Membawa polis ke khutbah Jumaat

Kolumnis
Typography

SEMPENA Hari Polis pada 25 Mac lalu demi menghormati perkhidmatan polis menjaga dan mengekalkan keamanan negara maka ia membawa darihal kepolisian dalam khutbah Jumaat bagi masjid-masjid di wilayah Persekutuan.

      

Di samping menghargai peranan dan pengorbanan perkhidmatan polis yang tidak terhingga, khutbah juga mengingatkan makmum dan masyarakat seluruhnya supaya jangan membiarkan keamanan itu sebagai tanggungjawab polis semata, bahkan semua mesti berperanan membantu polis mengekalkan keamanan yang kita kecapi itu.

      

Tentunya khutbah itu demi mengingatkan masyarakat seluruhnya supaya sentiasa siap siaga menangani tanggungjawab menjaga keamanan yang tentunya bertambah rencam dari semasa ke semasa disebabkan oleh bertambah maju dan laju kemajuan pemikiran manusia yang kerenah, kehendak dan nafsunya berbagai ragam.

      

Sebagai umat biasa, saya tahniah prkhidmatan polis itu, tiada saya hendak mentakwil dan mengajarnya membuat apa yang terbaik. Jika pun sebagai makhluk tidak sunyi ia daripada kelemahan tetapi kelemahan itu adalah relatif dengan kelemahan sistem yang dipakai untuknya, kelemahan kerajaan dan pemimpinnya.

      

Cuma yang menarik perhatian saya, apabila darihal kepolisian ini di bawa ke masjid dan dimasukkan dalam khutbah yang menjadi rukun Jumaat, maka membawa polis ke dalam ruang lingkup agama Islam. Dan Islam itu pula adalah agama addin, satu sistem hidup yang sempurna lengkap dengan sistem polisnya.

    

Rasanya khutbah itu tidak secara jelas menyarankan peranan polis dalam Islam. Apabila polis di bawa ke masjid mesti disebut betapa polis itu adalah alat yang penting dalam mendaulatkan Islam dan segala yang yang Islam mahu apabila makhluk manusia itu dicipta.

    

Khutbah itu hanya menyebut akan ketinggian peranan polis sebagai jentera negara, rakyat dan negara terhutang budi kepadanya, dan negara mengiktiraf peranannya.

    

Umumnya polis kita itu yang diasaskan pada zaman penjajah dulu, peranannya adalah sama dengan polis New York, Rusia, Perancis dan lain-lain. British tidak pernah mengIslamkan polis kita dan saya tidak ingat bila negara merdeka ini mengIslamkannya.

    

Sepanjang di bawah penjajah uniformnya berseluar pendek, bersetoking panjang tetapi mendedah lutut. Lutut itu sebahagian aurat laki-laki.

      

Polis Amerika dan polis Jepun tidak ada tanggungjawab kepada Tuhan. Ia bertanggungjawab kepada Raja dan negaranya. Maka kita pun macam Jepun dan Amerika juga bertanggungjawab kepada Agong dan negara.

      

Kalaupun ada tanggungajwab kepada Allah itu ia kerana perlembagaan kata Islam agama Persekutuan dan Agong orang Islam.

    

Apabila polis di bawa ke mimbar masjid kita kena bagi tahu keutamaan tanggungjawab itu adalah kepada Allah, kepada Islam dan kepada syariat. Negara dan Agong itu duduk di bawah Allah, di bawah Islam dan di bawah syariat. Ia tidak sekadar menjaga keamanan. Ia menjaga agama, menjaga nyawa, menjaga otak, menjaga keturunan dan menjaga harta.

    

Apabila semua ini dijaga, terjagalah keamanan. Apabila polis bertanggungjawab kepada Agong dan Negara, tidak semestinya mereka tahu apa polis buat. Tetapi bertanggungajwab kepada Allah, Islam dan syariat, Allah tahu apa yang dibuat. Bertanggungjawab kepada negara yang zalim, kalaupun ada pahala nipis saja. Tapi kalau tanggungjawab kepada Allah, pahalanya sebesar langit dan bumi dan segala isinya.

      

Tidak sama polis New York dan Tokyo dengan polis Islam. Apa Jawi tidak sebutkan ini apabila polis di bawa ke mimbar khutbah. Ia tak sampai ke langit. – HARAKAHDAILY 31/3/2017