan negara, Tiong Lai seolah-olah melayakkan bossnya dicampak ke Laut China Selatan.
       
Tiada cacat celanya pecah tanah itu tidak menggunakan bendera dan bahasa yang boleh difaham oleh warga China saja. Adakah projek-projek China di Afrika dan di mana-mana di dunia acara pecah tanahnya tidak guna bahasa dari benua lain bahkan bahasa Tanah Besar saja?
      
Tiong Lai telah tidak membantu PM Najib memulihkan namanya di kalangan rakyat yang bermaruah.
       
Yang penting bagi pelabur China ialah peluang ekonomi yang diperolehnya dan ia membantu menambah namanya dalam masyarakat antarabangsa, bukan memacak bendera dan bahasanya di wilayah asing.
      
Semua tahu Najib bukanlah pemimpin yang boleh dibanggakan oleh Malaysia. Tiong Lai dan menteri-menterinya jangan jadi orang menyokong membawa rebah kepadanya. Dalam hubungan Malaysia dan China sekarang ini Najib sudah dilihat sebagai seorang yang bisu. Tiong Lai sebagai pemimpin Malaysia bukan Melayu sepatutnya dapat menjadi penasihat yang baik, bukan jadi batu api menempelak teguran Perkasa itu membakar perkauman.
      
Apa yang Perkasa timbulkan itu ada membangkitkan kebenaran dan kesedaran. Jika Perkasa tidak bangkitkan, siapa yang sanggup membangkitkan. Harapkan Umno? Baik ia jadi tukang kipas supaya Najib lebih cepat ditempelak.
      
Tiong Lai tidak dilihat pihak yang dapat membantu mendaulat roh keperwiraan yang amat diperlukan oleh bangsa berbilang kaum di Malaysia.
      
Kita tidak fikir kejadian pecah tanah ECRL di Kuantan itu syarat yang ditentukan oleh pelabur China. Kita takut orang-orang di sini lebih sudu dari senduk. Jika perkauman payah dikikis, ia disebabkan oleh orang Malaysia tidak berbangga dengan nilai-nilai yang baik yang ada dalam negeri.
      
Bukan semua Perkasa itu buruk.  Dalam isu pecah tanah ECRL, Perkasa adalah wira dan perwira. - HARAKAHDAILY 15/8/2017

SAYA tidak tahu apa yang PAS puas hati setelah pimpinannya yang diketuai Tuan Ibrahim Tuan Man bertemu dengan Kanda Kandasamy, Pengerusi 1MDB.
      
Tentulah ada benda yang mereka puas hati yang belum dijelaskan lagi kepada umum khususnya kepada ahli-ahlinya.
      
Adalah mustahak ahli-ahli parti tahu dulu apa yang puas hati itu sebelum orang lain tahu.
       
Saya menunggu penuh sabar apa yang dikatakan puas hati itu. Setakat ini semuanya mahu tahu akan penjelasan puas hati itu.
      
Dan saya percaya tentulah ada asas-asas yang ia puas hati itu.
      
Sekalipun saya belum tahu isi dan butirnya, tetapi kerana keyakinan saya kepada parti dan pemimpin-pemimpinnya, maka saya ada sikap husnuzan kepada parti. Bila PAS puas hati, maka saya pun mesti puas hati. Dan saya akan dapatkan dari parti apa yanag mereka puas hati itu.
      
Oleh kerana PAS itu parti saya. Tiada parti lain yang saya sertai sebelum menyertainya, maka saya mesti sentiasa bersangka baik kepada parti saya itu termasuklah dalam perkara yang saya belum faham dan payah faham.
      
Pertama parti saya itu adalah sebuah jamaah Islam, tiada yang sepertinya wujud semasa ia diwujudkan. Sekalipun sebelumnya wujud dulu sebuah jamaah Islam siyasi, Hizbul Muslimin yang menyambung wadah ikhwanul Muslimin Mesir dan Masyumi Indonesia, tetapi ia telah dimendiangkan oleh penjajah British.
       
Selepas tiga tahun susah payah kosong jamaah, maka ulama masa itu berjaya menggantikannya dengan PAS. Maka dengan susah payah juga pemimpin dan penyokongnya menjaga dan menghidupkan jamaah yang banyak kelemahan sejak dari mula, dan syukur ia muncul sebagai wadah Islam yang terbaik di rantau sebelah sini.
      
Kerana ia parti saya, maka saya sepanjang masa bersangka baik kepada parti itu terutama apabila ia berdepan dengan perkara-perkara yang payah dan keliru.
      
Jika saya sebagai ahli tidak berkata baik kepadanya, siapa lagi yang hendak berkata baik  tentangnya. Buruk baik ia adalah parti saya dan ia saja setakat ini yang  sedia rebah dan bangun menjaga jamaah Islam itu. Telah terbukti sejak turunnya Rasulullah SAW sebagai rasul, tiada siapa tampil membela jamaah Islam melainkan umat Islam sendiri.
      
Maka saya sentiasa bertekad untuk mencontohi Saidina Abu Bakar Siddiq, menerima saja apa yang Rasululah sabda dan buat sama ada faham atau tidak faham.
     
