Cameron Highlands wajar dimalaysiakan

Kolumnis
Typography

SAYA belum sentuh Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands yang tidak jadi direbut sama-sama calon India apabila MIC memberi laluan kepada calon BN dari Orang Asli.

Yang saya mahu dari PRK itu ialah peluang menang diberi kepada Orang Asli yang belum pernah menyertai pilihan raya sejak merdeka.

subkyYang menarik saya tentang Cameron Highlands sekarang ialah masanya tiba nama itu digantikan dengan jati Malaysia seperti yang pernah saya cadangkan bagi Port Dickson semasa PRK yang memenangkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dulu.

Nama semula nama tempat itu hatta disempenakan dengan nama Anwar sekalipun. Atau ambil apa nama saja seperti menamakan Port Swettenham dengan Pelabuhan Klang dan Teluk Anson jadi Teluk Intan.

Orang mungkin sangka Tun Mustapa Datu Harun pemimpin Sabah merdeka dulu tidak senasionalis pejuang kemerdekaan dari Semenanjung, tetapi darah nasonalisnya menukar kota yang penjajah namai Jesselton kepada Kota Kinabalu.

Entah apa persepsi Almarhum Sultan Idris Perak pada Teluk Batak, tapak pangkalan TLDM Lumut sekarang lalu baginda namai ia Teluk Batik. Batak adalah satu suku di Sumatera. Ramai suku Batak itu di Semenanjung sebelum merdeka. Tiada yang tahu cucu cicit Batak itu sekarang kerana semuanya jadi Melayu termasuklah nama tempat yang memakai nama Batak tadi dipadamkan.

Tun Mustapa dari pedalaman Sabah boleh memalaysiakan Jesselton sebagai Kota Kinabalu, malulah orang Pulau Pinang mengekalkan Georgetown yang Inggeris namai bagi Bandaraya Pulau Pinang sebagai Georgetown. Sejak sebelum Inggeris datang tempat itu dikenali sebagai Tanjung. Selepas merdeka pun ia dipanggil Tanjung

Sekumpulan orang Pulau Pinang, Cikgu Mohd Nor Ahmad selepas merdeka menuntut Tanjung menggantikan Georgetown. Bila Dr Lim Chong Eu jadi Ketua Menteri dikekalkannya Georgetown.

British yang memerintah Pahang yang ibu negerinya Kuala Lipis menamakan gunung atau bukit itu Cameron Highlands. Hawa dinginnya seperti England itu amat nyaman bagi Orang Putih yang berkampung di Pahang.

Pembesar Melayu yang dijaga dan dididik Inggeris sedap dengan nama yang Orang Putih bagi hingga semuanya lupa nama asal tanah tinggi itu,

Sejak Inggeris campur tangan di Pahang, Cameron Highlands dijadikan tempat peranginan terkenal dan sekarang masih jadi tumpuan pelancong dan tempat rehat pegawai dan saudagar bercuti.

Sekalipun lanskap Malaysia sudah banyak berubah, jauh majunya sejak merdeka, Cameron Highlands juga berkembang, tetapi masih banyak daranya sekali pun ia ikut digondol.

Dengan PRK pada 26 Januari ini bukit itu jadi tumpuan semua. Siapa jua yang menang dan kalah, ia akan sunyi semula berakhirnya PRK. Ia direbut semula pada PRU15 nanti.

Eloknya langkah diambil oleh kerajaan negeri memalaysiakan Cameron Highlands sesuai dengan semangat baharu politik negara sekarang.

Dengan nasionalistik tidak menjadikan Cameron Highlands tambah maju serta merta dan tidak pula mengurangkan roh kemerdekaan yang ada itu. Ia tidak menjadikan kita lebih berwibawa dan tidak juga menjadikan bersemangat penjajah semula.

Tetapi jati diri nasional boleh diserlah.

Apa lagi dengan Sultan barunya, Al-Sultan Abdullah, mungkin mahu menghias Pahang dengan jati diri yang lebih ke depan sesuai pembaharuan yang dicita-cita baginda. Namakan apa saja. Bukit Mat Kilau, Bukit Datuk Bahaman, Gunung Makmur, Tanah Inderagiri dan lain-lain.

Biar Pahang lebih Malaysia baru. - HARAKAHDAILY 24/1/2019