SETINGGI-tinggi tahniah buat Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu atas pelantikan ke jawatan yang berprestij itu dan selamat meneruskan perkhidmatan cemerlang yang sedikit sebanyak saya sebagai warga Bandar Raya Kuala Lumpur dapat tumpang limpahannya.

Setelah pelantikan itu kita sekalian dapat ikut pencapaiannya sebagai pegawai perkhidmatan dan di mana sahaja dia berkhidmat meninggalkan jasa dan layak dinobatkan sebagai jasawan.

Tapi yang paling menarik ialah ia mengingatkan kita semua tentang kejadian lebih 10 tahun lalu apabila dia menerima hadiah penyapu dari Meneri Besar Selangor ketika itu, Datuk Dr. Khir Toyo atas bidang perkhidmatan jabatannya.

Saya tidak berhajat mengupas sumbangan dan perkhidmatannya – berprestasi atau tidak. Tetapi tercatat dalam sejarah dunia mungkin untuk sepanjang zaman seorang penjawat awam dihadiah penyapu dan dia telah menerimanya di khalayak awam. Dipercayai tiada pemegang jawatan dianugerah penyapu oleh mana-mana pembesar sejak zaman Adam hingga ke penggal akhir perkhidmatan Barisan Nasional di Selangor.

Lepas itu BN tidak menang lagi di Selangor dan diragu akan berkuasa semula di Malaysia.

Di mana sahaja dia dihantar selepas itu, dikatakan berjaya mencapai perkhidmatan cemerlang dan kini diberi penghormatan jadi Datuk Bandar Kuala Lumpur di bawah pentadbiran Malaysia Baharu pimpinan Pakatan Harapan, sebuah pentadbiran yang menamatkan ramai pegawai awam – politik dan tidak politik. Dan seorang yang rakan seangkatannya sudah ramai bersara, sebaliknya dia diperlukan perkhidmatannya.

Lebih 60 tahun lalu saya membaca buka yang dibekalkan oleh penjajah ke sekolah-sekolah Melayu yang tajuknya seingat saya Pelbagai Ceritera.

Antara yang dihikayatkan tentang Tuan Penyapu, seorang pentadbir tertinggi Belanda di Melaka. Bila dia lalu di mana-mana di Negeri Melaka sekalian anak jajahan – orang Melayu – menyapu sampah di mana sahaja mereka berada baik di tepi lorong kenderaan Tuan Penyapu itu lalu atau di kawasan rumah masing-masing yang boleh dilihat oleh Tuan Penyapu itu.

Orang Melayu dahulunya ke mana-mana berkeris atau berparang yang diikat ke pinggang, tapi di zaman Belanda masing-masing berpenyapu. Bila dia lalu atau dia ternampak, dia mahu semuanya mesti menyapu. Dia tidak mahu ada sampah di mana-mana. Dia mahu semua kawasan bersih.

Siapa yang tidak menyapu akan didendanya.

Maka dia dipanggil oleh semua dengan Tuan Penyapu. Maka masyhurlah Melaka masa ada seorang Tuan Belanda yang dikenal semua sebagai Tuan Penyapu.

Saya tidak tahu apakah Khir Toyo menghadiahkan penyapu kerana ada tentang Tuan Penyapu Belanda di Melaka itu.

Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu usah berasa malu dan terhina dengan anugerah penyapu kepadanya atas apa jua niat pemberi penyapu itu.

Kerana tiada di dunia dahulu dan sekarang dianugerah penyapu melainkan dia saja, terima saja seikhlasnya, bahkan cabaran itu yang melonjaknya dijadikan Datuk Bandar di tengah Lembah Kelang yang sampah menjadi masalah terbesar setiap masa dan ketika.

Bukanlah sampah itu sahaja yang jadi perhatiannya, tetapi terbanyak lagi sampah-sampah yang lain di bandar raya ini perlu disapunya. Jika tidak semua dapat disapu dengan penyapu yang ada padanya itu sekurang-kurangnya dapat menjadikan Kuala Lumpur wilayah yang tidak kotor sekalipun terbersih di dunia.

Penyapu iu bukan suatu yang hina. Simpanlah penyapu berhikmat di muzium peribadi yang mungkin dipamer dalam muzium bandar raya untuk perhatian semua. Bukan suatu yang hina jika selepas ini pegawai yang dihormati pula dikenali sebagai Datuk Bandar Penyapu, pembawa obor kebersihan/kecemerlangan. Amin! – HARAKAHDAILY 11/10/2018

SYUKUR kerana wilayah kita mulai jarak dari terjerumus ke dalam lembah fitnah ‘Darul Eljibiti’ yang bau busuknya melanda pada bulan-bulan awal pemerintahan Pakatan Harapan.

Bagi saya sekecil manapun benih Eljibiti itu tetap ia satu fitnah yang mengancam tamadun manusiawi. Meskipun ia melanda Las Vegas di belah sana muka bumi kita, gara-gara sepantas maklumatnya dibawa teknologi maya, sesaat itu bau busuk itu meliputi ruang rumah kita dengan segala kesannya mengancam kesejahteraan manusia di seluruh planet kita.

Bagi menyelamatkan manusiawi Bani Adam, Allah terbalikkan muka bumi Sodom dan Gemurah, lubuk bermulanya puaka Eljibiti di zaman Nabi Lut dulu, menjadi Laut Mati di pantai Jordan dan Israil sekarang. Hingga ke hari ini sejak lima enam ribu tahun dulu terselamat manusia daripada jadi binatang belaka.

Jika Darul Eljibiti dibenar wujud di bumi kita, jika kiamat lambat lagi, maka tunggulah tanah Semenanjung kita akan jadi Laut Mati yang kedua di dunia.

Justerunya saya mengingatkan perlunya kita melawan pembentukan Darul Eljibiti yang bakal menggantikan darul yang banyak di wilayah kita sekarang. Bila ia saya ingatkan hal itu dalam tulisan saya sebelum ini, lalu ramai yang melenting konon saya sudah katakan darul yang mereka diami itu sebagai sah Darul Eljibiti. Sehingga dikatakan saya menghina raja dan pemerintah atas darul tertentu.

Saya tidak kata mana-mana Darul, tetapi bila fitnah itu datang, ia tidak peduli raja, menteri dan mufti. Habis punah manusiawi masing-masing.

Memang semuanya runsing bila benih Eljibiti masuk sebaik masuk PH ke Putrajaya, ia mengepam supaya didaulatkan Eljibiti sama seperti daulatnya para raja dan kedaulatan sekalian rakyat yang berdaulat itu.