Bukan saya saja payah faham apa yang PAS dan pimpinannya kata dan buat, Najib, Zahid dan Mahathir pun payah faham apa yang pimpinan PAS buat.
     
Pemimpin PAS saja dalam semua masa dengan susah payah mempertahan apa saja bagi menjaga wadah tunggal siyasah Islam. Jika orang PAS tidak berbuat demikian, jangan ingat ada orang lain sedia menjaganya.
      
Kerana saya sayangkannya, saya mesti sentiasa berpuas hati atas apa saja yang ia puas hati. Moga-moga dengan berpuas hati dan berserah kepada Allah, yang tidak puas hati akhirnya akan puas hati pula.
     
Mungkin ia payah difahami tetapi Islam tidak boleh menyerah kalah kepada orang yang tidak memahaminya. - HARAKAHDAILY 13/8/2017

SISTEM pemerintahan Malaysia berada di jalan buntu bagi mengendalikan skandal 1MDB yang sudah makan masa bertahun-tahun sekarang.
      
Kerajaan BN adalah kerajaan yang sudah sinonim rasuah, tetapi kerajaan Najib lebih teruk sinonim dengan puaka 1MDB, satu rompakan besar kerajaan oleh kerajaan BN yang tiada siapa tahu untuk menyelesaikannya.
       
Semua tahu sejak mulai lagi, sebaik saja Najib mengambil alih kuasa, 1MDB dibentuk sebagai badan pelaburan Kementerian Kewangan, yang tidak menjalankan urusan pelaburan sangat tetapi jadi badan merompak Kementerian Kewangan.
      
Keburukan syarikat Najib itu diketahui oleh semua, rakayt jelata, sekalian pemimpin dan ahli-ahli UMNO, seisi keluarga Njib sendiri, bahkan oleh  setiap keluarga istana. Baunya tidak tercium, mengalahkan bau roh  ahli maksiat yang baru mati, yang malaikat usung ke langit, melentung seisi ruang antara bumi dan langit.
     
Kalau roh yang paling busuk itu Firaun dan Abu Lahab, bau 1MDB lebih teruk. Tiada siapa yang dapat mencegah dan menghukumnya, kerana ketua perompak itu ialah Firaun dan Abu Lahab sendiri, orang paling berkuasa di muka  bumi. Mereka tidak mungkin bertindak atas diri sendiri. Jika Firaun membenarkan tindakan dikenakan ke atasnya, maka tidaklah dia bernama Firaun.
     
Semua sistem semak dan imbang dalam kerajaan telah dibuka untuk menyiasat rompakan itu, tetapi semuanya dibuka bukan untuk menyiasat tetapi untuk ditutup. Semua kaki penyiasat dibebaskan dari kerja menyiasat.
      
Peguam Negara, Gabenor Bank Negara, ketua SPRM, Ketua Audit Negara dan lain-lain tidak menyambung perkhidmatan lagi. Semua usul balik asal, 1MDB tidak diusik langsung, selagi Putrajaya di bawah BN dan selagi Najib Perdana Menteri dan menteri kewangan.  
      
Saya terbaca biografi Tun Abdullah Ayub antranya menyebut, Perdana Menteri Tun Razak pernah bercadang untuk menjadi menteri kewangan, nasihat Tun Abdullah, jika menteri kewangan juga Perdana Menteri, nescaya tiada siapa dapat merayu kepada Perdana Menteri atas kelemahan menteri kewangan.
      
Tun Razak membatalkan niatnya.  Punca kerosakan ialah Perdana Menteri juga menteri kewanan.
      
PM Najib tidak menghalang pembentukan badan penyiasat, tetapi membiarkan ia tidak menyiasat. Pakar pendidikan Melayu berseminar membincangkan kerugian pendidikan Melayu jika pengajian terus dalam bahasa Inggeris. Kata Najib masa menutup seminar, kalau tuan-tuan bimbang saya lebih bimbang. Tetapi dia tak buat apa-apa.
       
1MDB terus gagal menyelesaikan hutangnya. Setahun hutang tertangguh 1MDB terpaksa membayar denda lebih  satu bilion.  Terakhir hutang di Qatar tertangguh, sebab duit dijangka masuk tak masuk.
      
Setelah penat mengharapkan 1MDB menyelesaikan masalahnya, macam menghadapi anjing tersepit ekor saja. Maka 1MDB sedia mengadakan meja bulat dengan sesiapa. Ia berjanji untuk buat itu dan ini. Diharapkan ia boleh dipantau Parlimen. Parlimen setuju, tetapi belum tentu ia boleh dibawa ke Parlimen.
      
Menunggu penyelesaian 1MDB sama menunggu kes pembunuhan Altantuya. Najib mati dulu kes Altantuya diam juga. Mungkin Najib mati dulu, 1MDB duk tang tu juga. Harapan sekarang pada Jabatan Kehakiman Amerika. DOJ juga tidak cukup aktif. Takut Najib mati dulu, baru kes 1MDB naik mahkamah.
      
