Hujung telunjuk kiriku terlalu legam

Kolumnis
Typography

SUDAH lima hari pilihan raya berlalu hujung jari telunjuk kiriku masih legam bahkan lebih legam dari orang Afrika. Orang Afrika kukunya tidak legam, kulitnya saja hitam, tapi kuku telunjuk kiriku tiada beza dengan kulit.

Itulah dakwat yang SPR guna untuk PRU kali ini. Setiap yang mengundi wajib telunjuknya dicelup ke botol dakwat. Jari Mahathir dan Najib pun tidak terkecuali. (Foto di atas sekadar hiasan.)

Subki 1Di masjid saya dapati beberapa orang telunjuknya tak berdakwat. Mereka itu rakyat. Mesti termasuk orang yang tidak menunaikan tanggungjawab sekalipun mufti mengingatkan supaya turun mengundi.

Semasa jari dicelup botol dakwat itu tidak semuanya cecair. Terasa bukan cecair sama. Ketika jari dikeluarkan dari botol, tidaklah hitam sangat. Macam tidak berapa lekat dakwat itu di jari. Saya macam hendak celup semula.

Petugas tidak memberi kertas tisu untuk mengelap cecair itu. Di mana-mana pejabat bila kita terpaksa cap jari, kita dibagi kertas tisu mengesat jari bagi menipiskan hitam di ibu jari.

Dalam beberapa saat saja jari itu kering terus tanpa dikesat.

Dalam PRU13 dulu kita diberi tisu bagi mengeringkan jari tapi tidak menjejaskan hitam di jari. Kali ini, belum sempat kertas undi dibuka untuk dipangkah, jari sudah betul-betul kering.

Ia tidak berapa hitam. Tetapi ia beransur hitam. Lima minit saja ia sudah jadi lebih hitam dari kulit orang Afrika.

Dakwat itu disyaratkan bagi mengelak orang mengundi lebih dari sekali. Sebelum Lee Kuan Yew berkuasa di Singapura, dikatakan penyokongnya mengundi di beberapa tempat. Singapura bukanlah luas sangat. Orang boleh berkeliling dengan motokar lapan sembilan kali sehari. Lepas mengundi satu tempat mereka sempat pergi ke beberapa tempat lagi untuk mengundi. Dikatakan ia membantu PAP menang besar.

Mengelak ada oang mengundi lebih dari sekali banyak negara mewajibkan jari didakwat. Sesetengahnya kuku saja dicalit. Ia tidak padam lebih dari sehari.

SPR mula tidak berminat menggunakan dakwat itu. Semua pembangkang menuntut SPR mengelak. Satu masa DAP amat kecewa dengan PAS. Ketika mereka berjumpa Pengerusi SPR minta dakwat jari digunakan, ia ditolak dengan alasan PAS tidak setuju kerana kononnya tak telus wuduk. Solat tidak sah kalau anggota wuduk tidak dirata air wuduk.

PAS kata pada DAP, PAS tidak pernah menghalang pengguna dakwat, bahkan ia mahu digunakan. Maka SPR tidak beri penjelasan atas dalih loyar buruknya.

Pada PRU 2008 SPR setuju mendakwat telunjuk pengundi. Berjta peruntukan bagi menyediakan dakwat. Dua tiga hari sebelum mengundi SPR membatalkan konon atas sebab-sebab keselamatan. Perdana Menteri Abdullah Badawi mentakwil kebijaksanaan mengguna dakwat. Heboh seluruhnya mentakwil sikap Perdana Menteri itu.

PM menjelas, dia sekadar memberi pandangan, bukan suruh batalkan mengguna dakwat. Yang jadi tempat melonggokkan kesalahan ialah SPR. Pengerusi SPR pun pencen. Pada PRU13 dakwat diwajibkan.

Sesudah empat hari kuku dan belakang jari tidak berubah hitamnya. Perut jari mula lekang hitam itu. Di masjid bilal menunjukkan jari tidak hitam lagi. Dia guna clorox membersihkannya. Saya tak mahu guna clorox kerana hendak melihat berapa lama dakwat itu tahan. Lagipun ia tidak menghitamkan kita. Jari saja hitam sementara. – HARAKAHDAILY 14/5/2018