Seburuk-buruk BN dulu pekungnya rasuah dan merompak wang rakyat. Jembalang itu boleh diperangi sebagaimana PM Mahathir sedang memeranginya hingga ke akar umbi sekarang. Mungkin akan mengambil masa 25 tahun. Tetapi kerajaan sebelum ini membiar negara dirompak 60 tahun, maka membaikinya 25 tahun tidak sepanjang membiarkannya merompak 60 tahun.

Adapun wabak Eljibiti, Nabi Lut pun tidak dapat selesaikan. Terpaksa malaikat datang meranapkan wilayah itu.

Kebimbangan atas gejala Eljibiti tidak mengenal iman dan manusia dilayan oleh orang baru rasa jadi menteri. Diajak berunding dan diterima menembusi tembok JPM. Tembok Istana Negara saja yang belum.

Nabi Lut sudah layan mereka hingga sedia nikahkan puterinya dengan malaun-malaun itu. Malaun itu terkutuk belaka sedang puteri Nabi Lut itu suci. Tapi Nabi Lut sedia serahkan anaknya asal mereka tinggalkan nikah sejenis. Tawaran nabi mereka tolak. Maka kita tidak tahu apa budak-budak Harapan boleh buat jika Eljibiti dapat tegakkan darulnya.

Kita setuju mereka mesti dilayan tapi layanlah sebagaimana melayan komunis termasuk yang menyerah diri, melayan penagih dadah, orang-orang lain yang rosak akhlak. Mungkin Puan Fuziah Salleh boleh menyantuni tanpa melayannya seperti melayan bumiputera yang hendak membaiki ekonomi dan pendidikannya.

Kebimbangan itu reda apabila PM Mahathir kata ia tidak akan dilayan bak hak istimewa orang Melayu. Brother Anwar Ibrahimpun umumkan kahwin sejenis tidak diterima. Hubungan sejenis tanpa kahwin pun tak boleh.

Dengan jaminan Mahathir dan Anwar itu tiada kemungkinan Darul Eljibiti ditegakkan sehingga PRU15 nanti. – HARAKAHDAILY 9/10/2018

AURA dan kehebatan Anwar Ibrahim sekarang mungkin mengalahkan aura mendiang Jeneral Jalut di zaman Bani Israil dulu. Tiada yang menjangka dia boleh dikalah. Seperti tiada makhluk manusia boleh mengalahkan Abrahah yang hendak meruntuhkan Kaabah di Tahun Gajah dulu.

Apa lagi antara tentera Thalut melanggar disiplin. Thalut melarang mereka minum air sungai lebih dari seteguk. Mereka minum sepuas-puasnya. Gara-garanya mereka tidak lalu berperang.

Tetapi Thalut membawa kanak-kanak Daud. Semua tidak berani menentang Jalut, Daud minta kebenaran menentang Jalut satu lawan satu. Mana mungkin kanak-kanak berhingus boleh mengalahkan Jalut yang gagah perkasa? Tetapi Daud melepaskan satu lastik, pecah kepala Jalut.

PAS dan lain-lain calon tidak membawa Nabi Daud dalam PRK Port Dickson pada 13 Oktober ini. Justerunya sukar meramalkan Anwar boleh dikalahkan. Anwar hanya boleh dikalah jika PAS membawa Daud.

Itulah tamsil politik yang kita dapat agak tentang pencalonan Anwar pada PRK itu. Saya tidak meletakkan Anwar dan Pakatan Harapannya setempat dengan tempat Jalut, pada sifir politik demokrasi zaman ini demikanlah perkasanya aura Anwar payah dikalahkan apa lagi dia memilih medan yang lebat penyokong partinya dalam PRU lima bulan lalu.

Jika dia ditakdirkan kalah, ertinya ada elemen Daud dan lastiknya dalam PRK Port Dickson dalam penentangan terhadap Anwar dan PM Mahathir.

Sekalipun semua bacaan politik adalah memihak kepada Anwar, termasuk reaksi Tuan Guru Haji Abdul Hadi sendiri, tetapi sukar itu tidak semestinya dia tidak boleh dikalahkan. Anwar hanya boleh dikalahkan dengan izin Allah.

Masa depan itu hanya diketahui Allah, maka yang kuat jangan merasa sedap yang membuak hingga terasa dia tidak boleh dikalahkan seperti arnab yang yakin ia tidak boleh dikalahkan sang kura-kura.

Yang kuat biasanya menang. Hanya yang kuat yang sombong boleh kalah kerana yang sombong itu tidak disukai oleh semua. Yang sombong saja menyukai yang sombong.

Kerana Anwar diyakini menang, mengapa dia mesti dicabar dalam PRK itu? Yang menyuruh menentang yang kuat yang dirasakan batil ialah perjuangan. Perjuangan tidak mengenal kekalahan. Tidak berani menentang yang kuat itu adalah menyerah kalah. Pejuang tidak pernah menyerah kalah.

Dalam perang ada kalah dan ada menang. Jika kuat menentukan kemenangan Rasulullah SAW tidak memimpin Perang Badar justeru musuh kuat dan ramai. Islam tidak menentang Rom dan Parsi kerana kedua-duanya kuasa besar. Tetapi demi perjuangan dan jihad baginda SAW menyertai konfrontasi itu.

Jika tidak kerana jihad dan perjuangan PAS tidak menyertai pilihan raya lagi setelah dapat satu kerusi saja dalam pilihan raya tahun 1955. Kerana tidak putus asanya menentang yang kuat, ia menang di Terengganu dan Kelantan PRU 1959.

Allah mewahyu kepada Nabi SAW, yang memanah dan membunuh musuh dalam Perang Badar bukan mujahidin tetapi Allah.

Firasat Tuan Guru Nik Abdul Aziz, kemenangan PAS dalam PRU 1990 di Kelantan, seolah-olah adanya kerjasama makhluk di bumi dan makhluk di langit. Yang memangkah bukan penyokong PAS tetapi ialah kuasa Allah.

PAS tidak menentang Anwar secara peribadi di Port Dickson tetapi menentang kumpulan parti yang menentang RUU355. Jika ia berjaya mengalahkan Anwar ia bersyukur dan jika tidak berjaya ia bersabar.

Dari mula PAS tidak bermusuh dengan Anwar, tetapi Anwar memilih untuk tidak bersama PAS. – HARAKAHDAILY 8/10/2018

BEGITU banyak kawasan yang PKR menang selesa dalam PRU14 Mei lalu, dia pilih Port Dickson sebagai kawasan Parlimennya yang baru menggantikan Permatang Pauh yang jadi pangkalan politik pertamanya.