Jalan yang ada sekarang Najib dan BN mesti dikalahkan dalam PRU14 kalau mahu 1MDB dimahkamahkan. Jika Najib tak kalah dan tak mati, Malaysialah yang mati. Macam nasib Mesir purba juga, menunggu Firaun tenggelam di Laut Khalzum. - HARAKAHDAILY 9/8/2017

KETIKA satu soalan orang awam yang bertanya mengapa semua diam terhadap penderitaan atas keperitan hidup rakyat dan ekonomi negara yang teruk sekarang dalam satu tulisan saya sebelum ini, jawapan saya ia adalah gara-gara rakyat tidak berdaulat setelah ditindas sekian lama.
      
Kalau rakyat berdaulat dan merdeka, nescaya tiada kesempatan bagi manusia menindas manusia lain dan tiada ruang bagi pemerintah memperhambakan rakyatnya sendiri.
       
Ia adalah jawapan standard kepada persoalan kepincangan sosial politik yang gagal  mengagihkan keadilan sosial kepada rakyat di mana-mana saja dan bila-bila masa saja. Ia telah dibincang sejak zaman Yunani purba oleh pemikir seperti Plato, Aristotle dan Socretes, ia berlaku di Mesir purba oleh Firaun terhadap Bani Israil. Firaun bunuh anak laki-laki Bani Israil dan biarkan anak pempuan hidup.
    
Zaman Genghis Khan, zaman penjajahan barat dan zaman perhambaan kulit putih Amerika terhadap kulit hitam. Bahkan di zaman feudal Melayu Melaka.
      
Penguasa yang minoriti melakukan sekehendak hati ke atas majoriti yang besar.
       
Kita sekarang berada dalam dunia ketiga, mewarisi amalan dunia ketiga dengan rakyat tidak berdaulat, terima saja apa yang ditentukan oleh pembesar sekalipun memakai nama demokrasi. Demokrasi adalah untuk orang atas dan bukan untuk orang awam.
       
Tidak bererti rakyat tidak ada kesedaran, tetapi belum ada cukup kekuatan dan keberanian untuk bangkit. Demikianlah kuatnya kuasa penindasan golongan kecil ke atas golongan besar.
      
Itulah hakikat rakyat kita sekalipun ia ada rakyat bernama Anwaar Ibrahim dan Dr Mahathir.
       
Lalu seorang netizen menempelak PAS. Dulu diharapkan PAS, tetapi PAS dikatakan sudah jadi HAMPAS. Memberi tali hayat kepada Najib…
        
Pandangan netizen itu sekadar menyatakan kekecewaannya kepada PAS, tetapi ia bukan jawapan yang tepat kepada masalah yang dihadapi. Ia menggunakaan logik musuh PAS kerana PAS tidak dapat menerima cara Najib dan kerajaannya hendak digantikan.
       
Musuh PAS mengenepikan PAS kerana tidak mahu ganti sistem Najib itu adalah sistem PAS. Maka mereka gantikan PAS dalam sistem pembangkang itu supaya yang ditegakkan bukan sistem PAS dan bukan sistem Najib.
      
Netizen itu minat Najib dan UMNO digantikan dan tidak peduli dengan sistem PAS. Tiadanya PAS dalam sistem pembangkang yang ada ialah kerana ia secara sistematik telah diketepikan dengan membebalkan pula PAS memberi tali hayat kepada Najib.
      
Jika rakyat bisu sejak merdeka, bukan kerana PAS mengabaikan peranannya menentang UMNO. Sejak pilihan raya tahun 1955 hingga PRU13 PAS terus menerus menentang UMNO baik ketuanya bernama Tun Razak, Mahathir, Anwar dan Najib.
       
Selama-lamanya PAS menentang UMNO, tetapi bagi PRU14 ini ialah hendak menggantikan.  PAS itu asalnya ditubuhkan tahun 1951 bersama UMNO. PAS boleh jadi UMNO dan UMNO jadi PAS. Bila ia ada prasarana, ia berpisah dengan UMNO. Sebahagian dari orang UMNO sudah pun jadi PAS.
       
Sekarang PAS tidak menentang seperti dulu, tapi berjanji untuk menggantikan UMNO. Semua yang menentang UMNO sepatutnya bersama PAS dan bukan membebalkan PAS. Anwar patut bersama PAS sekarang. Mahathir dan Muhyiddin tidak tubuh parti baru tapi bersama PAS, ajak DAP supaya membantu PAS menggantikan UMNO.
      
Mahathir nampak PAS boleh ganti UMNO, maka dia segera tubuh parti baru supaya sistem PAS tidak menggantikan sistem UMNO. Tahun 1982 Mahathir curi Anwar supaya sistem PAS dapat ditangguhkan. Sekarang mereka berdua lagi. - HARAKAHDAILY 7/8/2017

JIKA peluru yang Mahathir tuju kepada Najib terkena TPM Datuk Zahid Hamidi bukan disasarkan kepada Zahid tetapi kiranya ia terkena Zahid ialah kerana Zahid ada dalam pasukan Najib.
     
Perang sebenarnya antara Mahathir dan Najib, bukan antara panglima kedua pihak. Dalam mana-mana peperangan biasalah panglima cedera. Tiba-tiba dalam perang itu Zahid membuka medan perang  antaranya dengan Mahathir.
     
zahid2Zahid menggunakan peluru anak-anak Mahathir jadi kaya raya, membolot  kekayaan semasa 22 tahun dia jadi Perdana Menteri dan pemimpin UMNO. Lepas itu dia sepak UMNO.
      
