Apa cerdiknya SPR mengundi Rabu?

Kolumnis
Typography

SUDAH 14 kali wilayah kita menghadapi pilihan raya umum termasuk sekali sebelum merdeka tahun 1955 tiadalah bermasalah sangat orang yang bertugas pada hari mengundi unuk menunaikan kewajipan.

Ada kaedahnya bagi pengundi dan majikan menyusun bila mereka patut mengundi. Mengundi dulu dan mengundi pos boleh diseminarkan, apakah ia wajar atau ia sekadar satu muslihat politik golongan tertentu khususnya demi mempertahankan kuasa.

Subki 1Apapun yang jelas mengundi dulu bagi keadaan tertentu banyak menimbulkan syak dan waham akan ketelusan SPR.

Mungkin pengundi di konsulat kita di Medan yang kertas undinya perlu dikumpulkan di kedutaan di Jakarta sebelum diedarkan ke pusat mengira undinya di kawasan dia mengundi perlu kertas undi itu tiba pada hari pengiraan undi, maka ada munasabahnya mengundi dulu.

Tetapi bagi pasukan keselamatan berada di rimba satu masa dulu, siapa yang memantau pengundian telus atau bolos? Tiada siasatan terbuka akan ketelusannya melainkan ada kata-kata sang ketua mengedarkan kertas undi ikut sukanya dan ada pula mengatakan ditugas pangkah oleh seorang dengan beri 10 pada pembangkang, lainnya calon yang memerintah.

Bekas tentera Ustaz Hasan Johar pernah jadi calon PAS Dun Belanja, Parit mengaku dia diarah memangkah begitu di kem tentera di Pengkalan Chepa dan di Yong Peng. Ustaz Hassan masih ada lagi. Boleh tanya dia.

Jika tujuan memberi semua menunaikan tugas didulukan mereka mengundi, jika mereka belum tentu dapat haknya, apakah bijak dan adil haknya diseleweng oleh pak-pak hantu?

SPR telah dibantah tentang mengundi di kawasan keselamatan yang tidak boleh dimasuki oleh sesiapa kecuali penduduk tetap di tempat itu. Biasanya polis. Bagi isteri polis boleh keluar kawasan membeli itu dan ini, boleh keluar masuk, maka apa perlunya mereka mengundi dalam kawasan? Oleh kerana SPR serba betul tiada apa yang dapat dikata.

Pengundi dulu mulanya tidak ketara. Semasa pentadbiran Mahathir, ada pegawai tentera berpangkat bertanya saya apa rasionalnya petugas keselamatan beruniform atau tidak menjadi pengundi dulu tidak seperti sebelumnya.

Saya tidak tahu. Rupanya ia boleh disyaki ia jadi simpanan tetap calon parti kerajaan. Mahathir boleh jelaskan ini kerana pengundi jenis ini – petugas bomba dan kakitangan kesihatan bertambah besar, sedang yang mengun didulu banyak keraguannya.

Kononnya SPR ada kecerdikan demi berlaku adil kepada semua sekalipun pelanggan SPR iaitu parti-parti yang bertanding tidak pernah diminta pandangan. Sedang umumnya tahu pilihan raya dalam sistem jahiliah yang pengundinya bukan malaikat menghalalkan silap mata. Tiada siapa boleh buat keputusan sendiri melainkan atas kearifan mahkamah.

Kecerdikan SPR itu sewajarnya atas pengetahuan mahkamah sekalipun dalam sistem jahiliah ada undang-undang riba, loyar buruk dan hakim rimba.

Maka dalam kecerdikan terbaru SPR ditetap hari Rabu pada PRU14 ni. Ia hari bekerja. Ada masalah bagi pengundi luar hendak balik mengundi sedang ia tidak cuti umum.

Islam adalah agama yang tidak menyusahkan. SPR sebuah wilayah Islam eloklah tidak menyusahkan. Setelah 14 kali PRU tentulah mengundi hari cuti seperti Sabtu jauh lebih cerdik dari Rabu. Seolah-olah ia cerdik Luncai dan Pak Pandir. Itulah susahnya bila orang merasakan dia saja tahu dan cerdik.

Apa cerdiknya? Entahlah jika ia atas nasihat tuan-tuan bomoh, satu amalan popular dalam sistem jahiliah, tak terkecuali di Malaysia. – HARAKAHDAILY 14/4/2018