Anwar Ibrahim memilih Port Dickson itu tidaklah jadi isu tetapi mengapa dia pilih Port Dickson? Belum ada penjelasan tetapi ia pun tidak memberlkan penjelasan.

Cuma begitu banyak MP PKR yang sedia menyerahkan kawasannya, dia pilih Port Dickson. Maka itulah orang hendak ketahui.

Soal tidak boleh menang tidak berbangkit. Kawasan-kawasan yang menawarkan kerusinya, jangankan Anwar. Asalkan PKR kayu reput pun menang.

Dia pilih Permatang Pauh tahun 1982 boleh difahami kerana dia datang dari situ dan kawasan itu dahulunya beranggota-parlimenkan ayahnya, Datuk Ibrahim Abdul Rahman.

Politiknya sebelum berpolitik dahulu adalah politik PAS atau mirip PAS. Orang PAS menyangka dia PAS dan orang Umno pun, mungkin termasuk ayahanda dan bondanya menyangka dia PAS. Punya kancingnya dia dengan Haji Zabidi Ali, MP PAS masa itu Tuhan saja yang tahu. Hingga orang tua itu tawarkan dia ambil Permatang Pauh.

Bila dia setuju diisytihar jadi orang Umno dan jadi calon PRU 1982 dipercayai dia diberi pilihan mana-mana kawasan di Kedah seperti Kulim Bandar Baru supaya tidak dilihat dilagakan PAS yang kancing dengannya selama ini. Permatang Pauh masa itu kawasan PAS.

Tetapi dia pilih Permatang Pauh. Pertama dia anak jati di situ. Kedua mungkin hendak tebus kawasan bapa yang ditewaskan di situ. Yang tewaskan bapanya bukan PAS tetapi Mustapa Husein dari Gerakan. Permatang Pauh diberi kepda PAS kerana perpaduan politik PAS-Umno zaman Tun Razak dulu. Mungkin itu justifikasinya memilih Permatang Pauh.

Tapi apa puncanya dia memilih Port Dickson?

Mengapa tidak pilih Lembah Pantai? Di kawasan inilah dia mula dikenali. Pertama dia berkubu di Universiti Malaya sebagai ketua pelajar. Kemudian di situlah pusat ABIM yang melonjakkan namanya ke seluruh alam.

Ia dekat dengan Putrajaya. Jika jadi Perdana Menteri tidaklah jauh berulang alik ke kawasan. Jika jadi MP Lembah Pantai seolah-olah setiap hari berada di kawasan. Kalau Permatang Pauh justeru sentimen kawasan bapanya, maka Lembah Pantai sentimen kawasasn anaknya, Nurul Izzah.

Mungkin perlu jaga masa depan MP muda PKR Lembah Pantai sekarang. Nilai Anwar jadi Perdana Menteri macam-macam boleh diberi kepadanya. Sebelum jadi Perdana Menteri, selama Wan Azizah jadi TPM macam-macam boleh diberi kepadanya. Setiausaha Politik dan lain-lain.

Jika peletakan jawatannya dia tidak bertanding semula selama lima tahun dalam PRU15 nanti. Ia melibatkan parlimen saja, tidak Dun. Dia boleh diseludupkan jadi Adun Selangor. Kalau Exco Selangor pra PRU14 boleh dijadikan calon Setiawangsa di Wilayah Persekutuan dan budak Johor boleh dijadikan MB Selangor, tiada masah MP Lembah Pantai selepas letak jawatan dihantar ke mana-mana.

Orang Lembah Pantai pun akan naik semangat kalau Anwar jadi wakil rakyatnya. Mungkin macam orang Madinah, tidak terkira bersemangatnya bila Rasulullah SAW memilih tempat mereka distinasi hijrahnya.

Tetapi Anwar memilih Port Dickson. Dia sahaja tahu pilihannya. – HARAKAHDAILY 7/10/2018

SAYA tidak berhajat menyambung repek Mahathir tentang peranan PAS dalam perjuangan kemerdekaan. Buat apa dilayan perkara yang merepek.

Tiba-tiba saya terbuka buku Dr. Ismail Said bertajuk MENEGAK AGAMA MEMBELA BANGSA Perjuangan PAS 1951-1970. Lalu terbaca tentang antara ikhtiar Tunku Abdul Rahman Putra sebagai pemimpin baru Umno memperjuangkan kemerdekaan.

Dalam tindakannya itu ada pula nama orang PAS duduk dalam jawatankuasa khas terdiri beberapa parti politik yang diketuai Tunku. Disebutkan oleh buku itu tentang Kongres Kebangsaan 23 Ogos 1953 di Majistic Hotel Kuala Lumpur bagi membincangkan menuntut pilihan raya. Hasil kongres itu Tunku memimpin rombongan menuntut kemerdekaan.

Tunku dan Dato’ Onn berebut pengaruh bagi mendapatkan sokongan lain-lain parti bagi menguasai politik tanah jajahan Inggeris di Malaya. Mereka menganjurkan National Convention dan satu lagi National Conference. PAS menghantar wakil dalam dua-dua perjumpaan itu.

Dalam resolusi muktamar ketiga tahun 1954 PAS berkecuali terlibat dengan kedua-duanya tetapi menyokong mana pihak menuntut kemerdekaan. Ia juga setuju dalam tuntutan mengadakan pilihan raya.

Dalam jawatankuasa khas yang diketuai Tunku ada nama orang PAS iaitu Mohd Yassin Haji Salleh. Seorang lagi dari Umno ialah Dr. Ismail Abdul Rahman. Lain-lain anggota ialah Ahmad Haji Abdul Rahman, dipercayai PAS, Kol. H.S. Lee, Leong Yew Koh, S.M. Yong, Tan Siew Sin dan Ong Yoke Lin.

Mereka adalah orang-orang terlibat bersama Umno menuntut kemerdekaan. Walaupun (Dato’) Mohd Yassin tidak disebut dari PAS tetapi namanya disebut sebagai calon PAS di Semantan, antara 11 calon dalam pilihan raya 1955.

Memang Dato’ Mohd Yassin pernah jadi Pesuruhjaya PAS di zaman pimpinan Dr. Burhanuddin al-Helmy. Jika saya tidak silap beliau adalah bapa kepada Tan Sri Kamarul Arifin, seorang peguam Umno yang pernah menjadi Pengerusi Bank Bumiputera.

Sekalipun dalam politik tidak bersama Umno tetapi tidak boleh ditolak peranannya dalam tuntutan kemerdekaan melalui PAS.