Tapi peluru paling berat ialah membangkitkan nama keluarga asal Mahathir, Kutty dari Karala, India.
       
Maka Mahathir menyerang balas dengan mendakwa Zahid bertemunya minta sokongan jika dia terpaksa menghadapi/menentang Najib. Ketika sama Mahathir pula mendakwa Zahid semasa jadi Ketua Pemuda UMNO memilki harta ratus juta ringgit.
      
Dua-duanya menggunakan peluru berat menyalahkan lawannya. Siapa yang payah apabila masing-masing tuduh menuduh?
       
Dalam perang ini Mahathir tidak ada sebarang kerugian. Dia memang sedia menempah maut. Jika terpaksa dipenjarakan pun dia bersedia. Untuk jadi Perdana Menteri semula tentu tidak. Harapan besarnya ialah Tan Sri Muhyiddin atau anaknya Mukhriz jadi Perdana Menteri.
       
Tetapi yang rugi dalam perbalahan ini Zahid. Apa yang Mahathir dakwa atasnya menyebabkan orang bertanya akan kemungkinannya. Sekalipun yang Mahathir kata itu palsu, tetapi sedikit sebanyak ada yang percaya.
      
Kita tidak dapat berkata secara betul apakah Mahathir berkata betul. Untuk kata betul, ia mungkin tak betul. Untuk kata tak betul, ia mungkin betul.
     
Mahathir tidak membawa saksi mengatakan Zahid minta sokongannya menumbang Najib. Zahid pula tiada saksi mengatakan dia tidak pernah berkata begitu pada Mahathir.
      
Orang tidak tahu apa sebenarnya terjadi, sebab dua-dua tak ada saksi. Hendak membela Zahid pun payah sebab hal yang dibangkitkan itu antara Zahid dan Mahathir. Yang ketiga hanya Allah.
      
Senjata yang Mahathir guna itu boleh menjadikan Najib sangsi kepada Zahid. Dalam orang ramai mengata itu dan ini tentang Najib, siapakah yang 100 peratus setia pada Najib. Sama ada Najib percaya atau tidak, dia pun tak boleh 100 percaya pada Zahid. Ini yang Mahathir sudah ingatkan Najib.
      
Jika Najib tidak ambil berat apa yang Mahathir kata, buka kerana dia tidak percaya, tetapi pada  masa ini payah hendak mencari orang 100 percaya kepadanya. Kalau dia tidak percaya kepada Zahid, kepada siapa lagi dia hendadk percaya? Semuanya bersaksi ke lutut.
      
Zahid sudah disusahkan oleh Mahathir. Mantik Kutty yang Zahid gunakan tidak kuat dan tidak tepat. Mahathir tidak cedera dengannya, tetapi reaksi Mahathir kata Zahid minta sokongannya melawan Najib, ada kesan sekalipun ia diadakannya.
        
Zahid dalam suasana keliru sekeliling Najib, adalah orang bila-bila masa boleh menggantikan Najib dengan bom asap yang dilepaskannya, Najib dan keluarga boleh rasa sesuatu tentang Zahid.
       
Kalau Zahid tidak ungkit tentang Kutty dan kekayaan anak-anak Mahathir, Mahathir pun belum tentukan gunakan senjata itu pada masa ini.
      
Jika Mahathir susah, memang dia bersedia untuk susah, tetapi bila Zahid mahu jadi lebih berani dari Najib, dia sudah disusahkan oleh Mahathir.
    
Orang Umno pun tak boleh kata Zahid betul, kerana mereka pun tak tahu apa yang Mahathir dan Zahid kata tentang Najib. Semua tak ada saksi. - HARAKAHDAILY 6/8/2017

PAYAH bagi sesiapa hendak membela Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi yang menimbulkan usul asal Dr Mahathir berketurunan India hingga menjadi Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun.
      
Macam-mcam tanggap dan tafsir orang atas ucapan dan keterlanjuran Zahid itu. Ia dikira menanamkan kebencian, mengungkit usul asal tok nenek seseorang, tidak benar Melayu dan lain-lain.
       
Banyak mengiranya hal berat yang saya anggap lucu bila datangnya dari TPM. Ia tidak wajar datang dari mulut Zahid.
      
Apapun saya suka mengiranya sebagai satu kisah politik jenaka tambahan kepada kisah Nujum Pak Belalang, Luncai dan labu-labunya, Lebai Malang dan lain-lain.
      
Semuanya adalah sindirin politik jenaka, bernilai politik tinggi tetapi lucu.
      
Zahid sudah membuat lucu, menyusahkan dia, dan sukar untuk membelanya. Apa jua dalih bagi membelanya tak lepas. Orang membelanya dilihat lebih sudu dari senduk. Ada lebih baik ia didiamkan. Lagi banyak Zaid dibela, lagi banyak pula orang mengungkit tentangnya.
      
Lucu antara Mahathir dengan Zahid yang mengungkit keturunan bekas Perdana Menteri itu, jika tidak silap, pernah timbul dalam surat peribadi antara Tunku Abdul Rahman Putra dan Mahathir. Surat peribadi itu dibocorkan dan Mahathir dipecat dari Umno selepas 13 Mei dulu.
     
