India tanpa parti kecewa Najib, Mahathir

Kolumnis
Typography

KERAJAAN PH Mahathir yang baru setengah tahun kini ribut gara-gara formula perpaduan menteri perpaduannya apabila mengetengahkan diratifikasikan ICERD – Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum.

Diskriminasi di Malaysia selama 61 tahun tidaklah sempurna tetapi ia bukan suatu yang dikategorikan zalim atau amat zalim. Kalau dalam kezaliman ada keadilan, maka ciri-ciri diskriminasi yang ada itu ialah satu kesaksamaan yang berhikmat lagi rahmat.

Antara rahmat itu PM Mahathir mengangkat seorang peranakan India yang tidak berparti politik yang tidak menyertai pilihan raya menjadi menteri di JPM memacu urusan perpaduan kaum supaya menambah baik perpaduan yang dipelihara sekian lama.

Ramai peranakan India bermati-matian berpolitik melalui parti pilihannya. Ada antaranya dipecat dari partinya dan berbalah sama sendiri bagi menegakkan tindakan politik yang dipercayainya, berbelanja dan berkorban untuk partinya tidak dipilih menjadi menteri.

Tetapi seorang yang berparti tetapi sentiasa mengkritik perjalanan politik negara dan parti politik kaum India, dilantik jadi menteri.

Mahathir bukanlah Perdana Menteri pertama menggunakan kaedah mengangkat peranakan India menganggotai kerajaan secara demikian. PM Najib pernah melantik akivis India jadi timbalan menteri di JPM. Yang menyokong MIC dan BN tidak dilantik, yang mengecam MIC/BN dilantik.

Mungin mengharapkan ada hikmahnya. Individu bertuah itu menerimanya sekalipun hati Samy Vellu berkata-kata. Dia jadi menteri sekejap, dia pun meletak jawatan dan kembali mengkritik kerajaan dan kepimpinannya.

Najib dikira gagal tak pasti adakah dia kecewa.

Tidak banyak tindakan Najib disukai Mahathir. Tetapi apabila jadi PM semula, dia ulangi mengangkat peranakan India yang jarang senang dengan kerajaan jadi menteri. Jaga perpaduan juga.

Ternyata Mahathir susah dengan tindakannya untuk menandatangani konvensyen yang Malaysia tidak akui selama ini. Semua Perdana Menteri sebelum kali kedua buat Mahathir mendiam konvensyen kerana ia tidak dilihat saksama bagi Malaysia dan mereka tidak mahu bermasalah dengan rakyat yang menyokongnya.

Kesilapan Mahathir kali ini ialah memberi muka kepada isu itu. Dia pernah diamkan dulu, tapi kali ini dipercayai dia masih tidak suka, malangnya dia tidak sanggah di kabinet bila ia berbangkit. Dia patut bagitahu isu ini menyebabkan semua orang Islam/Melayu dari yang tidak berjawatan hingga bertakhta tidak boleh menerimanya.

Mahathir ada kata ia tidak sesuai dengan negara kita, tetapi dia tidak tutup pintu perbincangan.

Pro konvensyen di kalangan aktivis tidak ada komitmen politik berparti memang mencari kepuasan dari hal yang tidak menyenangkannya. Tidak semua orang puas dengan semua. Kita boleh berpuas hati dalam setengah tetapi tidak semua boleh puas hati dengan semua.

Diskriminasi di sini setakat ini tidak termasuk ekstrem. Yang sempurna tidak mungkin diperolehi di dunia. Yang sempurna itu hanya di syurga.

Gara-gara percubaan menteri perpaduan mahu menyempurnakannya, telah menyusahkan Perdana Menteri. Ia menyusahkan kerajaan dan sekalian anggota kabinet dikecam. Kebijaksanaan PH dan kerajaannya tercalar gara-gara politik individu yang tidak berparti.

Kerajaan memerlukan masa untuk menyempurnakan manifesto yang belum tertunai, maka menteri perpaduan telah menyusahkan Perdana Mentei yang mengangkatnya dan kerajaan yang memberi kepercayaan kepadanya.

Jika menteri MIC membuat angkara, PM dan BN boleh tekan MIC. Bila DAP buat angkara, PM dan kerajaan boleh tekan DAP. Orang tidak berparti hendak buat macam mana.

Sebagaimana Najib pernah kecewa, maka Mahathir juga beroleh susah yang sama. – HARAKAHDAILY 17/11/2018