Malah sebelum Dr. Mahathir terlibat dalam politik, sebelum masuk universiti, Dato’ Mohd Yassin sudah tersenarai sebagai pejuang kemerdekaan.

Semasa Jepun bersetuju untuk menyerahkan kemerdekaan kepada Dr. Burhanuddin, Dato’ Mohd Yassin disenarakan sebagai menteri dalam kabinet Dr. Burhanuddin.

Masa itu Umno belum ada dan Dr. Burhanuddin belum jadi pemimpin PAS. Tetapi Dr. Burhanuddin sudah dikenali sebagai pejuang dan pemimpin kemerdekaan.

Sejak sebelum Jepun beliau sudah menyuarakan kemerdekaan daripada British. Setelah Jepun melanda Tanah Melayu, British tinggalkan Tanah Melayu tanpa senjata. Dr. Burhanuddin menyambung tuntutan kemerdekaannya daripada Jepun melalui proses perundingan.

Mungkin ini pertama kemerdekaan itu boleh dicapai melalui perundingan. Kerana Jepun semasa datang berjanji untuk membantu Malaya merdeka. Dr. Burhanuddin menagih janji Jepun untuk memberi kemerdekaan.

Panglima Jepun di Saigon bersetuju menyerahkan kemerdekaan kepada Tanah Melayu dan menjadikan Dr. Burhanuddin sebagai Perdana Menteri.

Beliau diminta membentuk kabinet. Selain daripada Dato’ Yassin, senarai kabinet Dr. Burhanuddin itu termasuk Dato’ Abu Samah, kawan seangkatan Dato’ Yassin di Temerloh, Dato’ Onn Jaafar dan Dato’ Abdul Rahman Yasin, bapa Tun Dr. Ismail. Anak Dato’ Abu Samah, Tan Sri Hamzah adalah adik ipar Tun Razak.

Saya tulis lagi hal ini kerana saya terbaca fakta tambahan betapa PAS adalah sebahagian daripada pejuang kemerdekaan.

Mahathir patut belajar sejarah ini. Tetapi dia mesti berguru. Tanpa guru dia akan dapat sejarah sesat. – HARAKAHDAILY 30/9/2018

tegak

ISLAM bermula dengan Nabi Muhammad SAW. Bermulanya bagnda menjadi Islam dan Rasul dengan al-Quran dan membacanya dengan perantaraan malaikat Jibril. Disuruhnya Nabi SAW membaca! Apa yang hendak dibaca?

Iqra dan beberapa ayat lagi. Baginda hafal dan malaikat pun pergi tanpa memberitahu dengan itu baginda ditauliahkan menjadi nabi dan rasul.

Lahir saja bayi Islam sebagai persiapannya menjadi Islam diazan dan diiqamahkan ke telinganya. Kemudian baru disusukan.

Sebelum kedatangan Peringgi menjajah umat Islam di Tanah Melayu apa ada pinangan atas anaknya, perawan atau janda, bukan yang ditanya kaya miskinnya, bangsawan atau orang biasa, tetapi sudah khatam al-Quran atau belum.

Yang disebut itu kira-kira keutamaan bagi Islam dan menjadi Islam. Iaitu al-Quran dan yang bersangkut dengannya. Makan kemudian. Kehidupan pun kemudian. Bahkan solat sebagai tiang Islam datang kemudian.

Maka apabila umat Islam dihadapkan dengan tahfiz, apa reaksi dan keutamaannya? Mestilah pro! Sokong dulu. Jangan pertikai dulu! Jika yang ada hanya sekupang, bagi sekupang. Jika tidak berduit sangat bagilah kata-kata perangsang dan penghargaan.

Mungkin yang datang mnta bantuan mendirikan sekolah tahfiz demi keperluannya mendapat dadah. Jangan bersangka buruk dahulu, kerana yang meminta itu mungkin malaikat.

Berfikiran positiflah terhadap al-Quran dan segala sesuatu yang hendak membesar dan mengembangkan al-Quran. Berfikiran positif itu adalah bisikan malaikat.

Jangan sekali-kali bersangka negatif. Negatif itu lazimnya bisikan iblis. Jauhkan diri dari bisikan makhluk perosak.

Manusia diciptakan untuk jadi khaifah. Kerja khalifah ialah untuk membangunkan alam dengan Islam. Allah sediakan panduannya iaitu al-Quran. Jibril tidak bekalkan tajak, tukul besi dan simen kepada Nabi SAW. Tidak juga gandum dan kibas. Jibril sampai lima ayat Iqra dahulu bagi membebaskan umat dari kejahilan dan jahiliah.

Islam sebelum kedatangan Peringgi mengutamakan menantu khatam Quran. Islam selepas merdeka mahu seramai-ramai anak jadi hufaz. Tahfiz tidak termasuk dalam dasar dan falsafah pelajaran kebangsaan. Tunggu kerajaan, alif besar batang kelapa pun tidak kenal kerana belajar al-Quran dalam tulisan rumi.

Maka rakyat diri bangsal pisang sesikat di sana sini unuk anak-anak menghafaz al-Quran. Ada sekolah terbakar ada guru-guru dikatakan berkepala angin. Ada saudagar beri zakat hidupkan tafiz. Keperluannya besar.

Kerajaan adakan tahfiz sana satu sini satu. Ibu bapa mahu anak jadi hufaz lebih dari seorang dari setiap isi rumah. Tak kira belajar di mana – di bangsal panas atau bangsal pisang sesikat – yang jaminan keselamatannya sifar. Jika ikut syarat bomba semua tahfz akan tutup.

Ada orang Islam terpilih jadi khalifah. Sepatutnya khalifah fikir dan ikhtiar bantu semua pak lebai yang ada tahfiz dapat kemudahan serba serbi. Pakat para saudagar bantu dan lengkapkan keperluan semua tahfiz. Tinjau Raja Arab yang derma RM2.6 bilion itu bagi 10 peratus daripada jumlah itu nescaya semua tahfiz berhawa dingin.

Malangnya khalifah sekadar mahukan tahfiz sempurna, jika tidak nescaya ditutup. Khalifah Peringgi pun tidak senegatif begitu.

Khalifah umat patutnya gunakan kemudahan sempurnakan semua tahfiz di mana ada orang Islam, bantu pak-pak lebai wujudkan tahfiz yang diabaikan 60 tahun oleh kerajaan sebagai institusi penting dan sempurna dalam masyarakat.

