Rahim Noor: Ibarat Mahathir tampar Anwar

Kolumnis
Typography

APA sudah jadi pada otak Tun Dr Mahathir? Diangkatnya Tan Sri Rahim Noor, Ketua Polis Negara yang disabit salah jenayah kerana membelasah Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang baru sahaja dipecat daripada Timbalan Perdana Menteri 20 tahun lalu.

Dia baru sahaja membebaskan Anwar dengan pengampunan Yang di-Pertuan Agong lalu diangkatnya orang yang ada rekod itu sebagai ketua menyelaras kerja dengan Thailand di Thailand Selatan. Memang dia ada pengalaman mengendalikan masalah komunis yang melibatkan kedua-dua negara semasa dalam berkhidmat dahulu.

Tetapi jasa itu tidak mewajarkan urusan penting itu ditugaskan kepadanya setelah dia ada rekod jenayah. Mana penjenayah boleh menyandang jawatan awam kecuali mendapat pengampunan istana seperti Anwar.

Raja mengampunkan setelah 20 tahun dia bergelut dengan mahkamah bagi membebaskan dirinya daripada dakwaan terhadapnya dan umum tidak percaya tohmah ke atasnya.

Adapun Rahim Noor tidak diketahui membantah dan merayu atas dakwaan terhadapnya.

Kebijaksanaan Perdana Menteri Mahathir mengangkat Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara ditakwil orang awam. Justeru, Kabinet bersetuju dengannya dan bagi mengelakkan kita terdedah kepada bunga-bunga perkauman, ada hikmat ia tidak dipanjangkan.

Tetapi siapa yang suka dengan pemilihan terhadap Rahim Noor? Apa moral dan integriti melayakkan diberi penghormatan. Bukan dia sahaja yang boleh buat tugas itu. Ramai lagi orang yang layak. Beberapa orang bekas Ketua Polis Negara, jika pengalaman kepolisan diperlukan untuk tugas itu. Tun Hanif Omar apa kurang. Cuma tua. Mahathir pun tua juga. Mungkin lebih tua.

Isu besar Rahim ialah melibatkan Anwar. Boleh mati Anwar dibalunnya. Tidak dapat dibayangkan garang dan kejamnya.

Dan Anwar itu baru sahaja berdamai dengannya. Mahathir bukanlah pilihan popular calon Perdana Menteri. Sejak awal musibah melanda Anwar, Pakatan Rakyat kecuali PAS tidak berganjak mencalonkan Anwar jadi Perdana Menteri. Kelayakannya bukan sekadar bagi menggantikan Najib, bahkan layak menggantikan Mahathir sebelum bersara dulu.

Anwar dipercayai tidak terfikir Mahathir boleh menggantikannya sebagai calon Perdana Menteri memandangkan sengketa mereka amat tajam dan umum tidak tertarik lagi dengannya. Tetapi tiada cara Anwar boleh bebas dan boleh berpolitik lagi melainkan melupakan rekod tak elok Mahathir terhadapnya dan terhadap politik Negara dahulu.

Dan tiada cara kerakusan Najib boleh digantikan melainkan memaafkannya dan memanfaatkan pengalaman dan kemahiran politiknya. Masih ada mentakwil Mahathir tetapi kemahiran politik Anwar memberi kepercayaan kepadanya menyebabkan sekalian biduanda Anwar kompromi pemilihan Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Tetapi bukan menobatkan Rahim Noor sebagai orang penting dalam kerajaan. Anwar mengampun semua yang terpalit dengannya. TIdak dipastikan terhadap Rahim Noor. Jika diampunkan pun tidak sampai memperanankannya.

Rasulullah SAW pernah benci terhadap Hindun dan Wahsyi atas peranan membunuh kejam Saidina Hamzah hatta setelah mereka masuk Islam. Tetapi Hindun dan hambanya melakukan berbagai-bagai bagi menarik Nabi SAW tidak murka lagi.

Tiada tanda Rahim Noor mengambil langkah mendekati Anwar dan mengaku menyesal atas perbuatannya. Tidak diketahui dibuat macam yang Mahathir buat untuk melupakan marah Anwar atasnya.

Adakah Mahathir dapatkan sepakat pimpinan Harapan atas isu Rahim Noor ini? Rasanya tiada yang tertarik dengan pemilihannya.

Bahkan pemilihan itu ibarat menampar Anwar.

Pimpinan Harapan lazimnya setuju penuh atas semua yang Mahathir hendak buat. Dan mereka juga boleh putus jika mahu memecat Mahathir. Jika mereka pecat Mahathir atas perkara yang mereka tidak setuju, Mahathir tidak boleh bantah kerana Mahathir sudah setuju semua perkara disetujui oleh semua. – HARAKAHDAILY 8/9/2018