Nik Abduh kalah bukan kerana ayah sudah tiada

Kolumnis
Typography

BANYAK yang menularkan kegagalan Nik Abduh untuk menjadi Timbalan Ketua PAS kawasan Pengkalan Chepa.
      
Dan ke mana saya pergi kekalahannya itu ditanya. Ia dirasakan oleh setengah suatu yang beri pertanda pada PAS dan kerajaannya di Kelantan. Dan ada yang menyangka apa yang terjadi itu gara-gara sesudah ayahndanya, Tok Guru Nik Abdul Aziz sudah tiada. Dan seolah-olah petanda tiada masa depan politik masa depan Nik Abduh sesudah bapanya tiada.
       
Mungkin Nik Abduh lebih senang terkenal kerana ayahnya amat terkenal dan berpengaruh dalam dua politik. Tetapi pengaruh Tok Guru itu tidak banyak memberi kelebihan kepada Nik Abduh dalam politik di Kelantan.
       
Tidak dipastikan Tok Guru ada peranan supaya anaknya diberi tempat dalam politik Kelantan sebagai dia anak pemimpin besar di negeri dan di seluruh negara.
        
Tidak seperti anak-anak pemimpin Umno dan MCA yang menjadi ganti ayahnya dalam pimpinan parti dan kerajaan apabila mereka melepaskan pimpinan. Datuk Najib tidak diketahui keupayaannya tiba-tiba dijadikan calon Parlimen di Pekan bagi menggantikan bapanya Tun Razak meninggal. Dipercayai kerana dia anak Tun Razak, maka dalam usia yang terlalu muda dan pengalaman politik yang amat kurang dijadikan Menteri Besar Pahang.
       
Beratus orang yang berkebolehan dalam Umno di Pekan dan Pahang layak menjadi ganti Tun Razak sebagai Anggota Parlimen, tetapi Najib yang belum lebat janggut dan misai diberi laluan kerana dia anak bapanya.
       
TunLing Leong Sik juga cuba menonjolkan anaknya yang budak lagi tetapi tak menjadi. Dr. Chua Soi Lek sedia melepaskan kedudukannya dengan digantikan oleh anaknya. Demikianlah anak Tun Hussein Onn, Tan Sri Mohamad Rahmat, Tan Sri Ghazali Jawi dan lain-lain. Dan akhir-akhir ini balu pula menggantikan suami.
       
Nik Abduh tidak berapa dapat menumpang pengaruh dan kemasyhuran bapanya dalam parti. Dia berusaha sendiri untuk dapat kedudukan seperti lain-lain orang dan ahli-ahli PAS membuat keputusan mengikut pertimbangan mereka sendiri.
      
Sejak Tok Guru masih ada Nik Abduh cuba untuk jadi Ketua Pemuda PAS Kelantan. Semuanya tahu dia anak Mursyidul Am dan Menteri Besar. Tetapi membuat pilihan sendiri. Nik Abduh tidak berjaya sekalipun dia anak Tok Guru Nik Aziz.
      
Mungkin masanya belum tiba dan orang PAS mungkin mengutamakan merit dan yang lebih berpengalaman. Dan  apabila dia tidak dapat jadi Timbalan Yang Dipertua di Pengkalan Chepa, maka ia bukan kejadian pertamanya di peringkat negeri.
       
Tetapi demokrasi PAS  itu tidak pernah tertutup. Nik Abduh kalah jadi ketua pemuda di peringkat negeri tetapi terpilih jadi ketua di peringkat pusat. Dia cuba di negeri tak berjaya, tetapi peluang terbuka di peringkat nasional.
       
Melihatkan dia kalah di peringkat negeri, orang rasa dia tiada peluang di pusat. Dia jadi Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat dulu.

Dalam pemilihan dia mencabar ketuanya yang terkenal lincah dan nada daya pimpinan. Percubaannya berjaya menjadi ketua pemuda yang baru. Dia menang di pusat itu semasa ayahnya sudah tidak ada.
       
Mengapa dia kalah di negeri tetapi menang di pusat ia adalah kerja Allah. Apapun Nik Abduh dapat memberi khidmat pada partinya. Dia kalah sendiri dan naik sendiri. Kalah di negeri bukan kerana anak Nik Aziz dan menang di pusat bukan kerana Nik Aziz. Tapi dia salah satu anak pemimpin PAS yang meneruskan perjuangan bapanya. – HARAKAHDAILY 8/4/2017