Biar di sisi Allah khalifah itu lebih berdaya maju daripada pak lebai yang pro/cinta tahfiz. Jangan pak lebai tidak sekolot khalifah. Rugilah Islam jika khalifah tidak kenal antara anti dan pro. - HARAKAHDAILY 28/9/2018

AKHIRNYA setelah lima bulan berkuasa semula barulah Perdana Menteri bersuara tentang LGBT.

Tiada tempat bagi LGBT di Malaysia.

Jika dari awal Mahathir membuat pendirian itu tidaklah saham moral Kerajaan Harapannya merudum dalam pasaran umat Islam dan tidaklah menteri agamanya pada pandangan umum umat tidak dilihat seperti anak bapanya.

Sekalian juru bicara rejim baru mengaku segala sesuatu LGBT itu haram dan dikutuk, tetapi umum merasakan pengakuan sekadar di bibir, tidak datang dari hati. Sekalipun yang dikatakan itu dari hati, tetapi dari dolak dalik budak-budak Mahathir yang mengurus agama Islam ia tidak seperti datang dari hati.

Reaksi awal kerajaan baru Mahathir tentang puaka LGBT lebih kurang saja dengan suku sakat liberal dan suaranya adalah dendang liberal. Tidak tegas rejim lama atas isu serba liberal sudah menghampakan umat, dan rejim yang sepatutnya membawa berita gembira dikira lebih teruk daripada rejim lama.

Mungkin kerajaan tidak berniat begitu, tidak tegas dan tidak jelas kerajaan dalam tuntutan puaka LGBT itu menyebabkan umat Islam hilang kepercayaan kepada kerajaan baru. Ada percubaan untuk membetulkan, untuk memulih hati yang remuk bukan suatu yang mudah.

Persepsi orang beragama mengapa kerajaan tiada maruah atas LGBT dan tuntutannya, adalah Perdana Menteri dirasa di sebelah situ dan cenderungnya seolah-olah di situ.

Setelah lima bulan, mungkin kerajaan rasa uma Islam sudah hilang kepercayaan kepadanya, barulah bersuara Perdana Menteri, LGBT bukan suatu yang diterima di negara ini.

Moga-moga ia satu dasar yang diikuti dengan langkah tegas membendung dan membasmi amalan dan kepercayaan yang terkutuk itu.

Mahahir mesti buktikan dia bukan sekadar kata tidak setuju tetapi menunjukkan sikap benci kepada keparat itu.

Jangan jadi seperti dasar anti rasuah kerajaan selama 60 tahun berkuasa, tetapi rasuah terbiar hingga menjadi satu ciri budaya bangsa.

Mahahir mulai sekarang mesti kutuk sebarang idea dan kecenderungan LGBT barang sebesar hama oleh sesiapa saja.

Setakat ini dia belum diyakini benci kepada fikiran itu. Dia sekadar berkata puaka itu ditolak di Malaysia, kita tidak boleh ikut negara-negara lain yang mmbenarkannya.

Ia seolah-oleh tidak mengapa di negeri-negeri atas angin. Di Malaysia sahaja terlarang. Benda buruk seperti itu biar jangan ada di mana-mana. Mungkin kita berfikir kita boleh paksa masyarakat bukan Islam di negara tidak Islam berfikir seperti kita yang Islam ini. Tetapi gejala buruk kaum Lut jangan dibiarkan ada di mana-mana.

Mungkin kita kata Islam tidak boleh campur tangan dalam urusan orang kafir. Tetapi jika kita perhatikan sikap bangsa Amerika yang benci dan anti komunis, ia tidak sekadar serang idea komunis itu di dalam negerinya sahaja, ia pergi berperang menentang komunis di mana-mana saja.

Ia mesti ditolak bukan sahaja di negeri kita, tetapi di mana-mana saja. Semua agama menolaknya. Yang menghalalnya di Eropah bukan agama Kristian, tetapi penganut Kristian dan orang yang tidak beragama di sana.

Mahathir kenal Pope dan para padri. Dia kenal ketua komunis di mana-mana. Dia patut ajak pemimpin gereja dan pemimpin komunis besama-sama menentang gejala itu di mana-mana di dunia.

Bila kita benci kepada perangai itu, tidaklah kita hukum sekehendak hati orang-orang yang terjerumus. Tindakan diambil membendung dan memulihkan kemanusiaan mereka. – HARAKAHDAILY 25/9/2018

KES rasuah meneri kewangan Lim Guan Eng sudah berlalu. Pendakwaan diarik balik dan mahkamah melepaskannya.

Ada pandangan supaya keputusan itu dikaji semula. Yang boleh mengkajinya jika mahu hanya kerajaan. Tiada siapa boleh ampunkan Anwar Ibrahim melainkan kemahuan Perdana Menteri. Maka Perdana Menteri juga boleh tentukan kes Guan Eng.

Dr. Mahathir dalam isu ini adalah bersama keputusan mahkamah. Menghormati mahkamah itu adalah sikap wajar. Tetapi komen boleh menimbulkan tanda tanya. PM tidak takwil nasib Guan Eng itu banyak kejadian yang serupa atas orang lain di negeri-negeri lain tidak dimahkamah, tetapi Guan Eng dimahkamahkan.

Maka tidak akan dibangkitkan kes Guan Eng itu.

Adakah ia alasan yang kukuh atau satu dalih semata-mata? Padanya kes Khir Toyo tidak sama dan tiada sebarang alasannya.

Adanya lain kejadian seperti yang Guan Eng terbiar sedang Guan Eng dikatakan dimangsa tidak jadi alasan mengapa kesnya ditutup saja. Ia seolah-olah dalih saja.

Jika rejim lama dan dengan segala sistemnya biarkan saja kes-kes yang lain, ia bukan hujah kes Guan Eng dibiarkan juga sekalipun kemungkinan ada ruang perbicaraannya itu boleh diadakan semula.

Lain-lain kejadian serupa tidak dijadikan kes, tidak bererti kes Guan Eng tidak dijadikan kes juga. Kelemahan kerajaan lama tidak boleh menghalalkan Guan Eng tidak didakwa.

Undang-undang dan mahkamah tidak boleh lepas perompak kerana perompak-perompak yang lain tidak dikenakan tindakan.

Kes yang sedang diadili mesti diselesasikan. Kemudian fikirkan apa patut dikenakan kepada penguatkuasa rejim lama yang tidak melaksanakan tugasnya. Jabatan kejaksaan wajar pungut mana-mana orang yang tidak didakwa dulu supaya diadili seperti mengadili kes Guan Eng.

