Dulu Agong sekarang polis!

Kolumnis
Typography

DIALOG atau debat agung antara Tun Dr. Mahathir dan Datuk Menteri Nazri Aziz yang sepatutnya berlangsung di Padang Rengas petang 25 Mac tidak jadi diadakan kerana tidak dapat izin polis.
       
Tidak usah ditanya gerangan apa polis kedekut mengeluarkan permit, mungkin justeru kesannya menggandakan apa yang PM Najib maksudkan sabotaj ekonomi negara.
        
Tindakan polis itu mengingatkan semua kepada Debat Agung PAS-Umno suku pertama tahun 80-an yang ditunggu oleh semua, sehari menjelang debat yang dijadualkan diliput Langsung TV dilarang Yang Dipertuan Agong.
       
Debat PAS-Umno dibatalkan atas dikri Agong dan Dialog Mahathir-Nazri terhalang atas tidak diizin polis.
       
Debat PAS-Umno dulu gara-gara cabaran Dr. Mahathir Perdana Menteri masa itu. PAS seperti Nazri juga terima cabaran itu dengan syarat disiarkan TV secara langsung. Umno setuju dan Mahathir bagi tajuk PAS kata Umno kafir. PAS setuju tajuk itu. Mahathir namakan  moderatornya Tan Sri Lokman Musa. PAS setuju.
      
Semua kata tajuk itu berat sebelah dan seru supaya PAS jangan langsungkan debat. Tajuk itu seolah-olah boleh pukul mati PAS. PAS enggan batalkan. Kalau mahu batal biar oleh Umno. PAS tahu tajuk itu tidak adil baginya tapi ia akan untuk kata, Umno kata, PAS kata Umno kafir.
      
Jika Umno dan PM Najib tidak restu Nazri sahut cabaran Mahathir atas tema 1MDB dan lain-lain, Debat PAS-Umno itu sebenarnya tidak dikehendaki Umno termasuk Mahathir sendiri. Mahathir dipercayai tidak bersungguh. Cabarannya sekadar main-main. Tetapi PAS ikat dia supaya ia dapat bersemuka dengan Mahathir dan Umno.
       
PAS tak akan tarik diri. Kalau Umno batalkan malulah ia.
       
Untuk keluar dari kemelut itu, Agong dikri ia dibatalkan. Agong dipercayai bertindak atas nasihat Perdana Menteri. Bagi selamatkan air muka Umno, Mahathirlah di belakang perintah istana itu.
      
Sekarang Mahathir hendak sangat dialog itu. Ia sarat dengan isu yang boleh pukul mati PM Najib dan Umno yang Nazri sepatutnya tahu PM Najib selama-lamanya tidak mahu ia dibincang terbuka. Mungkin Nazri sangka dia sang kancil mahu berjenaka dengan Mahthir dan rakyat seluruhnya. Tetapi dialog itu boleh pukul mati Najib seperti PAS boleh pukul mati Mahathir dalam Debat PAS-Umno dulu.
      
Macam-macam Umno sindir Nazri, tetapi dia sanggup bersendirian, asal jangan disingkir dari kerajaan kerana memberi tombak pada Mahathir untuk panah Najib.
       
Tiada cara bagi mengelakkan dialog itu melainkan mengilhamkan polis tidak mengeluarkan permit.
       
Sebagaimana orang payah percaya Agong memandai mengeluarkan dikri 30 tahun lalu, maka tiada yang percaya Najib tiada di belakang polis tentang permit itu.
       
Debat dulu berjaya dibatalkan. Tetapi dialog kali ini sekadar ditunda, belum dibatalkan. Kerana sekarang ada Karangkraf yang bebas mengadakan puluhan wacana di premisnya tanpa permit. Setakat ini 7 April disetujui sebagai tarikh baru. Jika polis tidak pernah ganggu Karangkraf jadi gelanggang percambahan  fikiran dipremisnya selama ini, payah baginya campur tangan atas dialog ini.
      
Apa Najib dan polis dapat buat bagi mempengaruhi Karangkraf menarik diri daripada penganjuran itu?
      
Apa yang Najib buat bagi mempengaruhi polis bagi menghalang  dialog itu adalah mengulangi apa yang Mahathir buat bagi membatalkan debat dulu.
      
Sekarang Mahathir mahu sangat dialog itu, tetapi Najib cuba sekat sebagaimana dia pernah sekat debat dulu.
      
Jenaka Nazri adalah nahas buat Najib. – HARAKAHDAILY 22/3/2017