Risiko tidak dapat berita benar

Kolumnis
Typography

SEBELUM ini menyentuh rang antiberita tidak benar berisiko tidak benar-benar mengekang berita tidak benar. Kali ini saya bimbang risiko rang itu tidak dapat memberikan berita benar yang amat diperlu semua tetapi tidak diketahui oleh semua.

Keupayaan terhad pengamal berita kita justeru gangguan kebebasan pemberitaan dan profesionalnya menyebabkan pelanggan sukar mendapat maklumat sebenar atas satu-satu kejadian.

Belum lagi diambil kira rang antiberita benar yang menggerun dan dipercayai berisiko tinggi yang baru dibentangkan di Parlimen.

Yang nyata pelanggan sebenar tiada maklumat penuh tentang 1MDB yang dikatakan ada puaka, tidak ada maklumat penuh tentang siapa pembunuh Altantuya, tidak jelas tentang duit 2.6 bilion dalam akaun peribadi Perdana Menteri.

Maklumat benar mesti ada tetapi sistem yang terpakai kurang menggalak melahirkan wartawan profesional berwibawa, maka tiada kemampuan dan keberanian untuk mencari dan melaporkan apa sebenarnya yang terjadi. Tidak sewibawa dua penulis Amerika yang membongkar skandal Watergate Presiden Richard Nixon dan dua warrtawan Jepun yang menjatuhkan Perdana Menteri Esako Sato.

Kebebasan akhbar di zaman penjajah dan akhbar/majalah tidak memerlukan KDN untuk terbit mampu melahirkan wartawan terbilang seperti Rahim Kajai, A. Samad Ismail, Melan Abdullah dan lain-lain. Akhbar boleh terbit dan ia boleh tutup. Dalam kaedaan modal terhad itu ia dapat mengekalkan penerbitan Utusan Melayu.

Masyarakat selepas merdeka suka dan rajin membaca, penerbitan akhbar berpotensi menjadi industri berjaya, tetapi dengan KDN yang mesti dimohon baru setiap tahun terdedah kepada risiko KDN tidak dikeluarkan. Jika usahawan melabur berjuta di situ, industri tidak boleh diteruskan dan modal beku atau berhutang.

Bila mesin cetak harganya berjuta, bila permit tidak dibaru setiap tahun, percetakan tidak boleh berjalan dan ia boleh jadi besi buruk. Maka pelabur industri percetakan tidak tertarik kepada pelaburan yang tidak menggalakkan. Kesannya pembaca tidak dapat bahan bacaan pilihan dan ia terdedah kepada berita separuh benar.

Jika sistem KDN dibatalkan pelanggan banyak akhbar pilihan, berita separuh masak dalam satu akhbar akan ada pandangan kedua mengenainya dalam akhbar lain. Berita palsu dalam sebuah akhbar, akan ada fakta betul dalam akhbar lain.

Memang setiap akhbar ada dasarnya, ia mungkin tidak siarkan berita yang bertentangan dengan kepentingan dan dasarnya, tetapi kita kita banyak akhbar, kita boleh dapat sesuatu yang dibercayai berasas.

Tamadun menyediakan undang-undang. Di mana-mana pun ada undang-undang media yang boleh mendisplinkan bila ia melanggar undang-undang. Undang-undang boleh menghukum penyebar berita tidak benar.

Sarawak Report dikatakan memfitnah PAS diberi 90 juta oleh agensi pro Umno. PAS menyaman penerbitan itu. Tuntutan samannya berjuta. Jika PAS berjaya, Sarawak Report akan menanggung beban besar. Saman itu bukanbuntuk menutup penerbitan itu, tetapi mendisiplin supaya mengelakkan risiko ganti rugi besar.

Kawalan diperlukan supaya semua berita mesti tepat dan berasas. Tetapi jika rangnya menyebabkan orang tidak berani menulis, ia melahirkan wartawan yang lembik, maka pelanggan terdedah dengan berita separuh masak dan berat sebelah. Yang ruginya ia rakyat tidak dibekalkan maklumat yang cukup.

Masyarakat kurang maklumat lazimnya tidak dinamik, lembab, jadi mangsa orang yang cergas yang banyak maklumat. Jika kita dinamik disebabkan oleh suasana sekitar, kita tahu apa yang palsu. Tetapi kalau kita diasuh oleh suasana kurang maklumat, kita tidak tahu yang betul-betul dan yang salah itu salah. – HARAKAHDAILY 5/4/2018