Kesian kamu jadi Presiden Korea Selatan

Kolumnis
Typography

NASIBLAH Pak jadi Presiden Korea Selatan, sebuah negara demokrasi Asia yang terbuka, dibanggakan oleh semua.
       
Bukan senang untuk menjadi Presiden bagi bangsa yang rata-rata rakyatnya tidak kolot, tidak feudal, politik dan ekonominya stabil, taraf kehidupan rakyatnya tinggi dan mendapat kebebasan yang diidam oleh semua.
      
Semua orang berhak bercita-cita unuk menjadi Presiden dan semua boleh mencuba untuk jadi Presiden. Maka Pak bertuah menjadi wanita pertama negaranya menjadi Presiden.
       
Malangnya dia jadi Presiden Korea Selatan. Kalau dia jadi Perdana Menteri Malaysia tidaklah dia berdepan dengan fitnah yang mengaibkan, digulingkan dari jawatan oleh rakyat di luar pilihan raya kerana dikatakan dia terlibat dengan rasuah dari syarikat gergasi negaranya.  
      
Di tengah-tengah penyokong pembangkang yang berhari-hari tidak mahu berundur dari jalan raya selagi Pak tidak berundur, Peguam Negaranya tidak teragak-agak membawa kesnya ke mahkamah     dan hakimnya pula tidak gentar menjatuhkan hukuman, dia memang rasuah dan tidak berhak lagi memegang jawatan Presiden.
       
Sebagai Presiden dia dibawa keluar dari istana Presiden terus menghadapi tindakan mahkamah, dilucutkan jawatannya, ditahan dan bakal dibicarakan yang hukumannya mungkin penjara yang panjang.
      
Kalaulah Pak jadi Perdana Menteri Malaysia yang dipilih rakyat, dengan fitnah yang seberat yang dikenakan kepadanya, tidak menjejaskan kedudukannya, dipercayai dia boleh terus tidur dan berkuasa lagi.
      
Fitnah yang dihadapkan kepadanya sekalipun amat besar bagi Korea Selatan dan lain-lain negara bebas rasuah dan ketirisan, tak jadi kudis Perdana Menteri Malaysia dan rakyat yang memilihnya.
       
Apa yang difitnahkan sebagai skandal pembelian kapal selam Perancis dan pesawat pejuang Rusia, pembunuhan nyonya Mongolia, Altantuya, cincin dikatakan 24 juta dikirim dari New York kepada isteri Perdana Menteri, kemudian dikatakan dipulangkan balik, derma dari istana Saudi RM2.6 bilion dalam akaun Perdana Menteri juga dikatakan dipulangkan balik dan teribut sekarang petaka syarikat pelaburan kementerian kewangan 1MDB yang dituralkan duitnya lesap dan berhutang jika dikumpulkan  lebih berat dari Gunung Uhud.
       
Dibandingkan dengan fitnah Presiden Pak membenarkan rakannya campur tangan dalam pemerintahan, bersubahat dengan skandal rasuah dengan syarikat gergasi negara itu, mungkin ibarat busut dibandingkan Gunung Uhud, tetapi Presiden Korea Selatan terpelanting kerananya, tetapi sehelai uban Perdana Menteri Malaysia tidak gugur. Ubannya bertambah, tapi tak gugur oleh semua fitnah itu.

Tiada terdaya pembangkang mengajak orang berduyun-duyun berundur dari jalan raya mintanya Perdana Menterinya digugurkan sekarang. Bukan Perdana Menteri meninggalkan jawatan. Tetapi Perdana Menteri boleh menggugur orang-orang besar mula memikirkan fitnahnya mungkin ada benarnya.
       
Pak bertuah jadi Presiden negaranya yang berwibawa dan berdaulat, tetapi jadi Presiden di situ tidak seronok. Silap saja bila-bila masa boleh ke penjara. Jadi Peguam Negara dan Hakim seronok. Mereka  boleh buat apa yang Peguam Negara dan Hakim payah buat.
     
Tidak seperti seronoknya jadi Perdana Menteri Malaysia kebal dari sebarang fitnah. Betul-betul macam Raja Melaka bagi rakyat bernama Hang Tuah. Raja tidak salah dan tidak boleh disalahkan. Seronok jadi Perdana Menteri sama seperti seronoknya jadi Raja Melaka.
      
Yang tidak seronok di Malaysia jadi hakim dan Peguam Negara. Tidak bebas buat seperti apa yang hakim dan Peguam Negara Korea Selatan boleh buat. Kesian hakim dan pedakwa kita macam kesian kepada Presiden Pak. – HARAKAHDAILY 8/4/2017