Papan tanda tak Malaysia dipadam

Kolumnis
Typography

ORANG politik yang gah seperti PKR tak boleh buat, Raja saja yang dapat buat.

Sehebat-hebat Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang tersohor wibawanya sejak sebelum berpolitik hingga mencapai mercu keagungan politik dari hujung 80-an hingga pasca musim penjaranya Mei lalu tidak mampu jadikan bahasa Melayu saja sebagai tulisan di papan tanda jalan.

Pada hal sikapnya memartabatkan bahasa rasmi tak berapa tunggal itu tidak boleh diperkecil. Siapa berani lawan Anwar nescaya berdepan serba payah.

Tak usah sebut Pulau Pinang yang dia sekadar tumpang berkuasa saja. Di negeri partinya berkuasa selama masuk tiga penggal sejak tahun 2008, jalan-jalan terutama di ibu kota Selangor tidak tunggalkan bahasa rasmi.

Terpaksa dapatkan perintah Sultan Selangor untuk memadam tulisan tak rasmi Malaysia pada nama-nama jalan di negeri kubu kuat PKR dan Pakatan Harapan.

Dititah baginda, semuanya mesti diselesaikan sebelum hari keputeraan awal bulan Disember ini.

Rasanya tidak ada takwil apabila ada titah sedemikian ia adalah selari dengan ikrar Pakatan Rakyat yang disertai PAS dulu segala yang berkait dengan kedaulatan bahasa menjadi sebahagian daripada yang dipersetujui. Dan ia adalah antara banyak hal yang tidak dihormati dalam kalangan kerabat itu yang mendorong PAS menjauh diri daripada muafakatan itu.

Apakah penggunaan tulisan lain itu diputuskan oleh kerajaan atau oleh exconya yang selalunya disembahkan kepada baginda untuk diperkenan. Ternyata sekarang ia tidak dimaklumkan kepada baginda.

Dan sebenarnya apa keperluan tulisan tak rasmi Malaysia itu digunakan? Jika ada papan tanda memakai sama tulisan jawi, maka bukan untuk memakai tulisan lain kerana jawi itu adalah tulisan awal yang dipakai sebelum rumi diperkenal oleh penjajah. Tidak pernah kerajaan penjajah dan kerajaan merdeka melarang penggunaan tulisan jawi.

Maka tidak berbangkit tulisan di papan tanda itu diduakan jika orang Malaysia menghormati harmoni kaum dan menjunjung langit di mana bumi dipijak.

Ketika PAS mengadakan dialog memperkenalkan PAS kepada masyarakat bukan Islam tahun 1986, PAS ditanya apakah papan tanda mengenai apa jua boleh mendua atau mempelbagai tulisannya?

Tanya saya, apakah keperluannya adakah setelah sekian lama merdeka ada orang yang tidak boleh membaca rumi? Jawab mereka, tiada masalah bagi generasi muda, tetapi bagi warga emas yang tidak belajar tentu sukar bila bersendirian hendak ke stesen keretapi, ke perhentian bas dan lain-lain.

Tanya lagi saya, mengapa kamu biarkan datuk dan nenek kamu yang tua itu berjalan bersendirian? Bukankah warga emas itu diteman ke mana-mana oleh anak dan cucunya?

Tidak keperluan melainkan ia sentimen kaum.

Memelihara ciri dan nilai tradisi kaum adalah baik, tetapi ia tidak elok justeru sentimen kaum baik tebal atau nipis. Lee Kuan Yew sebelum berkuasa dikira saksama atas isu kaum hingga Yusuf Ishak, CEO Utusan Melayu mengiranya seorang nasionalis Melayu. Setelah berkuasa dan dikerumun kaumnya, dia terperangkap dengan sentimen kaumnya hingga dia tidak dilihat sebagai pemimpin Singapura untuk rakyat Singapura atau Singaporean Singapore tetapi dilihat sebagai pemimpin Cina atau bukan Melayu Singapura.

Peranan sentimen itu dipercayai menjadikannya kurang mempercayai orang/rakyat Melayu Singapura. Ramai Cina dan India jadi Presiden Singapura di zamannya. Hanya Yusuf Ishak, Presiden pertama jadi Presiden.

Perintah Sultan Selangor itu seolah-olah mencela PH. Di bawah PH papan tanda jalan sudah diduakan. Raja saja harapan rakyat, orang politik tidak jadi harapan lagi. – HARAKAHDAILY 3/12/2018