Betapa asal dari India disebut dan Tunku berbondakan Siam juga ditimbulkan. Ia kisah politik tinggi tetapi saya kira ia adalah jenaka politik.
      
Sehingga ini belum ada Perdana Menteri Malaysia yang betul-betul tulen Melayu hinggalah Perdana Menteri itu Orang Asli.
      
Tunku tidak ditakwil Melayunya kerana dia anak raja, tapi bondanya wanita Siam. Darah campur.
       
Tun Razak sekali dari bangsawan Pahang tetapi usul asalnya Bugis. Bugis itu ada yang pelayar, dan ada juga yang lanun.
      
Tun Hussein Onn pula sebagai bangsawan Johor bukan Johor asli. Tok nenek Dato' Onn dulu asalnya dari Turki. Tiada yang mengkaji Turki apa? Turki dulu adalah empayar Islam yang besar. Tenteranya berada dalam segala ceruk rantau. Maka antaranya tersangkut dengan bangsawan. Dan Turki juga dulu ada orang Gypsy iaitu orang yang pindah randah dari setempat ke setempat, tidak diketahui susur galur keturunannya.
       
Dr Mahathir pula dari keluarga Kutty. Bunyinya dari keturunan Yaman yang berdagang dan  dakwah ke India sejak sebelum kedatangan Inggeris ke India. Orang Yaman yang menetap di India itu menguasai bahasa Inggeris, maka datuknya Iskandar Kutty dikirim oleh Inggeris untuk mengajar bahasa Inggeris kepada anak-anak raja Melayu. Iskandar kahwin dengan orang Johor, mungkin Jawa kerana di Johor ramai Jawa. Anaknya Mohamad jadi pengetua Sekolah Sultan Abdul Hamid di Alor Setar.
      
Mahathir anak Mohamad ada generasi ketika keluarga Kutty dan Melayu mengatasi Indianya. Mungkin cakap Karala pun dia tidak tahu.
      
Tun Abdullah Badawi pula datuknya Syeikh Abdullah Pahim dipercayai Arab. Ayah Abdullah, Haji Ahmad Badawi lahir di Mekah. Ibu Abdullah pula ada suku sakat keturunan Yunan di Bayan Lepas. Maka Perdana Menteri itu bukan Melayu tulen.
      
Kalau Zahid jadi Perdana Menteri dia jati juga Melayunya kerana dia Jawa.
      
Oleh kerana Dato' Onn, Tunku, Tun Razak, Mahathir, Dollah Badawi dan Zahid besar dengan bercakap Melayu di rumah, dalam masyarakat dan lain-lain maka yang berbudaya, bercakap Melayu dan beragama Islam pula maka mereka itu Melayu.
      
Bagi Dr Burhanuddin al-Helmy dulu asal berbahasa dan berbudaya Melayu sekalipun Cina, Tamil dan Sikh adalah Melayu. Apa lagi Mahathir Kutty. - HARAKAHDAILY 3/8/2017

BAHKAN setelah PAS kalah di Kelantan hujung tahun 1970-an ketika ia mampu meraih dua DUN saja setelah 19 tahun berkuasa, diikuti pula ia hanya mampu beroleh satu kerusi sahaja dalam PRU 1986, maka ada yang menyarankan agar PAS turun dari status sebuah pertubuhan politik kepada sebuah NGO dakwah saja.
      
Masa itu orang tidak tahu bahasa relevan.
       
Maksudnya PAS sudah tidak relevan lagi sebagai parti politik. Baik jadi sebuah NGO yang bergerak dalam dakwah. Tak habis-habis ada lagi sampai hari ini orang yang berotak, PAS elok jadi NGO dakwah saja.
       
Justerunya orang-orang yang lulus pengajian Islam dan bergerak dalam persatuan pelajar Islam di kampus-kampus, yang jiwanya penuh PAS semasa belajar, lalu selepas graduan membentuk NGO belia Islam dan belajar di luar negeri memikirkan digantikan PAS dengan parti Islam baru bila tamat nanti.
      
Kerana politik itu mendesak, PAS dikira tidak lagi relevan, maka antaranya masuk UMNO supaya politik Islam diterapkan dalam UMNO dan bergerak mengambil alih pimpinan UMNO, jangan biarkan UMNO diambil alih oleh Dr.Mahathir dan Musa Hitam.
      
Maka serentak budak-budak yang berjiwa Islam tadi bersama UMNO dan NGO yang pekat Islamnya masa itu menjauhkan diri dari PAS kerana PAS dirasakan tidak relevan lagi dalam politik masyarakat majmuk di Malaysia.
       
Tetapi politik itu bergerak dan berubah. Yang melarikan diri ke dalam UMNO itu akhirnya bercempera, hingga yang akhir berada di anak tangga teratas di ambang puncak tinggal Datuk Zahid Hamidi yang menjadi Timbalan Perdana Menteri sekarang.
       
Tetapi PAS itu degil dan liat dengan cita-cita perjuangnya ketika diasaskan tahun 1951 dulu untuk memperjuangkan sebuah masyarakat dan kerajaan yang mesra Islam di Malaysia sekalipun ia tinggal beberapa orang saja seperti kaum Nuh sebelum dunia dicurah banjir.

