Ratifikasi ICERD sekadar ditangguh

Kolumnis
Typography

TIADA sebarang keraguan, apa yang disebut kenyataan Jabatan Perdana Menteri (JPM) kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak akan tandatangani ratifikasi ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum) atau tidak akan menandatanganinya adalah satu penangguhan, justeru ia sudah menggugat kestabilan kerajaan dan pemimpinnya.

Mungkin Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dari segi rohnya adalah bersama penentang ICERD – utamanya PAS dan Umno – tetapi sikap lambat dan lembiknya dalam isu ini, menjadikan dia tidak setegas dikenali selama ini.

Demi tidak dilihat dia mirip diskriminasi kaum seperti yang tidak digemari ICERD, dia tidak mengekalkan Melayu/Islam sebagai Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara, satu sikap permulaan memperkenal ICERD yang tidak diketahui umum sejak dunia wujudkan menjelang tahun 70-an.

Sekalipun PM seolah-olah punahkan langkah menteri perpaduan yang sebenarnya menteri perpecahan dengan menolak meratifikasinya, tetapi belum benar-benar menyenangkan warga Melayu/pribumi. Ia boleh dilihat sebagai belum masa meratifikasinya.

Kesangsian Inggeris dan bukan Melayu terhadap penguasaan Melayu selepas merdeka, adalah percubaan menjadikan Malaya sebagai Malayan Union. Raja antara yang hendak ditiadakan. Orang Melayu membantah seperti mereka membantah ICERD sekarang.

British tangguhkan tetapi roh Malayan Union diselitkan dalam perlembagaan dan pengisian kemerdekaan yang dicapai tahun 1957.

Saudagar Ipoh, Law Pak Kuan berangkat ke London menemui Pejabat Tanah Jajahan menuntut kemajuan rundingan tidak diteruskan kerana kemerdekaan tidak mungkin melayan bukan Melayu seperti yang British beri.

Ia adalah tanda keraguan yang penjajah tanam dalam projek pecah perintahnya. Sekalipun MCA memberi sokongan kuat kepada pejuangan kemerdekaan, penyokong MCA tidak senang dengan pengasas dan Presiden MCA, Tan Cheng Lock yang dirasakan terlalu pro-Umno dan Melayu yang mendiskriminasi kaum lain. MCA menggulingkan Tan Cheng Lock menggantikannya dengan Dr Lim Chong Eu yang sebelumnya memimpin parti radikal masyarakat Cina.

Di ambang penamaan calon Pilihan Raya Umum (PRU) pertama 1959, MCA menuntut sekian banyak kerusi yang tidak memungkinkan Umno beroleh majoriti dua pertiga di Parlimen. Jika Umno cukup majoriti ia mungkin meminda perlembagaan dan tidak menjamin keselesaan bukan Melayu selepasnya.

Demikian curiga terhadap pribumi sejak sekian lama. Tun Razak sebagai Perdana Menteri sementara kerana Tunku meletak jawatan untuk kempen PRU pertama itu berkata, MCA tidak patut buat tuntutan itu. Bila Tunku pulang ke Kuala Lumpur, dia terus tolak tuntutan MCA dan terima apa yang Perikatan sudah bincangkan. Bahkan Lim Chong Eu tidak dicalonkan, dia membawa diri ke London. Dua tahun selepas Perikatan menang besar PRU 1959 itu Chong Eu keluar MCA.

Tahun 1963 Singapura menjadi sebahagian daripada Malaysia. Lee Kuan Yew muncul dengan gagasan Malaysian Malaysia, mahu menyamaratakan semua kaum dan memberi 20 tahun kepada Melayu jadi Perdana Menteri. Lepas itu terbuka kepada semua.

Sama rata itu mungkin ada logiknya tetapi ia tidak menjamin Melayu beroleh peluang sama serba serbi. Ia menimbulkan pecah belah dan saling curiga sesama kaum. Maka Singapura dikeluarkan.

Usah sebut tragedi 13 Mei 1969. Bila Waytha Moorthy jadi menteri pepaduan dia cuba sambung gagasan Malayan Union dan ulangi apa yang Kuan Yew tidak sempat buat. Jika Kuan Yew tidak timbul isu menyama rata awal tahun 60-an Melayu tidak lagi jadi Perdana Menteri mungkin sudah berlaku.

Jika Waytha tidak bangkitkan ICERD awal pentadbiran PH, bila PH cukup kuat 30 tahun nanti, ICERD tidak mustahil. Kini PM musnahkan niat Moorthy. 50-100 tahun nanti ia timbul semula. Niat sudah ada. Ia belum berakhir, hanya ditangguh sementara. – HARAKAHDAILY 5/12/2018