Jika Guan Eng bersih, dia tidak wajar dihukum. Jika dia tidak bersih tidak wajar dia dibebaskan semata-mata kes sepertinya dulu tidak pernah didakwa. Biar undang-undang dan mahkamah kita tidak dilihat membiar penyangak tidak diadili.

Seperti kes yang melibatkan PM Najib. Kerajaannya dulu tidak buat apa-apa tentangnya. Tetapi kerajaan sekarang tidak biarkan kesnya semata-mata kerana kerajaan dulu tidak buat apa-apa tentangnya.

Ada suara semasa kerajaan dulu supaya peguam Shafee Abdullah disiasat. Kerajaan dulu tidak diketahui memberi reaksi. Tetapi kerajaan sekarang tidak diamkan perkara itu semata-mata kerana kerajaan dulu diam.

Tiada apa yang melarang kerajaan sekarang memungut kes-kes yang dikatakan oleh PM Mahahir dibiarkan dulu supaya diseret semuanya ke persadaan keadilan. Adili kes Guan Eng seadil-adilnya supaya dia tidak dimangsa oleh sistem keadilan, dan jangan biarkan penyangak masa lalu bebas dengan kejahatannya.

Tidak dikata kerajaan sekarang adil membebaskan sebarang dakwaan atas alasan penyangak terdahulu tidak dikenakan tindakan. Tidak bertindak ke atas penyangak dulu adalah menyalahi undang-undang, membebaskan penyangak kerana penyangak lain dibiarkan bebas juga tidak melaksanakan undang-undang.

Dengan demikian apa bezanya rejim lama dengan rejim baru? Maka sikap PM atas kes itu bukan atas hujah dan alasan, tetapi satu dalih. – HARAKAHDAILY 24/9/2018

TUN Hanif Omar, bekas Ketua Polis Negara menyangkal tanda tanya Lim Kit Siang, penasihat DAP adakah bekas pemimpin polis itu nyanyuk kerana mendakwanya pernah hendak memecah duakan negara kepada pantai barat yang ramai bukan Melayu dan pantai timur yang padat Melayunya.

Tun Hanif kata dia tidak nyanyuk dan mempertahankan kenyataannya. Tidak diketahui apa ekoran dan reaksi Kit Siang atas sikap Tun Hanif.

Saya tidak memihak kepada sesiapa atas perkara itu tetapi suka menyatakan orang nyanyuk tahu dirinya nyanyuk dan tidak akan mengaku nyanyuk bila orang mendakwanya nyanyuk.

Yang terasa seseorang itu nyanyuk ialah orang lain. Dia mengecam seseorang itu atas keadaan ingatannya, maka dia boleh mengandaikan seseorang itu nyanyuk.

Bahkan usia Tun Hanif sudah berada dalam lingkungan orang yang boleh nyanyuk. Malah Kit Sing sendiri sudah berada pada usia boleh nyanyuk. Mungkin agaknya Tun Hanif nyanyuk itu disebabkan oleh sebab-sebab nyanyuk juga.

Saya sendiri banyak yang tidak selera atas tulisan dan pandangan bebas saya, tidak segan-segan menulis saya sudah nyanyuk. Hari-hari ada yang mengata saya nyanyuk terutama mereka mengetahui usia saya berada dalam lingkungan orang yang boleh nyanyuk. Saya sekarang sudah kurang dua 80 tahun.

Pada saya, saya tidak nyanyuk walaupun perkara yang saya lupa, tetap banyak juga yang saya ingat. Banyak yang datang bertanya sesuatu yang mereka keliru dan mereka puas hati kerana saya dapat jelaskan duduk sesuatu perkara.

Saya tidak dapat memastikan anggapan sesetengah orang terhadap saya itu salah. Kerana saya tidak tahu keadaan saya sebenarnya. Orang yang memerhatikan boleh jadi lebih tahu keadaan saya sebenarnya. Seperti orang gila. Mana orang gila tahu dia gila dan jika ada yang mengata dia gila, dia akan kata orang yang mengata dia gila itulah yang gila sebenarnya.

Mungkin kita tidak terasa kita nyanyuk atau gila, tetapi orang lain boleh tahu keadaan kita yang sebenarnya.

Tetapi orang yang mengatakan kita nyanyuk atau gila itu belum tepat andaiannya. Yang boleh mengesahkan kita nyanyuk ialah doktor.

Atas segala andaian yang saya juga nyanyuk, saya terima dengan senang hati kerana mereka dapat melihat keadaan kita. Saya tidak berhajat jumpa doktor tentang apakah benar saya nyanyuk atau saya sebenarnya sihat.

Sebabnya saya takut, nanti doktor sahkan saya benar-benar nyanyuk. Kalau saya sekadar dikata nyanyuk oleh orang tidak ada autoriti mengesahkan seseorang itu nyanyuk atau tidak, mungkin saya tidak terkesan sangat, kerana saya belum tentu nyanyuk, tetapi kalau doktor dengan kepakarannya sahkan saya nyanyuk, tak nyanyuk pun boleh jadi betul-betul nyanyuk.

Pengaruh psikologi ditakuti memberi kesan dan kita boleh jadi betul-betul nyanyuk.

Saya pernah datangi oleh orang-orang yang mengaku tidak senang kerana ada tok guru mengata mereka sesat. Mereka tidak dapat terima dan minta saya gunakan pengaruh bagi membetulkan keadaan.

Saya mengaji siang malam dengan tok guru bersama ramai lagi mana boleh betulkan tok guru itu. Kalau saya boleh betulkan, bererti tok guru itu pula bertok guru dengan saya. Saya mengajar, tok guru belajar.

Bila seorang dikata sesat oleh tok guru, bukan orang lain pergi jumpa tok guru bagi mentakwil tok guru. Tok guru biasanya banyak kelebihan daripada orang lain. Orang yang dikata sesat itu sendiri patut jumpa tok guru minta keterangan bagaimana dia dikatakan sesat.

Tok guru mungkin silap, tetapi orang yang dikata sesat mesti buktikan dia tidak sesat dengan hujah yang cukup, bukan mengadu kepada orang lain yang dia dikatakan sesat.

Kalau tok guru silap. Tetapi bagaimana kalau tok guru tidak silap?

Kes orang sesat memang banyak. Banyak kes di mahkamah berkali-kali didakwa dan dijatuhkan hukuman, mereka terus melanggar kanun yang mendapati mereka sesat. Berkali-kali dikenakan tindakan pun mereka kata mereka tidak sesat.