Bila ia tinggal dua DUN di Kelantan oang kata sudah ada dua batu nisan. Matilah ia!
      
Ia bangun tahun 1982 dengan konsep kepimpinan ulama, yang retak sebelumnya jadi satu balik. Pada PRU 1982 itu ia dapat sepuluh DUN Kelantan dan lima di Terengganu. Tahun 1986 ia kekal 10 lagi di Kelantan tetapi tinggal satu Parlimen dari lima sebelumnya.
       
Dibuktikannya ia tidak sekadar layak jadi NGO tetapi dirampasnya semula Kelantan hingga hari ini dalam PRU 1990. Tak berbangkit lagi turun status kepda NGO kerana dalam 20 tahun kebelakangan ini ia berkuasa di Terengganu, memugut beberapa kerusi Parlimen di Kedah dan mula ada DUN di Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Johor dan Pahang.
      
Sebagai BN pernah kalah di Terengganu, ia kalah balik di negeeri itu. Tetapi dalam dua PRU yang lalu ia mengekalkan jadi pembangkang yang kuat di Terengganu menjadi negeri tinggal beberapa majoriti saja.
       
Ia jadi relevan semula. Faktor Anwar menjadikan ia tambah relevan hingga merasa jadi MB di Perak. Sebagaimana kerajaan campuran di mana-mana di dunia jarang kekal, maka PAS adalah  sebahagian dari politik dunia yang ada pasang surutnya.
       
Kerana sekutunya sepuluh tahun terakhir ini mengiranya seperti melukut perjuangan Islamnya tidak diiktiraf dalam pakatan pembangkang kononnya ia tidak termasuk antara yang sepakati semasa pembentukan muafakat dulu, maka ia keluar untuk jadi blok ketiga Gagasan Sejahtera.
      
Siapa akan jadi melukut? Ia kekal tidak jadi NGO, tapi politik dakwah dan tarbiyah mengejar kemenangan dan pemerintahan. - HARAKAHDAILY 1/8/2017

SUKA saya menarik perhatian para pendokong Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kepada suatu penghakiman Mahkamah Rayuan yang melibatkan permohonan pendaftaran seorang anak kepada ibu bapa biologinya. Oleh sebab kes yang melibatkan Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 “Akta 299” ini membabitkan mereka yang beragama Islam, sangat perlu untuk kita beri perhatian secara khusus dan terfokus.

Bagi mereka yang mengikuti kes-kes melibatkan Islam dalam perundangan, kes ini sekali lagi mendatangkan rasa gusar yang bukan kepalang. Sekali lagi ia menunjukkan betapa perundangan yang membabitkan Islam dan umat Islam itu bukan lagi dalam tangan umat muslim semata-mata.

Saya tidak bercadang menyentuh dari aspek kedudukan hukum itu sendiri dalam kes-kes sebegini. Yang lebih menjadi perhatian saya dan ingin saya kongsikan adalah bagaimana kita melihat kes-kes sebegini dalam kerangka mendaulatkan Islam dalam perundangan negara.

Suatu yang sangat jelas, kes ini sekali lagi memberi pemahaman kepada kita betapa adanya suatu asakan yang berterusan bagi melonggarkan pengangan nilai-nilai Islam dalam perundangan. Hal ini bukanlah suatu yang asing apabila adanya pentafsiran perundangan negara berasaskan prinsip-prinsip sekular iaitu pemisahan perundangan daripada nilai-nilai agama.

Prinsip sekular ini akan menjadikan perundangan itu terus berkuatkuasa tanpa suatu nilai-nilai kerohanian yang sangat dititikberatkan dalam Islam. Ia akan menjadikan perundangan itu hanya tertakluk pada kewujudannya di atas kertas sebagaimana ia digubal yang diistilahkan sebagai “the creature of the statute”.

Tiada unsur-unsur spiritual, kerohanian, seumpama nilai-nilai keyakinan dan kepercayaan yang beriirngan dengan perundangan. Dengan perkataan lain, perundangan yang berprinsipkan sekular akan sama sekali mengenepikan nilai-nilai selain lahiriah sebagai pemutus.

Dalam usaha mengislahkan perundangan semasa yang ada, tanggungjawabnya adalah terletak pada bahu setiap muslim. Demikianlah pernah ditegaskan oleh Tun Saleh Abas dalam sidang tiga hakim Mahkamah Agong pada awal tahun 1990-an.

Selain individu muslim dalam ruang lingkup akademik, dan aktivis, golongan politikus adalah antara mereka yang jelas punyai tanggungjawab langsung bagi mendaulatkan Islam dalam perundangan. Ini disebabkan sistem negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen, ahli-ahli politik adalah mereka yang terlibat langsung dengan penggubalan dan penerusan system perundangan dalam negara.

Sebagai parti yang meletakkan Islam sebagai teras perjuangan, bagi pendokong PAS sesungguhnya ia suatu amanah yang sangat besar. Keberadaan kita di medan politik bukanlah sekadar menang pilihan raya.
Lebih dari itu, kita punyai tanggungjawab sangat besar bagi membebaskan sistem perundangan dari cengkaman sekularisme.

