Mahathir patut belajar sejarah

Kolumnis
Typography

SAYA tidak berhajat menyambung repek Mahathir tentang peranan PAS dalam perjuangan kemerdekaan. Buat apa dilayan perkara yang merepek.

Tiba-tiba saya terbuka buku Dr. Ismail Said bertajuk MENEGAK AGAMA MEMBELA BANGSA Perjuangan PAS 1951-1970. Lalu terbaca tentang antara ikhtiar Tunku Abdul Rahman Putra sebagai pemimpin baru Umno memperjuangkan kemerdekaan.

Dalam tindakannya itu ada pula nama orang PAS duduk dalam jawatankuasa khas terdiri beberapa parti politik yang diketuai Tunku. Disebutkan oleh buku itu tentang Kongres Kebangsaan 23 Ogos 1953 di Majistic Hotel Kuala Lumpur bagi membincangkan menuntut pilihan raya. Hasil kongres itu Tunku memimpin rombongan menuntut kemerdekaan.

Tunku dan Dato’ Onn berebut pengaruh bagi mendapatkan sokongan lain-lain parti bagi menguasai politik tanah jajahan Inggeris di Malaya. Mereka menganjurkan National Convention dan satu lagi National Conference. PAS menghantar wakil dalam dua-dua perjumpaan itu.

Dalam resolusi muktamar ketiga tahun 1954 PAS berkecuali terlibat dengan kedua-duanya tetapi menyokong mana pihak menuntut kemerdekaan. Ia juga setuju dalam tuntutan mengadakan pilihan raya.

Dalam jawatankuasa khas yang diketuai Tunku ada nama orang PAS iaitu Mohd Yassin Haji Salleh. Seorang lagi dari Umno ialah Dr. Ismail Abdul Rahman. Lain-lain anggota ialah Ahmad Haji Abdul Rahman, dipercayai PAS, Kol. H.S. Lee, Leong Yew Koh, S.M. Yong, Tan Siew Sin dan Ong Yoke Lin.

Mereka adalah orang-orang terlibat bersama Umno menuntut kemerdekaan. Walaupun (Dato’) Mohd Yassin tidak disebut dari PAS tetapi namanya disebut sebagai calon PAS di Semantan, antara 11 calon dalam pilihan raya 1955.

Memang Dato’ Mohd Yassin pernah jadi Pesuruhjaya PAS di zaman pimpinan Dr. Burhanuddin al-Helmy. Jika saya tidak silap beliau adalah bapa kepada Tan Sri Kamarul Arifin, seorang peguam Umno yang pernah menjadi Pengerusi Bank Bumiputera.

Sekalipun dalam politik tidak bersama Umno tetapi tidak boleh ditolak peranannya dalam tuntutan kemerdekaan melalui PAS.

Malah sebelum Dr. Mahathir terlibat dalam politik, sebelum masuk universiti, Dato’ Mohd Yassin sudah tersenarai sebagai pejuang kemerdekaan.

Semasa Jepun bersetuju untuk menyerahkan kemerdekaan kepada Dr. Burhanuddin, Dato’ Mohd Yassin disenarakan sebagai menteri dalam kabinet Dr. Burhanuddin.

Masa itu Umno belum ada dan Dr. Burhanuddin belum jadi pemimpin PAS. Tetapi Dr. Burhanuddin sudah dikenali sebagai pejuang dan pemimpin kemerdekaan.

Sejak sebelum Jepun beliau sudah menyuarakan kemerdekaan daripada British. Setelah Jepun melanda Tanah Melayu, British tinggalkan Tanah Melayu tanpa senjata. Dr. Burhanuddin menyambung tuntutan kemerdekaannya daripada Jepun melalui proses perundingan.

Mungkin ini pertama kemerdekaan itu boleh dicapai melalui perundingan. Kerana Jepun semasa datang berjanji untuk membantu Malaya merdeka. Dr. Burhanuddin menagih janji Jepun untuk memberi kemerdekaan.

Panglima Jepun di Saigon bersetuju menyerahkan kemerdekaan kepada Tanah Melayu dan menjadikan Dr. Burhanuddin sebagai Perdana Menteri.

Beliau diminta membentuk kabinet. Selain daripada Dato’ Yassin, senarai kabinet Dr. Burhanuddin itu termasuk Dato’ Abu Samah, kawan seangkatan Dato’ Yassin di Temerloh, Dato’ Onn Jaafar dan Dato’ Abdul Rahman Yasin, bapa Tun Dr. Ismail. Anak Dato’ Abu Samah, Tan Sri Hamzah adalah adik ipar Tun Razak.

Saya tulis lagi hal ini kerana saya terbaca fakta tambahan betapa PAS adalah sebahagian daripada pejuang kemerdekaan.

Mahathir patut belajar sejarah ini. Tetapi dia mesti berguru. Tanpa guru dia akan dapat sejarah sesat. – HARAKAHDAILY 30/9/2018

tegak