Cina Seri Setia wajar undi PAS

Kolumnis
Typography

KITA akui, dan itulah analisis yang sebenar, ketumbangan kuasa Barisan Nasional yang di belakangnya ada Umno ialah 90+ peratus pengundi Cina tidak memberi undi kepada PAS dan Umno dalam PRU14.

Adalah benar mood pengundi kali itu mahukan perubahan, tetapi pengundi Cina pun tidak yakin kerajaan BN boleh ditumbangkan, bahkan calon Perdana Menteri Dr Mahathir tidak sangka pakatan pembangkangnya menang.

Sekalipun semuanya mahu menang, antara harap ada percaya kurang, pengundi Cina rata-rata turun bagi meneruskan tradisi mengundi pembangkang yang sudah bermula sejak PRK 1957 di Lembah Kinta apabila calon PPP, D.R. Seenivasagam mengalahkan kerusi yang dikosongkan oleh Tun Leong Yew Koh kerana pelantikannya sebagai Gabenor Melaka pada Hari Kemerdekaan 31 Ogos 1957.

Tradisi Cina mengundi pembangkang itu berkembang hingga PRU14. Tradisi pengundi Cina itu adalah juga tradisi pengundi PAS sejak tahun 1955. Pembangkang PAS bermula dengan satu dalam PR 1955, pembangkang Cina juga bermula satu dalam PRK 1957 di Ipoh.

Umumnya pengundi Cina dan PAS tidak sekaki, tetapi kedua-duanya sepemikiran kekal mengundi pembangkang hingga PRU14.

Mungkin ia permulaan berakhirnya BN, tetapi demokrasi mesti diteruskan dalam politik dan kerajaan baru di Malaysia. Demokrasi itu akan pincang semula jika Pakatan Harapan dibenarkan berkuasa 60 tahun pula. Arus pengundi 2018 susah Harapan dapat dikalahkan dalam waktu yang terdekat.

Jika pengundi Seri Setia dan Balakong berfikiran Harapan yang disokong Cina pada 9 Mei dulu mengekalkan kemenangan parti kerajaan, maka pengundi mahu memulakan semua ketempangan demokrasi 60 tahun dulu hingga PM Mahathir dalam perutusan Hari Kemerdekaannya mengira kemenangan Harapan sekarang bererti Malaysia merdeka sekali lagi.

Kerajaan Harapan tidak tergugat hingga PRU15. Kekalahan calonnya di Seri Setia dan Balakong tidak mengganggu kuasa Dr Mahathir, Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng. Kemenangan PAS di Seri Setia dan MCA di Balakong akan menyegarkan demokrasi dan menjadikan kerajaan Harapan lebih sihat dan telus.

Pengundi PRK jangan bersikap seperti menghadap PRU. PRU adalah unuk menentukan kerajaan, PRK adalah demi mengukuhkan demokrasi dan memastikan kerajaan tidak zalim.

Pengundi Malaysia jangan terikut-ikut dengan fobia Islam yang diapi-apikan oleh politik Amerika dan Eropah! Pengundi Cina jangan jadi fobia PAS dan fobia Umno. Orang PAS dan pengundinya jangan jadi fobia Umno hingga Umno yang sudah kalah itupun ditakuti seperti Umno dulu juga.

Umno sekarang sudah pembangkang macam PAS dan Cina dulu juga. MCA dan MIC pun pembangkang juga. PAS, MCA, Gerakan dan MIC adalah pembangkang dalam iklim sesuai dengan iklim baru politik Malaysia dan kerajaan Harapan.

PAS sudah memulakan perubahan sebelum PRU14, selepas PRK Teluk Intan dan Langkah Kajang. Dengan politik matang dan sejahteranya ia mendekati Umno yang sudah tidak menentu masa itu. Orang kata ia mahu masuk Umno. Ia sebenarnya mendekati Umno kerana Umno adalah lubuk orang Melayu dan Islam. Apa-apa berlaku pada Umno mereka sudah dekat dengan PAS. Jika PAS fobia dengan Umno ia akan menjauhkan PAS dengan Umno. PAS tidak bercakap tentu bersatu dengannya tetapi Umno sudah dekat dengan PAS seperti di Sungai Kandis dulu dan Seri Setia dan Balakong sekarang.

PAS pun mulai mendekati MIC dan MCA. Pengundi Cina wajar mengekalkan setiakawannya dengan PAS mengukuhkan pembangkang demi politik baru Malaysia. – HARAKAHDAILY 4/9/2018