Dalam mendepani cabaran medan pilihan raya, mahu tidak mahu setiap individu rakyat itu begitu sekali bernilai bila diukur dari sudut undinya. Dalam hal inilah kita punyai tanggungjawab yang begitu sekali mustahak bagi memastikan setiap rakyat mampu memahami dan terus bersama mendokong aspirasi perjuangan.

Islam yang telah cukup segala macam panduan bagi membina masyarakat sewajarnya telah memberi kita kelebihan tersendiri agar kita menguasai medan ini. Yang perlu hanyalah berusaha menterjemah dan memastikan panduan dari sumber-sumber nas itu dapat dirasai oleh setiap rakyat.

Harus kita insaf, bagi golongan anti-Islam, mereka hanya perlu memastikan sistem perundangan yang ada terus kekal pada tempatnya. Sedangkan bagi kita yang mencintai Islam, kita punyai tanggungjawab yang sangat penting bagi mengubah sistem kenegaraan sesuai dengan ketentuan syariat. Menyedari hakikat itulah seharusnya setiap dari pendokong parti perlu memahami Islam dan syariat siasahnya sambil memperkuatkan lagi pergantungan kepada Allah SWT.

Moga catatan ringkas ini mampu memberi kita suatu rangsangan bagi memastikan rahmatnya Islam dirasai secara nyata dan tidak lagi dilihat sebagai suatu polimik dan retorik semata. – HARAKAHDAILY 31/7/2017

TELAH datang seorang bertanya, ekonomi kita teruk mengapa orang ramai berdiam saja?
      
Yang bertanya itu adalah orang awam yang tidak diketahui peka dan ambil peduli tentang politik. Ditanyanya saya kononnya saya orang yang tahu politik.
      
Saya tahu ramai orang resah dengan suasana politik dan kedudukan ekonomi negara keseluruhannya dan kehidupan rakyat yang amat terhimpit.
      
Tetapi kumpulan yang menguasai kuasa dan politik diam seribu bahasa. Kumpulan yang sedikit ini yang menguasai pengaruh atas majoriti yang besar tidak menyatakan resahnya atas petaka yang berlaku, sebaliknya membela kuasa dan pengaruh yang membiarkan keperitan ekonomi itu.
       
Mengapa semuanya senyap atas yang berlaku? Tidak bising dan bangkit seperti orang-orang yang menuntut kemerdekaan dulu.
       
Orang dulu bangkit dan menuntut kemerdekaan kerana mereka berjiwa merdeka dan mereka bukan hamba. Sekalipun antaranya buta huruf, mereka tahu mereka adalah tuan kepada wilayahnya dan mereka tidak mahu terus menjadi hamba penjajah.
       
Orang yang berjiwa merdeka 60 tahun kebanyakannya sudah mati dan mereka meninggalkan anak-anak yang mati jiwa merdekanya. Orang-orang yang mati jiwanya adalah orang yang tidak merdeka dan yang tidak merdeka lazimnya adalah hamba.
       
Kaum Quraisy jahiliyah adalah kaum yang merdeka yang menguasai Mekah. Bangsa Quraisy yang berkuasa itu memiliki hamba. Satu rumah pembesar Quriasy punya lebih daripada seorang hamba. Yang jadi hamba itu orang Quraisy juga.
      
Kalau pembesar Quraisy memilik hamba antaranya Qurisay  juga, maka tidak ganjil bagi penguasai Malaysia merdeka menjadikan rakyat Malaysia yang diperintahnya sebagai hambanya.
      
Orang Malaysia itu tidaklah dilahirnya sebagai hamba, tetapi sistem yang dikuasai oleh penguasa berjaya menggunakan demokrasi yang diamalnya menjadi anak-anak selepas merdeka hamba kepada penguasanya sendiri.
       
Demokrasi sepatutnya melepaskan rakyat daripada belenggu perhambaan, tetapi  demokrasi standard dunia ketiga menjadikan rakyatnya hamba kepada penguasa dan bukan  rakyat kepada negara yang merdeka.
       
Sama seperti Mesir purba di bawah Firaun. Siapa kata pemerintahan Firaun bukan wilayah yang mereka daripada kuasa asing. Tetapi rakyatnya, Qibti sebagai majoriti adalah hamba yang bukan kelas hamba kepada Firaun, bukan  rakyatnya. Rakyat yang juga hamba tadi adalah pula hamba daripada kelas hamba iaitu Bani Israel.
      
Sekalipun Bani Israel makan daripada sisa makanan tuannya Qibti, tetapi tuannya juga adalah hamba kepada Firaun yang terpaksa terima apa juga yang Firaun kata, termasuk menerima Firaun sebagai tuhan. Mereka tahu Firaun itu zalim. Jika tidak diakui dia sebagai tuhan, maka mereka akan dimatikan.
      
Kerana sistemnya adalah menjadikan rakyat sebagai hamba, apa jua yang Firaun buat tetap mereka pertahan. Samalah seperti China di bawah Mao Zedung. Rakyat yang seperti hamba seolah-olah menerima senang susah, ada rezeki atau tidak semua kerana Mao.
       
