Dongeng Cheng Ho datang dengan 80,000 kapal

Kolumnis
Typography

TELAH acap saya dengan Laksamana Cheng Ho dihikayatkan belayar dari Negeri China dan singgah di Melaka bagi menikahkan Hang Li Po dengan Sultan Melaka.

Dia datang dengan banyak bahtera saya terima. Dia bawa Hang Li Po sebagai hadiah Maharaja China untuk jadi permaisuri Sultan Melaka pun saya terima.

Tetapi dia belayar diiring oleh 80,000 kapal suatu yang tidak masuk akal. Ia karut. Ia dongeng. Kalau dongeng pun biarlah masuk akal sikit.

Kalau dia datang ke Melaka dengan 80,000 pun sudah tidak masuk akal. Penduduk Melaka pun masa itu mungkin tidak sampai 80,000 orang.

Jika separuh saja mendarat, nescaya kota Melaka jadi sesak. Bayangkan 40,000 tunjuk perasaan yang dianjurkan oleh Mat Sabu, Kuala Lumpur sudah padat.

Jika 80,000 itu mendarat semua nescaya kita tidak nampak muka orang Melayu. Penuh dengan Cina belaka. Pengiring Laksamana Cheng Ho itu akan melimpah hingga ke sempadan Negeri Sembilan dan sempadan Johor.

Yang bersamanya bukan 80,000 orang tetapi 80,000 kapal. Kalau 100 saja dalam sebuah kapal jumlahnya 8,000,000 orang. Dipercayai sebuah kapal memuat lebih daripada seratus orang. Biasanya Cina yang datang dari beribu-ribu batu, mereka payah balik. Jika separuh saja dari anak kapal Cheng Ho tidak balik, nescaya Melaka sejak 500 tahun berakyatkan Cina belaka.

Di mana 80,000 kapal itu hendak berlabuh di Melaka? Muatkah perairan Melaka untuk menampung kapal yang banyak itu. Nescaya pantai Selat Melaka dari Johor hingga ke Negeri Sembilan penuh dengan kapal Cina, bahkan boleh membanjiri pantai Sumatera.

Saya tidak hendak bercakap dengan bekalan makanan mereka. Mungkin bekalan yang dibawa dari Negeri China cukup untuk lebih dari setahun. Tetapi bekalan air terpaksa diambil di tengah jalan. Melaka nescaya kering demi menampung keperluan air untuk 80,000 kapal.

Bala tentera Iskandar Zulkarnain dari Yunanistan - Greece - yang menakluk benua Asia hingga ke India pun tidak sampai 80,000 kapal.

Maka hikayat Laksamana Cheng Ho dengan 80,000 kapal itu adalah dongeng. Mungkin kapal yang ada di seluruh Negeri China pada masa itu tidak sampai 80,000. Jika yang berangkat bersama Laksamana Cheng Ho 80,000 kapal, tentu semuanya sebahagian kecil dari semua kapal yang dimiliki China.

Perairan Shanghai dan Kanton pun tidak dapat menampung keperluan kapal yang banyak itu.

Saya agak Cheng Ho tidak sempat membilang kapal yang hendak bersamanya. Dia mungkin menerima laporan dari pegawainya. Kita tidak fikir pegawai hendak berbohong dengannya atau memberi angka palsu kepadanya.

Dia dipercayai membuat kesilapan seperti yang terjadi kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. Jumlah bayaran GST yang kerajaan dulu dikatakan tidak langsaikan berbilion. Sedang jumlah yang dikatakan dirompak jutaan saja.

Guan Eng terpaksa membetulkan kesilapan itu. Pegawai yang menyediakan angka itu tersalah letak titik perpuluhan. Jadilah yang sekadar jutaan itu dikatakan billion.

Mungkin pegawai Cheng Ho tersalah letak titik atau terletak lebih sifar. Angka sifar itu jika banyak pun mungkin dua saja bukan empat. Jika dua saja ia berjumlah 800. Kalau satu sifar saja ia jadi 80. Bila diletakkan empat sifar jadilah ia 80,000.

Kesilapan Guan Eng sudah dibetulkan, tetapi membetulkan angka armada Cheng Ho seperti mensejarahkan sebuah dongeng. – HARAKAHDAILY 2/9/2018