Orang sesat macam orang gila dan nyanyuk, masing-masing ada kelemahan. Orang lain yang tahu mereka lemah atau tidak, macam saya juga. – HARAKAHDAILY 21/9/2018

DARI tahun 1951 tarikh kelahiran PAS hingga pertengahan tahun 2018 ia berseteru politik dengan Umno sekalipun sama-sama saf solat Jumaat dan Idilfitri serta sekapal terbang naik haji.

Cakap Melayunya macam anjing dan kucing, cakap Islamnya macam Aus dan Khazraj di Madinah sebelum kedatangan Islam. Aus dan Khazraj saling berbunuh. Di Lubuk Mebau, Kedah dan Memali pun ada orang PAS terbunuh.

Sejurus selepas merdeka orang Melayu mula memperkatakan perpecahan orang Melayu di kampung dan di kota justeru adanya PAS dan Umno. Ia bertambah gawat sepuluh tahun menjelang kejatuhan Umno/BN.

Orang Islam yang tidak berpolitik dan para mufti yang dipercayai dipengaruhi pemimpin Umno, menyarankan PAS-Umno mesti bersatu. Mereka membawa seruan orang Islam seluruhnya.

Ada mufti bertanya saya, adakah PAS bersetuju justeru Umno lahiriahnya dikatakan positif?

Jawab saya, sekalipun PAS ada hujah tentang sengketa politik kedua-duanya, sulit bagi PAS menolaknya, kerana ia adalah seruan orang Melayu sedang kedua-duanya mendakwa berpolitik demi membela rakyat. Orang Melayu marah jika PAS menolak sedang Umno dikatakan positif. Apakah positif Umno sekadar di bibir, tidak di hati? Umno meraih keuntungan jika PAS menolak, kerana Melayu yang tidak berpolitik itu mengira PASlah punca perpecahan Melayu itu.

Warga Melayu atas pagar akan marahkan PAS dan mereka terus memberi undi kepada Umno, kerana Umno berpolitik demi menyatukan orang Islam.

Bagaimana hubungan seperti Aus dan Khazraj itu dapat dirungkai. Permusuhan kedua-duanya selesai dengan kedatangan Islam di Madinah. Adapun Umno dan PAS sudah sedia Islam. Tetapi tidak nampak Islam terpelihara di bawah 63 tahun kerajaan Umno, bahkan Islam kian goyang.

PAS tidak boleh menolak tuntutan rakyat, tetapi demi menjadi parti masa depan Islam dan Melayu, ia mesti melakukan perubahan menjelang PRU14, beruzlah dengan Pakatan Rakyat dominasi DAP, beralih menjadi pembangkang di bawah budaya politik matang dan sejahtera, bertaawaun dengan Umno/Kerajaan dalam menegakkan amar makruf dan nahi munkar, tidak bersama dalam keburukan dan maksiat.

Sekalipun Umno berkata ia mahu bersama PAS tetapi tiada langkah positif diambilnya kerana ia mengharapkan untuk merampas Kelantan dalam PRU14. Ia tidak positif dengan RUU355. Tidak nampak ruang boleh berkawan selama Umno berkuasa, apa lagi kalau Kelantan dapat dirampas.

Hubungan negatif PAS-Umno selagi Umno berkuasa adalah seperti 63 tahun dulu juga. Bahkan perubahan politik matang dan sejahtera PAS yang menyebabkan ia kehilangan setengah penyokong tradisi. Doa pro penyatuan seolah-olah tidak makbul kiranya BN dapat mempertahankan kuasanya.

Rupanya gencatan senjata kedua-duanya adalah mungkin dengan Umno mesti kalah dulu. Kekalahan Umno dalam PRU14 boleh merapatkan Umno. Tiada yang menyangka rombongan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjadi tetamu dalam Muktamar PAS ke-64 di Terengganu awal Hijrah/Muharam lalu. Zahid menggantikan kerusi Lim Kit Siang di pentas pemimpin PAS dalam muktamar-muktamarnya yang lalu.

Sekalipun PAS meneruskan tradisinya bersama muafakat pembangkang, tetapi Zahid adalah pimpinan Umno yang pertama berpendidikan rasmi Islam. Mungkin ia melayakkan persaudaraan Aus-Khazraj dalam kalangan Ansar dulu.

Pada muktamar itu Umno datang kepada PAS. Tiada masalah PAS pergi kepada Umno kerana PAS pegang mesej dakwah, kalau gunung tidak datang kepada Muhammad, maka Muhammad pergi kepada gunung.

Pada muktamar sulung didatangi Umno, PAS tidak meletakkan PAS memimpin tetapi mengalu-alu temanya Islam Memimpin seperti penyatuan Aus-Khazraj.

Apakah PAS- Umno bakal bersatu? Belum. Mereka baru berdua. – HARAKAHDAILY 20/9/2018

APAPUN konsep dan city yang dinamakan bagi pembangunan kota baru di Tebing Selat Tebrau – di hujung negeri Johor – Perdana Menteri Mahathir tidak membenarkan secebis hartanah dijual dan dimiliki warga asing. Tiada visa dikatakan akan dikeluarkan bagi yang menetap di situ.

Sebabnya mereka yang datang membeli kedai dan membuka peniagaan di situ tidak datang sekadar seminggu dua dan pergi. Mereka tinggal lama. Lama kelamaan mereka hendakkan kewarganegaraan.

Ia akan merebut peluang dan hak warga tempatan.

Tidak dipastikan Dr. Mahathir yang menyertai politik lebih 60 tahun dan orang seangkatan dengan dalam parti kesayangannya dulu ada kesedaran itu ketika perbincangan panas memberi hak jos suli yang menetap sekian tempoh di sini.

Apa yang Mahathir komen tentang kedatangan saudagar-saudagar dari China dan lain-lain melibat diri dalam kegiatan pembangunan dan ekonomi seperti di Johor dan lain-lain sudah dibincang oleh para pejuang kemerdekaan dulu.

Dato’ Onn ikut menyumbang munasabah orang asing yang cekap merebut kemajuan itu diberi peluang menyumbang baki di sini. Ketika Dato’ Onn menjadi Menteri Besar Johor dan Menteri Dalam Negeri Kerajaan Persekutuan, apa yang difikir dan disetujui oleh pembesar Johor prakerajaan Harapan sudah pun berlaku masa itu.

Ketika Tunku hendak memulakan tuntutan kemerdekaan pernah diingatkan kepadanya seperti yang diingatkan oleh PM Mahathir kepada orang Johor sekarang.

Nescaya ada natijah politiknya. Tetapi Tunku dan pengikutnya memikirkan usah bimbang kerana mereka cuma datang tumpang cari makan, tidak hendak mengambil negeri ini.