Kalau perhambaan itu tidak semasa Firaun saja tetapi ada pada zaman hidup kita di Tanah Besar, maka apa yang menghalang ia ada di mana-mana termasuk di wilayah kita.
      
Semua  tahu kehidupan  masing-masing sesak. Firaun menggunakan tenaga hamba membangunkan Piramid dan China purba menggunakan hamba membangunkan Tembok Besar. Klik pemerintah menggunakan duit rakyat membangun projek-projak mega hingga rakyat papa kedana dan di ambang papa kedana.
      
Kendatipun semua sesak dengan himpitan ekonomi yang mendengkam, tetapi suka, diam dan menderita. Semuanya bisu gara-gara rakyat berstatus hamba. – HARAKAHDAILY 28/7/2017

SEKONYONG-konyong Datuk Jamal Yunus yang banyak membuat gempar dalam politik semasa kita bersuara untuk mencabar Khairy Jamaluddin sebagai Ketua Pemuda Umno dalam pemilihan akan datang.
      
Apakah Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu bersungguh atau bergurau? Hal-hal seperti ini tidak berapa boleh digurau. Terutama pada ketika UMNO berdepan dengan cabaran yang amat getir dalam sejarah.
      
Tidak semua wajar digurau. Kita ketahui talak tidak boleh digurau. Sama ada suami bergurau atau bersungguh mentalakkan isterinya, maka talak telah jatuh. Jika seorang wali bergurau menikahkan anaknya dengan seseorang dan orang itu mengaku menerimanya, baik berlakon atau tidak, ia sah.
      
Jamal ada menimbulkan kerusi Parlimen Sungai Besar dalam PRU14 sudah diperuntukkan calonnya. Demikian juga dengan Dun-Dun di kawasan itu semuanya dikatakan sudah dicalon dengan orang lain.
      
Maka dia sebagai Ketua Bahagian dikatakan tidak termasuk dalam senarai. Maka apa untuknya sebagai Ketua Bahagian?
      
Maka diapun hendak mencabar Khairy. Tiada sebab-sebab yang jelas mengapa dia hendak menggantikan Khairy. Dan Khairy sekarang adalah seorang yang popular di kalangan UMNO.
      
Memang di peringkat awal pemerintahan Datuk Najib, Khairy mungkin kerana dia menantu Tun Abdullah Badawi yang masa itu amat tidak disenangi oleh Dr Mahathir, maka dia dijauhkan dari sisi Najib termasuk lain-lain yang diketahui dekat dengan Tun Abdullah dulu.
     
Nasib Khairy sebagai Ketua Pemuda UMNO sama dengan nasib Datuk Zahid Hamidi, sebagai Ketua Pemuda, tidak diberi apa-apa oleh Perdana Menteri Mahathir.
      
Mungkin kerana Najib kian tidak popular termasuk di sisi Dr Mahathir, maka barulah Khairy dapat jadi menteri. Sekalian yang dirasakan orang Pak Lah seperti Mahdzir Khalid dan Reezal Merican pun dijadikan Menteri Pelajaran mengganti TS Muhyiddin dan Timbalan Menteri Luar.
      
Tun Abdullah pula dijadikan Pengerusi Petronas.
       
Khairy sekarang dirasakan amat akrab dan ngam dengan Najib. Begitu ramai menteri kanan, Najib jadikan dia pengapit kunjungan Presiden Obama ke sini. Dan semasa Najib mempromosikan program NT50 bagi menggantikan Wawasan 2020, maka Khairylah yang terserlah di depan mendekatkan Najib dengan publik.
      
Setakat ini tidak nampak Khairy banyak masalah. Dalam masa Najib yang amat tidak popular dalam dan di luar UMNO, bila orang hendak bercakap tentang pimpinan UMNO masa depan, orang nampak Khairy lebih popular dari yang lain-lain.
      
Ada suksiknya jika Zahid Hamidi dan Datuk Hishamuddin hendak dijadikan pengganti Najib, tetapi orang tidak nampak Khairy banyak masalah.
     
Tiba-tiba Jamal Yunus hendak cabar Khairy yang kurang masalah dibandingkan dengan Najib sendiri.
      
Masa ini segala yang buruk itu adalah dilonggokkan kepada Najib. Semuanya bercakap Najiblah yang patut digantikan jika UMNO hedak bercakap tentang masa depan. TS Muhyiddin Yassin yang terpinggir dari UMNO sekarang ialah banyaknya di kalangan UMNO yang mengharapkan Muhyiddin berbuat sesuatu bagi menyelamatkan UMNO dan kerajaan.
      
Tidak kisah apa nasib Muhyiddin tetapi ia adalah potret Najib yang bermasalah.
      
Pada saat begini jika Jamal hendak membela dan menyelamatkan UMNO, ketika orang tidak berani berkata apa-apa tentang Najib, maka Jamal mesti beranikan diri cabar Najib. Jika Khairy dapat dikalahkan, dan Najib masih Presiden UMNO, Jamal akan jadi pak angguk juga.
       
Tiada sebab Khairy yang dicabar melainnya atas anjuran orang iri hati kepadanya. Yang orang hendak ubah ialah Najib. Najiblah yang Jamal mesti cabar! - HARAKAHDAILY 26/7/2017