Nabi jadi rasul ketika 40 tahun

Kolumnis
Typography

KEGHAIRAHAN memberi laluan politik kepada suara anak muda hingga yang 20-an menjadi menteri belum tentu mencermin perkembangan yang matang.

Pemilihan Syed Saddiq menjadi Menteri Belia dan Sukan menjadi perhatian dan ujian betapa laluan dan seruan anak muda sentiasa tepat dan sihat. Ada dalam sejarahnya takhta diwarisi oleh putera muda dan berjaya membuktikan kehebatan pimpinannya.

Sultan Ahmed al-Fateh diberi laluan ayahndanya menaiki takhta menggantikannya adalah dalam usia yang muda, mungkin sebaya usia Syed Saddiq. Baginda berjaya menakluki empayar Konstantinopel dan menekakan empayar Islam Turki yang gah berabad-abad.

Adakah kejayaannya berkuasa di Istanbul justeru mudanya, atau kehebatan luar biasa yang dimiliki sejak awal dan nilai soleh dan taqwanya yang tinggi jadi syarat bagi panglima yang bakal menakluki empayar Rom Timur itu?

Ia justeru nilai yang tinggi padanya, mudanya adalah kebetulan.

Nabi SAW pernah mengangkat anak muda mengepalai perang, justeru kelebihan yang ada padanya dan tidaklah semua pemuda yang seusianya berupaya sepertinya. Ramai yang bersama Rasulullah SAW pada peringkal awalun Islam itu adalah anak-anak muda. Kekuatan anak-anak muda ini menjadi pembantu baginda berdakwah dan berjihad.

Memang jika rata-rata belia itu taqwa dapat menentukan masa depan cerah pada masyarakat itu. Inilah yang dibuktikan oleh generasi Ali bin Abu Talib yang sentiasa bersama baginda dalam apa perkembangan saja.

Sekalipun Mekah dipimpin oleh ramai bangsawan Quraisy berbagai lapisan generasi, tetapi sekaliannya segan dan menghormati baginda Rasul sejak kanak-kanak dan remajanya lagi. Ketika mereka bertelagah siapa yang patut meletakkan hajarul aswad pada tempatnya di Kaabah, semuanya setuju pemilihan terhadap baginda dan baginda telah mengemukakan formula kebersamaan membawa batu hitam itu ke sisi bucu ia ditempatkan.

Sekalipun baginda manusia istimewa tetapi Allah tidak menjadikannya Rasul hinggalah berusia 40 tahun. Allah memilih Yahya menjadi rasul ketika remaja. Dan Nabi Isa al-Masih diangkat ke alam ghaib ketika 30-an, masih usia generasi anak muda, tetapi Nabi Muhammad SAW hanya menjadi rasul sesudah 40 tahun, satu tahap usia yang diterima matang oleh manusia sepanjang zaman.

Bukan baginda belum matang sebelumnya. Baginda sudah matang. Tetapi Allah letak usia 40 tahun tempoh matang secara umum untuk semua. Maka itulah ukuran matang yang terbaik yang wajar jadi perhatian dan pedoman bagi semua manusia.

Jika anak-anak muda dalam Umno disekat oleh generasi lama yagn sudah tidak berdaya saing, ia adalah kelemahan demokrasi yang diamalkan dan serapan amalan feudalism yang menebal. Tetapi tidak semua yang muda itu masih lembik dan tidak semua yang lama itu dewasa dan matang. Jika tidak semua yang muda itu lebih berhak memimpin dan tidak semua yang lama tiada layak lagi memimpin.

Syed Saddiq mungkin dewasanya cepat, tetapi bukan kerana mudanya dia mesti diangkat. Dia diangkat kerana kemungkinan dewasa. Yang tua seperti Mahathir, rata-rata yang seusianya sudah tidak ramai, jika ada pun banyak uzur dari cergas. Dia jadi Perdadna Menteri semula bukan kerana tuanya tetapi keistimewaan luar biasanya.

Untuk jadi ukuran laluan mesti diberi kepada semua yang muda dan yang lama bersara saja bukan satu pandangan umum yang tepat, kerana rata-rata yang muda itu berdarah panas, gopoh dan belum tentu matang. Perhatian yang baik ialah usia Nabi menjadi Rasul. – HARAKAHDAILY 8/7/2018