Orang Melayu yang tidak bersama Tunku terus mengingatkan Tunku seperti yang Mahathir ingatkan seminggu dua ini.

Yang tidak bersetuju dengan Tunku itu dikira berpolitik perkauman dan berfikiran sempit.

Yang mereka ingatkan dulu adalah demi mengelakkan hak politik dan ekonomi, peluang pekerjaan dan taburan rezeki direbut dan dikongsi oleh orang lain.

Seperti yang disuarakan oleh banyak pihak tentang kebanjiran pekerja Bangladesh, Nepal, Myanmar dan lain-lain menyebabkan pembangunan kita sekarang bergantung kepada warga asing dan warga sendiri tiada pekerjaan.

Di mana-manapun demikianlah kebimbangan rakyat terhadap kebanjiran warga asing. Eropah menghalang pelarian Syria dan Asia sekarang adalah justeru dan kebimbangan itu. Itulah yang Melayu rasa pada masa menjelang kemerdekaan dulu.

Setelah rakyat sudah jadi masyarakat majmuk, tidak terkira pula kebanjiran pekerja Indonesia. Bukan Melayu pula ke depan tidak senang kebanjiran Indon itu. Adakah Cina dan India itu perkauman? Mungkin pengaruh perkauman itu ada, tetapi sebagai rakyat mereka tidak mahu hak rakyat dan peluang ekonomi direbut orang asing.

Melayu dulu bimbang kebanjiran orang dagang yang awalun itu bukan justeru perkauman, tetapi demi kepentingan rakyat. Bukan Melayu bimbang tentang kedatangan Indon itu bukan perkauman tetapi hak dan kepentingan rakyat.

Mahathir tidak benar orang asing milik harta dan berdagang di Johor bukan kerana ultra Melayu, tetapi menjaga kepentingan rakyat majmuk.

Suku sakat Mahathir dalam politik 60 tahun prakuasa Pakatan Harapan adalah sambil lewa dengan penampilan warga asing, malah besar peranannya membentuk masyarakat majmuk yang ada. Dia nampak bersungguh sekarang.

Satu sikap yang baik tetapi ia seperti ketinggalan keretapi 60 tahun semasa orang Melayu sudah gamat bimbang akan isu itu, hingga orang Melayu mulai liberal dengan orang asing. – HARAKAHDAILY 19/9/2018

SAYA jahil undang-undang dan apa lagi ilmu kehakiman.

Ketika PM Mahathir mengangkat Tommya Thomas jadi Peguam Negara, takwil saya hanya dia bukan orang Islam. Sesudah negara tidak berjalan mengikut perundangan Islam, biarlah Peguam Negaranya yang maklum hati umat Islam.

Atas imejnya seorang pengamal undang-undang yang dihormati, tidak upaya saya pertikai wibawanya. Tentulah PM lebih mafhum, mahu seorang Peguam Negara membanggakan Perdana Menteri, kerajaan pimpinannya dan negara yang dikatakan memerangi rasuah.

Kebimbangan awal saya setelah itu, komen seorang hakim pada saya, ia mungkin ke arah meminggirkan kes rasuah Lim Guan Eng yang baru jadi Menteri Kewangan. Saya tiada sikap jika kesnya dibuang atau diteruskan hinggalah saya membaca komen bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dan tulisan seorang pengamal undang-undang di Sinar Harian.

Tun Hamid tidak dapat terima rasional dan kebijaksanaan Tommy menarik diri jadi pendakwa terhadap dakwaan yang dikenakan kepada Najib dan pendakwaan kepada peguam Datuk Sulaiman Abdullah dan bekas hakim Sri Ram.

Tun Hamid juga kes Guan Eng tidak diteruskan. Dia memberi hujah undang-undang mengapa kes itu wajar dibicarakan. Saya suka kepada semua alasannya. Sebagai jahil undang-undang jika saya komen boleh mendedahkan saya sebagai loyar buruk. Tetapi pengamal undang-undang yang hendak menegakkan negara undang-undang dan memerangi rasuah, patut mengamati komen bekas ketua hakim itu.

Penulis di Sinar Harian pula membandingkan kes Guan Eng dengan kes Dr. Khir Toyo, bekas Menteri Besar Selangor.

Kedua-dua kes didakwa atas dakwaan yang sama. Jabatan Peguam Negara menarik balik dakwaan itu dengan alasan bukti tidak cukup dan jika diteruskan perbicaraan, ia mungkin ditolak oleh mahkamah. Apa guna diteruskan pendakwaan apabila ia dirasakan tidak boleh menang.

Akan tetapi dengan masalah yang sama yang dihadapkan kepada Khir Toyo, pendakwa menang bicara. Dr Khir telah dipenjarakan.

Kes Khir Toyo berlaku lama sebelum kes Guan Eng.

Mengikut penulis itu, biasanya sesuatu kes yang sampai ke mahkamah tinggi segala keterangan dan keputusannya menjadi rujukan kepada penghakiman sebarang kes selepasnya.

Maka dia tidak nampak pentadbiran Peguam Negara sekarang memberi telitian dan perbandingan antara kes Khir Toyo dan kes Guan Eng.

Dari logik dan hukum akal, akal saya atas kedua-dua kes yang didakwa di bawah perkara yang sama, hanya salah satu daripada penghakiman itu betul, Kedua-duanya adalah tidak betul.

Kalau penghakiman atas kes Khir Toyo betul, mengetepikan kes Guan Eng ada tidak betul. Jika keputusan atas kes Guan Eng itu betul, maka penghakiman atas Khir Toyo adalah tidak betul.

Tanggapan saya atas dua ulasan terhadap wibawa Jabatan Peguam Negara di bawah Tommy Thomas tidak mencerminkan kecemerlangan yag diidamkan oleh Perdana Menteri Mahathir jika dia tidak berpolitik kayu tiga atas keadilan yang kita dapati sekarang.

Mahathir, kerajaan baru dan rakyat mahukan pemerintahan yang bersih, bebas rasuah, adil dan saksama.

Rata-rata orang takwil dan perleceh prestasi 100 hari kerajaan itu. Empat bulan pertama Peguam Negara dilihat tidak menolong meyakinkan harapan Perdana Menteri, Kerajaan Harapan dan rakyat mencapai matlamatnya.

Lainlah kalau Tommy begitu kerana melaksanakan apa yang PM mahu dia buat dan bukan buat apa kejaksaan patut buat. Tommy mungkin sudah buat apa yang terbaik, tetapi tidak membantu mencapai harapan Harapan. – HARAKAHDAILY 16/9/2018